About Me

Refleksi Saya Untuk Tahun 2020

Diam tak diam, tahun 2020 nih tahun ke-14 saya bergelar guru. Ada lagi baki hampir 20 tahun untuk teruskan cabaran dan perjuangan dalam dunia pendidikan. Seperti biasa, di penghujung tahun saya akan review semula suka duka perjalanan kerjaya saya untuk sepanjang tahun. Alhamdulillah, dari tahun 2013, 2014, 2015, 2016, 2017, 2018 sehingga 2019 belum pernah fail lagi nak menulis refleksi ini. Cuma kali nih lewat sket! ;)


Refleksi Saya Sebagai Guru Untuk Tahun 2020
Refleksi Saya Untuk Tahun 2020

Seperti biasa ada banyak perkara saya nak ceritakan. Benda setahun kot. Tapi saya rumuskan supaya tak lah jadi bosan plak orang nak baca lama-lama. Yang penting, pembaca kena tahu bahawa setiap kejayaan tu bukan kerana datang hasil usaha sehari dua. Sebaliknya bertahun-tahun, langkah demi langkah diatur cermat, sebab saya percaya kejayaan juga perlu ada strategi. 


CABARAN PENDIDIKAN COVID-19

Highlight untuk tahun nih tentulah sebab dunia yang tiba-tiba dilanda pandemik COVID-19. Tanpa sapa duga, cabaran yang datang memang sangat menguji semua kita. Banyak yang perlu dipelajari dan perlu diubah. Maka sektor pendidikan antara satu sektor yang menerima impak paling ketara, apatah lagi melibatkan pembelajaran secara atas talian dan peperiksaan. 


Dalam keadaan ramai yang masih termanggu memilih pendekatan paling sesuai secara online, saya lihat blog dan video-video saya sangat membantu menyokong untuk memastikan pembelajaran online berlaku. Aliran trafik ke blog dan juga video menyaksikan sehingga 300% peningkatan kepada bahan-bahan kandungan atas talian. 

a. Pilihan Pedagogi

Saya juga secara peribadi mengalami masalah masa peringkat awal bila PKP dilaksanakan. Nak memilih pendekatan yang paling sesuai dengan anak murid kita dan keadaan kita di rumah sesuatu yang sangat mencabar. Apatah lagi pengumuman sekolah ditutup dibuat semasa kita mula bercuti, maka bahan yang terbatas menyebabkan banyak lagi perkara yang perlu dipikirkan. Pelbagai strategi Trial and Error terpaksa digunakan. Semua orang bereksperimentasi dengan platform yang terbaik untuk cater keperluan unik masing-masing. 

Pautan: Tutorial Mengajar Streaming Guna StreamYard

Pautan: Tutorial Create Meeting Guna Google Meet

Pautan: Beza Aplikasi Zoom Dengan Micorsoft Teams

Pautan : Project-Based Learning untuk Pembelajaran Online

Sebab tu antara perkara awal saya buat selepas sekolah dibuka semula adalah kaji selidik ringkas tentang apa cabaran dalam menyokong pembelajaran online anak-anak di rumah. Ternyata hasil dapatan kajian ini telah banyak membantu saya dan rakan guru di sekolah untuk memilih pendekatan paling sesuai untuk murid kami di SMK Jerlun. 


Sebenarnya bukan sebab tak ada gajet atau Internet sangat, tapi sebab sikap!

Selain kreativiti guru dan fleksibiliti, sikap murid dan juga peranan ibubapa adalah perkara pokok yang patut kita semua bagi perhatian juga. Ini dapat dilihat menerusi beberapa siri Home Visit saya ke rumah murid yang memberikan lebih banyak kejutan!

b. cikgooTUBE

Keperluan tersebut juga mendorong pasukan cikgooTUBE digerakkan dengan sangat agresif bagi membantu KPM dan guru-guru lain supaya pembelajaran terus berlaku. Selaku CIP Master 2 bersama Cikgu Romie dan rakan-rakan guru lain yang hebat, usaha menghasilkan lebih ramai content creator dalam kalangan guru Malaysia menerusi beberapa siri webinar, selain daripada puluhan bengkel penghasilan video secara bersemuka pada awal tahun. 

