.

.

Jumaat, 23 Disember 2016

Isu dan Kontroversi Pendidikan Sepanjang 2016

Isu pendidikan dan kontroversi dalam dunia pendidikan di negara Malaysia sepanjang tahun 2016. Jika pada tahun 2015, isu seperti banjir, jerebu, gelombang ke-2 PPPM, dan juga isu guru tak faham PBS menjadi bualan warga pendidik. Jangan tak tahu, isu guru dan pendidikan memang menjadi perhatian masyarakat umum di Malaysia. Maka jom kita soroti kembali isu pendidikan dan kontroversi sepanjang tahun 2016.

Isu dan Kontroversi Pendidikan Sepanjang 2016
Isu dan Kontroversi Pendidikan Sepanjang 2016


UPSR Baharu

Rasa saya ini lah isu paling hangat untuk tahun ini dalam kalangan warga pendidik dan juga ibubapa. Mana taknya dengan segala isu, kontroversi dan persoalan pada awal tahun, akhirnya membawa kepada perbezaan sangat ketara pada keputusan murid yang diumumkan baru-baru ini. 

Keputusan UPSR 2016 sangatlah di luar jangkaan
Keputusan UPSR 2016 sangatlah di luar jangkaan

Maka ramai lah yang meraung menangis kerana tak berjaya mencapai keputusan UPSR seperti yang dikehendaki. Sangat di luar jangkaan. Hanya 4800 pelajar yang mendapat straight A's untuk UPSR tahun ini. Ada yang menyifatkan sebagai menganiayai murid dan guru. Tak lupa juga, ada pula yang melihat isu ini sebagai peningkatan kualiti terhadap pencapaian murid. Sumber

Kesannya, syarat kelayakan kemasukan ke SBP / MRSM juga diturunkan sehingga kepada 3A, beserta ujian kemasukan. Lebih parah, ada juga ura-ura pemansuhan terus UPSR selepas adanya cadangan tinjauan pelaksanaan ujian penilaian tersebut. Kita sama-sama tunggu untuk tahun 2017 yer!




PISA 2015

Akhirnya keputusan PISA 2015 dah dikeluarkan secara rasmi. Secara umumnya, pelajar Malaysia menunjukkan peningkatan dalam Sains dan Matematik. Petanda baik transformasi yang berlaku kepada sistem pendidikan Malaysia mutakhir ini. 

Secara kasarnya, Malaysia mencatatkan skor 446 dalam Matematik, 431 dalam Membaca, dan 443 dalam Sains. Berbanding tahun sebelumnya, iaitu pada tahun 2012, 421, 398 dan 420. Sumber


Isu dan Kontroversi Pendidikan Sepanjang 2016
Skor PISA bagi Malaysia meningkat untuk PISA 2015

Walaubagaimanapun, keputusan PISA 2015 ini tenggelam apabila kontroversi timbul yang mendakwa data yang dikeluarkan tersebut tidak tepat, kerana Malaysia sebenarnya tidak tersenarai pun dalam senarai rasmi yang dikeluarkan oleh OECD. Sumber

Malah nota kaki dari OECD juga menyatakan bahawa skor Malaysia tidak boleh dibandingkan dengan tahun sebelumnya, kerana sampel yang digunakan hanyalah 51% berbanding 85% seperti yang  ditetapkan OECD. 


Isu ini sehingga menggesa KPM mengeluarkan Kenyataan Media rasmi. Semoga penjelasan rasmi daripada KPM dapat menguraikan segala permasalahan yang berkaitan dengan isu tersebut. Sumber




Guru Duka Lara

Tahun ini juga menyaksikan isu pertukaran guru, terutamanya guru duka lara cuba diselesaikan dengan sebaik mungkin oleh pihak kementerian. Atas usaha dan kesungguhan Menteri Pendidikan, maka masalah ini mendapat perhatian awam untuk tahun ini. 

