About Me

Refleksi Saya Untuk Tahun 2015

Seperti tahun-tahun sebelumnya, (2013, 2014) saya lebih suka untuk menulis refleksi kendiri apa yang telah saya buat dan capai untuk tahun semasa sebagai seorang guru. Tujuannya adalah supaya saya boleh menyemak kembali adakah saya semakin baik, ataupun sekadar beban kepada guru lain.  Muhasabah prestasi ini adalah penting untuk saya dalam memberi motivasi dan inspirasi kepada diri saya sendiri!

Refleksi Cikgu Hailmi untuk tahun 2015
Refleksi saya untuk tahun 2015



Sekolah Baharu
Bermula pada tahun 2015 ini juga saya menjalankan tugas sebagai guru di sekolah baharu, iaitu SMK Jerlun, Kedah. Setelah 8 tahun di Sarawak, dengan segala macam kenangan, maka tiba masa untuk saya mencurahkan bakti kepada kampung halaman pula. 



SMK Jerlun, Kedah

Lain perasaannya bila berada di sekolah yang baru 2 tahun ditubuhkan ini. Dengan tenaga guru dan murid yang lebih kurang 400 orang sahaja, banyak aktiviti dan program terpaksa dilakukan dengan bijak percaturannya. Saya yakin jika diberi sedikit masa lagi, dalam tempoh 5 tahun akan datang, sekolah ini juga boleh berada sebaris dengan sekolah-sekolah lain di daerah Kubang Pasu.

Bacaan Menarik : 3 Minggu di SMK Jerlun



Blog Pendidikan
Masuk tahun 2015, maka genaplah 3 tahun blog www.cikguhailmi.com beroperasi. Saya gembira kerana dalam tempoh ini masih diberi kekuatan, kelapangan dan minat untuk terus berkongsikan pengetahuan dan pengalaman dengan pembaca sekalian.

Selain daripada jumlah follower dan bilangan artikel yang terus meningkat, blog ini juga terus berkembang dengan menjalinkan kerjasama dengan beberapa agensi di luar, seperti Frogasia, Sunway Oxbridge, Asco Edutech dan juga Roboticist



Kerjasama dengan FrogAsia untuk Leaps of Knowledge 2015

Beberapa artikel asal yang ditulis dari blog ini juga diterjemahkan oleh beberapa blog pendidikan yang menggunakan Bahasa Inggeris. Bagi saya itu satu pencapaian yang baik dalam menulis info-info yang berkaitan dengan pendidikan Malaysia.

Bacaan Menarik : 11 Ways to Become a Teacher in Malaysia



Slaid Dato Seri Idris Jusoh

Paling gembira tentulah apabila mendapat tahu gambar daripada blog saya digunakan oleh Datuk Seri Idris Jusoh dalam satu pembentangan seminar antarabangsa. Blog Cikgu Hailmi juga dikreditkan di dalam slaid tersebut. Terima kasih Datuk Seri!



Cikgu Sains Kreatif
Gerakan terbesar untuk tahun ini adalah usaha mengkreatifkan guru-guru Sains di Malaysia melalui perkongsian aktiviti di group facebook Cikgu Sains Kreatif. Saya tubuhkan group facebook ini setelah mendapati, guru-guru Sains menghadapi masalah untuk mendapatkan idea-idea kreatif ketika mengajar. Sedangkan dalam masa yang sama, kita juga memiliki guru-guru Sains yang hebat, yang kreatif dan yang sudi berkongsi dengan rakan guru yang lain.


Cikgu Sains Kreatif

Maka platform ini digunakan sebaiknya untuk menggalakkan lagi perkongsian rakan guru mengenai amalan terbaik dalam kelas. Bagi memudahkan rakan guru membuat rujukan juga, saya kumpulkan semua idea-idea tersebut di bawah satu link yang sama, iaitu Koleksi Idea Kreatif Sains

Sehingga kini, seramai lebih 12 000 telah berjaya dihimpunkan dalam group ini. Semoga lebih ramai guru dan ibubapa yang mendapat manfaat daripada perkongsian ini.



