PBS Sains Tingkatan 2
Tugasan : Esei
Amalan Pemakanan Yang Betul Bagi Mengelakkan Obesiti Dalam Kalangan Murid
Instrumen B6D2E1




PBS | Esei Sains Tingkatan 2 : Amalan Pemakanan Yang Betul Untuk Mengelak Obesiti Dalam Kalangan Murid

Menurut kamus DBP, Kuala Lumpur Edisi Ketiga, obesiti bermakna kegemukan yang disebabkan terdapatnya lemak yang berlebihan. Obesiti menimbulkan pelbagai masalah kesihatan seperti penyakit jantung, dan tekanan darah tinggi. Selain tertekan secara emosi, orang yang mengalami masalah obesiti juga tidak dapat menikmati kehidupan mereka sepenuhnya kerana pergerakan yang terbatas. Bagi mengatasi masalah ini, mereka perlu mengamalkan pemakanan gizi seimbang, iaitu yang bermaksud pemakanan harian yang mengandungi kesemua kelas makanan dengan kuantiti yang betul dalam jumlah yang mencukupi.

Masalah obesiti sebenarnya berlaku disebabkan oleh cara hidup yang tidak sihat seperti tidak menjaga pemakanan seharian. Pengambilan makanan yang berlemak tinggi dan terlalu manis boleh membawa kepada masalah kegemukan. Makanan bergoreng juga boleh menyumbang  kepada pengumpulan lemak dalam badan. Justeru itu, kita hendaklah makan lebih banyak sayur, buah-buahan dan sumber protein yang lain seperti ikan. Penggunaan minyak dikurangkan dan mempelbagaikan masakan dengan cara mengukus, membakar atau merebus.

Selain daripada itu, sikap malas dan tidak suka bersenam juga menjadi punca berlakunya masalah obesiti. Apabila kita terlalu memanjakan tubuh dengan cara tidak melakukan sebarang pergerakan senaman, lemak akan terus terkumpul dalam badan kita. Oleh itu, kita mesti bersenam sekurang-kurangnya 3 kali seminggu selama 30 minit. Antara senaman yang digalakkan ialah berjalan kaki pantas, berenang, atau bermain badminton.

Di samping itu, peningkatan restoran makanan segera dan penjualan makanan dalam bungkusan atau tin turut menjadi satu punca obesiti. Restoran makanan segera sangat digemari ramai penduduk negara ini terutama mereka yang bekerja kerana tidak perlu lagi bersusah payah untuk memasak makanan selepas penat bekerja. Walaupun makanan yang disediakan ini menyelerakan, orang ramai harus sedar bahawa pengambilan makanan ini haruslah dikurangkan kerana makanan ini tidak berkhasiat dan mengandungi kadar garam, gula, dan lemak yang tinggi.

Kesimpulannya, masalah obesiti hendaklah diatasi untuk mengelakkan perkara buruk yang timbul sebagai akibatnya. Obesiti yang berpunca daripada pemakanan tidak sihat dan kurang bersenam dapat dielakkan jika kita mengubah pengambilan makanan, cara memasak, dan lebih kerap bersenam. Membuang lemak dalam badan bukan perkara mudah untuk dilakukan. Usaha ini memerlukan kesabaran dan kesungguhan.


(326 patah perkataan)




# Tips-Tips PBS Yang Mungkin Berguna:
>Mempraktikkan amalan pemakanan yang betul
Menganalisa kelas-kelas makanan
Menilai kepentingan gizi seimbang
Amalan Pemakanan Yang Betul Untuk Mengelak Obesiti Dalam Kalangan Murid

>Merancang satu gizi seimbang
Rancang Gizi Seimbang Dengan Senarai Kalori Makanan Seharian Kita

Contoh menu makanan seharian bagi seorang pelajar

>Mewajarkan pengagihan makanan kepada yang kurang bernasib baik
yang ini rasanya boleh buat esei sendiri kan? ..;)


>Mengaitkan adab makan yang menepati sensitiviti dan kepercayaan agama
Adab Makan Yang Menepati Sensitiviti dan Kepercayaan Agama di Malaysia