Isu dan Kontroversi Pendidikan Sepanjang 2016
Isu duka lara cuba diselesaikan dengan sebaik mungkin

Sehingga Disember 2016, dikatakan sebanyak 9000 kes berkaitan guru duka lara telah diselesaikan di seluruh Malaysia, dengan kebanyakkan kes tertumpu di dua negeri dengan jumlah guru yang ramai, iaitu Kelantan dan Kedah. Sumber



Denda Lewat 

Isu ini timbul apabila waris pelajar tidak berpuas hati dengan tindakan sekolah 'mendenda' pelajar yang datang lewat ke tapak perhimpunan dengan duduk di atas tar. Ada yang berbeza pendapat dalam hal ini. Yang menyokong, mengatakan tindakan ini terlalu keras dan memberi kesan psikologi kepada pelajar. Sumber

tindakan sekolah 'mendenda' pelajar yang datang lewat ke tapak perhimpunan dengan duduk di atas tar
Anda rasa denda ini keterlaluan?

Tapi tak lupa juga yang menganggap perkara ini sebagai keterlaluan, manja dan memualkan. Sehingga isu ini melarat kepada pelbagai meme yang melucukan kepada gambar-gambar pelajar tersebut. 




Tablet dan Smartphone
Sesuai dengan Anjakan 7 dalam PPPM, memanfaatkan penggunaan ICT dalam pdp, maka pada tahun ini juga menyaksikan pemberian tablet dan juga smartphone Yes percuma kepada para pendidik. 

pemberian tablet dan juga smartphone Yes percuma kepada para pendidik
Penggunaan smartphone YES sesuai dengan pendekatan pdp terkini

Pemberian secara berperingkat bermula pada tahun ini sehingga tahun depan, diharapkan menjadi pemangkin kepada guru-guru untuk menggunakan ICT dengan sebaik mungkin dalam memberikan pelajaran yang lebih baik kepada murid.

Tahun ini juga menyaksikan peningkatan kualiti capaian internet bagi kegunaan sekolah. Diharapkan dengan peningkatan kualiti ini mampu memberi kadar penembusan yang lebih baik di kawasan sekolah luar bandar dan juga kualiti capaian internet di sekolah yang sedia ada.



KSSM dan KSSR Semakan

Tahun ini juga menyaksikan fasa persediaan yang kritikal bagi menyambut kurikulum baharu, iaitu KSSM pada tahun 2017. Manakala bagi KSSR pula diadakan KSSR Semakan bagi melihat keberkesanan pelaksanaan KSSR selama ini. 

Penerimaan warga pendidik bercampur baur. Antara komen yang diterima, sukatan dari tingkat atas, telah diturunkan kepada tingkat bawah dengan drastik sekali. Sukatan dan tugasan yang terlalu banyak termasuk kerja mentaksir dan menilai sepanjang tahun. Termasuk juga urusan jadual waktu yang mengelirukan.


Isu dan Kontroversi Pendidikan Sepanjang 2016
Transformasi pada kurikulum Malaysia

Namun ada juga yang melihat ianya sebagai suatu usaha yang sangat baik untuk transformasi pendidikan Malaysia. Penekanan konsep KBAT dan juga inkuiri dijangka akan banyak membantu pelajar Malaysia untuk bukan sekadar menguasai pengetahuan, tetapi juga mampu untuk menggunakannya (aplikasi).

Kesediaan guru dalam memastikan pelaksanaan KSSM berjalan dengan lancar juga merupakan satu perkara yang perlu diberi perhatian sepanjang tahun depan.

IPGM Bakal Tutup

Dalam bajet 2017 juga menyatakan bahawa 11 daripada 27  IPGM yang ada di seluruh Malaysia akan 'ditutup'. Maka ini menjadi kejutan buat ramai hingga ada pula yang melatah, dan memberikan komen yang pelbagai. Memang lah kan. Persoalannya, apa yang akan berlaku kepada pensyarah dan juga pelajar sedia ada di sana? sumber

Isu dan Kontroversi Pendidikan Sepanjang 2016
Apa akan jadi pada sebahagian warga IPGM selepas ini?

Tapi jika dilihat kepada perkara sebenar, 11 IPGM ini bukan ditutup. Sebaliknya diubah fungsi, dengan 9 daripadanya menjadi Kolej Vokasional / Politeknik dan 2 lagi IPGM kepada Pusat Permata. Sumber

Penukaran fungsi 11 IPGM ini mungkin juga mampu menyelesaikan banyak perkara lain seperti keperluan dunia yang tinggi terhadap bidang TVET dan juga isu berulang iaitu penempatan pelajar-pelajar ijazah pendidikan keluaran IPGM dan universiti yang tidak posting-posting. Sumber



Isu Sampingan
Antara isu yang tak penting, tapi mendapat highlight pada tahun ini adalah isu cikgu cantik dan kacak. Biar apa pun alasan, saya lebih melihat kepada lebih besarnya impak jika kita viralkan atau highlightkan pada guru-guru Malaysia dengan pencapaian tinggi peringkat antarabangsa. Bukannya pada paras rupa semata. Bukan kah itu boleh memberi persepsi yang berbeza kepada masyarakat dalam menilai profesion keguruan?

isu cikgu cantik dan kacak
Guru itu dinilai pada keberkesanannya dalam menyampaikan ilmu

Isu terpencil seperti PGB era baharu, hasil keluaran NPQEL, dan juga akta keselamatan guru yang melindungi guru daripada tindakan dalam pagar sekolah. Turut menjadi highlight pada tahun ini adalah isu menggunakan kenderaan guru untuk pengangkutan pelajar. 



Isu Sepanjang Zaman
Beban tugas guru yang sering disebut daripada dulu, kini dan selamanya. Kajian demi kajian dilaksanakan, tetapi hasil dapatan dan juga langkah atasi itu kelihatan berada pada tahap sangat minima. Kerja pengkeranian yang berulang, key in data serta segala benda online yang sepatutnya memudahkan tugas guru, lebih dilihat menambahkan tugas guru. Semoga ada berita gembira pada tahun 2017.

Beban tugas guru yang sering disebut daripada dulu, kini dan selamanya
Isu sepanjang zaman

Selain itu, pengiktirafan dan galakan terhadap guru-guru yang memiliki kelayakan lebih tinggi tu sepertinya tiada apa-apa. Hanya diperuntukkan kepada guru yang mula posting. Guru dalam perkhidmatan, sekalipun sudah memiliki Master atau PHD masih tidak menerima apa-apa insentif tambahan. Sekaligus kurang memotivasikan guru sedia ada untuk terus upgrade ilmu pengetahuan mereka.

Semakin ramai warga pendidik yang sudah mempunyai Master dan PHD
Semakin ramai warga pendidik yang sudah mempunyai Master dan PHD

Fasiliti sekolah juga masih perlu diberi perhatian oleh pihak kementerian, terutamanya sekolah-sekolah terpencil jauh di pedalaman. Walaupun banyak faktor lain boleh mempengaruhi kejayaan sesebuah sekolah, tetapi tidak dapat nak dinafikan kewujudan prasarana dan kemudahan yang baik mampu memberi impak positif kepada perkembangan murid di sesebuah sekolah. Siapa yang tak nak belajar di sekolah dengan bangunan baru dan cantik kan?

Fasiliti sekolah juga masih perlu diberi perhatian oleh pihak kementerian
Penekanan ICT di sekolah, sebolehnya disertakan dengan fasiliti yang sesuai

Isu gaji guru juga turut disentuh oleh TPM dan Menteri Pendidikan sendiri pada tahun ini. Skim perkhidmatan yang sekarang dinikmati oleh hampir 420 000 penjawat awam itu bakal dikaji semula, dan ditingkatkan sesuai dengan peranan guru sebagai pembina negara bangsa. sumber



Keberkesanan Program

Sepanjang tahun ini juga, banyak perkara yang telah dijalankan. Maklumbalas daripada guru dan pelaksana adalah sangat penting dalam menentukan keberkesanan program dan sejauh mana perkara tersebut boleh dikembangkan. 

VLE Frog? Banyak komplen mengenai kualiti talian, tetapi di kawasan tertentu capaian internetnya sangat bagus. Seharusnya dengan fasiliti yang ada, dengan penilaian dan pelaksanaan yang sama rata, maka sepatutnya capaian internet nya juga harus sama. Penyediaan prasarana juga perlulah bersifat sama rata, bukan secara selektif di sekolah tertentu sahaja.