Peluang Kursus
Tak saya nafikan, sejak saya pulang ke Kedah, lebih banyak untuk saya berpeluang mengikuti kursus, terutamanya yang berkaitan dengan sains. Sememangnya peluang sebegini adalah sangat saya nantikan. Dalam keadaan dunia pendidikan yang bergerak pantas, maka penganjuran kursus sebegini mampu mengemaskini pengetahuan saya dalam bidang pendidikan. Banyak yang nak dipelajari.


Seminar STEM di RECSAM, Pulau Pinang

Antara kursus yang saya berpeluang ikuti pada tahun ini adalah Program Familiarization di Pusat Sains Negara Wilayah Utara, Seminar STEM di RECSAM dan juga Bengkel KBAT peringkat negeri Kedah. Ternyata banyak yang saya pelajari sepanjang mengikuti kursus-kursus ini. 



Sofbol
Untuk tahun ini pula, sukan sofbol menjadi semakin jauh dengan saya. Menubuhkan team sofbol di sekolah baharu ini cukup menguji komitmen saya dalam bersofbol. Dengan pelbagai kekangan, bermula dari kosong, buat pertama kalinya juga SMK Jerlun mempunyai satu pasukan sofbol
.


Penyertaan sulung pasukan sofbol SMK Jerlun

Walaupun mendapat sokongan padu daripada pihak sekolah, tetapi dengan kurangnya pengalaman serta masih banyak lagi yang perlu dipelajari menyebabkan pasukan ini pulang awal pada peringkat kumpulan lagi. 

InshaAllah sekiranya diberikan peluang sekali lagi untuk tahun hadapan, saya akan pastikan mereka mencapai keputusan yang lebih baik. Penuh keraguan samada pasukan ini akan mampu bertahan. Atau pun saya sendiri yang sudah mula hilang minat terhadap sukan sofbol? Wallahualam.

Bacaan Menarik : Kejohanan Sofbol MSSD Kubang Pasu 2015


Panitia Sains Kubang Pasu
Antara perkara yang menggembirakan saya adalah dapat melibatkan diri dengan aktif bersama Panitia Sains daerah Kubang Pasu, di bawah pimpinan Puan Noriah (Mantan Pengetua SMK Megat Dewa). Di sini lah saya dapat menyumbangkan lebih banyak tenaga dalam membantu murid-murid daerah Kubang Pasu bersama-sama guru-guru Sains yang hebat-hebat belaka. 



Panitia Sains Daerah Kubang Pasu

Saya sangat gembira dapat bekerjasama dengan lebih ramai guru Sains yang aktif dan hebat. Masing-masing tak lokek dalam berkongsi ilmu dalam meningkatkan pencapaian Sains bagi murid-murid dalam daerah ini. Pencapaian terbesar Panitia Sains Kubang Pasu pada tahun ini adalah kejayaan menganjurkan Bengkel KBAT dan Pembelajaran Abad 21 Peringkat Negeri Kedah untuk semua guru sains seluruh Kedah. Daebak!

Oleh kerana keaktifan Panitia Sains Kubang Pasu dalam menganjurkan aktviti dan program, maka saya ambil inisiatif untuk wujudkan satu blog khas supaya kami terus dapat berkongsi aktviti ini dengan lebih ramai pembaca. Jom jemput baca kat sana plak.. ;)



Penulis Artikel
Atas kesibukan yang melampau sepanjang tahun ini, maka banyak pelawaan menulis buku terpaksa saya tolak. Saya yakin benar, saya tak akan mampu untuk menulis buku dalam masa yang diberikan. Hasilnya, tidak ada langsung buku yang saya tulis untuk tahun ini! Tak macam tahun-tahun lepas.. 


Artikel Sains dalam Skor Pendidikan, Berita Harian

Walaubagaimanapun, peluang menulis tetap masih ada. Tetapi kali ini adalah untuk artikel di surat khabar. Maka pada tahun 2015 sebanyak 3 buah artikel saya telah berjaya dikeluarkan di akhbar sisipan Skor Pendidikan, Berita Harian. Satu artikel mengenai Mikroorganisma, satu pasal Nutrisi dan akhir sekali mengenai KBAT. 


Bagi saya ianya adalah satu pengalaman menarik. Tak perlu gunakan masa yang panjang seperti menulis buku. Kurang sikit komitmen. Sesuai sangat untuk saya yang sentiasa ada saja benda yang nak dilakukan.



