.

.

KARTiKEL

Sabtu, 23 Mac 2013

Program Akademik Baru 2013 di UiTM Untuk Ahli Sukan


Program Akademik Baru 2013 di UiTM Untuk Ahli Sukan dan Atlet

Universiti Teknologi Mara (UiTM) akan menawarkan program akademik baru untuk membantu lebih ramai atlit negara melanjutkan pengajian di universiti itu.

Naib Canselornya, Datuk Seri Prof Dr Sahol Hamid Abu Bakar, berkata usaha itu akan dibuat menerusi Pusat Sukan serta Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM sebagai menghargai pencapaian atlet yang menempa nama pada peringkat negara atau antarabangsa. 



"Selaras dengan sokongan UiTM terhadap program pembangunan sukan negara, saya berjanji akan membawa lebih ramai atlet negara belajar di UiTM," katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Sukan UiTM 2012 yang dirasmikan Presiden Persekutuan Boling Padang Malaysia, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid di sini, malam tadi.

Sahol Hamid berkata, UiTM sudah membelanjakan hampir RM1.5 juta sepanjang tahun lalu bagi para atletnya menyertai lebih 21 jenis kejohanan sukan di peringkat universiti, kebangsaan serta antarabangsa.

"Hasilnya, UiTM melakarkan 65 kejayaan dalam negara dan enam kejayaan di peringkat antarabangsa serta mengungguli beberapa kejohanan sukan seperti bola sepak, futsal, boling dan tenis," katanya.

Beliau berkata, pelayar negara Khairulnizam Mohd Afendy, 19, yang juga penuntut Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Perlis membawa nama universiti itu ke persada antarabangsa apabila layak ke temasya Sukan Olimpik London 2012.

Selain itu, katanya atlit UiTM juga adalah sebahagian Kontijen Malaysia ke temasya Sukan Universiti Asean yang berlangsung di Laos dari 12 hingga 22 Disember tahun lalu. 


Sementara itu, Ahmad Sarji dalam ucapannya berkata pihaknya bangga dengan pencapaian UiTM yang menempa nama dalam bidang sukan antara institusi pengajian tinggi (IPT) dan kebangsaan dengan menyertai kejohanan bola sepak Liga Perdana dan Liga Hoki Malaysia.

"Saya juga tertarik dengan usaha UiTM menjalin kerjasama dengan badan-badan sukan profesional seperti Persatuan Sepak Takraw Malaysia bagi meningkatkan tahap permainan beberapa jenis sukan di kampus," katanya.

Pada majlis itu, pelayar negara Khairulnizam dan penembak negara, Muslifah Zulkifli,28, dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati UiTM 2012 dengan masing-masing membawa pulang wang tunai RM1,000 beserta piala iringan, piala pusingan dan sijil penghargaan.

Anugerah tahunan itu adalah pengiktirafan terhadap sumbangan dan komitmen atlet serta pegawai yang mengharumkan nama UiTM dalam arena sukan di peringkat universiti, kebangsaan dan antarabangsa.

-BERNAMA 


4 ulasan:

  1. bagus program ini...lebih ramai atlit negara dapat melanjurkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi...

    BalasPadam
  2. tu lah.. sekurang2 nya ada juga jaminan masa depan untuk mereka nanti..

    BalasPadam
  3. sepatutnya diteruskan oleh semua universiti...

    BalasPadam
  4. Assalam,

    Kami sedang membangunkan satu Portal untuk membantu orang ramai khusus
    warganegara Malaysia bagi memudahkan membuat carian semua
    TASKA/IPTS/IPTA/education/tuition/classroom.....Harap manfaat kepada cikgu-cikgu semua...

    Free Register.

    http://www.tutorface.my/main/?code=4453

    BalasPadam