Antara bengkel awal penghasilan video pengajaran guna smartphone bersama cikgooTUBE

Perjumpaan untuk mesyuarat AJK Tertinggi cikgooTUBE di Terengganu

Alhamdulillah, kini kita lihat sudah ramai guru-guru Malaysia yang tampil menghasilkan video dengan cara masing-masing untuk digunakan secara kolaboratif bagi kebaikan bersama. Cuma nasihat saya, jangan lah buat video hanya kerana mengikut trend. Orang buat, kita pun buat. Sebaliknya teruskan amalan tersebut demi kebaikan kita bersama. 

c. Perlis Mengaji

Masa peringkat awal PKP dengan sekatan perjalanan merentasi negeri, sempat juga saya terlibat dengan program Perlis Mengaji bagi mata pelajaran Sains SPM sebanyak 4 kali. Terima kasih buat JPN Perlis atas kesudian memberi peluang kepada saya anak kelahiran Perlis, meskipun saya merupakan guru yang sedang berkhidmat di Kedah.


d. Kursus Online

Musim pandemik juga memberi ruang kepada saya untuk menambahkan ilmu secara atas talian dengan lebih baik. Sesuai dengan tema Hari Guru tahun 2020, "Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu" menuntut saya untuk sentiasa upgrade ilmu semasa. Apatah lagi dengan keperluan pembelajaran musim pandemik yang sedikit berbeza, banyak benda yang saya perlu pelajari. 


Selain daripada kursus online yang diwajibkan oleh KPM, antara kursus online pilihan saya adalah kursus berkaitan pembelajaran online musim pandemik menerusi Futurelearn.com yang telah saya ikuti sejak tahun 2016. Selain itu, sempat juga ikut kursus online bersama APCEIU UNESCO untuk 4 minggu bagi tajuk 'Pengintegrasian GCED dalam Kurikulum'. Stress sungguh sebab ini kali pertama saya ikut kursus secara instructor-led. Jadi memang terkejar-kejar juga lah dengan lecturer tersebut. 

Satu lagi kursus online yang sempat saya ikut adalah kursus, "STEM bagi Sekolah Menengah" anjuran Scientix pertubuhan guru-guru STEM di Eropah. Serious saya cakap, ini antara satu kursus online yang sangat membina ilmu dan skill saya dalam bidang STEM, pada konteks international. Kalau boleh, saya nak lebih ramai guru STEM di Malaysia yang ikut serta menambah ilmu. 

e. Video GCED Korea

Alhamdulillah tanpa saya sangka, tahun ini disebabkan pandemik maka ada banyak pulak projek bersama APCEIU UNESCO yang berpusat di Korea Selatan. Untuk yang tak tahu, sebenarnya APCEIU ini lah yang menguruskan program pertukaran guru ke Korea sejak 2014 hinggalah sekarang. 


Untuk projek mereka tahun ini, saya terpilih sebagai salah seorang daripada 10 orang guru Asia Pasific bagi projek penghasilan video lecture untuk pengintegrasian GCED dalam kelas. Berkebetulan juga saya mengikuti kursus online bagi tajuk yang sama, maka lebih mudah untuk saya terus aplikasikan ilmu tersebut dalam video pengajaran saya. 

Maka saya pilih tajuk memperkenalkan biodiversiti (Hutan Paya Bakau di Malaysia dan Tanah Lembap di Korea) serta haiwan pupus (Harimau Malaya di Malaysia dan Beruang Hitam di Korea). Meskipun proses nya adalah memakan masa dan komitmen, tetapi tetap satu pengalaman yang sangat berharga!

f. Buku Annheonghaseyo Cikgu!

Ikut perancangan, buku "Annyeonghaseyo Cikgu!" projek kolaboratif bersama alumni KOMTEP sepatutnya dilancarkan pada tahun 2020 ini. Tetapi pandemik yang melanda menyebabkan kami rasa patut tunggu sebentar dan mencari waktu yang lebih sesuai. Semua orang pun dah tak sabar, tetapi kami percaya timing yang betul juga memainkan peranan dalam penghasilan buku tersebut. InshaAllah doakan tahun 2021 memberi sinar yang lebih cemerlang ya!


WEBINAR 

Sekadar rekod, bermula Januari hingga Disember tahun ini sahaja, sebanyak 69 webinar saya terlibat sebagai penceramah. Dengan macam-macam pihak, termasuk program dengan orang persendirian macam mantan KPPM, Datuk Dr Amin Senin hinggalah kepada agensi universiti dalam dan luar negara. Seluruh pelosok Malaysia, plus ke peringkat ASEAN juga seperti kerjasama dengan SEAMEO dan Pertubuhan Guru Acheh, Indonesia. Juga dengan stesen TV, ASTRO Awani. 


