About Me

Kenapa Perlu Pendidikan Secara Inkuiri? Dr Ihsan Ismail Ada Jawapannya

Baru-baru ini saya terbaca suatu artikel yang sangat menarik tentang Inkuiri dalam Pendidikan STEM. Ditulis oleh Ketua Unit Pusat STEM Negara, Dr. Ihsan Ismail yang berkaitan dengan keperluan pendidikan secara inkuiri di laman Facebook, Pendidikan STEM di Malaysia. Maka saya kongsikan semula penulisan beliau supaya boleh dijadikan rujukan dan juga bacaan pembuka minda kepada rakan guru lain tentang pentingnya inkuiri dalam pendidikan. Jom kita hayati bersama!


Ketua Unit Pusat STEM Negara, Dr. Ihsan Ismail
Ketua Unit Pusat STEM Negara, Dr. Ihsan Ismail



KEPERLUAN PENDIDIKAN SECARA INKUIRI

1. Untuk melahirkan murid yang cemerlang dalam akademik dan juga kokurikulum, mereka perlu diberi peluang untuk merasai pengalaman pembelajaran yang menarik dan menyeronokkan. Pengalaman yang menyeronokkan ini pastinya akan menyemarakkan perasaan ingin tahu (curiosity) murid, membuatkan mereka suka belajar (love of learning), percaya dengan kebolehan diri sendiri, dahagakan ilmu pengetahuan dan menjadikan mereka bersemangat tinggi untuk maju.
 
 
Kenapa Perlu Pendidikan Secara Inkuiri? Dr Ihsan Ada Jawapannya
Inkuiri menyediakan ruang untuk murid mencari ilmu dan berkreativiti
 
2. Salah satu cara untuk memberikan pengalaman ini kepada murid adalah melalui pendidikan STEM yang dilaksanakan secara hands-on. Pendidikan STEM memberi peluang kepada murid untuk berfikir secara analitikal, kritis, kreatif dan inovatif dengan mengintegrasi dan mengaplikasikan ilmu yang dipelajari dalam konteks dunia sebenar dan menjadikan pembelajaran lebih bermakna. Pendidikan STEM adalah berasaskan inkuiri, berfokuskan proses dan berpusatkan murid.
 
3. KPM melalui Pusat STEM Negara, Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan sedang berusaha bersungguh-sunguh untuk meningkatkan kualiti pendidikan STEM di Malaysia. Pendidikan STEM didefinisikan sebagai pembelajaran bersepadu disiplin sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik yang mengaplikasikan konteks dunia sebenar dengan menghubungkan institusi pendidikan, komuniti dan industri untuk melahirkan bakat dan masyarakat berliterasi STEM ke arah memacu pembangunan ekonomi negara. 
 
 
Kenapa Perlu Pendidikan Secara Inkuiri? Dr Ihsan Ada Jawapannya
Bimbingan guru semasa proses inkuiri membantu murid untuk belajar dengan lebih baik
 
Matlamat pendidikan STEM adalah untuk melahirkan murid berliterasi STEM yang kreatif, inovatif, inventif dan berupaya mengenal pasti, mengaplikasi serta mengintegrasikan konsep atau komponen STEM untuk memahami masalah dan menyelesaikannya melalui pembelajaran bersepadu STEM yang mengaplikasikan konteks dunia sebenar dan menggunakan pendekatan hands-on dan penerokaan terbuka. Murid ini tidak terhad kepada murid aliran STEM sahaja tetapi merangkumi semua murid dari peringkat awal kanak-kanak hingga lepasan menengah.
 
4. Penekanan kepada pendidikan STEM adalah sangat penting kerana inovasi dan pemesatan pengetahuan berteraskan internet mudah alih (mobile internet), data raya (big data) dan Internet of Things (IoT) telah mengubah landskap sosioekonomi global secara menyeluruh. Pada masa ini dan lebih-lebih lagi pada masa hadapan, dunia memerlukan generasi berbakat baharu yang berkeupayaan menyesuaikan diri dalam cabaran besar pada masa hadapan. Modal insan yang sedemikian merupakan faktor yang kritikal bagi memastikan kejayaan sesebuah negara dalam era revolusi industri keempat ini.
 
