.

.

KARTiKEL

Isnin, 23 Februari 2015

12 Panduan Menguruskan Pasukan Sukan Sekolah

Menjadi satu keperluan untuk semua rakan guru tahu mengenai cara menguruskan pasukan sukan di sekolah dengan baik. Apatah lagi jika anda baru mula nak berkecimpung dengan bidang dan tugas menghantar pasukan sukan sekolah. Saya kongsikan beberapa perkara yang perlu difikirkan atau masuk dalam senarai bagi guru yang mahu atau dipaksa menguruskan pasukan sukan sekolah.


12 Panduan Menguruskan Pasukan Sukan Sekolah



01. Pemilihan Pemain
Proses membina pasukan bermula daripada pemilihan pemain yang bakal membarisi pasukan tersebut. Pemilihan pemain juga bergantung kepada beberapa perkara seperti bakat semulajadi, disiplin pelajar dan juga komitmen pelajar itu sendiri. Pada saya, lebih baik pelajar berdisiplin yang dipilih, sekalipun kurang berbakat. Lebih menyejukkan hati! Jika sambutan kurang menggalakkan, buatlah promosi dari kelas ke kelas supaya lebih ramai pelajar yang sedia maklum mengenai pasukan sukan anda. 



02. Melatih Pemain
Perkara utama yang perlu diberi perhatian adalah melatih pasukan sukan tersebut. Bagi sesi latihan, biasakan pelajar dengan aktiviti memanaskan badan 'warming up' terlebih dahulu sebelum mula bermain. Fokus kepada anggota badan yang lebih banyak akan digunakan nanti. Selain daripada menyediakan otot dan badan dengan aktiviti yang bakal dilakukan, aktiviti ini juga mampu mengurangkan kecederaan kepada pemain. 

Aktiviti disusuli dengan 'drill' yang sesuai bagi sukan dan permainan tersebut, iaitu kemahiran penting yang perlu dikuasai oleh pelajar. Bermula dengan kemahiran asas, aktiviti diteruskan dengan meningkatkan lagi keupayaan pelajar jika sudah menguasai kemahiran asas dengan baik. Drill yang sesuai boleh diperolehi daripada bacaan di buku atau tontonan di Youtube.


12 Panduan Menguruskan Pasukan Sukan Sofbol Sekolah
Contoh drill yang sesuai untuk sukan sofbol

Sedikit mini games atau modified games perlu diadakan bagi memberi kefahaman lebih kepada pemain mengenai taktik dan juga strategi permainan. Ubahsuai peraturan mengikut tahap pencapaian pemain. Sekali sekala gunakan peraturan dan ukuran gelanggang sebenar bagi memberi lebih pendedahan kepada pelajar mengenai situasi sebenar semasa bermain.

Sesi latihan diakhiri dengan sesi menyejukkan badan 'cooling down'. Aktiviti ini penting bagi memastikan otot dapat direhatkan dengan baik selepas aktiviti yang lasak. 

Bagi yang kurang mahir mengenai sukan tersebut, cuba dapatkan khidmat jurulatih luar atau pun daripada pelajar yang lebih berkemahiran. InshaAllah jika ada minat, anda pun boleh jadi pandai lepas tu.



03. Peralatan Sukan
Selain daripada menguruskan pasukan, perkara yang anda perlu beri perhatian adalah peralatan sukan. Bagi sukan yang berbeza, maka peralatannya pun pastilah berbeza. Pastikan semua peralatan mencukupi, terutamanya menjelang hari perlawanan. Lebih baik jika peralatan tersebut disimpan dalam bekas khas, atau beg yang bersesuaian bagi memudahkan proses untuk angkut dan simpan nanti.



04. Pakaian @ Jersi
Bagi permainan yang memerlukan pakaian khas, guru perlu memastikan pakaian tersebut berada dalam keadaan yang baik dan juga mengikut seperti yang ditetapkan. Ada pakaian sukan yang mempunyai syarat yang perlu dipatuhi. Buat sedikit ulangkaji mengenai sukan yang anda ceburi. Carian di internet pasti banyak membantu bagi yang inginkan fesyen pakaian sukan yang terbaru.

12 Panduan Menguruskan Pasukan Sukan Kriket Sekolah
Pakaian yang digunakan oleh pemain Kriket



05. First Aid
Sebagai langkah keselamatan, ada baiknya jika jurulatih sukan tersebut sentiasa membawa bersama bekalan First Aid sewaktu latihan dan juga semasa permainan sebenar. Isi First Aid tersebut dengan bekalan ubat-ubatan asas seperti Panadol, minyak panas, krim panas, kain kasa, bandage dan lain-lain yang difikirkan perlu. Ini adalah sebagai persediaan dan langkah awal. Manalah tahu berlaku kecederaan semasa latihan, maka rawatan awal seperti ini adalah sangat berguna.



06. Borang Deklarasi dan Kebenaran Ibubapa
Pastikan juga sebelum membawa pelajar keluar mewakili sekolah, Borang Deklarasi dan Kebenaran Ibubapa dilengkapisikan dan dihantar kepada jurulatih. Ini adalah 'lesen' penting bagi guru membawa pelajar. 