Teringat lagi pengalaman pertama kali berwebinar nih ialah masa tahun 2018, bersama guru-guru Indonesia selepas pulang daripada 2nd Ki Hajar Dewantara Award. Pada masa tu di Malaysia, konsep webinar masih asing, tetapi pandemik telah mengubah dan menjadikan ianya sebagai satu kebiasaan. 

Misi berkongsi ilmu dan mendapatkan ilmu tu jadi sangat mudah dengan bercambahnya webinar musim sekarang. Antara nak dengan tak nak belajar saja. Paling penting, pastikan juga webinar yang diikuti itu kerana ILMU dan PENGALAMAN nya, bukan semata kerana nak SIJIL saja. Kualiti, bukan kuantiti. Barulah jadi ilmu yang bermanfaat. Barulah sesuai kalau nak show off kat FB pun kannn?? ;)

Secara peribadi, saya lebih suka style webinar kerana tak melibatkan masa perjalanan yang jauh, kos yang lebih rendah dan lebih mudah untuk diuruskan. Dah tentu, lebih banyak masa untuk saya dan keluarga, serta anak murid di sekolah. 

Saya juga berbangga bila murid sekolah saya terpilih sebagai pasukan rintis bagi projek Bengkel Online STEM bersama Pusat Sains Negara. Ruang untuk anak-anak murid saya menunjukkan kreativiti dan bakat mereka dalam bidang STEM. 


Malah pada Oktober kami sendiri juga berjaya menganjurkan Webinar STEM dengan kerjasama Agensi Nuklear Malaysia secara streaming di Youtube menggunakan Streamyard. Bangga dengan kebolehan anak-anak murid saya dalam menguruskan webinar ini, yang bukan sahaja memberi manfaat kepada mereka, sebaliknya juga kepada ramai murid dan guru dari seluruh Malaysia yang turut sama mengikuti webinar pada masa tu. 


MEDIA SOSIAL + TIKTOK

Alhamdulillah, blog dan media sosial saya yang lain masih berjaya diuruskan dengan baik. Sekarang nih, saya merasakan menulis dan berkongsi menerusi blog ini bukan lagi untuk isi masa lapang saya, tetapi macam dah jadi 'tanggungjawab' pula untuk terus berkongsi ilmu kepada lebih ramai guru dan murid. InshaAllah saya akan cuba sedaya upaya saya, sebab saya tahu bermanfaatnya content-content sebegini apatah lagi dalam musim pandemik nih. 

Blog www.cikguhailmi.com sudah mencecah 37 juta kunjungan sejak 8 tahun beroperasi dengan lebih 2000 artikel sehingga kini. Youtube https://www.youtube.com/cikguhailmi pula mencecah 16 ribu subscribers dengan lebih 500 video. Facebook https://www.facebook.com/cikguhailmi/ juga sudah capai 57 ribu likers. Instagram pula  https://www.instagram.com/cikguhailmi/ dengan lebih 14.4 ribu followers dan Twitter https://twitter.com/cikguhailmi dengan lebih 4375 followers. 


TikTok yang dipenuhi Generasi Z

Dan sudah tentu dengan kebangkitan media sosial baharu, TikTok terutamanya dalam kalangan Gen Z mendorong saya juga untuk menjerumuskan diri ke TikTok pulak. Meskipun terkenal dengan konotasi yang negatif, tapi sebenarnya terlalu banyak ruang untuk kita, warga pendidik positifkan content TikTok dengan benda-benda pendidikan. 

Jemput follow saya di https://www.tiktok.com/@cikguhailmi 


Satu yang saya perasan, seronok juga dapat terlibat dengan banyak media sosial nih. Secara tak langsung dapat belajar camana setiap platform nih 'bekerja'. Lain platform lain tekniknya. Menulis di Twitter tak sama dengan menulis di Facebook sebab khalayak yang tak sama. Buat video di TikTok juga tak sama dengan buat video di Youtube. Jadi secara tak langsung mendorong saya untuk sentiasa perbaiki skil dan knowledge supaya apa yang saya buat sentiasa relevan dan capai sasaran. 


