.

.

KARTiKEL

Sabtu, 17 Ogos 2013

Panduan Memohon Guru Cemerlang (Fasa 3 : Rancangan Mengajar Terbaik)

Alhamdulillah sebab masih ada kekuatan dan kerajinan untuk berkongsi lagi tips seterusnya berkaitan dengan panduan memohon guru cemerlang. Kali ini saya nak kongsikan tips mengenai menyediakan rancangan mengajar yang terbaik. Artikel perkongsian ini boleh dijadikan sebagai rujukan tambahan sebab mungkin lain orang lain caranya. Ada kebebasan untuk memilih atau pun tak nak gunakan tips yang berikan ini. Sebaiknya, rujuk dulu SKPM atau pun Standard Kualiti Pendidikan Malaysia, terutamanya Standard 4 yang khusus mengenai Pengajaran dan Pembelajaran Berkesan. Saya sediakan tips ini juga dengan merujuk kepada Standard tersebut serta ditambahkan sedikit dengan pengalaman.

Rancangan Mengajar Terbaik


1) Format Rancangan Mengajar Yang Lengkap
 Bagi menyediakan rancangan mengajar, perlu siapkan dengan format yang lengkap. Senang cerita selengkap dan sehebat masa praktikum. Kebanyakkan guru yang dah mengajar dan masuk ke sekolah, makin lama akan semakin ringkas rancangan mengajar. Nak makin senang dan makin cepat. Tapi bagi pemantauan Nazir untuk guru cemerlang, sebaiknya anda sediakan rancangan mengajar yang selengkap mungkin. Tidak ada persoalan yang boleh ditimbulkan oleh nazir ketika datang memantau kelak. Sekurang-kurangnya, ini juga membantu anda untuk siap sedia merancang dengan segala keperluan yang diperlukan sebelum dan semasa pdp berlangsung.


2)  Sediakan Lebih Daripada Satu
Bagi melakukan persediaan yang rapi, maka rakan guru perlu menyediakan rancangan mengajar lebih daripada satu. Kenapa? Ini kerana kita tidak ada kuasa untuk memilih kelas mana yang akan dipantau oleh nazir kelak. Maka lebih baik siapkan lebih daripada satu rancangan mengajar dengan berbeza aras untuk kelas pertama dan kelas ke belakang sket. Kemudian sediakan juga dengan tempoh masa yang berbeza, dengan menggunakan 1 waktu atau 2 waktu, sebab tentu pengisian nya dah tak sama kan.


3) Rancangan Mengajar Yang Kreatif dan Menarik
Ini adalah unsur penting yang perlu ada dalam rancangan mengajar anda. Rancangan mengajar yang disediakan haruslah menarik dan kreatif. Mulakan rancangan mengajar dengan sesi set induksi yang menarik. Gunakan juga bahan bantu mengajar yang terkini dan boleh menarik perhatian pelajar. Kalau pelajar pun dah tak tertarik dengan set induksi yang kita sediakan, cuba bayangkan bagaimana pula perasaan Nazir yang memantau kita. Kemudian kembangkan set induksi tadi kepada perkembangan pengajaran dan pembelajaran kita yang lebih tersusun. Tak perlu masukkan terlalu banyak hasil pembelajaran, tapi yang penting kita pastikan semua hasil pembelajaran yang ditulis dalam rancangan mengajar akan tercapai pada akhir pdp. Semua ini disudahi dengan penutupan yang bagus.

Panduan Memohon Guru Cemerlang (Fasa 3 : Rancangan Mengajar Terbaik)


4) Wajib Ada Aktiviti / Hands On
Bagi menghasilkan rancangan mengajar yang menarik, WAJIB untuk kita masukkan aktiviti hands on dalam pdp kita. Saya katakan wajib kerana sudah pasti pada zaman sekarang ini, perkembangan semua aspek pembelajaran pelajar perlu dititikberatkan. Pelajar perlukan sesuatu yang boleh menarik perhatian mereka untuk mempelajari sesuatu. Justeru itu, guru perlu adakan aktiviti bagi membantu pelajar untuk menarik minat dan memberi kefahaman kepada pelajar. Aktiviti boleh diadakan secara individu atau pun berkumpulan. Tetapi pastikan juga masa diatur dengan betul dengan mengambilkira faktor pergerakan pelajar dalam kelas. Ada cabaran, tetapi jika diatur dan dirancang dengan betul, inshaAllah tidak menjadi masalah yang besar.


5) Rancang Masa Dengan Betul
Masa perlu dirancang dengan betul bagi mengelakkan pdp tidak mencapai objektif. Banyak perkara yang perlu diambilkira semasa merancang masa untuk rancangan mengajar. Sebagai contohnya, masa penjelasan konsep untuk pelajar aras rendah sudah tentu mengambil masa yang lebih panjang berbanding pelajar aras tinggi. Selain itu, aktiviti berkumpulan juga memerlukan masa tambahan untuk pelajar bergerak dan membentuk kumpulan. Masa untuk sesi soal jawab juga perlu diambil perhatian. Perancangan masa yang betul boleh membantu kita untuk menjalankan pdp dengan lebih berfokus, tepat dan berkesan. Saya sendiri, menulis masa yang diperlukan pada setiap langkah pengajaran bagi membantu rancangan mengajar adalah mengikut seperti yang dirancangkan.