Contoh Frog Classroom di sekolah terpilih
Contoh Frog Classroom di sekolah terpilih

Pelaburan yang berjuta ringgit, tetapi tanpa manfaat sepenuhnya, adalah sesuatu yang sangat merugikan. Promosi yang berterusan terutamanya di kawasan luar bandar, haruslah digiatkan lagi. Jangan lupa, lengkapkan juga fasiliti biar setanding dengan fasiliti di sekolah bandar. Baru lah jurang pendidikan semakin mengecil.


KBAT? Ada juga pihak yang mempertikaikan penggunaan KBAT dalam pembelajaran murid. Masing-masing ada pendapat. Ada yang kata perlu KBAR dulu sebelum KBAT. Ada juga yang kata boleh terus KBAT, tanpa perlu melalui KBAR. Keperluan yang berbeza, situasi yang berbeza, dengan zaman yang berbeza. Anda rasa?

Sejauh mana impak KBAT kepada pelajar Malaysia?

PA21? Pembelajaran Abad 21 juga dilaksanakan dengan agak agresif pada tahun ini. Seperti biasa juga wujud mazhab yang berbeza, dengan definisi yang berbeza mengikut pentafsiran masing-masing. Walaubagaimanapun, dilihat pelaksanaan dalam kalangan guru berjalan dengan rancak. Ramai yang sudah mula menukar pengajaran berpusatkan guru kepada berpusatkan murid. Langkah pertama yang baik untuk ke arah pendidikan yang lebih baik. 


Pelaksanaan Pembelajaran Abad 21 di sekolah makin meluas
Pelaksanaan Pembelajaran Abad 21 di sekolah makin meluas

Fasa seterusnya adalah fasa pengamalan. Bukan sekadar menjadikan pembelajaran Abad 21 sebagai suatu pengetahuan, sebaliknya mengamalkan dalam sebanyak mungkin kelas. Walaupun seperti sedikit sukar pada peringkat awal pelaksanaan, tetapi InshaAllah dengan amalan dan usaha yang berterusan akan membolehkan PA21 menjadi sesuatu yang lebih bermakna. 


PBS dan PT3? PT3 juga dilihat memberi nafas baru kepada transformasi pendidikan ke arah melahirkan pelajar yang lebih berkualiti dan berpengetahuan tinggi. Menyediakan pelajar untuk menghadapi dunia sebenar adalah satu tanggungjawab yang serius dan memerlukan usaha yang padu. 

Contoh tugasan pelajar dalam pentaksiran berasaskan sekolah

Pelaksanaan PBS pula agak suam-suam kuku pada tahun ini. Tidak lagi menjadi kecoh-kecoh seperti tahun sebelumnya. Kurikulum baharu melalui KSSM juga mampu memberi impak yang lebih baik pada pentaksiran berasaskan sekolah untuk tahun mendatang. Kita sama saksikan.


DLP? Pelaksanaan program DLP juga bakal memasuki tahun kedua. Antara isu yang sering diterima adalah bahan dalam Bahasa Inggeris yang terhad, kesediaan guru pelajar dan ibubapa. Dan sudah tentu isu keberkesanan, peluang dan halatuju merupakan sesuatu yang sering menjadi bualan di sekolah-sekolah yang menawarkan. 

Pelaksanaan program DLP di sekolah terpilih

Walau apa pun isu dan kontroversi yang berlangsung sepanjang tahun 2016, diharapkan ianya menjadi pemangkin kepada proses transformasi pendidikan Malaysia yang lebih baik. Kita, sebagai pelaksana haruslah menjalankan amanah dan tanggungjawab kita dengan sebaik mungkin. InshaAllah semuanya akan okey-okey saja!




4 ulasan:

  1. terbaik. terima kasih cikgu helmi.teruskan lagi

    BalasPadam
  2. Sistem pendidikan di Malaysia mmg ade masalah yg perlu diselesaikan ngan segera. Seperti kerja rumah yg terlalu byk yg menyebabkan ramai pelajar yg hilang minat utk berlajar langsung.

    BalasPadam
  3. Semoga Tuhan merahmati tuan, dan murahkan rezeki tuan kerana perkongsian tuan di sini

    BalasPadam