Bengkel Pembelajaran Abad ke-21 dan SKPMg2 di Sabak Bernam |
Terkejut juga saya apabila dimaklumkan bahawa sesi adalah bersama Ikon PAK21 Sabak Bernam. Bila diberi penjelasan oleh Ustaz Akbar, baru lah saya faham bahawa pihak PPD Sabak Bernam dalam usaha menggalakkan Pembelajaran Abad ke-21 dalam kalangan guru, telah melantik seorang Ikon PAK21 di setiap sekolah dalam daerah mereka.
Ikon PAK21 ini akan bertindak sebagai penggerak dan mentor kepada rakan guru lain di sekolah tersebut. Diharapkan melalui pelantikan Ikon PAK21 ini akan mencetuskan semangat dalam membudayakan amalan Pembelajaran Abad ke-21 di sekolah tersebut. Bijak kan idea mereka?
Maka pada 14 Julai, saya bersama Ustaz Asrulnizam yang juga dijemput bagi perkongsian bersama guru Pendidikan Islam di sini, bergerak ke Sabak Bernam. Huhu. Jam 1 pagi baru lah kami sampai ke homestay yang disediakan. Memang penat, sebab terus bertolak sebaik saja tamat sesi persekolahan pada hari Khamis tersebut.
Esok paginya terus bergerak ke tempat berlangsungnya perkongsian. Kemudahan dewan yang disediakan di Pusat Kokurikulum tersebut memang sangat sesuai untuk kegunaan bengkel seperti ini. Maka saya teruskan dengan perkongsian amalan dalam bilik darjah.
Manakala Ustaz Asrulnizam pula bersama Guru Cemerlang dan juga Jurulatih Utama Pendidikan Islam bagi sesi simulasi di SMK Ungku Aziz.
Sesi saya disambung dengan sesi bengkel. Kali ini Ikon-ikon ini berpeluang untuk terlibat sendiri dalam menyediakan perancangan bagaimana mahu PdPc mereka lengkap dengan ciri-ciri Pembelajaran Abad ke-21.
Ternyata Ikon-Ikon PAK21 yang dilantik ini bukan lah calang-calang guru. Sekejap sahaja mereka sudah mula biasakan diri dengan pembelajaran sebegini. Memang sesuai sangat pelantikan mereka sebagai Ikon. Tahniah!
Sesi petang selepas Jumaat disambung dengan sesi LDP di SMK Ungku Aziz. Manakala Ustaz Asrulnizam pula di SMK Bagan Terap. Tapi dalam pada itu sempat juga kami dibawa melawat ke SAM Bagan Terap oleh Ustaz Zamri.
Surau Sekolah SAM Bagan Terap rupa-rupanya telah terpilih untuk dipertandingkan ke Pertandingan Surau Tercantik ke Peringkat Kebangsaan sebagai calon bagi mewakili negeri Selangor.
Selesai sesi perkongsian bersama guru-guru di SMK Ungku Aziz, saya bergerak ke Kampung Sekendi yang terletak berdekatan. Sebabnya, masa zaman belajar kat USM dulu, saya pernah mengikuti program Baktisiswa di sini.
Teringin pula nak menziarah mak angkat saya yang dah lama terputus hubungan. Rumahnya masih ingat. Tapi lokasi tu samar-samar. Hanya beberapa petanda seperti Klinik yang menyebabkan saya ingat-ingat kembali perjalanan di kampung tersebut.
Mujur juga Ustaz Zamri nak melayan kerenah seorang nih. Hahaha. Beberapa biji rumah sempat kami terjah, tapi tersalah. Lawak pula rasa. Mujur lah sebab Ustaz Zamri sendiri orang di kawasan tersebut. Mudah sket urusan berbahasa Jawa. ;)
Tak disangka, terjumpa juga rumah yang dimaksudkan. Cuma tiada orang saja sebab mak angkat tu, Mak Munah dah berpindah tinggal bersama anak menantu nya di kampung lain. Tanpa sengaja juga, rupanya anak menantu nya juga dikenali Ustaz Zamri. Keciknya dunia!
Menjelang maghrib kami terus bergerak ke rumah Ustaz Zamri. Di sini bertemu pula dengan sahabat serumah saya masa di Sarawak, Cikgu Alif. Cikgu Alif sekarang mengajar di Sabak Bernam dan menetap di sini. Sempat juga mengimbau kenangan masa di Sarawak dulu.
Di kedai makan pula bertemu dengan Cikgu Man Affendy, guru Prasekolah yang mengajar di Sekinchan. Sanggup beliau datang dari jauh sebab ambil kesempatan nak bertemu dengan saya. Saya doakan cikgu sentiasa bersemangat menjadi guru yang terbaik buat anak-anak kecil tu. Terima kasih Cikgu Man!
Selesai menjamu selera, maka kami pun mengucapkan Selamat Tinggal kepada Ustaz Zamri. Seronok bila datang ke tempat orang, dan diraikan dengan sedemikian rupa. Rasa macam nak datang lagi. Terima kasih Ustaz Zamri dan Ustaz Akbar!
Perjalanan pulang walaupun dalam kepenatan, tinggal dengan seribu kenangan di Sabak Bernam. Semoga perkongsian dan pengalaman di sini memberikan impak bermakna buat pembudayaan Pembelajaran Abad ke-21 di Sabak Bernam.
Buat Sabak Bernam, buat yang terbaik!
0 Ulasan