.

.

KARTiKEL

Sabtu, 7 September 2013

Panduan Memohon Guru Cemerlang (Fasa 4 : Persediaan Menghadapi Nazir)

Dah tentu dalam banyak-banyak persediaan dalam memohon jawatan Guru Cemerlang, hari ini adalah hari yang paling penuh dengan tekanan, debaran dan kejutan. Hari apabila Nazir datang untuk memantau dan membuat penilaian sama ada seseorang guru layak atau tidak untuk diberikan gelaran Guru Cemerlang. Walaubagaimanapun, sekiranya kita telah melakukan persiapan rapi bagi berhadapan dengan sebarang kemungkinan semasa proses penilaian, inshaAllah saya yakin tidak akan menjadi satu masalah besar kepada rakan guru yang memohon Guru Cemerlang. Di sini saya berikan beberapa tips dan panduan untuk menghadapi Nazir pada hari penilaian!

Panduan Memohon Guru Cemerlang (Fasa 4 : Hari Pentaksiran oleh Nazir)



1) Cakna dengan tarikh pemantauan
Untuk beberapa tempoh selepas anda memohon, sila lah cakna (alert) dengan berita-berita pemantauan Guru Cemerlang daripada sekolah lain atau yang berdekatan. Bermakna giliran anda pula lah selepas ini. Jadi, berhubunglah dengan rakan-rakan sekolah lain bertanya khabar. Ini kerana ada Nazir yang datang secara spontan dan terus memantau guru, dengan alasan Guru Cemerlang bersedia pada setiap masa. Namun ada juga yang akan memberitahu minggu untuk pemantauan. Jadi anda perlu bersedia dan jaga-jaga sepanjang seminggu tersebut. Yang paling best, bila Nazir bagitahu hari dia nak datang. So persediaan super rapi dapat dijalankan pada hari tersebut sahaja.


2) Kenali Nazir yang datang memantau
Bagi memudahkan urusan anda dengan Nazir tersebut, cuba dapatkan maklumat mengenai Nazir yang akan datang untuk memantau anda. Dapatkan sedikit biodata diri dan juga maklumat perkhidmatan Nazir tersebut. Ini akan memudahkan anda ketika berurusan dengan Nazir tersebut. Mungkin ada dalam kalangan Nazir yang mempunyai gelaran nama yang tertentu (seperti Dr, YM dan lain-lain), jadi lebih manis jika anda memulakan perbualan dengan gelaran tersebut. Sekurang-kurangnya itu boleh menjadi modal anda untuk memulakan komunikasi yang baik dengan Nazir tersebut.


3) Datang ke sekolah lebih awal
Sebagai persiapan awal anda, sebolehnya datang lebih awal daripada biasa ke sekolah pada hari pemantauan. Ini bagi membolehkan anda untuk berasa lebih selesa dan tidak tergesa-gesa membuat persiapan akhir. Kemaskan juga tempat duduk anda. Manalah tahu Nazir berminat untuk menjenguk tempat duduk anda. Bilik atau kelas yang digunakan untuk mengajar juga dikemaskan. Jika ada papan kenyataan, sila kemaskini dengan maklumat terkini. Sekiranya anda juga merupakan penyelaras kepada bilik khas yang tertentu, pastikan kebersihan dan kekemasan bilik tersebut terjaga. 

Datang ke sekolah lebih awal



4) Sediakan relief class / sit in
Bagi menghadapi sebarang kemungkinan pada hari dipantau oleh Nazir, lebih baik jika anda memohon jasa baik rakan anda untuk relief class atau pun sit-in (di Sarawak) bagi kelas anda sepanjang hari tersebut. Manalah tahu jika Nazir mengambil masa anda sepanjang hari untuk sesi pemantauan di kelas atau semasa temuduga atau semasa memeriksa dokumen anda. Persiapan sebegini membolehkan anda rasa lebih yakin dan fokus dengan keperluan Nazir. 



5) Kumpulkan semua dokumen
Dokumen dan semua bahan yang anda telah sediakan, perlu diletakkan di tempat atau bilik yang boleh diakses oleh anda. Bahan-bahan seperti alat bantu mengajar, fail, folio, dokumentasi dan peralatan yang digunakan untuk pengajaran anda mestilah sudah diletakkan bersama-sama dan tunggu untuk diangkut ke bilik yang menjadi bilik sesi anda dan Nazir. Sekurang-kurangnya, anda juga sudah sedia maklum di mana letaknya bahan-bahan anda ketika mahu mempersembahkan kepada Nazir untuk dinilai. 