Satu lagi kenangan menarik tahun ini adalah bila kisah-kisah saya sebagai guru diabadikan dalam sebuah dokudrama dengan tajuk "Pendidik" oleh Afiq Affendi. Beliau merupakan mahasiswa filem dari ASWARA yang juga merupakan murid saya. Dokudrama tersebut dihasilkan dengan sangat baik. Sangat sentimental, banyak sentuhan sisi peribadi saya dengan latar belakang kampung saya yang indah menawan di Perlis tu.

Penghasilan dokudrama dengan tajuk "PENDIDIK"

Lagi gembira sebab dokudrama tersebut dibuat awalnya untuk tugasan assignment, diberi penilaian A oleh pensyarah filem berkenaan. So Afiq pun happy, saya pun happy, semua pun happy!


MENANTI KONVO MASTER

Antara perkara tahun 2020 yang saya ternanti sangat adalah majlis konvokesyen pengajian Sarjana saya di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang sepatutnya berlangsung bulan Oktober. Tetapi apakan daya, sebaik saja mengetahui bahawa kami layak diijazahkan pada Mac, keadaan COVID-19 juga semakin meruncing, maka kami akur dengan ketentuan bahawa majlis konvokesyen akan dilanjutkan pada April 2021. 

Rakan-rakan susah payah belajar wat Master kat UKM

Tak ler kalut sangat, sebab surat apa semua pon dah ada kalau nak isi apa-apa borang. Cuma nak meraikan susah payah belajar bersama rakan-rakan yang supportive dan juga keluarga saja. Ok kita tunggu tahun depan yer!


50 GURU TERBAIK DUNIA

Jika tahun lepas banyak gila anugerah guru yang ada kat Malaysia nih, tapi tahun nih sebab pandemik jadi macam dengar tak dengar je. Sebab masing-masing sibuk dengan norma baharu. Untuk tahun ini, ada lah 4 anugerah yang saya dapat. Anugerah Apresiasi Bestari dari PPD Kubang Pasu, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan juga Naib Johan bagi Anugerah Cikgu Juara Digital 2020 oleh MDEC. Rezekinya, dapat juga hadiah make over bilik Digital Hub PAK21 secara percuma daripada MDEC. 

Make over bilik Digital Hub PAK21 oleh MDEC
Make over bilik Digital Hub PAK21 oleh MDEC

Kejayaan besar saya pada tahun ini adalah bila tersenarai sebagai 50 guru terbaik menerusi Global Teacher Prize 2020. Untuk yang tak tahu pasal Global Teacher Prize nih, anugerah berprestij dunia ini bertujuan mengiktiraf kerja buat guru-guru di seluruh dunia yang dianjurkan oleh Varkey Foundation. 


Norhailmi Abdul Mutalib
Norhailmi Abdul Mutalib

Bacaan: Beza Anugerah Global Teacher Prize (UK) dengan Global Teacher Award (India)?

Bacaan: Global Teacher Prize: Kisah Isi Borang, Sampai Mimpi Jadi Kenyataan


Mana tak gembira, selepas 5 kali mencuba akhirnya berjaya juga saya dengan misi bergelar Global Teacher pada tahun 2020 nih. Meskipun sambutan agak kurang memberangsangkan disebabkan oleh berita COVID-19 yang lebih sensasi, tapi saya ok je. Bukan sensasi yang kita cari, tapi pengiktirafan kerja buat cikgu-cikgu Malaysia di peringkat global. 

Kejayaan ini juga mendapat pengiktiran KPM dan paling happy bila Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin sendiri umumkan nama saya sebagai salah seorang daripada 6 guru untuk dihighlight semasa ucapan beliau untuk Hari Guru 2020. Kenangan sungguh!


Maka saya coretkan juga 10 perkara yang saya dapat belajar daripada pengalaman 5 tahun saya mencuba misi bergelar Global Teacher. Semoga ramai guru yang boleh dapat manfaat.

Pengajaran 1: Tak Semua Orang Suka Kita Berjaya

Pengajaran 2: Dapatkan Mentor yang Baik

Pengajaran 3: Kuasa Visualize Your Dreams

Pengajaran 4: Kerja Sampai Diberi Anugerah

Pengajaran 5: Never Never Give Up!