Review pasal Cikgu Hailmi dalam Business Circle

Kisah saya sebagai guru juga dirakamkan dalam bentuk tulisan oleh sebuah portal yang berkaitan dengan Economic Transformation Programme (ETP), iaitu Business Circle untuk tujuan pendidikan. Seronok juga dapat peluang berkongsi cerita dan pengalaman saya dengan orang lain camnih.

Akhirnya, ada juga orang nak menulis pasal saya. Huhuhu...

Bacaan Menarik : Getting Students Hooked on Science (Business Circle)



Liga Remaja Kreatif 2015
Setelah merangkul Johan Kebangsaan untuk tahun 2013 dan 2014 dengan pasukan Sarawak, maka dah tentu tugasan pada tahun 2015 menjadi lebih sukar dan sangat mencabar. Apatah lagi kali ini saya akan membawa pasukan baru, di negeri baru. 



Naib Johan Kedah untuk Liga Remaja Kreatif 2015

Pertandingan mencipta video anjuran MCMC ini ternyata membuka lembaran baru kepada murid-murid saya di Kedah. Walaupun pada mulanya ramai yang tidak menunjukkan minat kerana tak tahu dan tak faham, tetapi akhirnya berjaya membawa nama sekolah SMK Jerlun untuk muncul sebagai Naib Johan bagi negeri Kedah. Sekaligus ini membuka lebih banyak mata pelajar di sini dan saya harapkan lebih ramai pelajar yang akan melibatkan diri pada tahun akan datang.

Sekalipun tidak berjaya mengulangi kejayaan seperti di Sarawak dahulu, tetapi saya tetap optimistik dengan kemampuan dan bakat anak-anak murid di SMK Jerlun ini. Berikan saya setahun lagi untuk membimbing mereka menghasilkan video yang lebih baik untuk tahun depan! Doakan kejayaan kami.. 


Bacaan Menarik : Pengalaman Menyertai Liga Remaja Kreatif 2015
Bacaan Menarik : Majlis Liga Remaja Kreatif 2015 Zon Utara




Penceramah
Tahun ini juga jemputan ceramah datang mencurah-curah di luar jangkaan saya. Jika sebelum ini ketika di Sarawak, hanya 1 atau 2 sahaja jemputan, tapi tahun ini hampir setiap minggu pasti ada saja jemputan yang perlu dipenuhi. Malah adakalanya saya terpaksa menolak jemputan tersebut kerana pertindihan jadual dan juga sebab yang tak dapat dielakkan. 



Sesi perkongsian bersama adik-adik di Maahad Tahfiz Sains Ulul Albab di Melaka

Perkongsian saya mengenai menjawab Sains PT3 ini tidak sahaja tertumpu kepada sekolah-sekolah di kawasan Utara sahaja, tetapi membawa saya jauh hingga ke Melaka. Daripada sekolah menengah harian kepada sekolah agama bantuan kerajaan, sehinggalah ke sekolah berasrama penuh, pernah saya jejakkan kaki untuk membantu. Jika tak silap saya, hampir 30 buah sekolah dengan jumlah murid hampir 3000 orang.

Dah tentu ini adalah satu pengalaman menarik untuk saya bertemu dengan murid-murid dan juga rakan guru Sains dari sekolah lain. Perkongsian ini juga membawa kepada hubungan yang lebih erat antara murid dan juga guru yang sehingga kini masih berhubung dengan saya.



Sesi perkongsian bersama adik-adik di SMA Hira, Seksyen 26 Shah Alam

Seperti yang biasa saya tegaskan, keutamaan saya tentulah kepada pelajar daripada sekolah yang 'lebih memerlukan'. Semoga saya dikurniakan kesihatan dan masa untuk terus berkongsi ilmu dengan lebih ramai murid. Amin!



80 Hari di Korea
Anugerah terhebat bagi saya tahun ini adalah apabila terpilih untuk mewakili pasukan Malaysia seramai 10 orang bagi Program Pertukaran Guru Malaysia - Korea 2015 (KOMTEP 2015) selama 3 bulan. Sejak daripada sesi temuduga lagi sudah saya rancangkan  sekiranya saya terpilih saya pasti akan gunakan sepenuhnya platform blog dan video untuk berkongsi pengalaman tersebut. 



