About Me

Seminar STEM 2015 di RECSAM Pulau Pinang

Alhamdulillah saya telah diberi peluang untuk menghadiri satu Seminar yang saya rasakan sangat bagus untuk saya menambah ilmu dalam bidang perguruan sekarang, iaitu Seminar STEM 2015 yang berlangsung di RECSAM - SEAMEO, Pulau Pinang. Juga peluang untuk menambah kenalan baru dalam kalangan dunia pendidik di Kedah, dan juga di Malaysia amnya. 





JPN Kedah dan JPN Pulau Pinang mengambil langkah progresif dalam menyokong perkembangan terkini dalam dunia pendidikan terutamanya yang berkaitan dengan subjek Sains dan Matematik. Bagi dua JPN ini, seramai 2 orang guru telah dipilih dari setiap PPD dalam negeri ini bagi menghadiri Seminar STEM ini. Yuran seminar adalah ditanggung sepenuhnya oleh pihak JPN. 

Namun bagi guru lain yang berminat, boleh juga menyertai Seminar STEM ini, tetapi dengan mengeluarkan kos sendiri untuk pengangkutan, penginapan (RM190) dan juga yuran penyertaan (RM270). So, untuk saya, terima kasih banyak-banyak kepada PPD Kubang Pasu dan JPN Kedah! 





Sememang nya saya agak ternanti pengisian daripada Seminar STEM ini. Ini kerana secara peribadi saya merasakan STEM ini antara perkara yang bakal dilaksanakan juga di Malaysia dalam usaha memperkembangkan lagi Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dalam kalangan guru dan murid. 

Ternyata telahan saya ada benarnya. Perbincangan tak formal dengan beberapa individu yang terlibat dalam pendidikan peringkat rendah dan tinggi di sini, rata-rata bersetuju perkara ini sedang diperbincangkan dengan aktifnya dan menunggu persediaan rapi untuk dilaksanakan dalam tempoh mendatang. Maka tak rugi jika kita golongan pendidik awal-awal lagi menyediakan diri dalam mentransformasikan sistem pendidikan Malaysia.


Antara penceramah utama yang dijemput dalam Seminar STEM ini adalah Prof Dr Lynn D. Dierking dari Oregon State University yang memang terkenal dengan kajian yang berkaitan dengan penerapan STEM dalam kalangan murid. Selain itu, Prof Dr Lilia Halim, profesor Sains Pendidikan daripada Universiti Kebangsaan Malaysia yang juga merupakan pakar berkaitan dengan pembangunan profesionalisme guru, dan kaedah mengajar terbaik. 









Seorang lagi penceramah utama adalah Dr Noor Zaila Wahab, Penolong Pengarah di Bahagian Pendidikan Guru, KPM yang bertanggungjawab merangka dasar dan polisi yang berkaitan dengan perkembangan profesionalisme perguruan di Malaysia.

Disebabkan ini adalah Seminar, maka kebanyakkan penceramah mengongsikan dapatan mereka daripada kajian yang mereka lakukan mengenai meningkatkan kesedaran mengenai pendidikan STEM sebagai agenda nasional. Ada yang bersangkut paut dengan pendidikan sekolah, dan ada juga yang fokusnya hanya kepada peringkat universiti ke atas.

Walaubagaimanapun, saya lebih rasa tertarik dan berminat untuk mendengar sendiri daripada Dr Noor Zaila Wahab, yang mewakili KPM. Dalam sesinya, Dr Noor Zaila sempat berkongsikan cabaran yang bakal dihadapi dalam melaksanakan STEM di Malaysia. Antaranya paradoks terhadap STEM, transformasi kurikulum dan juga transformasi kepada guru itu sendiri. 





Pengajaran STEM dalam kelas boleh dilaksanakan dengan mengintegrasikan teknologi, mencakupi disiplin di luar dan di dalam bidang STEM, hubungkait dengan dunia sebenar, tugasan yang berasaskan kepada projek (project-based learning) dan juga pelaksanaan KBAT bagi meningkatkan pencapaian dalam PISA dan TIMSS.


