.

.

KARTiKEL

Khamis, 25 Disember 2014

Keputusan PT3 2014 : Apa Kata KPM?

Seminggu nih memang riuh di laman sosial mengenai keputusan PT3 2014 yang dikatakan jauh beza benar berbanding keputusan PMR sebelum-sebelum ini. Seperti biasa, mesti lah ramai yang mempunyai pendapat sendiri berhujah menggunakan fakta masing-masing. Ada yang menyokong, perlu diteruskan, ini baru permulaan, perlu transformasi sistem pendidikan. Dan tak kurang juga yang membantah, dengan alasan, patut dimansuhkan, menghancurkan, masa yang diberi suntuk, tiada perancangan teliti. Kita tengok pula apa respon KPM melalui kenyataan akhbar yang dikeluarkan pada 24 Disember 2014.


keputusan PT3 2014 yang dikatakan jauh beza benar berbanding keputusan PMR sebelum-sebelum ini
Keputusan PT3 yang penuh kontroversi

Pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengucapkan terima kasih kepada ibu bapa dan masyarakat umum yang telah memberikan pelbagai respon mengenai keputusan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) yang diumumkan pada 22 Disember 2014.

Sehubungan itu, KPM ingin menjelaskan sekali lagi bahawa keputusan melaksanakan PT3 untuk menggantikan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dibuat setelah mendapat pandangan rakyat daripada pelbagai peringkat yang pada ketika itu rata-rata mahukan sistem pendidikan negara tidak terlalu bertumpu dan mementingkan peperiksaan semata-mata yang mengekang percambahan berfikir. Sebaliknya negara kita mesti melahirkan pelajar berkualiti yang mempunyai kemahiran berfikir yang lebih kritis, kreatif  dan mendorong pelajar untuk berfikir di luar kotak.

Justeru itu, setelah meneliti dan membuat kajian terperinci, PT3 yang mengantikan PMR telah diperkenalkan pada tahun ini, ditambah baik dengan memberikan lebih penekanan kepada soalan-soalan yang memerlukan pemikiran aras tinggi.

Oleh itu, KPM ingin menekankan bahwa keputusan PT3 pada tahun ini tidak boleh dibandingkan dengan keputusan PMR yang dijalankan sebelum ini kerana format dan instrumen yang digunakan adalah berbeza.

Struktur soalan PT3 berbentuk  subjektif (respon terbuka) berbeza dengan soalan PMR yang berbentuk objektif (aneka pilihan). Struktur soalan baharu ini memerlukan pelajar untuk menguasai kemahiran berfikir secara kritis dan benar-benar memahami sukatan pelajaran apabila menjawab soalan peperiksaan berbanding soalan objektif yang hanya memerlukan pelajar menghafal sukatan pelajaran untuk memperoleh keputusan cemerlang.

Nisbah aras kesukaran soalan juga adalah berbeza, iaitu PT3 : 3:4:3 (rendah : sederhana : sukar), manakala PMR : 5:3:2 (rendah : sederhana : sukar). Kaedah pengredan juga berbeza iaitu pengredan PT3 ditetapkan berdasarkan penetapan standard  (kriteria tertentu mengikut mata pelajaran) dan  pengredan PMR adalah berdasarkan penentuan standard (gred ditetapkan mengikut prestasi keseluruhan calon).

Murid-murid Tingkatan 3 yang menduduki PT3 mulai tahun ini telah ditaksir melalui empat komponen Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) iaitu Pentaksiran Sekolah (PS), Pentaksiran Aktiviti Jasmani Sukan dan Kokurikulum (PAJSK), Pentaksiran Psikometrik (PPsi) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3).

PT3 merupakan pentaksiran sumatif yang setara di Tingkatan 3 bagi menilai pencapaian akademik calon dari aspek pengetahuan, kemahiran dan nilai secara menyeluruh di peringkat menengah rendah. Melalui PT3, calon ditaksir untuk melihat penguasaan dan keupayaan intelek mereka di akhir sesuatu program pembelajaran. Pelaksanaan PT3 mengambil kira instrumen dan panduan penskoran setara yang disediakan oleh Lembaga Peperiksaan (LP) manakala pentadbiran dan penskoran oleh guru di sekolah masing-masing dibuat mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh LP.

PT3 bukan menjadikan murid sebagai bahan ujikaji dan juga bukan disediakan dalam masa yang singkat. Soalan PT3 adalah berdasarkan kurikulum sedia ada yang telah digunapakai untuk PMR. Format soalan PT3 juga adalah selari dengan format instrumen Pentaksiran Sekolah (PS). PS yang dilaksanakan mulai Tingkatan Satu menggalakkan guru mentaksir murid dengan menggunakan pelbagai instrumen seperti lisan, ujian bertulis, kajian lapangan , kuiz, kajian di makmal sains dan senarai semak. Ini bermakna murid telah didedahkan dengan pelbagai format instrumen ujian sejak tahun 2012.

Keputusan PT3 juga tidak menjejaskan kemasukan murid ke Sekolah Berasrama Penuh dan ke aliran sains atau sastera. Pemilihan ke aliran tersebut dibuat bukan sahaja berdasarkan keputusan PT3, tetapi juga mengambilkira pelaporan keempat-empat komponen PBS.

Pihak KPM ingin menegaskan bahawa soalan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) yang dinyatakan sebagai penyebab kemerosotan pencapaian murid adalah tidak benar, kerana soalan KBAT menggalakkan  calon berfikir secara kreatif dan kritis.

Selain itu, LP amat mementingkan kesahan dan kebolehpercayaan skor. Untuk memastikan ketekalan pemeriksaan oleh guru, LP telah menyediakan panduan penskoran yang setara, melatih guru-guru untuk memeriksa skrip jawapan calon, serta melantik pentaksir luar yang berkecuali untuk menjalankan moderasi pemeriksaan dan verifikasi skor calon.