80 Hari di Korea 

Setelah mendapat peluang hebat ini, maka terhasillah catatan blog "80 Hari di Korea" dan juga vlog harian "80 Days in Korea". Semoga ramai yang dapat manfaat daripada penulisan dan juga rakaman video tersebut.

Saya juga gembira apabila artikel tulisan saya mengenai "5 Kunci Kekuatan dan Kejayaan Sistem Pendidikan Korea" telah viral di internet serta dikongsikan oleh beberapa blog lain seperti The Vocket dan juga Buasir Otak. Terima kasih untuk perkongsian tersebut!



The Vocket

Selepas kembali daripada Korea, saya dan rakan-rakan turut berpeluang untuk berkongsi pengalaman tersebut dengan pihak KPM dan juga saya sendiri telah mengadakan sesi perkongsian dengan pihak JPN Kedah sendiri. Bagi saya, ini lah peluang terbaik untuk kami memberikan sumbangan kepada pendidikan Malaysia secara langsung.


Menteri Pelajaran Malaysia berkongsikan catatan 80 Hari di Korea Cikgu Hailmi di laman facebooknya
Menteri Pelajaran Malaysia berkongsikan catatan ini di laman facebooknya

Saya juga tak sangka apabila perkongsian ini rupanya mendapat perhatian daripada Menteri Pelajaran Malaysia, iaitu Dato' Seri Mahdzir Khalid apabila dikongsikan catatan blog ini di laman facebook beliau. Malah sebahagian kata-kata saya juga dipetik dalam status tersebut. Semoga perkongsian ini akan lebih banyak mendatangkan kebaikan kepada warga pendidikan. ;)

Bacaan Menarik : 80 Hari di Korea (Lengkap)



Halatuju?
Akhir-akhir ini, beberapa persoalan mula bermain di minda saya. Terutamanya sekali berkaitan dengan halatuju saya dalam bidang pendidikan. Sehingga Disember berakhir, tiada iklan mengenai Guru Cemerlang ditawarkan untuk sepanjang tahun ini. Adakah ini bermakna laluan Guru Cemerlang bakal berakhir? 



Laluan Guru Cemerlang?

Apatah lagi sebelum ini sudah ada banyak desas desus yang mengatakan jawatan SISC+ akan bakal menggantikan jawatan Guru Cemerlang. Beberapa spekulasi juga mengatakan bahawa akan wujud lagi jawatan seumpama Coach yang nampaknya mirip sekali dengan peranan SISC+ dan juga Guru Cemerlang. Maka saya ramalkan laluan Guru Cemerlang akan menjadi semakin suram dan kelam.  

Bidang pentadbiran bukanlah pilihan saya. Apatah lagi menyimpang sebagai Pensyarah Matrikulasi. Maka apa lagi pilihan yang saya ada, selain menunggu keputusan muktamad mengenai beberapa haluan yang telah dinyatakan tadi. Semoga semuanya baik-baik saja.


Bacaan Menarik : SISC+ Bakal Gantikan Guru Cemerlang?
Bacaan Menarik : Kenapa Saya Pilih Jadi Cikgu Sekolah, Bukan Pensyarah Matrikulasi?
Bacaan Menarik : 20 Laluan Naik Pangkat Dalam Perguruan



Sebelum saya akhiri artikel saya ini, saya ambil peluang untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih buat insan belakang tabir yang sentiasa menjadi sumber kekuatan saya selama ini, termasuklah rakan pembaca. 

Doakan supaya saya lebih bermotivasi, lebih gigih dan lebih kuat untuk bekerja pada masa akan datang. Semoga 2016 menjanjikan peluang yang terbaik untuk saya terus berbakti kepada pendidikan Malaysia. Amin!





Catat Ulasan

17 Ulasan

  1. Assalamualaikum...
    Tahniah atas segala usaha yang dilakukan. Setiap sumbangan cikgu terhadap dunia pendidikan pastinya amat-amat bermanfaat. Semoga sentiasa komited dan istiqamah dalam meneruskan idea, saranan, perkongsian ilmu yang semestinya bermanfaat kepada semua. Dan...terima kasih. :)

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam.. TQ3! TQ untuk support dan TQ juga untuk doa. ;)

      Padam
  2. Assalammualaikum....tahniah cg...sumber inspirasi dlm menjadikan sains digemari dan dipraktikkan dlm kehidupan seharian...tqvm cg..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam Cg Liza Noh. InshaAllah sama2 kita menginspirasikan lebih ramai lagi cikgu2 di Malaysia. AMin!