Pengajaran 6: Rancang Strategi Untuk Berjaya

Pengajaran 7: Cari Circle Positive Anda

Pengajaran 8: Beri Mereka Lebih Banyak Kejayaan

Pengajaran 9: Always Believe in Yourself

Pengajaran 10: Betulkan Niat


Tahun 2020 juga menyaksikan seorang lagi guru dari Malaysia, Cikgu Samuel Isaiah dari SK Runchang, Pahang turut tersenarai sebagai 50 Finalis 50 Terbaik Global Teacher Prize. Malah mara sehingga Finalis 10 Terbaik, merupakan guru pertama Malaysia yang layak sehingga ke tahap demikian. Paling bangga, sebab saya juga sempat terlibat dalam webinar bersama Juara Global Teacher Prize 2020, Ranjitsinh dari India bulan Julai dulu. 

Kenangan berkolaboratif dengan Juara Global Teacher Prize 2020, Mr Ranjitsinh
Kenangan berkolaboratif dengan Juara Global Teacher Prize 2020, Mr Ranjitsinh

Harapan saya, semoga lebih ramai guru-guru Malaysia yang diiktiraf dalam Global Teacher Prize untuk tahun mendatang. Banyak yang saya tengok berpotensi. Bukti bahawa sistem pendidikan kita pun tak lekeh dalam menghasilkan ramai guru-guru yang berprestasi tinggi. 


KEHILANGAN 

Tahun ini paling terkesan bila kami sekeluarga diuji dengan kehilangan ahli keluarga paling dekat, iaitu abang yang tercinta pada usia yang sangat muda, 41 tahun akibat serangan jantung. Al-Fatihah untuk Allahyarham Norasmadi Abdul Mutalib, yang sentiasa dalam kenangan kami semua sekeluarga. Kehilangan yang sebenarnya bagi impak sangat sangat besar pada semua ahli keluarga kami. 

Al-Fatihah untuk Allahyarham Norasmadi Abdul Mutalib

Bukan senang nak bangkit dari sebuah kehilangan. Saya sendiri 3 hari sebak tak mampu nak bercakap dengan orang luar, dan ambil masa seminggu untuk recover cari kekuatan semula. Peritnya sampai hari ini terasa. Itu belum lagi bercerita pasal kakak ipar, mak dan ayah. Boleh faham apa yang mereka rasa. Sedih tak tau nak cakap. Tapi kami perlu kuat, supaya yang lain juga mampu kuat. 

Tahun 2020 juga menyaksikan ramai kenalan terdekat yang meninggal pada usia muda belaka. Ada rakan sekolah rendah meninggal pada usia belum 40. Senior masa sekolah menengah dengan 5 anak masih kecil, serta pasangan kepada rakan baik dalam perjalanan pagi ke tempat kerja. Betapa "Life is so fragile.." Jadi kau nak cari apa sebenarnya?

Maka buat lah yang terbaik untuk diri sendiri, untuk keluarga kita, untuk orang sekeliling kita, supaya pada akhirnya nanti ada bekalan terbaik untuk kita di sana nanti. Kita tak tahu sebanyak mana tempoh yang dipinjamkan untuk kita. Tetapi biarlah tempoh yang dipinjamkan tuh penuh dengan manfaat, bukan sahaja kepada diri sendiri tetapi juga pada orang lain!


Saya tutup refleksi tahun 2020 ini dengan sedikit harapan semoga usaha kita pada tahun 2021 dipermudahkan Allah. Dunia penuh dengan ketidakpastian, tetapi saya pasti kita mampu melakukannya bersama. Semoga juga penyakit COVID-19 nih cepat pergi, supaya kita boleh hidup gembira semula. Semoga tahun yang lebih baik untuk semua kita. Amin!

Catat Ulasan

5 Ulasan

  1. Al Fatihah.. Semoga arwah dtmptkan diklgn org beriman..

    Teruskan menjadi pendidik yg berinspirasi dan Semoga terus sukses dunia akhirat..

    BalasPadam
  2. Cikgu Fiza Razilah5 Januari 2021 9:00 PTG

    Semoga usaha cikgu diberkati Allah

    BalasPadam
  3. Single ke? Ciannn.... contact i okay. Love u.
    017-4502767

    Linked In : https://my.linkedin.com/in/mohamad-zuhairi-c-a-m-4a5744107

    FB : https://www.facebook.com/mohamadzuhairi.mohamadzuhairi

    Insta :
    https://instagram.com/zuhairizani

    Twitter :
    https://twitter.com/zuhairizani

    BalasPadam