6) Isu terkini pendidikan
Untuk sesi temuduga dengan Nazir, persiapkan diri anda dengan isu-isu terkini dalam pendidikan, serta yang berkenaan dengan bidang tugas anda. Sebagai contoh, mungkin pada masa sekarang, isu seperti Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) dan isu Melindungi Masa Instruktional (MMI) perlu diberi perhatian. Selain daripada itu, dasar-dasar terkini kerajaan dalam pendidikan seperti Dasar 1 Murid 1 Sukan, Pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS), Jurulatih Pakar Pembangunan Sekolah (SISC+), Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT), Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM), dan lain-lain yang difikirkan berkaitan perlu juga dititikberatkan. Sekurang-kurangnya, nampaklah juga bahawa anda seorang guru yang seiring dengan arus semasa.


7) Baca Semula Teori Pendidikan
Satu lagi persiapan yang perlu dilakukan bagi menghadapi sesi temuduga Nazir adalah teori-teori pengajaran dan pendidikan. Buka lah semula buku-buku pendidikan anda bagi mengingati semula sekurang-kurangnya nama teori dan juga konsep masing-masing. Antara yang dapat saya sebutkan di sini, Teori Belajar Humanistik, Teori Behaviorisme, Teori Pembelajaran Sosial, Teori Perilaku Bandura, dan Teori Belajar Kognitif (Ausubel : Teori Belajar Bermakna). Selain daripada itu, tambahkan lagi ilmu pendidikan di dada dengan strategi dan kaedah pendekatan pengajaran dan pembelajaran (Sains) seperti Pendekatan Inkuiri, Konstruktivisme, pendekatan Sains, Teknologi dan Masyarakat, pembelajaran Kontekstual dan pembelajaran Masteri.


8) Tatacara Berpakaian
Selain itu, jagalah penampilan anda pada hari tersebut. Tampil dengan gaya yang hebat dan penuh dengan profesionalisma sebagai seorang guru. Gunakan juga tanda nama rasmi bagi pegawai kerajaan, iaitu tanda nama hitam dengan tulisan putih. Bagi guru lelaki, disarankan menggunakan baju kemeja berlengan panjang; dengan bahagian tangan dibutangkan sepenuhnya, serta lengkap bertali leher. Manakala bagi guru perempuan pula, dicadangkan supaya menggunakan baju kurung atau baju kebangsaan semasa hari penilaian. Namun, pada akhirnya, anda jugalah yang menjadi penentu kepada cara pakaian anda pada hari tersebut.

Kod etika pakaian guru


9) Semasa Sesi PdP
Diingatkan juga, semasa sesi penilaian Nazir dalam kelas, buat yang terbaik untuk sesi pengajaran dan pembelajaran anda. Gunakan suara yang jelas dan kuat. Kelas mestilah dikawal dengan baik. Pengajaran mestilah mengikut seperti yang dirancangkan dalam rancangan mengajar. Suasana dalam kelas pula tidak bosan dan penuh dengan aktiviti hands-on. Pengajaran perlulah menarik dan kreatif. Pastikan buku pelajar disemak dengan lengkap. Guru harus menunjukkan keprihatinan terhadap pelajar. Sebut nama pelajar bagi menunjukkan hubungan yang lebih akrab antara guru dan pelajar, serta jangan lupa menegur pelajar secara berhemah sekiranya mereka membuat kesilapan semasa sesi pdp. Pada akhir pembelajaran, jangan lupa juga untuk memberikan kerja rumah sebagai latihan pengkayaan kepada pelajar.


10) Doa dan Tawakal
Akhir kata, setelah usaha yang bersungguh-sungguh anda lakukan, serta diiringi dengan doa, maka usaha terakhir yang boleh kita lakukan adalah dengan berTawakal dan berserah segalanya kepada Yang Maha Esa. Sekiranya anda berada pada jalan yang betul, inshaAllah segalanya akan dipermudahkan. Nazir tidak akan memaklumkan sebarang perkara kepada anda; sama ada anda layak atau tidak untuk dilantik sebagai Guru Cemerlang atau pun di mana kelebihan atau kelemahan yang boleh anda baiki. Jadi jangan memaksa Nazir untuk perkara tersebut. Markah penilaian akan dihantar kepada pihak berkaitan dan seterusnya kesemua markah guru-guru yang dinilai seluruh Malaysia akan disusun. Bagi yang melepasi markah tertentu (berdasarkan kuota subjek dan gred, bukan negeri), tahniah diucapkan. Bagi yang kurang berjaya, cuba lagi pada masa akan datang. 


