.

.

KARTiKEL

Ahad, 29 Jun 2014

Bengkel Bikin Video LRK 2014 di Sibu

Perancangan untuk Bengkel Pembikinan Video di sekolah saya oleh pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) ini adalah bermula secara tak sengaja selepas berakhirnya Kem Pembangunan Remaja Kreatif di KL masa cuti sekolah yang lalu. Bermula daripada cakap-cakap kedai kopi, akhirnya berubah kepada perkara serius.

Bengkel Bikin Video LRK 2014 di Sibu

Segalanya berlaku dengan begitu pantas, sampai saya pun dah tak ingat di mana bermula. Peringkat awal saya mendapat maklum daripada MCMC bahawa Bengkel ini akan diadakan di sekolah bagi peringkat negeri Sarawak, maka saya pun mula menyediakan kertas kerja dan penyediaan tempat. 

Beberapa sekolah di sekitar Sibu, atau ada kenalan dimaklumkan melalui Facebook dan Whatsapp. Malah ada beberapa sekolah di sekitar Sibu, seperti Tatau, Bintangor, Mukah, dan Song yang dihubungi terus oleh saya bagi mendapatkan maklum balas mereka. Hampir 6 sekolah menyatakan persetujuan untuk menghantar pasukan.

Surat jemputan diedarkan lambat sedikit iaitu pada petang Khamis, sedangkan bengkel tersebut berlangsung pada hari Isnin. Kelewatan ini adalah kerana menunggu tarikh yang dipersetujui oleh pihak pengurusan MCMC. Memandangkan projek ini juga adalah cubaan pertama yang diadakan seumpamanya di Malaysia, dan dirancang pada saat akhir, maka teruskan juga segala dengan sebaik yang mungkin. Banyak urusan menjemput sekolah lain dilakukan oleh pihak MCMC Kuching juga. TQ untuk Scott!

Di Sibu pula saya uruskan perkara tersebut dengan pihak PPD Sibu. Mujurlah pegawai yang bertanggungjawab, Encik Oskar Gandik Stannie sangat-sangat membantu dalam menguruskan hal-hal jemputan. Sampai kena balik kol 5.30 petang! Terima kasih banyak-banyak sebab membantu.

Pada hari Isnin, maka bermula lah Bengkel seperti yang diharapkan. Alhamdulillah, sebanyak 10 buah sekolah telah mengesahkan penyertaan mereka, dengan melibatkan 20 buah kumpulan. Sasaran adalah 150 orang, tetapi berjaya kumpulkan sampai 80 orang pun dah satu kejayaan bagi saya. Terutamanya pada saat-saat akhir yang macam nih.

Pendaftaran para peserta

Antara sekolah yang berjaya hadir ke Bengkel ini adalah SMK Sibu Jaya, SMK Bawang Assan, SMK Kampung Nangka, SMK Bukit Assek, SMK Bukit Lima, SMK Chung Hua, SMK Tung Hua, SMK Tatau dari Bintulu, SMK Song dari Song dan sekolah saya sendiri, SMK Luar Bandar No.1 Sibu.

Pendaftaran dilakukan oleh pegawai MCMC Sibu, Cik Yana dan juga fasilitator dari ASWARA, Farah. Pegawai MCMC dari Cyberjaya yang datang ke bengkel pula adalah, Encik Taher Musa, iaitu orang kuat Liga Remaja Kreatif. Seorang lagi fasilitator ASWARA adalah Syafiq. Kedua-dua mereka adalah pelajar tahun akhir Fakulti Filem. Best kan?.

Sebahagian daripada peserta yang mengikuti Bengkel Pembikinan Filem Pendek di Sibu

Sesi awal dimulakan dengan Seminar Pembangunan Kandungan Kreatif di Malaysia. Baru lah saya tahu rupa-rupanya, pihak MCMC ada menawarkan Biasiswa MCMC kepada pelajar yang sambung belajar di KRU Academy dan Point College dalam jurusan industri kreatif. Anda boleh cuba mohon yer kalau berminat.

Dalam pada itu, sempat juga Encik Taher Musa mempromosikan Pertandingan Liga Remaja Kreatif 2014 kepada para peserta bengkel. Macam biasa, hadiah-hadiah hebat yang bakal dimenangi dah tentu berjaya menarik minat pelajar yang menyertainya. Sapa yang tak nak iPhone baru kan?..

En Tahir Musa (MCMC) berkongsikan info mengenai Pertandingan Liga Remaja Kreatif 2014

Bengkel diteruskan dengan sesi Pengarahan dan Pembikinan Video oleh abang Syafiq dan kakak Farah. Sebelum bermula sesi, maka dilakukan sedikit regangan bagi merilekskan para pelajar. Gembira pelajar melakukan aktiviti tersebut. Baru lah nampak mula ada semangat dan keterujaan untuk mengikuti bengkel.

Abang Syafiq dan Kak Farah buat aktiviti meregangkan badan

Sesi diteruskan dengan tayangan slaidshow dan tayangan filem pendek yang bertajuk GMIE dan Orked. Kedua-dua filem pendek tersebut dihasilkan oleh pelajar ASWARA sebagai Penilaian Tahun Akhir (PeTA) mereka, dan lebih menarik sebab kedua-dua fasi tadi terlibat sebagai orang belakang tabir pembikinan filem pendek tersebut. Kak Farah sebagai Pengarah Seni dan Abang Syafiq sebagai Pengarah Fotografi. Hebat kan hasil mereka?

Kak Farah berkongsi pengalaman dalam bidang penghasilan filem pendek

Kedua-dua fasi saling memberikan beberapa tips mengenai bidang pengarahan, penulisan skrip, penggambaran, dan sedikit tips editing. Memang menarik dan banyak tips yang berguna dikongsikan. Nampak peserta bengkel sangat memberikan tumpuan semasa bengkel berlangsung. Yer lah, bukan senang nak dapatkan peluang yang sebegini. Maka ilmu yang dicurah perlu dikutip sebaik mungkin.

Sesi seminar pembangunan industri kreatif

Pada akhir sesi, peserta dikehendaki menghasilkan satu skrip cerita yang berkaitan dengan "Jalur Lebar Untuk Pendidikan", iaitu tema bagi Liga Remaja Kreatif tahun ini. Ini kerana video yang dihasilkan hari ini akan digunakan sebagai penyertaan bagi pertandingan tersebut. Maka berlumba-lumba lah para peserta berbincang mengenai skrip yang cuba dihasilkan.


Selesai makan tengahari, maka para pelajar mula bergerak ke sekitar sekolah bagi merakamkan video untuk filem mereka. Kecoh juga tengok mereka bergerak ke sana sini bagi mendapatkan hasil yang terbaik. Bersungguh-sungguh. Malah ada yang nampak lebih bersemangat berbanding masa dengar ceramah tadi.

Kumpulan pelajar dalam proses penggambaran (shooting)

Pelajar diberikan masa lebih kurang 1 hingga 2 jam bagi sesi penggambaran. Kemudian masa seterusnya perlu berada di dewan bagi sesi suntingan. Semuanya berjalan dengan lancar seperti yang diharapkan. Namun ada juga beberapa kumpulan yang mengambil masa lebih panjang semasa proses penggambaran.

Peserta bengkel semasa proses suntingan

Plan asal adalah setiap kumpulan perlu menyiapkan video tersebut, termasuk muatnaik ke laman web rasmi Liga Remaja Kreatif sebagai penyertaan dari sekolah masing-masing. Namun atas beberapa kekangan, maka perkara tersebut tidak dapat dilaksanakan. 

Walaubagaimanapun, saya sebenarnya sangat berpuas hati dengan penganjuran ini yang dapat membuka mata dan memberi lebih banyak pendedahan kepada para pelajar di Sibu khususnya mengenai bidang industri kreatif ini. Sayang juga sebab masa untuk tempoh jemputan adalah sangat pendek. Kalau lebih panjang, dah tentu lebih banyak sekolah yang berminat untuk turut serta.

Peserta Bengkel Bikin Video LRK 2014 di Sibu

Terima kasih buat MCMC, Encik Taher Musa yang berusaha untuk membawa bengkel ini ke bumi Sibu. Terima kasih juga buat pelajar ASWARA, Syafiq dan Farah yang sudi berkongsi ilmu dengan para pelajar di sini. 

Cikgu Hailmi bersama orang kuat Liga Remaja Kreatif, En Tahir Musa dan pelajar ASWARA, Syafiq dan Farah

Apa-apa pun saya berharap agar ada lebih banyak bakat-bakat baru dalam bidang penghasilan video di Sarawak dengan adanya bengkel ini. Mana tahu dengan adanya bengkel ini, majlis penyampaian hadiah peringkat negeri Sarawak nanti pun akan berlangsung di Sibu!



3 ulasan:

  1. cikgu-cikgu semakin kreatif untuk memberikan anak murid ilmu yang berguna..semuanya sudah high tech yea..tahniah cikgu untuk usaha ni

    BalasPadam
  2. Mohon pgrm ni dibuat di Kluang Johor.. sy nk sertai..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Program yang semacam nih dah dibuat untuk negeri Johor, dibuat kat SMK Semenchu. rasanya sebelum atau masa awal puasa arituh..

      Padam