.

.

KARTiKEL

Khamis, 5 November 2015

80 Hari di Korea : Hari 48 (Hari Open Class & Koperasi Sekolah di Malaysia)

Hari nih sekolah saya akan didatangi oleh sepasukan pegawai pendidikan daripada Pejabat Pendidikan Daegu. Untuk Open Class. Hari Open Class nih adalah hari di mana, semua guru akan mengajar dan pegawai pendidikan atau guru-guru lain bebas untuk masuk kelas anda dan memantau bagaimana anda mengajar di dalam kelas. Ini adalah salah satu strategi bagi meningkatkan kualiti guru di Korea.





Bagi satu tahun, akan ada 2 kali pelaksanaan Open Class. Sekali pada semester 1, dan sekali lagi pada semester 2. Manakala di peringkat sekolah pula, open class diadakan setiap bulan mengikut giliran guru. Untuk peringkat sekolah, video akan dirakamkan juga semasa pdp berlangsung dan kemudiannya akan ditonton oleh sekumpulan guru lain pada hari yang ditetapkan. Lebih kurang pelaksanaan PLC dengan menggunakan kaedah Video Critiques.


Kami diperkenalkan dengan pegawai pendidikan yang datang. Sempat juga menunjukkan slide presentation yang bakal kami persembahkan kepada pihak APCEIU -UNESCO bagi sesi review untuk separuh penggal. Mendapat maklumbalas menarik daripada pihak jabatan pendidikan Daegu. 





Saya cuba mengikuti pegawai tersebut memantau guru-guru mengajar. Tak lama masa yang diambil untuk berada di satu-satu kelas. Hanya dalam lingkungan 10 minit sahaja. Dan pilihan kelas juga adalah secara rawak. Maka nasib lah mana-mana guru yang mempunyai kelas pada waktu tersebut.






Selesai pemantauan, ada sedikit perbincangan secara menyeluruh dengan pihak sekolah. Beberapa perkara yang baik dan juga yang perlu diperbaiki dimaklumkan kepada pihak sekolah supaya ada tindakan penambahbaikan. Secara keseluruhan, pihak jabatan pendidikan berpuashati dengan kepelbagaian aktiviti sekolah dan juga keberkesanan guru mengajar di dalam kelas. 







Hanya ada cadangan untuk memantapkan lagi keyakinan murid melalui public speaking. Maka saya mencadangkan pihak sekolah mengadakan sudut khas lengkap dengan platform untuk pelajar mempersembahkan ucapan mereka. Cadangan disambut baik oleh pihak sekolah dan juga jabatan pendidikan mereka. 




Hari ini juga kami didatangi oleh pegawai pendidikan yang berkaitan dengan persatuan koperasi pelajar di Daegu. Alasan untuk bertemu dengan kami, guru-guru Malaysia adalah untuk bertanyakan beberapa perkara mengenai koperasi sekolah di Malaysia.

Dari sana, kami dimaklumkan bahawa koperasi sekolah Malaysia adalah yang terbaik di dunia dari segi pengurusannya!

Wah! Serius memang terkejut bila mendengar makluman seperti itu. Saya sendiri pun tak pernah tahu mengenai hal ini sehinggalah dimaklumkan oleh pihak Korea ini. 

Malah menurut mereka, satu lawatan penanda aras akan dilakukan oleh pihak pendidikan Korea ke koperasi sekolah di Malaysia pada bulan Januari tahun 2016 nanti!


Kemudian mereka mula bertanyakan beberapa soalan yang berkaitan dengan penubuhan dan juga masalah yang dihadapi di koperasi sekolah-sekolah. Walaupun saya dan Hanne tidak berpengalaman menguruskan sendiri koperasi sekolah, namun sedikit sebanyak maklumat dan pengalaman berurusan dengan pihak koperasi sekolah membantu untuk kami menerangkan kepada mereka dengan lebih baik.





Kami juga dijemput untuk menghadiri satu lagi sesi perkongsian bersama beberapa pegawai lain pada minggu seterusnya. Kata mereka, lagi banyak lagi soalan yang mereka nak tahu. Maka, terpaksalah kami membuat sedikit persiapan untuk memberikan maklumat dengan lebih baik kepada mereka. 




2 ulasan:

  1. Wow....xsangka juga koperasi sekolah malaysia adalah the best in the world...bangga jadi ckgu koperasi ni...boleh usha koperasi smk kota, kota bharu dan koperasi sekolah2 yg menang hari koperasi peringkat kebangsaan....

    BalasPadam
    Balasan
    1. kan.. tu lah .. masa mula2 dengar daripada diorang pun macam tak caya.. bangga ! TQ untuk info.. :D

      Padam