About Me

80 Hari di Korea : Hari 79 (Pembentangan Akhir di APCEIU UNESCO)

Sesi pembentangan akhir kali ini berlangsung di APCEIU - UNESCO. Kembali ke tempat asal, di mana hari pertama kami tiba di Seoul untuk Program Local Adjustment. Ibu pejabat utama bagi badan yang menguruskan segala keperluan kami sepanjang 80 hari berada di Korea. 





Ramai juga dalam kalangan team Malaysia yang mempunyai pakaian tradisional Korea, iaitu Hanbok. Maka bagi kenangan akhir di APCEIU, 6 orang daripada kami telah mengenakan pakaian tersebut sebagai tanda menghormati Korea sebagai negara tuan rumah. Tentulah 6 orang tu pun termasuk saya juga!


Tak sangka pula, hanya team Malaysia sahaja yang mengenakan hanbok pada hari ini. Guru-guru pertukaran lain daripada Mongolia, Filipina dan Vietnam langsung tidak ada mengenakan pakaian tradisional Korea. Maka secara tak langsung team Malaysia menjadi tumpuan hadirin yang datang. 






Untuk sekolah Daegu Girls Commercial High School, saya dan Hanne ditemani oleh guru mentor, Mr Kim Dong Cheol dan juga kakak saya yang cantik, Mrs Park Geum Ee. Ralat sket rasanya sebab rombongan kami tak dapat disertai oleh tuan Pengetua yang sangat baik hati, Mr Bae atas urusan hadir kursus. 


Sesi pembentangan akhir kali ini tidak disertai oleh pegawai atau wakil daripada KPM. Selaku ketua kumpulan bagi delegasi Malaysia untuk Program KOMTEP 2015 ini, maka saya dijemput untuk memberikan sepatah dua kata ucapan mewakili pasukan. 




Dah tentu peluang digunakan untuk mengucapkan jutaan terima kasih yang tak terhingga kepada pihak Kementerian Pendidikan Korea dan Malaysia, APCEIU UNESCO atas penganjuran program dan juga semua wakil sekolah yang menyertai program pertukaran pada kali ini. 


Selesai sesi ucapan daripada semua negara, hadirin dan hadirat dibahagikan kepada 3 kumpulan mengikut negara. Kumpulan 1 terdiri daripada guru-guru negara Malaysia dan Filipina yang akan menggunakan Bahasa Inggeris sebagai medium komunikasi. Kumpulan 2 terdiri daripada guru-guru Vietnam. Dan kumpulan 3 adalah guru-guru daripada Mongolia.




Sekali lagi saya diminta untuk menjadi moderator bagi wakil Malaysia, manakala Puan Ophelia bertindak sebagai moderator untuk wakil Filipina. Pembentangan dimulakan dengan pasukan dari Malaysia, diikuti dengan Filipina secara berselang seli. Sama seperti ketika pembentangan peringkat mid term review dulu.


Untuk kali nih kami perlu nyatakan perkara-perkara yang kami telah pelajari sepanjang pengalaman 3 bulan berada di Korea. Dan juga perkara yang akan kami laksanakan sekembalinya kami ke negara masing-masing.




Selesai semua sesi pembentangan sekali lagi kami semua dikumpulkan di dewan bagi majlis perpisahan. 


Rasa sedihnya tiba-tiba menyelubungi. Sebab masing-masing dah tahu, dah tiba masa untuk mengucapkan selamat tinggal kepada wakil terakhir sekolah. Ramai yang dah mula menitiskan air mata. Sedih. Memang sedih. Rupa-rupanya ramai juga yang terkesan daripada pengalaman untuk 3 bulan ini.


Saya juga sedih. Sebab dah tiba masa untuk mengucapkan selamat tinggal kepada guru mentor saya yang sangat baik hati dan menjaga saya di Korea dengan sebaik mungkin. Juga sedih untuk berpisah dengan Mrs Park yang selalu saya panggil beliau dengan gelaran 'noona', iaitu kakak. Cukup sedih! Tak tahu bila lagi ada kesempatan nak berjumpa...








Selesai mengucapkan selamat tinggal kepada guru mentor dan Mrs Park, mereka terus pulang ke Daegu. Kami team Malaysia masih perlu tinggal di Seoul lagi satu malam kerana menunggu penerbangan pulang ke Malaysia pada keesokan harinya. 




Malam terakhir di Seoul dipenuhi dengan meluangkan masa-masa terakhir bersama kawan-kawan di sekitar Hotel Sheraton. Saya, Adel dan Pauline menikmati kopi terakhir kami di sebuah cafe yang sangat tenang. Duduk, minum dan nikmati... 



Catat Ulasan

0 Ulasan