Borang adalah mengikut format sekolah masing-masing. Pastikan juga ibubapa menandatangani borang tersebut dan ambil maklum mengenai apa-apa yang berlaku adalah atas tanggungjawab ibubapa. Dapatkan tandatangan pihak sekolah bagi memastikan borang tersebut sah dan lengkap.



07. Mesyuarat Pertandingan
Kebiasaannya beberapa minggu sebelum berlangsungnya kejohanan atau pertandingan, Jawatankuasa pengelola akan memanggil guru-guru untuk mesyuarat pertandingan. Mesyuarat akan dipengerusikan oleh Pengerusi Teknik Pertandingan yang telah dilantik. 


Mesyuarat akan dipengerusikan oleh Pengerusi Teknik Pertandingan
Coach sedang bermesyuarat untuk kejohanan

Mesyuarat akan membincangkan hal-hal yang berkaitan dengan pertandingan seperti, penetapan tarikh, tempat, serta jadual pertandingan. Beberapa syarat pertandingan akan ditekankan semula bagi memberikan gambaran yang lebih jelas. Bagi yang baru pertama kali menghantar pasukan, ini lah peluang terbaik anda untuk berkenalan dengan rakan guru yang sama aliran dengan anda. Senang kerja nanti.. 



08. Jadual Perlawanan
Jadual perlawanan adalah antara dokumen penting yang perlu disimpan setiap jurulatih. Ini kerana perancangan kepada perkara lain seperti pengangkutan, makanan adalah banyak bergantung kepada jadual ini. Silap perancangan, kelam kabut juga anda dibuatnya. Lebih parah, jika pasukan terpaksa menarik diri atau diisytihar kalah hanya kerana silap melihat jadual perlawanan. Komunikasi dari masa ke semasa dengan Pengerusi Teknik bagi mendapatkan jadual perlawanan yang terkini.



09. Pengangkutan
Menjelang hari pertandingan, pastikan juga anda uruskan hal pengangkutan dengan baik. Dapatkan bantuan daripada pihak yang berkaitan, seperti PK Ko-K untuk menguruskan soal tersebut. Plan B juga perlu disediakan sekiranya pengangkutan yang diharapkan tak dapat nak diharapkan pada saat-saat akhir. 


12 Panduan Menguruskan Pasukan Sukan Sekolah
Gunakan bas yang selesa (kalau duit banyak!)

Sekurang-kurangnya ada alternatif lain jika berlaku perkara yang tak diingini. Nasihat saya, cuba tiba lebih awal ke tempat pertandingan bagi mengelakkan banyak masalah. Sekurang-kurangnya pelajar boleh bersedia lebih awal di tempat kejohanan berlangsung.



10. Makanan
Makanan juga merupakan aspek penting yang perlu diberi perhatian jika anda ingin membawa pasukan sukan. Pelajar perlu mendapatkan makanan yang mencukupi semasa pertandingan. Jangan biarkan pemain anda bermain dengan perut kosong dan berkeroncong. Tentu fokusnya terganggu. 

Berikan sedikit makanan untuk tenaga semasa mereka bertanding. Jangan pula terlebih, nanti malas pula nak berlari dalam padang. Pisang adalah pilihan bijak yang boleh digunakan semasa berlangsungnya pertandingan kerana dapat membekalkan tenaga segera dan extra kepada pemain anda. 



11. Makluman Kepada Yang Berkenaan
Bagi memastikan kelancaran proses anda membawa pasukan sekolah, maka maklumkan terlebih dahulu kepada pengurusan sekolah, guru kelas, guru subjek, ibubapa mengenai pelajar yang bakal terlibat mewakili sekolah tersebut. Ini bagi mengelakkan lebih banyak masalah di masa akan datang.

Guru boleh menyerahkan senarai nama pemain yang terlibat kepada pihak yang berkenaan. Atau cara yang paling mudah adalah membuat sebaran melalui whatsapp kepada group sekolah dan menampal di papan kenyataan. Letakkan nama dan nombor telefon guru yang bertanggungjawab bagi memudahkan jika ada urusan penting berkaitan anda atau pemain anda. Semoga tidak ada yang membuat masalah ketika ketiadaan anda dan pelajar terbabit di sekolah nanti. 



12. Disiplin Pelajar
Sebagai jurulatih, disiplin pemain adalah berada dalam bidang tugas kita. Maka didiklah pemain anda dengan disiplin yang tinggi dan terpuji. Terutamanya ketika menjalani latihan dan juga semasa pertandingan. Pemain anda bukan sekadar membawa harapan untuk pulang sebagai pemenang, tetapi juga membawa nama baik sekolah. Maka uruskan disiplin mereka dengan baik. Jika anda dah berjaya menguruskan disiplin mereka, itu dah bermakna, anda sudah selangkah menghampiri kejayaan!


12 Panduan Menguruskan Pasukan Bola Baling Sekolah
Disiplin tangga kejayaan!


Perkongsian panduan pengurusan ini adalah berdasarkan daripada sedikit pengalaman saya menguruskan pasukan sofbol sekolah. Jika ada kekurangan, sudi-sudikan lah membuat tambahan di bahagian komen untuk perkongsian kita semua. Terima kasih. Mudah-mudahan jadi ilmu yang bermanfaat.





2 ulasan: