Di sini saya kongsikan beberapa tips teknik menjawab soalan Sains PT3 yang mungkin boleh membantu adik-adik pelajar ketika menjawab soalan. Ada antara tipsnya yang mungkin sudah adik-adik tahu, namun penekanan sebegini inshaAllah mampu membolehkan adik-adik pelajar lebih berhati-hati semasa menjawab soalan. 



8 Tips Menjawab Soalan Sains PT3


Tips Menjawab Soalan Sains PT3 ini juga ada saya sediakan dalam versi video. Bagi yang mempunyai akses internet yang baik, boleh tonton video tersebut. Bagi yang dengan sambungan internet yang kurang bagus, adik-adik boleh baca dulu tips-tips ini, dan jika ada masa, boleh tonton video lepas nih.





Jom kita tengok satu persatu, tips tersebut.


Tips 01 : Fahami Format Soalan
Ini adalah perkara utama yang perlu adik-adik buat, sebelum cuba menjawab soalan Sains PT3. Mesti faham dan kenal dulu dengan format soalan. Format soalan Sains PT3 terdiri daripada 14 soalan, dengan kesemuanya berjumlah 100 markah. Soalan 1 hingga 10 terdiri daripada 6 markah setiap satunya. Manakala soalan 11 hingga 14 pula merupakan soalan berbentuk KBAT dengan 10 markah setiap satunya.

Soalan terdiri daripada soalan objektif dan soalan subjektif. Objektif di sini tidak bermaksud soalan disertakan dengan pilihan jawapan A B C dan D. Tetapi objektif juga bermaksud jawapan ada disertakan dalam soalan. Sebagai contoh soalan yang berbentuk label dan padankan. Manakala soalan yang berbentuk subjektif pula ada soalan tanpa pilihan jawapan. Maknanya pelajar perlu memikirkan jawapan sendiri yang sesuai dan tepat dengan kehendak soalan.





Tips 02 : Arahan Soalan
Sesudah adik-adik pelajar memahami format atau bentuk soalan, maka adik-adik kena faham pula mengenai arahan soalan. Selalunya arahan soalan atau kehendak soalan ini ada pada awal soalan. Soalan boleh ditanya dalam pelbagai bentuk dan cara. Maka adalah amat penting untuk menjawab soalan dengan memberikan jawapan yang mengikut kehendak seperti yang dikehendaki soalan.

Soalan berbentuk seperti 'Wajarkan', 'Beri penjelasan', 'Jelaskan', 'Huraikan' dan 'Terangkan' mengkehendaki pelajar memberikan jawapan beserta penerangan bagi memberi lebih banyak maklumat yang boleh menyokong jawapan. 

Soalan berbentuk seperti 'Nyatakan', 'Labelkan' dan 'Padankan' pula adalah soalan yang berbentuk lebih direct dan mengkehendaki pelajar memberi jawapan yang tepat dan terus menjawab persoalan. 

Manakala soalan berbentuk seperti 'Cadangkan','Ramalkan' adalah soalan yang mengkehendaki pelajar untuk memberi idea baru berdasarkan kepada perkara yang sudah ada, atau pun perkara yang mungkin akan berlaku. Tekaan rambang ini haruslah munasabah dan diterima akal serta disertakan dengan hujah bernas.



Tips 03 : Kenalpasti Kata Kunci
Setiap soalan pasti akan mempunyai kata kunci yang membantu pelajar memberi jawapan yang tepat. Saya cadangkan adik-adik pelajar gariskan kata kunci utama yang ada pada soalan. Ini bagi membolehkan adik-adik pelajar tidak tertinggal dan lebih jelas dengan persoalan dan perkara utama dalam soalan.

Bila memberi jawapan, pastikan juga persoalan pada kata kunci tadi terjawab. Dalam sesetengah soalan, kata kunci itu sendiri perlu dimasukkan dalam jawapan. Sebagai contoh soalan mengenai perbandingan. 



"Nyatakan perbezaan ketinggian pada Ali dan Abu?"


Ada 3 kata kunci bagi soalan di atas. 1.Ketinggian, 2.Ali dan 3.Abu. Ini juga bermakna dalam jawapan anda, 3 kata kunci ini perlu ada. Maka jawapan yang paling tepat bagi menjawab soalan di atas adalah "Ali lebih tinggi daripada Abu".



Tips 04 : Markah Sebagai Panduan
Markah yang ada pada soalan juga boleh membantu adik-adik untuk menjawab soalan. Lebih besar markah nya, bermakna lebih banyak lah isi penting dan penjelasan yang perlu disertakan.

Sebagai contoh, untuk soalan dengan hanya 1 markah, ini bermaksud jawapan nya selalunya tidak lah panjang dan perlu huraian. Maka adik-adik tak perlu buang masa dengan menulis jawapan yang panjang-panjang. 

