.

.

KARTiKEL

Khamis, 14 Februari 2013

Sejarah Sofbol di Daerah Sibu, Sarawak

Sejarah Perkembangan Sukan Sofbol di Sibu, Sarawak

Entri ini adalah bertujuan sebagai catatan kenangan dan tatapan peribadi pemilik blog, serta rakan-rakan seperjuangan.

Sejarah perkembangan sukan sofbol di Sibu, boleh dikatakan bermula daripada tahun 2007, apabila sekumpulan guru yang terdiri daripada 3 buah sekolah telah mula mengatur langkah mengembangkan sukan tersebut di Sibu. Guru-guru tersebut adalah terdiri daripada Cikgu Peter Coelho (SMK Chung Hua Sibu), Cikgu Norhailmi Abdul Mutalib (SMK Luar Bandar No.1 Sibu), Cikgu Achmaed Ckhalifh (SMK Bukit Lima) dan Cikgu Kho Say Wei (SMK Bukit Lima) yang bertindak selaku Pengerusi Teknikal Sofbol Sibu. Tujuan utama bagi kumpulan ini adalah mengadakan Kejohanan Sofbol MSS yang pertama di Sibu dan juga menghantar pasukan Sibu ke Kejohanan Sofbol MSS Sarawak.

Sudah tentu untuk memulakan sesuatu memerlukan kesungguhan dan juga usaha yang jitu daripada orang yang bertanggungjawab. Atas semangat kerjasama, maka Pengerusi Teknik Sofbol Sarawak, Cik Sita Lahap telah dijemput bagi memberikan tunjuk ajar serta nasihat kepada kelompok pertama penggerak sofbol di Sibu. Satu sesi ceramah ringkas undang-undang telah diadakan dan Cik Sita Lahap juga dijemput untuk menjadi umpire pada hari pertama pertandingan.

Bagi kejohanan pertama ini, hanya 3 buah sekolah sahaja yang mengambil bahagian, iaitu SMK Chung Hua, SMK Bukit Lima dan SMK Luar Bandar No.1 Sibu. Kejohanan diadakan di SMK Lanang. Pada pertandingan tersebut, Johan bagi Kategori L18 adalah pasukan SMK Chung Hua, manakala Johan bagi Kategori P18 pula adalah daripada pasukan SMK Luar Bandar No.1 Sibu.



Pasukan Sofbol SMK Luar Bandar No.1 Sibu semasa Kejohanan Sofbol MSS Sibu pada tahun 2007


Terlalu banyak kekurangan pada semua pasukan semasa kejohanan pertama tersebut. Namun atas semangat kerjasama dan juga atas dasar berkongsi minat yang sama, maka kumpulan penggerak pertama ini telah sebulat suara dalam pemilihan pemain yang berpotensi untuk mewakili Sibu ke Kejohanan Sofbol MSS Sarawak di Kuching.

Maka pada April 2007, buat pertama kalinya, pasukan Sibu menyertai Kejohanan Sofbol MSS Sarawak bertempat di SM St Thomas, Kuching. Sibu telah menghantar pasukan L18 dan juga pasukan P18.


Pasukan sofbol Sibu pada tahun 2007 semasa di Kejohanan Sofbol MSS Sarawak di Kuching


Pasukan L18 telah tersingkir pada pusingan awal. Namun pasukan P18 berjaya mendapat tempat Ketiga dengan mengalahkan pasukan Bintulu. Sudah tentu kejayaan ini, merupakan suatu kenangan manis yang tidak akan dapat dilupakan oleh semua yang terlibat. Pasukan Kuching muncul Johan bagi kedua-dua kategori.


Ini menjadi suatu rangsangan motivasi kepada pemain-pemain dan guru-guru penggerak untuk berusaha dengan lebih gigih. Dengan jumlah sekolah yang masih sama, Kejohanan Sofbol MSS Sibu pada tahun 2008, telah menunjukkan penguasaan pasukan dari SMK Luar Bandar No.1 Sibu. Pasukan sekolah tersebut telah memenangi kedua-dua kategori yang dipertandingkan.



Pasukan sofbol Sibu pada tahun 2008 semasa di Kejohanan Sofbol MSS Sarawak di Bintulu


Bagi Kejohanan Sofbol MSS Sarawak yang dipertandingkan di SMK Bintulu, Bintulu, pasukan Sibu juga tampil lebih cemerlang dengan kedua-dua pasukan L18 dan P18 telah berjaya mendapat tempat Ketiga. Kali ini, pasukan Betong telah menjadi Johan bagi kedua-dua kategori yang dipertandingkan.


