About Me

Bengkel KBAT Sains Kedah

Kejayaan berlangsungnya Bengkel Penerapan KBAT dan Pentaksiran Sains PT3 Dalam Pengajaran dan Pembelajaran Abad 21 merupakan sesuatu yang cukup membanggakan Panitia Sains Kubang Pasu. Bukan mudah ntuk menganjurkan satu bengkel dalam skala yang besar dengan melibatkan hampir keseluruhan guru-guru Sains dari seluruh daerah dalam Kedah, malah peluang menjemput orang yang paling tepat untuk membicarakan mengenai topik yang ingin dibawa ketengah.





Saya pula rasa cukup teruja kerana berpeluang menyertai pasukan utama yang merupakan sebahagian daripada penggerak berlangsungnya bengkel KBAT ini. Bertindak sebagai Fotografer dan juga salah seorang Fasilitator, kerja saya bermula sebaik sahaja Penceramah, iaitu Puan Hajah Azizah tiba di Kedah. 



Peluang bertemu dengan Puan Hajah Azizah saya gunakan sebaiknya untuk bertanyakan banyak perkara yang saya masih samar-samar. Memang beliau seorang yang sangat tidak lokek untuk berkongsi ilmu. 





Banyak yang nak dikongsi, sehingga saya pula rasa penuh dengan ilmu-ilmu baru yang belum sempat diproses otak saya nih. Ya! Seperti orang-orang hebat lain yang saya kenali, beliau juga merupakan seorang yang sangat positif. Terima kasih banyak Puan atas perkongsian. 


Sesi hari pertama yang berlangsung di Dewan Institut Aminudin Baki Cawangan Utara di Jitra berjalan dengan lancar. Para penggerak utama yang merupakan rakan-rakan guru Sains daripada Panitia Sains Kubang Pasu telah memulakan kerja seawal pagi. Peserta adalah terdiri daripada seorang guru Sains dari setiap sekolah di semua daerah di Kedah.






Manakala sebagai penganjur, 4 orang guru Sains dibenarkan bagi sekolah dalam daerah Kubang Pasu. Khabarnya ada juga daerah yang tidak menghantar guru-guru mereka kerana atas masalah teknikal. Takper.. bukan rezeki mereka.



Pengisian hari pertama adalah lebih tertumpu kepada aspek Pentaksiran, Penilaian dan juga KBAT. Penjelasan daripada Puan Azizah sememangnya membuka mata ramai guru mengenai perkara-perkara di atas. Kegagalan ramai guru mengintegrasikan perkara-perkara tersebut menyebabkan ramai yang merasakan ianya adalah set yang berasingan dan akhirnya akan menyusahkan. 








Hari kedua pula lebih berfokus kepada cara pembinaan soalan KBAT berdasarkan JSU. Peserta bengkel dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil bagi memudahkan lagi proses pembinaan soalan. Setiap kumpulan juga dibimbing oleh fasilitator yang sememangnya berpengalaman luas dalam pembinaan item.











Sesi kemudiannya disambung kepada sesi pembentangan dan pemurnian soalan-soalan yang telah dibina. Perbincangan yang berlangsung di dalam dewan ini berjaya membuka mata dan mennjawab banyak persoalan rakan guru dalam membina soalan yang berkualiti bagi menilai murid masing-masing.


Dua hari berkampung di IAB Utara memang merupakan pengalaman yang memberi banyak manfaat kepada saya sebagai seorang guru Sains. Peluang bertemu dengan ramai lagi rakan guru Sains di Kedah serta bertukar-tukar fikiran memberi banyak info dan maklumat yang berguna kepada saya. Apatah lagi, ini merupakan tahun pertama saya berada di pendidikan Kedah, maka peluang sebegini tentulah sesuatu yang menguntungkan saya.





Dari segi kandungan bengkel pula sudah tentu memberikan banyak manfaat kepada saya. Malah juga kepada guru-guru Sains lain yang hadir sebagai peserta. Perkara seperti ciri-ciri item KBAT, Contoh Kata Tugas Soalan Peperiksaan dan Bagaimana Mengajar Pelajar Berfikir Secara KBAT merupakan contoh pengisian yang sangat bermakna dan bermanfaat. Pengisian yang baik seperti ini, jika diamalkan, inshaAllah akan memberikan impak yang lebih besar kepada anak-anak murid kita, dan juga dunia pendidikan Malaysia khususnya. 


Semoga ilmu yang diperolehi sepanjang berbengkel 2 hari ini mendapat keberkatan daripada Yang Maha Esa. Jutaan terima kasih kepada Penceramah, Puan Hajah Azizah yang sentiasa sudi berkongsi ilmu. Dan Tahniah juga kepada team Panitia Sains Kubang Pasu dengan kejayaan hebat menganjurkan Bengkel KBAT untuk guru-guru Sains negeri Kedah ini! Tahniah semua!


Bagi yang berminat untuk melihat lebih banyak gambar semasa bengkel, anda boleh klik HARI 01 dan HARI 02




# Sedih juga bila dengar isi-isi penting yang disampaikan oleh Puan Azizah rupanya diubahsuai isi kandungannya dan diviralkan di facebook dan whatsapp. Beberapa perkara seperti hal subjek lain dan penandaan langsung tak  disentuh, tetapi juga dimasukkan ke dalam perkongsian tersebut. 

Lebih parah pula apabila ada pihak yang cuba mengambil kesempatan dengan mengambil keuntungan daripada perkara tersebut. Dahsyat. Semoga Allah memelihara kita semua. Amin!



Catat Ulasan

0 Ulasan