Manakala bagi soalan dengan 2 markah, ini juga bermaksud ada 2 isi penting yang perlu dinyatakan. 1 menjawab persoalan utama, dan 1 lagi menghuraikan isi yang pertama. Begitu juga dengan soalan lain dengan 3 atau 4 markah.



Tips 05 : Beserta Penerangan
Seperti yang saya huraikan pada Tips 4, setiap jawapan perlulah disertakan dengan penerangan. adang-kadang jawapan yang terlalu pendek yang diberikan oleh pelajar boleh mengelirukan para pemeriksa. Penerangan ini boleh membantu pemeriksa kertas jawapan untuk memahami maksud sebenar jawapan. 

Luangkan sedikit masa menulis lebih panjang untuk menjelaskan lagi jawapan anda. KMaka langkah ini adalah perlu diambilkira bagi memberikan jawapan yang terbaik.



Tips 06 : Kemahiran Berfikir Aras Tinggi
Seperti yang sudah diketahui, elemen dan unsur KBAT (Kemahiran Berfikir Aras Tinggi) akan mula diterapkan dalam kertas soalan Sains PT3. Sebanyak mana peratusannya, tak pula saya pasti. Yang pasti, memang ada soalan berunsur KBAT. Kebanyakkan soalan berunsur KBAT berfokus kepada 4 soalan terakhir, bermula daripada soalan 11 hingga 14.

Bagi menjawab soalan yang berbentuk KBAT, pelajar perlulah membaca petikan atau esei yang diberikan berulang kali. Setelah difahami kandungan dalam petikan tersebut, jawab soalan yang diberikan dengan merujuk kepada petikan tadi. Selalunya jawapan yang diminta oleh soalan juga terkandungan dalam petikan. Cuma pelajar perlu pandai mengenalpasti jawapan yang boleh dipindah keluar daripada petikan.

Jawapan yang berunsur KBAT juga menitikberatkan kepada pemikiran di luar konteks kebiasaan. Maka selagi jawapan yang diberikan adalah logik, munasabah dan bertepatan dengan hukum alam, maka jawapan tersebut boleh dikira sebagai betul. 

Jika pelajar keputusan idea, boleh juga dikaitkan dengan fenomena yang berlaku seharian yang dialami sendiri oleh pelajar. Pelajar boleh mengaitkan perkara seharian yang dilakukan selagi bertepatan dengan konsep sains yang diminta. 



Tips 07 : Konsep dan Prinsip Sains
Bagi menggalakkan pemikiran KBAT, maka pelajar perlu lah memberi penekanan kepada konsep dan prinsip Sains. Soalan kini tidak lagi terus menjurus kepada jawapan, sebaliknya meminta pelajar untuk menggunakan otak dan berfikir memberi penjelasan. Maka seharusnya lah konsep dan prinsip Sains diberi keutamaan.

Saya senaraikan sedikit beberapa konsep dan prinsip Sains yang perlu diberi penekanan oleh pelajar. Sila rujuk senarai di bawah.

1. Ketumpatan
2. Mekanisma pernafasan (tarik dan hembus)
3. Peneutralan asid dan alkali
4. Permukaan putih dan hitam
5. Pemindahan haba
6. Serap dan bebas haba
7. Proses pencernaan makanan
8. Mekanisma penglihatan dan pendengaran
9. Kestabilan
10. Konsep tuas
11. Proses persenyawaan
12. Peredaran darah
13. Interaksi organisma hidup
14. Konsep tekanan udara
15. Tenaga dan perubahan
16. Litar selari dan litar bersiri
17. Transformer

Pelajar tidak boleh hanya bergantung kepada senarai di atas sahaja. Ulangkaji semua topik dari Tingkatan 1 2 dan 3. Yang saya senaraikan adalah konsep dan prinsip Sains yang perlu diberi keutamaan. Sama ada keluar atau tak dalam Soalan Sains PT3, wallahualam.





Tips 08 : Fokus Tingkatan 2 dan 3
Oleh sebab terdapat bab yang lebih banyak dan lebih susah pada Tingkatan 2 dan 3, maka saya sarankan adik-adik pelajar memberi keutamaan kepada bab daripada tingkatan berkenaan. Ini kerana pada Tingkatan 1, pelajar hanya mempelajari 7 bab sahaja. Kebanyakkannya adalah topik yang lebih mudah.

Berbanding bab-bab yang dipelajari semasa dalam Tingkatan 2 dan 3. Masing-masing dengan 10 bab, dan dengan topik yang lebih susah. Maka patut lah bab daripada kedua tingkatan ini diberi lebih penekanan. 



Semoga video dan entri perkongsian ini dapat memberi manfaat dan juga membantu adik-adik pelajar dalam menjawab Soalan Sains PT3 yang bakal berlangsung tak lama lagi! Cikgu doakan yang terbaik buat semua calon-calon PT3 pada tahun ini. Amin!

p/s: Terima kasih banyak juga buat semua anak pelajar saya yang cantik-cantik, yang sudi menjayakan video penggambaran "Tips Menjawab Soalan Sains PT3".