Pada tahun 2009, Cikgu Achmaed Ckhalifh juga telah menggantikan Cikgu Kho Say Wei sebagai Pengerusi Teknik Sofbol Sibu atas kemahuan Cikgu Kho Say Wei untuk lebih fokus kepada sukan bola baling. Keluarga sofbol Sibu juga telah menerima 2 lagi rakan guru yang turut membantu perkembangan sofbol di peringkat Sibu dan negeri, iaitu Cikgu Joshua Tingom (SMT Sibu) dan Cikgu Mohd Adam Abdullah (SMK Bukit Assek). Dengan itu, penyertaan bagi peringkat Sibu telah bertambah daripada hanya 3 pasukan kepada 4 pasukan dengan pasukan SMT Sibu muncul sebagai pencabar terbaru.



Musuh tradisi sofbol di Sibu: pasukan SMK Luar Bandar No.1 Sibu dan SMK Chung Hua


Tahun yang sama, pasukan L18 SMK Luar Bandar No.1 Sibu berjaya mengekalkan Johan bagi kategori lelaki, manakala bagi kategori perempuan pula, pasukan P18 SMK Bukit Lima muncul Johan buat pertama kalinya.



Pasukan sofbol Sibu semasa Kejohanan Sofbol MSS Sarawak di Betong pada tahun 2009


Bagi peringkat negeri, Kejohanan Sofbol MSS Sarawak 2009 telah diadakan di Betong. Pasukan P18 Sibu hanya mampu untuk mengekalkan tempat Ketiga. Manakala pasukan  L18 pula terpaksa akur pada tempat Keempat, apabila dikalahkan oleh pasukan Samarahan pada pusingan penentuan. Pasukan Kuching pula kali ini kembali merebut gelaran Juara bagi kedua-dua kategori.



Guru-guru pengiring sofbol daripada pasukan Sibu bergambar kenangan dengan Cik Sita Lahap


Untuk tahun 2010, kedua-dua pasukan Johan pada tahun sebelumnya telah mengekalkan rekod kemenangan masing-masing, dengan pasukan SMK Luar Bandar No.1 Sibu masih muncul sebagai Johan Kategori L18 dan pasukan SMK Bukit Lima pula sebagai Johan Kategori P18. Jumlah sekolah yang menyertai masih 4 buah sekolah.



Pasukan sofbol SMK Luar Bandar No.1 Sibu semasa Kejohanan Sofbol MSS Sibu pada tahun 2010


Pada tahun ini juga, Sibu tidak menghantar pasukan ke Kejohanan Sofbol MSS Sarawak atas faktor-faktor yang tidak dapat dielakkan.
 
Tahun 2011 menyaksikan kemasukan sekolah yang ke-5 menyertai Kejohanan Sofbol MSS Sibu, iaitu pasukan SMK Bukit Assek. Buat sekali lagi juga, pasukan SMK Luar Bandar No.1 Sibu berjaya menyapu bersih gelaran Juara bagi kedua-dua kategori yang dipertandingkan.



Pasukan sofbol SMK Luar Bandar No.1 Sibu semasa Kejohanan Sofbol MSS Sibu pada tahun 2011


Bagi peringkat negeri pula, Kejohanan Sofbol MSS Sarawak sekali lagi telah diadakan di SM St Thomas, Kuching. Kali ini, Sibu menghantar 2 pasukan Kategori P18, iaitu Sibu A (campuran sekolah-sekolah Sibu) dan Sibu B (SMV Sibu). Pasukan Sibu A tumpas pada pusingan kelayakan, manakala Pasukan Sibu B tampil cemerlang dengan mendapat Naib Johan. Johan bagi kedua-dua kategori adalah pasukan yang baru mula menyertai MSS Sarawak, iaitu pasukan Miri.



Pasukan sofbol Sibu B (SM Vokasional Sibu) semasa Kejohanan Sofbol MSS Sarawak di Kuching pada tahun 2011


Kejohanan Sofbol MSS Sibu pada tahun 2012 juga dimeriahkan lagi dengan penyertaan sebuah lagi sekolah, iaitu pasukan SMK Sibu Jaya di bawah pimpinan Cikgu Jerry Morris Unong. Tempat kejohanan juga telah beralih daripada padang SMK Lanang ke SMK Bukit Assek. Bagi kejohanan ini, pasukan SMK Luar Bandar No.1 Sibu telah muncul Johan kategori L18, manakala SMV Sibu pula muncul Johan buat pertama kalinya bagi kategori P18.



Pasukan sofbol Sibu semasa Kejohanan Sofbol MSS Sarawak di Mukah 2012


Kejohanan peringkat negeri pula diadakan di Mukah buat pertama kalinya. Pasukan Sibu L18 telah berjaya mendapat tempat Ketiga mengalahkan pasukan Samarahan, manakala pasukan Sibu P18 pula dikecewakan oleh pasukan Kuching pada perlawanan penentuan dengan kedudukan akhir pada tempat Keempat. Johan bagi kategori L18 adalah pasukan Kuching, manakala Johan bagi Kategori P18 adalah pasukan Miri.

Kejohanan Sofbol MSS Sibu diteruskan seperti biasa pada tahun 2013. Venue kejohanan masih dikekalkan di SMK Bukit Assek atas faktor strategiknya. SMK Luar Bandar No.1 Sibu muncul Johan buat kali ke-6 bagi kategori L18. Manakala pasukan Kolej Vokasional Sibu pula muncul Johan buat kali ke-2 bagi kategori P18.