6) Penggunaan ICT Sangat Membantu
Tak dapat nak dikatakan tidak kepada penggunaan ICT boleh membantu kita untuk menyampaikan pdp dengan lebih berkesan. Tetapi, pada zaman di mana pelajar lebih menguasai ICT berbanding guru-guru ini, maka kita pun kena jauh lebih kreatif dalam bab menggunakan ICT nih! Guru-guru boleh gunakan persembahan powerpoint, tetapi tak perlu digunakan sepanjang pdp. Mungkin mencukupi dengan hanya 5-10 slaid yang menarik dan berwarna warni. Sediakan juga video yang lengkap dengan bunyi untuk menarik perhatian pelajar. Kepelbagaian penggunaan media ini sudah tentu boleh menarik perhatian pelajar. Secara peribadi saya merasakan, penggunaan powerpoint sahaja sudah agak tidak relevan dengan keperluan pelajar sekarang. Jadi guru haruslah menjadi kreatif dan inovatif.

Panduan Memohon Guru Cemerlang (Fasa 3 : Rancangan Mengajar Terbaik)


7) Bahan Bantu Mengajar Terkini dan Berinovasi
Keperluan kepada bahan bantu mengajar memanglah sangat diakui. Jadi jangan lupa gunakan bahan bantu mengajar yang boleh membantu anda untuk merangsang kepada minat pelajar untuk belajar. Jangan bataskan penggunaan kapur tulis putih sahaja semasa mengajar. Kapur berwarna warni juga boleh menjadi bahan bantu mengajar yang menarik jika pandai digunakan dengan betul. Sekiranya bahan bantu mengajar adalah bahan yang sama seperti digunakan pada sebelum-sebelum ini, cubalah kreatif dengan melakukan inovasi kecil pada bahan tersebut, supaya ada lah juga sedikit kelainannya. Banyak yang boleh anda tengok daripada internet untuk rujukan.


8) Selitkan Inovasi Anda
Jika dapat dan sesuai dengan tajuk pembelajaran, maka masukkan lah juga inovasi anda dalam rancangan mengajar anda. Sekurang-kurangnya Nazir boleh juga melihat penggunaan inovasi anda secara langsung dalam pengajaran dan pembelajaran. Di situ juga inovasi anda boleh diukur tahap keberkesanannya dan kesesuaiannya. 


9) Cuba Pada Kelas Sebenar
Saya sangat menggalakkan sekiranya rancangan mengajar yang anda sediakan supaya diuji terlebih dahulu pada pelajar bagi mendapatkan situasi sebenar semasa pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Dalam kebanyakan kes, situasi yang dirancang adalah langsung tak sama dengan situasi sebenar. Maka sekurang-kurangnya, penambahbaikan dapat dilakukan sebelum tibanya hari yang dinantikan, terutamanya dari segi peruntukan masa. Tambahkan lebih banyak aktiviti jika kita selesai mengajar lebih awal. Namun jika masa yang diperuntukkan tidak mencukupi, maka perubahan boleh dibuat pada jumlah hasil pembelajaran atau kecilkan sedikit tempoh soal jawab.

Panduan Memohon Guru Cemerlang (Fasa 3 : Rancangan Mengajar Terbaik)


10) Minta Pendapat Rakan-rakan
Jika anda ada keyakinan yang lebih, tanya-tanya lah jugak pendapat daripada rakan-rakan baik anda. Diingatkan, rakan-rakan baik saja yer! Mintak lah diorang beri pendapat mengenai rancangan mengajar yang anda sediakan. Mana lah tahu, idea diorang mungkin boleh membantu anda untuk menghasilkan rancangan mengajar yang lebih baik. Jika malu sangat untuk menjemput diorang masuk ke kelas, cuba lah rakam buat video. Kemudian tonton semula bagi memperbaiki kelemahan yang anda sendiri rasakan pada sesi pdp anda. InshaAllah dengan demikian, anda boleh menghasilkan rancangan mengajar yang terbaik! 


p/s: Nantikan Tips terakhir dalam Panduan Memohon Guru Cemerlang, iaitu Fasa 4 : Persediaan Pada Hari Pemantauan Nazir.. 

7 ulasan:

  1. tahniah cikgu..perkongsian yang sangat membantu

    BalasPadam
  2. TERIMA KASIH YG TIDAK TERHINGGA

    BalasPadam
  3. sama-sama.. semoga beroleh manfaat yer cikgu

    BalasPadam
  4. skg saya tlh faham...t.kasih cikgu..

    BalasPadam
  5. cikgu...adakah ketika menjadi gc hari ini boleh mengganggu pdp murid..dari segi kualiti...

    BalasPadam
  6. TERIMA KASIH CIKGU BANYAK BENDA/BAHAN YANG DIPELAJARI UNTUK MEMOHON GC, SAYA SALAH SEORANG PEMOHON GC TAHUN NI...TERIMA KASIH CIKGU...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sama-sama.. Semoga mendapat manfaat

      Padam