.

.

KARTiKEL

Selasa, 22 April 2014

Kenyataan Akhbar Pelaksanaan Pentaksiran Tingkatan 3 PT3

Hari nih barulah KPM mula mengeluarkan kenyataan akhbar berkenaan dengan pelaksanaan Pentaksiran Tingkatan 3 PT3 yang selama ini menjadi misteri bagi kebanyakan yang ternanti-nanti bagaimana mekanismanya. Jom kita baca dulu kenyataan akhbar tersebut.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) merujuk kepada akhbar tempatan mengenai pelaksanaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) yang disiarkan pada 16 April 2014.
Menerusi PBS, Penilaian Menengah Rendah (PMR) di Tingkatan 3 akan digantikan dengan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3). Ini bermakna tiada peperiksaan berpusat untuk murid-murid Tingkatan 3 mulai 2014. 
Kenyataan Akhbar Pelaksanaan Pentaksiran Tingkatan 3 PT3
PT3 merupakan penilaian sumatif di peringkat pendidikan menengah rendah bagi melihat pencapaian akademik murid. Melalui PT3, pihak sekolah akan mentadbir pentaksiran, mentaksir dan memberi skor terhadap respon (jawapan) murid berpandukan instrumen dan panduan penskoran yang setara (standardised) yang disediakan oleh pihak Lembaga Peperiksaan (LP).

LP dan pentaksir luar akan melaksanakan verifikasi dan moderasi. Verifikasi ialah proses menentusahkan markah yang diperoleh murid adalah markah yang selayaknya diterima. Moderasi pula ialah suatu proses menyelaras markah yang diberi oleh beberapa orang pemeriksa ke atas hasil kerja murid bagi mendapatkan satu markah yang dipersetujui bersama. Persetujuan ini adalah berdasarkan panduan penskoran yang disediakan dan merupakan prosedur untuk memastikan ketekalan (konsistensi) pemberian markah antara pemeriksa.

PT3 bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris akan dilaksanakan dengan menggunakan instrumen pentaksiran ujian bertulis dan ujian lisan. Mata pelajaran Science, Mathematics, Pendidikan Islam, Kemahiran Hidup Bersepadu, Bahasa Arab, Bahasa Cina, Bahasa Tamil, Bahasa Iban dan Bahasa Kadazandusun akan menggunakan instrumen pentaksiran ujian bertulis sahaja. Manakala mata pelajaran Sejarah dan Geografi pula akan ditaksir menggunakan pelbagai instrumen seperti tugasan bertulis, projek, kajian lapangan dan kajian kes. 

PT3 dilaksanakan mengikut tempoh pelaksanaan yang ditetapkan oleh Lembaga Peperiksaan (LP) dan jadual disediakan oleh pihak sekolah. Garis panduan pelaksanaan PT3 boleh dimuat turun dari portal Lembaga Peperiksaan www.moe.gov.my/lp

PT3 ini juga akan digunakan sebagai asas untuk menentukan kemasukan murid-murid ke Tingkatan 4 sama ada di Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) termasuk Sekolah Menengah Teknik (SMT) dan Kolej Vokasional (KV). Di samping PT3, kemasukan ke sekolah-sekolah tersebut juga menggunakan Ujian Psikometrik bagi memastikan pemilihan dan penempatan murid bersesuaian dengan kemampuan dan minat mereka.

Sumber

Diharapkan dengan adanya sedikit info yang sebegini mampu memberi pencerahan kepada ibubapa, para guru dan murid-murid sekelian. Sekalipun maklumat yang diberi belum jelas sejelas jelasnya, namun ada sedikit sinar bagi mula mencorak perancangan untuk masa terdekat ini.

Selamat maju jaya saya ucapkan!


2 ulasan:

  1. Pencerahan yang sangat membantu..sebelum ni pun sedikit tau tapi banyak tak tahu (sebab tak berminat)...

    BalasPadam
  2. guanerr nok wakk eyyy...lpah satu2 saloh wakkk...letihh wuiii

    BalasPadam