 
Kenapa Perlu Pendidikan Secara Inkuiri? Dr Ihsan Ada Jawapannya
Guru juga perlu sentiasa meningkatkan diri dengan kemahiran dan pengetahuan yang seiring zaman
 
5. Walau bagaimanapun, saban tahun kita menyaksikan murid di Malaysia semakin kurang berminat dengan mata pelajaran sains dan matematik yang merupakan tunjang kepada bidang STEM. Pada tahun ini hanya 44 peratus murid memasuki aliran STEM dengan hanya 22 peratus daripadanya dalam aliran sains tulen. Oleh itu, usaha bersungguh-sungguh perlu dilakukan bagi mengatasi keadaan ini supaya negara mampu menyediakan modal insan yang bersesuaian dengan keperluan dalam era revolusi industri keempat ini.
 
6. Sehubungan dengan itu, bagi menangani isu kemerosotan minat murid dalam bidang STEM, KPM menerusi Pusat STEM Negara, BPPDP, telah mengambil inisiatif untuk menghasilkan Pelan Tindakan STEM KPM yang lebih tersusun dan menyeluruh serta menghubungkan pelbagai agensi kerajaan dan bukan kerajaan demi memastikan matlamat pendidikan STEM negara akan tercapai. 
 
 
Kenapa Perlu Pendidikan Secara Inkuiri? Dr Ihsan Ada Jawapannya
Murid dibimbing untuk berkreativiti dengan pendekatan inkuiri
 
 
Usaha ini juga bagi memastikan tahap penguasaan STEM dalam kalangan murid dapat dipertingkatkan, seterusnya menyediakan tenaga kerja dalam bidang STEM yang mencukupi sejajar dengan keperluan negara pada masa hadapan. Pelan Tindakan STEM KPM ini menyokong objektif Inisiatif Pengukuhan Pendidikan STEM seperti termaktub dalam PPPM (2013 – 2025) iaitu untuk meningkatkan minat murid, kemahiran guru dan kesedaran orang awam.
 
7. Antara usaha untuk meningkatkan kemahiran guru adalah menerusi program Inquiry Based Science Education (IBSE) dan Inquiry Based Mathematics Education (IBME) yang bertujuan membantu guru melaksanakan PdP secara inkuiri. Pembelajaran secara inkuiri merupakan satu kaedah yang sangat berkesan untuk memastikan murid betul-betul faham apa yang dipelajari dan bukan sekadar menghafal apa yang dipelajari dan seterusnya meluahkannya semula dalam peperiksaan. 
 
 
Kenapa Perlu Pendidikan Secara Inkuiri? Dr Ihsan Ada Jawapannya
Inkuiri juga membimbing murid dengan kemahiran menyelesaikan masalah
 
Melalui pembelajaran secara inkuiri, murid digalakkan untuk bertanya soalan dan mencari jawapan dengan cara menjalankan penyiasatan, eksperimen dan aktiviti hands-on. Pembelajaran secara inkuiri adalah bertepatan dengan kata-kata Confucius, seorang ahli falsafah China, "I hear and I forget, I see and I remember, I do and I understand". Begitu juga kata-kata daripada John Holt, seorang pendidik dari Amerika iaitu “Learning is not the product of teaching. Learning is the product of the activity of learners”.
 
 
 Dr. Ihsan Ismail
 Ketua Unit Pusat STEM Negara


Menyaksikan pendidikan STEM di Malaysia sejak dari tahun 2015, saya secara peribadi juga mengucapkan terima kasih dan jutaan tahniah kepada pasukan Pusat STEM Negara, yang dipimpin oleh Dr Ihsan Ismail. Sememangnya pasukan yang bertungkus lumus bekerja menjalankan tugas menyebarluaskan lagi pendekatan STEM kepada warga pendidikan di Malaysia. Terbaik!

Untuk Pusat STEM Negara, Selamat maju jaya!


 
 

Catat Komen

0 Ulasan