About Me

Isu Pendidikan dan Kontroversi Sepanjang Tahun 2015

Isu pendidikan dan kontroversi dalam dunia pendidikan di negara Malaysia sepanjang tahun 2015. Jika tahun 2014, isu-isu seperti PT3, UPSR bocor dan juga kes buli yang berlanjutan, tahun 2015 pula banyak dengan isu bencana, dasar baru Kementerian dan penghargaan. Macam biasa, isu guru dan pendidikan memang menjadi perhatian masyarakat umum di Malaysia. Maka jom kita soroti kembali isu-isu pendidikan dan kontroversi sepanjang tahun 2015. 








Banjir
Awal persekolahan 2015 dibuka dengan kisah banjir besar yang melanda beberapa negeri di Malaysia. Sabah, Sarawak, Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu dan Pahang adalah antara beberapa negeri yang diuji pada tahun ini. Tapi serasanya, negeri yang menerima kesan paling besar tentu lah negeri Kelantan. 


SK Kuala Nal yang rosak teruk selepas banjir

Selain menyebabkan kemusnahan yang teruk, bencana juga menyebabkan banyak fasiliti sekolah musnah teruk, sehingga sesi persekolahan 2015 terpaksa ditunda. Beberapa liputan daripada sekolah yang terlibat cukup memilukan hati apabila melihat buku sekolah, meja dan kerusi yang rosak teruk diselaputi lumpur merah.



Isu Rotan

Isu rotan kembali panas apabila dikeluarkan kenyataan bahawa merotan anak adalah suatu kesalahan. Kenyataan media ini menarik ramai orang untuk memberikan pendapat yang berbeza. Majoritinya tidak ramai yang menyokong dengan pelaksanaan ini, sehingga keluar kenyataan, "Jangan samakan mendidik dengan mendera".


Hukuman rotan untuk anak adalah satu kesalahan

Ada juga yang mengatakan statement tersebut disalahertikan. Walau apa pun alasan yang digunakan oleh pihak yang menyokong dan menentang, saya yakin pendekatan rotan masih lagi relevan dalam mendidik anak. Apatah lagi Islam juga memasukkan elemen merotan anak bagi tujuan mendidik, dengan garis panduan yang dinyatakan dengan jelas.



Pembelajaran Abad ke 21

Antara perkara yang paling disebut untuk tahun 2015 ini adalah Pembelajaran Abad ke 21. Rasanya giat dipromosikan pada tahun ini bermula dengan susunatur kelas abad 21, kemahiran yang perlu pelajar abad ke 21 kuasai dan juga ciri-ciri pembelajaran abad 21. Beberapa sekolah telah dipilih sebagai sekolah penanda aras bagi abad 21. 


Susunatur kelas abad ke 21

Antara kekangan yang sering diutarakan oleh para guru berkenaan dengan perkara ini adalah fasiliti yang tidak menyokong serta bilangan murid yang terlalu ramai dalam sesuatu kelas. Dengan susunan yang seperti dicadangkan, agak mustahil untuk dipraktikkan di kelas dengan 35-45 orang pelajar.




Ranking Malaysia
Pada tahun ini juga sekali lagi sistem pendidikan Malaysia menerima tamparan selepas ranking dikeluarkan oleh Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD) menunjukkan Malaysia hanya mampu berada di tangga ke 52 daripada 72 buah negara yang dinilai menerusi Ujian TIMSS dan PISA


Transformasi pendidikan Malaysia yang akan melonjakkan sistem pendidikan kita di mata dunia

Negara-negara dengan asas pendidikan Confucian pula masih unggul berada di tangga teratas, seperti Singapura, Jepun, Korea dan China. Manakala negara Vietnam pun sudah mula melonjak ke tangga 16 untuk Matematik dan tangga ke-7 untuk Sains. Jauh mengatasi pendidikan Malaysia. Sumber

Ranking yang dikeluarkan tersebut ternyata meresahkan ramai pihak. Namun, diharapkan dengan beberapa transformasi pendidikan yang telah dijalankan, mampu mengubah, sekali gus melonjakkan sistem pendidikan Malaysia setaraf dengan negara luar.




Global Teacher Prize

Sekalipun ranking pendidikan Malaysia kelihatan sangat membimbangkan, namun kita masih boleh berbangga dengan pencapaian guru-guru Malaysia di peringkat antarabangsa. Awal tahun 2015, negara dikejutkan dengan pencapaian seorang guru Malaysia, Cikgu Yasmin Noorul Amin yang telah berjaya disenaraikan antara 50 guru terbaik dunia menerusi satu pertandingan guru, Global Teacher Prize.


Guru Malaysia tersenarai dalam Global Teacher Prize

Sekalipun gagal melayakkan diri ke peringkat seterusnya, pencalonan tersebut telah membuka lebih banyak mata mengenai kualiti guru-guru yang dihasilkan negara kita. Tambah menarik lagi, untuk Global Teacher Prize 2016, 2 orang lagi guru dari Malaysia disenaraikan sebagai 50 terbaik, iaitu Cikgu Noor Jahan dan juga Cikgu Vanesri. Semoga keduanya mampu mengharumkan nama Malaysia di mata dunia.



Jerebu

Isu jerebu juga menarik banyak perhatian pada kali ini. Apatah lagi ketika musim jerebu yang menjadi semakin teruk, dan sekolah diberikan cuti. Ada jugak lah pihak-pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan KPM memberikan cuti kepada pihak guru dan pelajar sehingga timbul komen-komen yang tidak sepatutnya di media sosial. Ekoran daripada itu timbul pula tindakan balas di media sosial sehingga lah ada yang menganggap guru sebagai pengasuh anak-anak. 


Cuti sekolah kerana jerebu

Dalam kes ini, pada pendapat saya, wajar lah kedua-dua belah pihak bertindak dengan lebih waras dan memahami usaha mendidik ini perlukan usaha rapat daripada ibubapa dan juga para guru. Tidak baik sekiranya hubungan yang sepatutnya erat antara kedua entiti ini menjadi bermasalah atas isu yang remeh. Keduanya patut saling sokong menyokong.



Guru Tak Faham PBS

Saya rasa ini kontroversi yang paling panas sekali untuk warga pendidik di Malaysia pada tahun ini, apabila keluar kenyataan bahawa kegagalan pelaksanaan PBS adalah disebabkan oleh guru tak faham. Kenyataan yang dikeluarkan di kaca TV tersebut, seterusnya diviralkan sedutan video tersebut serta mendapat respon yang sangat negatif.


Statement yang mendapat respon pelbagai daripada pihak guru

Ramai yang mengecam kenyataan tersebut kerana setelah bertungkus lumus menyediakan sedaya upaya keperluan seperti yang diharapkan, guru pula yang dipersalahkan tidak memahami dan menjalankan kesemuanya dengan salah. '

Apatah lagi dengan pelbagai rungutan dan kemelut yang dihadapi sepanjang pelaksanaan PBS, kenyataan seperti ini tentulah cukup membuatkan ramai guru yang berkecil hati. Bukan sedikit usaha yang diberikan oleh guru dalam menyediakan semua benda ini. 




Acara Tayang Result

UPSR pada tahun ini juga berjalan dengan jauh lebih lancar berbanding tahun lepas. Tetapi kontroversinya datang selepas itu. Apabila keputusan UPSR diumumkan sebahagian pihak mula menayangkan result anak-anak yang mendapat keputusan cemerlang. Maka mulalah mendapat reaksi yang berbeza daripada netizen.


Tahniah untuk adik-adik UPSR!

Ada yang menyelar tindakan tersebut yang dianggap masih awal untuk menilai kemajuan seorang kanak-kanak dalam hidup. Ada juga menganggap ianya sesuatu yang positif. Ada juga yang menasihatkan supaya anak-anak yang gagal juga diangkat dan diberi motivasi untuk mendapatkan keputusan lebih baik lepas ini. Macam-macam.

Pada pendapat saya, memang susah untuk menggembirakan hati semua orang. Apatah lagi jika berada di media sosial. Ada yang kadang-kadang tangannya jauh lebih laju berbanding otaknya. Maka, pendekatan bersederhana adalah sangat dituntut. 



Tahun Kedua PT3
Tahun kedua PT3 pula menyaksikan kurang kontroversi berbanding semasa mula diperkenalkan pada tahun lepas. Soalan juga semakin berkualiti dan mantap, sesuai dengan kehendak dan keperluan untuk menghasilkan pelajar-pelajar yang boleh berfikir dengan kemahiran berfikir aras tinggi.


PT3 perlu lari daripada orientasi peperiksaan

Cuma yang menjadi agak terkilan adalah apabila keputusan diumumkan dan pencapaian sekolah-sekolah masih dibandingkan seolah-olah ianya masih berorientasikan peperiksaan. Sedangkan tujuan mewujudkan PT3 adalah bagi membolehkan kita lari sejauhnya daripada orientasi pendidikan. Integriti sesetengah guru dan pihak sekolah juga dipersoalkan dalam membuat penilaian ini. 

Semoga tahun-tahun mendatang akan membolehkan PT3 menjadi penilaian yang lebih telus dan semakin dipercayai.



Ramal Sejarah SPM
Tahun ini juga soalan Sejarah SPM menjadi viral di internet kerana 'keanehan' nya. Ramai yang merungut soalannya yang tidak seperti soalan peperiksaan untuk SPM. Soalan seperti 'Ramalkan masa depan dunia' dan juga 'Ferdinand Magellan' merupakan antara yang banyak diperkatakan, termasuk tidak masuk akal dan juga melampaui batas KBAT yang dikehendaki. sumber


Soalan Sejarah SPM yang dikatakan bikin kontroversi

Pelbagai reaksi dan pendapat mengenai bentuk-bentuk soalan ini. Tapi saya yakin, pihak yang terlibat dalam menghasilkan soalan-soalan ini sudah tentu sangat berusaha keras dan bertungkus lumus untuk menghasilkan soalan yang terbaik. 



Menteri Pelajaran Baharu
Tahun 2015 juga menyaksikan pertukaran Menteri Pelajaran baharu, iaitu Dato' Seri Mahdzir Khalid yang menggantikan Tan Sri Dato' Haji Muhyiddin Yassin. Pelantikan beliau dah tentu menarik banyak perhatian dan harapan baru daripada warga pendidik. Apatah lagi dengan latar belakang beliau sebagai seorang guru, juga dikatakan akan lebih memahami fungsi dan tugas sebenar para guru.


Menteri Pelajaran baharu yang diharapkan dapat membawa sinar baru kepada warga pendidik

Telahan itu mungkin ada benarnya juga. Antara perkara pertama yang disebutkan beliau adalah mengurangkan beban tugas guru. Isu lama, tetapi diharapkan dapat memberi sinar baharu kepada para pendidik. Isu lain yang disentuh adalah mengenai pertukaran guru, terutamanya bagi guru-guru berpasangan yang terpisah. Dalam kenyataan terbaru, lebih daripada 1848 daripada 7000 pasangan telah berjaya disatukan kembali. sumber

Dah tentu itu suatu usaha yang sangat baik dalam mengharmonikan jiwa pendidik dalam memberikan usaha terbaik untuk berbakti. Diharapkan juga semoga pertukaran guru-guru bujang yang berada di wilayah berbeza (Semenanjung - Sabah/ Sarawak) untuk tempoh yang melebihi 5 / 6 tahun juga diberi pertimbangan sewajarnya. 




Tragedi Guru
Beberapa kejadian buruk yang melibatkan guru juga ada berlaku pada tahun ini. Yang paling terkesan tentulah kejadian guru yang maut ditimpa tayar lori bauksit di Pahang. Dengan segala kontroversi bagi kes bauksit tersebut, kemalangan seperti ini ternyata adalah akibat yang sudah dijangka-jangka. Semoga kejadian yang berlaku memberi kesedaran kepada pihak terlibat untuk bertindak menangani masalah dengan segera. Sumber


Kemalangan maut guru dihempap tayar lori bauksit


Gelombang ke-2 PPPM
Tahun 2015 juga menyaksikan persediaan yang lebih hebat dalam usaha mentransformasikan sistem pendidikan Malaysia. Dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia juga kita sedang bergerak ke arah Gelombang Ke-2, iaitu ke arah memacu peningkatan sistem. 


Gelombang Ke-2 PPPM yang akan memacu peningkatan dan penambahbaikan sistem

Gelombang Ke-2 akan lebih memfokuskan kepada pergerakan guru dan pengetua/guru besar kepada pakej kerjaya baharu dan penstrukturan semula kementerian. Selain itu, dalam tempoh ini juga KSSR dan KSSM akan disemak semula bagi membolehkan ianya sesuai dengan perkembangan ekonomi dunia hari ini. 

Tahun 2016 pula akan diperkemaskan lagi dengan program baharu seperti DLP dan juga HIP. DLP (Dual Language Programme) akan melibatkan 300 buah sekolah yang memohon dan berkemampuan untuk menjalankan pengajaran dan pembelajaran bagi subjek Sains, Matematik, ICT dan Rekabentuk Teknologi dalam Bahasa Inggeris. 

Manakala HIP (High Immersive Programme) pula akan melibatkan sekolah-sekolah di negeri Perlis, Perak, dan beberapa lagi negeri untuk permulaan. Ianya merupakan program meningkatkan kemahiran Bahasa Inggeris melalui penggunaan dalam komuniti sekolah dengan mengambil pendekatan fokus kepada pengupayaan sekolah, oleh sekolah, dan untuk sekolah. 



Semoga dengan perkongsian isu pendidikan dan juga kontroversi pendidikan yang berlaku sepanjang tahun 2015 ini mampu memberi kita pengajaran dan juga inspirasi untuk bekerja dengan lebih bersemangat pada tahun 2016. 

Majulah sistem pendidikan untuk negara!


Catat Ulasan

1 Ulasan

  1. Selesai lihat video link untuk isu SPM 2015.
    Kasihan tengok pelajar usai jawab kertas BI. Dh bertukar rupa, dh jadi kepeningan. Tak hairanlah calon terbaik saya pun meradang...

    BalasPadam