Kejohanan Sofbol MSS Sibu diteruskan seperti biasa pada tahun 2013


Bagi kejohanan peringkat negeri pula, faktor bajet dan peruntukan telah memberi kesan yang sangat kepada kejohanan yang berlangsung di Miri buat pertama kalinya ini. Banyak pasukan sofbol daerah yang tidak dapat menghantar pasukan. Sibu pula diberi pilihan untuk hanya menghantar 1 pasukan sahaja. Maka dengan pengalaman pada tahun lepas, pasukan lelaki dipilih bagi mewakili Sibu.


sofbol sarawak


Dalam kejohanan tersebut, pasukan Sibu L18 hanya berjaya mendapat tempat ke-4. Namun peningkatan daripada segi teknik dan kemahiran bermain, semakin meningkat. Pengalaman pemain adalah sangat penting dalam menentukan keputusan perlawanan. 

Walaubagaimanapun, 2 orang pemain telah terpilih untuk mewakili pasukan Sarawak ke Kejohanan MSSM di Negeri Sembilan. Mereka adalah saudara Jicky Joseph (SMK Luar Bandar No.1 Sibu) dan Pressly Palong John Noel (SMK Luar Bandar No.1 Sibu). Tahniah!

Tahun 2014, dunia sofbol Sibu menerima sedikit impak. Ini kerana Cikgu Adam Abdullah yang merupakan antara orang kuat sofbol Sibu telah berpindah ke Selangor. Maka kami menjangkakan akan ada penurunan kualiti kepada pasukan dari SMK Bukit Assek. Tiada penambahan pasukan baru. Masih kekal kepada sekolah yang sama.




Buat kali ke-7, pasukan lelaki SMK Luar Bandar No.1 Sibu berjaya merangkul gelaran Johan dalam Kejohanan Sofbol MSS Sibu 2014. Manakala pasukan perempuannya juga, berjaya merangkul Johan. Johan berganda! 

Walaubagaimanapun, oleh kerana prestasi yang kurang memberangsangkan pada tahun 2013, maka sekali lagi hanya satu pasukan dibenarkan untuk dihantar ke peringkat negeri. Kejohanan Sofbol MSS Sarawak 2014 berlangung di Mukah buat kali kedua. Pasukan yang menghantar pun makin sedikit. Semuanya atas faktor peruntukan yang terhad.

Pasukan Lelaki Sibu sekali lagi dipilih bagi mewakili Sibu. Sasaran awal hanyalah untuk muncul sebagai 3 pasukan terbaik. Namun akhirnya berjaya merangkul Naib Johan buat pertama kali dalam sejarah sukan sofbol di Sibu. Kejayaan terbaik sepanjang 8 tahun penubuhan sofbol di Sibu.




4 orang pemain pasukan Sibu juga terpilih mewakili Sarawak ke Kejohanan MSSM Sofbol di Pulau Pinang. Mereka adalah Marvine Rayong Ligih (SMK Luar Bandar No.1 Sibu), Petrus Manjan (SMK Luar Bandar No.1 Sibu), Pressly Palong John Noel (SMK Luar Bandar No.1 Sibu) dan Mohd Hamizan (SMK Sibu Jaya). Manakala Cikgu Achmaed Ckhalifh pula telah terpilih sebagai Jurulatih Negeri bagi pasukan L18. Tahniah semua!


Semoga sukan sofbol akan terus bersinar di Sibu!



9 ulasan:

  1. Rindu zaman persekolahan... :(..terima kaseh byk2 kpd ckgu2 sy yg byk membimbing sy dlm sukan sofbol... :)

    BalasPadam
  2. Teruskan usaha cikgu...untuk menyemarakkan lagi...tahun depan bagi Sibu sebagai tuan rumah..boleh tuu

    BalasPadam
  3. Tahniah...teruskan usaha...boleh baiki lg kekurangan...tengok dr luar tu...semangat..
    nak komen ....takut tak kena pulak...orait dah tu
    cuba tengok team2 yg dah berjaya...tengok dulu

    BalasPadam
  4. ok3.. terima kasih.. banyak lagik kekurangan yang kena baiki tuh.. inshaAllah kalau ada masa dan peluang untuk terus aktif dalam dunia sofbol nih, saya akan buat dengan lebih baik lagi.. ;)

    BalasPadam
  5. First expression....cuba u tengok team pahang..Neg9....team Vipers penang tu memang hebat..depa ada jenama sendiri complete set....cuba tengok penampilan mereka...apa yg u nampak?...Filipina banyak

    BalasPadam
  6. cantek blog...hitam legam...ad kmjuan sket..hehehe

    BalasPadam
  7. all the best utk p'tandingan sofbol pda minggu depan...smklbs pasti berjaya...

    BalasPadam
  8. cayooook sofbol next tme.....hehehehehehe

    BalasPadam