Perkembangan STEM di Malaysia seharusnya dibahagi kepada 5 peringkat, iaitu :

1) Pra Sekolah
Pelajar dididik dan juga diberi inspirasi untuk memupuk dan menanam minat dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik

2) Sekolah Rendah
Pelajar dididik bagi membina asas STEM yang kukuh bagi membolehkan mereka untuk membuat hubungan antara bidang-bidang tersebut

3) Sekolah Menengah 
Di peringkat ini, pelajar diasuh bagi membangunkan dan membina kemahiran STEM mereka dengan menggunakan asas yang dipelajari semasa sekolah rendah

4) Pre-Tertiary
Pada peringkat ini pula, penekanan adalah lebih kepada memajukan lagi kemahiran STEM ini kepada peringkat yang lebih tinggi. Bukan hanya sekadar menggunakan, sebaliknya mencipta!

5) Pendidikan Tinggi
Peringkat ini disediakan dengan cabaran dan persediaan bagi membolehkan pelaksanaan STEM ini dilaksanakan secara berterusan dan seterbaik mungkin.


Seminar pada hari kedua pula lebih memfokuskan kepada pendedahan sebenar kepada melaksanakan pendidikan STEM di sekolah. Ini part yang menarik minat dan semangat saya untuk betul-betul fokus semasa sesi seminar. Lebih menarik apabila disampaikan oleh Dr Hideo Tanaka dari Jepun yang sangat menghiburkan. Tengok contoh-contoh projek yang boleh dilaksanakan melalui pendidikan STEM ini.




















Selain itu juga kami diberi peluang menggunakan satu peralatan bagi menambah minat pelajar dalam STEM. Peralatan berbentuk seperti sebuah kalkulator itu dihasilkan oleh sebuah syarikat bernama Texas Instrument. Dengan graf yang diberikan, setiap kumpulan perlu meramalkan apa yang berlaku kepada kereta mainan tersebut berdasarkan corak yang terdapat pada graf tersebut. Ini pun best. Happening sangat. Siap main tipu lagi! :D







Beberapa kaunter jualan di buka di luar dewan seminar bagi memperagakan buku-buku dan juga jurnal yang dijilidkan daripada beberapa siri seminar dan juga konvensyen. Pihak Texas Instrument juga membuka kaunter bagi demo dan jualan produk kalkulator mereka tersebut. Saya pun siap beli sebuah buku terbitan SEAMEO RECSAM dengan judul "Learning Science : Beyond the Classroom". Pun ada kena mengena dengan pendidikan STEM








Selesai majlis penutupan, sempat juga saya dan Cikgu Ardi, rakan guru yang dikenali semasa Seminar STEM ini bergambar kenangan dengan Tuan Pengarah RECSAM SEAMEO, Dr Mohd Johan Zakaria,  Prof Dr Lynn D Dierking dan juga Dr Hideo Nakano. Sempoi jer semua orang nya. 







Niat saya nak bertemu dengan pensyarah kesayangan semasa menuntut di M4P atau sekarang lebih dikenali sebagai I4P juga tak kesampaian. Ingatkan sempat nak jumpa balik dengan Encik Azmi dan juga Cik Norizan yang memang kesayangan kami pelajar KPLI - LIKM 2006. 





Pagar pun dah tutup, sempat snap dari luar saja. Tapi, inshaAllah. Ada masa ke RECSAM lagi, saya pasti akan datang jumpa mereka dua balik. Nak ucapkan terima kasih. Terima kasih sebab jadikan saya cikgu! :D


Catat Ulasan

1 Ulasan

  1. salam.nak tanya..seminar ni anjuran siapa ye? adakah agensi swasta yang menguruskan kursus2 seperti ini?

    BalasPadam