22 ulasan:

  1. Pengalaman cikgu semasa pemantauan?

    BalasPadam
    Balasan
    1. inshaAllah saya cuba kongsikan nanti.
      semua tips yang diberikan dari fasa1 hingga fasa4 adalah daripada pengalaman saya sebelum, semasa dan selepas dipantau..
      harap bermanfaat.. ;)

      Padam
  2. wah ! tak terfikir pulak nak apply guru cemerlang, tapi tips2 yang sangat2 membantu ;)

    BalasPadam
  3. Alhamdulillah....Saya baru selesai dipantau...terima kasih atas tips2 yg diberikan...

    BalasPadam
    Balasan
    1. ALhamdulillah.. semoga membantu.. Amin..

      Padam
  4. Saya juga baru selesai dipantau..fuh..menggelupur gak dgn soalan2 yg tough2..tp mmg krna bersedia dgn maklumat spt teori pendidikan..terkini ttg PPPM..pdp mesti ada insur KBAT..mohon doa semua utk kejayaan saya..

    BalasPadam
    Balasan
    1. tahniah untuk perkongsian cikgu.. inshaAllah ada rezeki tu

      Padam
  5. Bila dan bagaimana nk tau keputusan 2014?

    BalasPadam
    Balasan
    1. tak tentu juga. bergantung kepada banyak perkara.
      tapi masa saya dulu, dalam april dapat surat.
      lantikan pada februari. so backdated ler

      Padam
    2. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.

      Padam
  6. Apa pendapat cikgu sekiranya tidak semua GC yang ada sekarang hanya manis kata dibibir saja...yang saya temui ramai juga kawan2 GC tidak mendapat kenaikan RM walaupun 1 sen pun tetapi hanya menerima surat kenaikan pangkat ke GC dan ada juga GC yang lansung tidak diiktiraf oleh sekolah dalam ertikata lain tidak akr dengan panduan skop tugas.....

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam Puan Hajjah..

      Jujurnya, walaupun pahit nak didengar, sememangnya saya akui, terdapat segelintir GC yang tidak menjalankan tanggungjawab dengan baik sebagai seorang GC.. walaubagaimanapun x semua yang sebegitu. Ramai lagi yang mmg benar2 layak dan komited dengan tanggungjawab dan amanah berat memikul gelaran GC.

      Saya juga sebenarnya menyokong usaha daripada pihak yang bertanggungjawab sekiranya mahu mengadakan pemeriksaan secara berkala kepada semua GC bagi memastikan kualiti dan perkhidmatan mereka adalah layak dengan apa yang mereka terima. Sekurangnya yang sekadar nak cuba2 sahaja pun akan fikir 2 3 kali sebelum memohon.

      Padam
  7. Dalam ertikata lain GC hanya gah pada nama....

    BalasPadam
  8. Apa pendapat cikgu sekiranya tidak semua GC yang ada sekarang hanya manis kata dibibir saja...yang saya temui ramai juga kawan2 GC tidak mendapat kenaikan RM walaupun 1 sen pun tetapi hanya menerima surat kenaikan pangkat ke GC dan ada juga GC yang lansung tidak diiktiraf oleh sekolah dalam ertikata lain tidak akr dengan panduan skop tugas.....

    BalasPadam
  9. Cikgu Halimi.. biasanya bila iklan GC ni akan keluar..saya selalu ter'miss'

    BalasPadam
    Balasan
    1. selalunya dalam bulan Mei Jun camtu.. inshaAllah saya akan war-warkan jika ada keluar iklan

      Padam
    2. tq cikgu Halimi..or email saya najahabdul@gmail.com

      Padam
  10. Terima kasih cikgu Hailmi atas panduan yang diberikan.

    BalasPadam
  11. Assalamualaikum cikgu..

    RPH 3tahun sebelumnya perlu ditunjukkan kpd nazir tak? Atau RPT saja?

    Tq..

    BalasPadam
  12. salam.saya baru sahaja memohon tetapi agak kelam kabut membuat persediaan mengisi borang kerana hanya tahu di saat saat akhir. Akan try praktik apa yang cikgu terangkan. syukran

    BalasPadam
  13. As slm cikgu...saya cikgu pendidikan khas subjek n suasana agk berbeza dgn cikgu2 aliran perdana..ada tips tak yg blh dikongsi...saya ada apply GC dlm pend khas bru2 ni..tq

    BalasPadam
  14. As slm cikgu...saya cikgu pendidikan khas subjek n suasana agk berbeza dgn cikgu2 aliran perdana..ada tips tak yg blh dikongsi...saya ada apply GC dlm pend khas bru2 ni..tq

    BalasPadam