.

.

KARTiKEL

Khamis, 4 Disember 2014

Bercuti ke Pontianak : Istana Kadriyah

Satu lagi destinasi menarik di Pontianak yang patut dikunjungi adalah Istana Kadriyah, atau pun dikenali sebagai keraton dalam Bahasa Indonesia. Terletak di Kampung Beting, Kelurahan Bugis Dalam, istana ini merupakan kediaman rasmi Kesultanan Pontianak suatu ketika dahulu.


Istana Kadriyah, Pontianak
Istana Kadriyah, Pontianak

Untuk nak ke Istana Kadriyah ini, anda akan melalui perkampungan setinggan dengan jalan yang sesak. Lorong jalan yang ada hanya muat-muat 2 kereta untuk berselisih. Jika tersalah jalan, susah juga nak u-turn atau nak berpusing balik. 

Setibanya kami di Istana Kadriyah, kelihatan beberapa tukang yang masih menyapu cat pada bahagian hadapan istana tersebut. Disebabkan Istana ini baru dibaikpulih semula, maka amat menonjol sekali warna kuning yang dicat pada dinding istana. Nampak seperti istana yang baru. 


Pintu masuk Istana Kadriyah
Pintu masuk Istana Kadriyah

Binaan nya adalah unik dan cantik. Ciri-ciri senibina Melayu nya jelas kelihatan pada rekabentuk bumbung dan juga corak hiasan pada bumbung dan pintu istana. Simbol bulan dan bintang lambang Islam juga jelas kelihatan pada pintu masuk ke bahagian dalam istana. Di bahagian dalam pula tersergam indah singgahsana tempat bersemayam raja.


Istana Kadriyah, Pontianak

Istana Kadriyah, Pontianak

Istana Kadriyah, Pontianak


Kedatangan kami ke Istana Kadriyah disambut oleh seorang nenek yang agak berusia. Daripada perbualan, tahu lah kami bahawa beliau merupakan salah seorang cucu kepada Sultan Pontianak yang keenam, iaitu Sultan Syarif Muhammad Alkadrie. Beliau juga diberi mandat untuk menjaga Istana Kadriyah ini bagi pihak pewaris kesultanan Pontianak.


Bersama pewaris dan penjaga Istana Kadriyah Pontianak
Bersama pewaris dan penjaga Istana Kadriyah

Daripada beliau, diceritakan asal usul penubuhan Kesultanan Pontianak dan sejarah Istana Kadriyah ini. Mengikut ceritanya, Sultan Pontianak yang pertama adalah Sultan Syarif Abdurrahman alkadrie yang berketurunan Yaman. Dalam usaha mencari kawasan penempatan baru, Sultan Syarif telah menemukan suatu kawasan yang cukup strategik.

Walaubagaimanapun, tempat ini dipenuhi dengan hutan dan juga didiami oleh hantu Pontianak atau pun dikenali sebagai Kuntilanak di Indonesia. Maka diperintahkan oleh Sultan Syarif Abdurrahman, supaya ditembak kawasan tersebut dengan meriam bagi mengusir semua Pontianak.


Al-Quraan yang dipercayai hasil tulisan tangan Sultan Syarif Muhammad alKadrie
Al-Quraan yang dipercayai hasil tulisan tangan Sultan Syarif Muhammad alKadrie

Setelah sekian lama, beliau merupakan orang pertama yang menjejakkan kaki ke kawasan baru dan mula membuka kawasan bersama-sama pengikutnya. Setelah mendapat satu kawasan baru yang agak luar, maka ditembakkan sekali lagi meriam ke udara dengan 3 kali tembakan.

Tempat jatuh peluru yang pertama didirikan Masjid Jami Sultan Syarif Abdurrahman alkadrie. Tempat jatuh yang kedua dijadikan kawasan permakaman anggota keluarga kerabat kesultanan Pontianak. Dan tempat terakhir jatuhnya peluru, didirikan Istana Kadriyah ini.


Meriam yang dipercayai digunakan untuk mengusir Kuntilanak aka Pontianak
Meriam yang dipercayai digunakan untuk mengusir Kuntilanak aka Pontianak

Sekalipun sudah tidak digunakan lagi sebagai istana, Istana Kadriyah ini masih digunakan sebagai tempat pengajian al-Quraan dan kitab pada hari tertentu. Malah di bahagian luar istana juga ada  beberapa gerai yang menjual cenderamata bagi pengunjung untuk dibuat kenangan. 


Kunjungan saya ke Istana Kadriyah ini juga membuka mata saya mengenai sejarah Kesultanan Pontianak. Malah lebih mengejutkan salah seorang permaisuri bagi Sultan yang keenam adalah merupakan rakyat daripada Malaysia. Secara tak langsung menunjukkan betapa akrabnya hubungan antara kesultanan Pontianak dulu dengan kesultanan Melayu di kawasan lain juga. Budaya yang sama. Adat yang sama. Masih serumpun. 


INFO : Tempat-Tempat Menarik di Kota Pontianak



4 ulasan:

  1. happy holiday cikgu:)
    banyak tinggalan sejarah...

    BalasPadam
    Balasan
    1. TQ Amizaa... yup. sesuai dengan jiwa cikgu tu... ;)

      Padam
  2. Best nya dpt jalan2.. next trip blh plan ni..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Yup.. best pegi tengok tempat orang.. silakan

      Padam