      Padam
  3. Assalamualaikum.
    Tahniah Cikgu Hailmi di atas kejayaan-kejayaan yang dilakar sepanjang tahun 2015. Saya percaya Cikgu Hailmi akan terus memberi inspirasi kepada ramai guru dan pelajar.

    Teruskan perkongsian ilmiah cikgu dalam dunia maya. Ucapan terima kasih diucapkan kerana cikgu sudi berkongsi ilmu dan pengalaman. Hanya Allah yang dapat membalas jasa yang telah cikgu curahkan. Semoga terus maju pada tahun-tahun mendatang.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam.. TQ Cikgu Diana!! Sama2 kita gerakkan usaha menginspirasikan lebih ramai guru kat Malaysia nih.

      Padam
  4. Pertama kali melayari laman web Cikgu Hailmi saya tertarik dengan cara penulisan cikgu untuk berkongsikan sesuatu topik. Sempat juga membaca sebahagian catatan cikgu di Korea yang amat berinspirasi. Semoga cikgu terus cemerlang dalam bidang pendidikan.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Terima kasih Cikgu Idris. Saya tak janjikan banyak daripada blog saya ini. Tapi inshaAllah jika Cg berkunjung, saya harapkan ada ilmu yang cg dapat pelajari dari sini. TQ!

      Padam
  5. Salam.
    Cg Hailmi saya amat teruja dan mendapat inspirasi dari blog anda....
    Semoga Cg terus sukses dalam bidang yg telah cg pilih ini.
    Saya menjadikan cg sbg sumber inspirasi dan idola saya dalam mengajar pelajar saya.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam. Terima kasih banyak cikgu atas kata2 yang sangat memotivasikan saya. Jom kita sama2 menginspirasikan antara satu sama lain.

      Padam
  6. tahniah cikgu...
    Alhamdulillah Jelas akan usaha cemerlang cikgu. InsyaAllah ganjaran itu sentiasa ada pada insan yang menyumbang ilmu seikhlas hati. Teruskan kecemerlangan. Jangan sesekali tunggu title Guru Cemerlang dan jangan hilang motivasi sekiranya jawatan itu akan dimansuhkan. Sukar untuk membuat spekulasi. Mungkin akan wujud satu jawatan lain yang lebih baik dari apa yang cikgu harapkan memang ditakdirkan untuk cikgu..teruskan perjalanan. insyaAllah dipermudahkan. ramai yang mendoakan cikgu dan menjadikan cikgu sebagai sumber inspirasi mereka untuk menjadi guru yang cemerlang. Itu juga satu anugerah yang hebat utuk cikgu. Saya juga antara salah seorangnya. Teruskan menulis dan memberi input yang baik di blog ini. Terima kasih dan tahniah

    BalasPadam
  7. Tahniah cikgu....blog ini dan refleksi cikgu sangat memotivasikan saya..Alhamdulillah sebagai langkah permulaan saya akan mengikuti kursus RECSAM IBSE yang melibatkan peserta ASEAN.Mengajar pelajar luar bandar memerlukan pengorbanan yang tinggi terutama bagi mengangkat KBAT dan PdP Alaf 21..Telegram guru kreatif juga sangat2 membantu dalam membuka minda bagi menyeronokkan suasana PdP.TQVM cikgu Hailmi..sumber inspirasi...

    BalasPadam
  8. Tahniah Cikgu atas sumbangan dan perkongsian ilmu. Teruskan menjadi guru yang terhebat dan bermanfaat. sumber inspirasi ilmu...

    BalasPadam
  9. Tahniah cikgu hailimi.. anda seorang yang mengaspirasikan!

    BalasPadam
  10. terima kasih Allah... atas kurniaan insan ini.... terima kasih Allah kerana mengizinkan insan ini menjalankan kewajipannya dengan sebaik-baiknya...moga menjadi motivasi bagi kami yang masih lagi bertatih-tatih

    BalasPadam