KPM juga ingin menjelaskan makluman mengenai  empat komponen PBS telah disampaikan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru-guru (PIBG) dan pihak sekolah sejak tahun  2012 lagi. Manakala makluman mengenai PBS dan PT3 sekali lagi telah disampaikan kepada PIBG dan pihak sekolah melalui program turun padang Outreach PBS Public Engagement PIBG.

KPM juga telah membuat siri Program Outreach PBS dan Public Engagement PIBG untuk menerangkan tentang empat komponen PBS kepada ibu bapa dan pentadbir sekolah sejak bulan Februari tahun lepas lagi manakala Public Engagement PIBG  yang menerangkan mengenai Pentaksiran Tingkatan 3 (Format instrumen, pentadbiran, penjaminan kualiti) dan empat bentuk pelaporan PBS yang akan diterima oleh calon telah dijalankan pada April hingga Jun 2014.

Di samping itu, KPM juga telah melaksanakan hebahan dan memberi kefahaman tentang PT3 kepada pelbagai pihak melalui pelan komunikasi iaitu penerangan tentang PBS kepada masyarakat umum melalui media elektronik seperti radio, televisyen dan portal LP.


Program bual bicara di radio dan televisyen utama telah membincangkan PBS dan PT3 dalam Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Cina dan Bahasa Tamil bagi memberi kefahaman kepada pelbagai pihak berkepentingan. Begitu juga dengan iklan PT3 dalam empat bahasa telah disiarkan dalam radio juga media massa lain. Penerangan bagi memberi kefahaman tentang PT3 kepada masyarakat umum juga dibuat melalui media cetak. Artikel dan maklumat tentang PT3 telah disiarkan dalam akhbar Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Cina dan Bahasa Tamil.

KPM sentiasa menerima pandangan dan maklumbalas daripada semua pihak untuk meningkatkan kualiti pendidikan secara amnya dan pentaksiran secara khususnya.

Sehubungan itu, KPM akan terus meneliti dan mengambil langkah-langkah wajar utuk memperbaiki sebarang kelemahan dengan mengambil kira pandangan dan input daripada semua pihak demi memastikan pelajar-pelajar mendapat pendidikan yang terbaik.


KETUA PENGARAH PELAJARAN MALAYSIA24 DISEMBER 2014


Saya pula secara peribadi menyifatkan ada pro dan kontranya mengenai PT3 ini. Saya yakin, untuk terus kekal relevan dan bersaing, kita perlu sistem pendidikan baru yang seiring dengan rentak keperluan dunia sekarang. Kehendak dah tak sama. Walaubagaimanapun bagi setiap transformasi yang mahu dilakukan, haruslah dirancang teliti dengan kadar masa yang sesuai, setelah mengambilkira pendapat yang terbaik dalam kalangan mereka yang terbaik. Baru lah hasilnya pun terbaek!


Teringat saya dengan satu kata-kata komen dalam laman sosial yang saya sempat ingat, 

"... yang mahukan transformasi pendidikan ini adalah masyarakat.. dan ironinya juga, yang menjadi penentang transformasi ini juga adalah masyarakat sendiri... jadi apa yang kita mahu sebenarnya?..  "


Renung-renung kan..

6 ulasan:

  1. perlaksanaan yg tergesa-gesa. Guru2 dan pelajar tidak diberi tempoh yang cukup utk memahami format baru ini. Guru pun belum bersedia apatah lagi murid2. Kalau dibei pendedahan awal dari tingkatan satu lagi mungkin tidak ada isu yang sebegini. Harap kementerian lebih bijak di dalam merancang sesuatu perubahan. Jangan terlalu gopoh melakukan perubahan akibatnya boleh memakan diri sendiri.

    BalasPadam
    Balasan
    1. ye.. faktor masa juga perlu diambil kira.. terima kasih untuk pendapat

      Padam
  2. Tak adil membandingkan PT3 dengan PMR. Ia seperti membandingkan pertandingan mengupas kelapa dengan pertandingan mengupas rambutan. Apa yg dikesalkan oleh ibu bapa (guru juga) bukan konsep PT3 tetapi kaedah pelaksanaannya yg sangat tergesa-gesa, format peperiksaan yg bertukar-tukar dan mengelirukan hingga 2 bulan sebelum peperiksaan PT3 masih ada guru (apa lagi murid) yg tak dpt menjelaskannya secara tepat. Harap tahun ini (2015) PT3 akan berjalan dgn lebih sempurna dengan mengambil pengalaman tahun lepas...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Saya setuju bebenor dengan saudara punya pendapat.

      1. tak adil utk dibandingkan PMR dan PT3
      2. Masalah utama adalah tempoh pelaksanaan..

      InshaAllah kita harap akan dilaksanakan dengan lebih baik pada tahun mendatang.. ;)

      Padam
  3. Maklumat yg bagus cikgu. TK. Anak saya ambil PTk3 tahun ni..Saya tukar sekolah anak awal tahun ni. .... sepanjang tahun lps sekolah ni langsung x diberi penerangan pt3 oleh sekolah..bila tanya cikgu tak boleh beri jwpn..sedih tgk sekolah tak beri keyakinan. Saya pindah anak kesekolah yg lebih berkeyakinan. Cikgu pun jelas dgn pt3..anak nampak happy dan yakin sekrang. Doakan semuga success.

    BalasPadam
  4. Tahniah dgn blog ini. Penuh informasi. semoga usaha cikgu mendapat ganjaran dunia dan akhirat. teruskan beri maklumat terkini kpd semua. Salam

    BalasPadam