.

.

KARTiKEL

Khamis, 25 Jun 2015

Majlis Perasmian Sekolah SMK Jerlun

Rasanya tak ramai yang berpeluang berada dalam situasi yang sama seperti saya ini, iaitu menjadi barisan guru yang mendapat peluang untuk menyaksikan majlis perasmian sekolah baru yang gilang gemilang. Apatah lagi, sekolah baru saya ini, SMK Jerlun dirasmikan sendiri pembukaan nya oleh YAB Tan Sri Dato' Haji Muhyidin Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Pendidikan Malaysia.




Bukan setakat itu sahaja, majlis perasmian juga dihadiri oleh VVIP lain seperti Menteri Besar Kedah, Dato Seri Mukhriz Tun Mahathir, KSU Kementerian Pendidikan Malaysia, Tan Sri Dr Madinah Mohamad, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Datuk Sri Dr Khair Mohamad Yusof, dan juga Pengarah JPN Kedah, Datin Hajjah Azuyah Hassan.




Persiapan dilakukan 2 bulan lebih awal sebelum menjelang tiba hari perasmian. Pengagihan tugas dalam kalangan guru-guru dan juga pelajar yang akan terlibat. Beberapa kali juga mesyuarat besar yang melibatkan pihak sekolah dan juga agensi dari luar dijalankan di sekolah. Pendek kata, semua orang pun sibuk dengan tugasan masing-masing membuat persediaan terbaik semasa hari perasmian.

Saya seperti biasa ditugaskan bagi AJK Fotografi dan Video bersama beberapa orang guru lain. Fokus utama saya adalah dalam menghasilkan video dokumentasi sepanjang proses berlangsung bermula daripada mesyuarat, sehingga lah hari sebenar. 




Beberapa orang pelajar pembantu juga dilantik bagi memudahkan urusan mendapatkan video yang terbaik. Maklum lah, ramai yang akan hadir, maka kemungkinan pergerakan yang terbatas ketika sesi berlangsung adalah sesuatu yang paling saya khuatirkan. Maka pelajar pembantu ini saya tugaskan di kawasan liputan yang berbeza.


Persiapan menjadi lebih rancak dan bertenaga menjelang seminggu sebelum perasmian. Bilik-bilik khas disediakan seperti yang dikehendaki oleh pihak-pihak yang berkaitan dengan protokol. Bilik Sidang Media, Bilik Rehat VVIP dan Tandas VVIP perlu diselenggara dengan baik. 

Kelas dan kawasan sekolah juga diceriakan bagi menaikkan mood hari perasmian. Landskap-landskap dan tanaman ditambah bagi menghijaukan lagi sekolah yang baru berusia 2 tahun ini. Nampak serinya!




Tak lupa juga Galeri Warisan Jerlun. Satu galeri warisan ala-ala muzium yang menghimpunkan koleksi barang-barang antik dan lama daripada warga komuniti Jerlun. Bagi saya secara peribadi, ini adalah ruangan yang sangat istimewa dan sukar nak dicari di sekolah-sekolah lain. Ada antaranya yang saya sendiri pun tak pernah tengok sebelum ini. Apatah anak muda sekarang.

Penglibatan komuniti dalam menyumbang barang-barang kesayangan mereka, adalah sangat dihargai. Sehingga sekarang, barangan tersebut masih dipamerkan di galeri tersebut dengan tertera nama penyumbangnya sekali. Hebat kan?


Bagi acara sambutan pula, pihak sekolah menyediakan pasukan Gendang Peribumi SMK Jerlun. Disebabkan lama sangat berada di Sarawak, maka saya pula yang teruja menyaksikan pasukan gendang ini. Unik. Dan tersendiri. Ternyata pasukan ini berjaya mencuri tumpuan orang ramai, termasuk Pengarah kita sendiri, yang bergambar kenangan dengan mereka.




Setibanya VVIP yang dinantikan, maka ramailah yang menunggu. Bukan senang nak ada peluang bertemu sendiri dengan TPM depan-depan mata. 












Selesai ucapan perasmian, maka semua VVIP dijemput untuk menjamu selera di khemah yang berdekatan. Menu paling istimewa untuk petang tersebut tentulah Bihun Goreng yang dimasak oleh komuniti Jerlun yang terdiri daripada 12 buah kampung secara gotong royong. Hebat masyarakat Jerlun nih. Satu lagi menu yang istimewa, Pulut Mempelam!


Selesai menjamu selera, VVIP bergerak ke dataran bagi sesi fotografi bergambar kenangan bersama guru-guru SMK Jerlun. Kemudian terus merasmikan kewujudan Galeri Warisan Jerlun yang terletak berdekatan. TPM kemudiannya terus menaiki kereta untuk bergerak ke satu lagi majlis ASEAN yang diadakan di TH Hotel, Alor Setar.




Alhamdulillah, selesai semuanya dengan jayanya sekali! Jelas terpancar wajah kegembiraan rakan-rakan guru dan barisan pentadbir sebaik sahaja majlis berakhir. Tengok gambar heppy je semua. Satu perasaan yang tak dapat nak digambarkan.




Kenangan ini jugak lah menyebabkan saya rasa sangat family dengan keluarga besar saya di SMK Jerlun ini. Ada pahit masam masin, tapi akhirnya manis juga yang terasa. Semoga kenangan hari perasmian ini menjadi kenangan paling bermakna sepanjang saya bergelar seorang guru. I love SMK Jerlun!!! ;)




1 ulasan:

  1. wah ! bestnyer, pengalaman yang bukan semua orang dapat rasa. CN dekat sekolah lama pernah join program 100 tahun penubuhan sekolah dah dihadiri ex student iaitu Dr. Hasmah isteri mantan pm dan seperti biasa, CN mesti handle buku program ! Hehe

    BalasPadam