.

.

KARTiKEL

Rabu, 19 Jun 2013

Cuti Sabatikal Untuk Pengetua, Guru Besar dan Guru Bagi Sambung Belajar di Luar Negara

Kementerian Pendidikan bercadang memperkenalkan cuti sabatikal untuk pengetua, guru besar dan guru mengikuti program pembelajaran di luar negara, kata Menteri Pendidikan Kedua, Datuk Seri Idris Jusoh. Beliau berkata, cuti sabatikal untuk mengikuti program pembelajaran luar negara yang kini hanya dinikmati pensyarah di institusi pengajian tinggi amat penting dalam usaha kerajaan meletakkan sistem pendidikan negara setanding dengan negara di seluruh dunia.
 

Cuti Sabatikal Guru


“Kita sering berkata mahu meletakkan sistem pendidikan Malaysia sebaris dengan negara luar tetapi bagaimana kita nak merealisasikannya kalau pengetua, guru besar dan guru kita tidak dapat banyak pendedahan tentang sistem pendidikan di luar negara.

“Dengan cara ini kita harap lebih ramai pengetua, guru besar dan guru mempelajari sistem pendidikan di negara seperti United Kingdom dan Finland bagi membuka minda mereka tentang cara terbaik melahirkan anak bangsa yang mampu meneruskan kecemerlangan Malaysia pada masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyampaikan Anugerah Tawaran Baharu Kepada Pengetua Tahun 2012 di sini, hari ini. Turut hadir Ketua Pengarah Pendidikan, Tan Sri Abd. Ghafar Mahmud dan Ketua Nazir Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti Kementerian Pendidikan, Datuk Misrah Ibrahim. Seramai 151 pengetua sekolah menerima sijil dan wang tunai RM7,500 pada anugerah yang diberi kepada pengetua sekolah cemerlang berdasarkan Gred Purata Sekolah dan skor Standard Kualiti Pendidikan Malaysia sekolah mereka.

Idris berkata, cadangan itu masih dalam perbincangan serta kajian di peringkat kementerian dan apabila selesai, ia akan dibentang kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pendidikan.

“Banyak perkara kita perlu bincangkan dan kita teliti seperti tempoh masa cuti itu dua ke tiga bulan, sabatikal ini boleh diambil setiap lima tahun sekali dan negara-negara yang terbaik untuk kita hantar guru kita.

“Kita akan buka peluang untuk semua jenis guru, peringkat menengah, rendah mahupun bidang teknikal. Kementerian akan pilih siapa yang layak menerusi kriteria yang akan kami tetapkan nanti,” katanya.

Mengulas mengenai Pelan Pendidikan Malaysia 2013-2015, Idris berkata, pengetua dan guru besar perlu menjadi ejen perubahan bagi merealisasikan fasa pertama pelan itu yang bermatlamat merubah sistem pendidikan negara untuk menghasilkan generasi muda berdaya maju. – BERNAMA

1 ulasan:

  1. Blog yang menarik sarat dengan info. Salam Cgu Hailmi. Sy dah link blog Cgu Hailmi di http://www.kauilhamku.com/blog/blog-sempoi. Hrp Cgu Hailmi link back blog sy ok. TQ

    BalasPadam