About Me

Gagalkah Ibubapa Masa Kini Mendidik?

Bila viral isu Cikgu Azizan dan kerosakan di Pusat Sains Negara yang baru dibuka semula, saya tertanya satu soalan, gagalkah ibubapa zaman sekarang dalam mendidik?

Pendidikan pada saya, adalah merupakan satu sistem yang kompleks, dengan beberapa pihak turut menyumbang secara bersama kepada kejayaan sistem tersebut.


Vandalisme di Pusat Sains Negara; Gagalkah Ibubapa Masa Kini Mendidik?
Vandalisme di Pusat Sains Negara


Jika di Korea, salah satu kunci kejayaan pendidikan mereka adalah disebabkan oleh peranan besar ibubapa dalam mendidik anak. Harus difahami, mendidik. Bukan sekadar jaga dan bela anak.

Nilai dan etika disemai sejak kecil. Apa do's and don't nya. Tahu adab. Tahu bila mahu bercakap, tahu bila mahu duduk tertib. Tahu untuk malu jika berbuat salah. Tahu untuk malu jika menyusahkan orang lain.


Vandalisme di Pusat Sains Negara; Gagalkah Ibubapa Masa Kini Mendidik?
Baru buka tak sampai sebulan, Pusat Sains Negara dah jadi camni

Sumbangan dan sarana ibubapa Korea juga menjangkau kepada bergilir ke sekolah untuk jaga anak semasa kelas tambahan. Setiap hari.

Di tempat kita pula, lebih kepada sekadar sumbangan kehadiran bagi memenuhkan majlis jaya waris, penyampaian hadiah. Berapa kerat sangat yang sanggup datang bersama sekolah untuk benar-benar menyumbang (bukan duit saja) kepada sekolah. Sebabnya, ramai yang ego dengan mentaliti, "I can pay you..!"

Kita di sini juga, tugas mendidik tu lebih banyak terletak di bahu sekolah dan guru. Seolah-olah bila dihantar ke sekolah, segala peranan dan tugas mendidik sudah tak perlu dilaksanakan di rumah.

Sebab tu saya pelik, anak sang askar yang terkenal dengan disiplin pun tak mampu dijinakkan dan dikawal oleh sang bapa? Didikan bagaimanakah itu di rumah?

Tak percaya lagi, boleh tengok juga bagaimana ibubapa masakini punya didikan semasa membawa anak mereka ke kedai makan, dan juga mengunjungi tempat seperti Pusat Sains.



Vandalisme di Pusat Sains Negara; Gagalkah Ibubapa Masa Kini Mendidik?
Sampah dibuang di merata rata tempat

Banyak yang dibiarkan 'ganas' meliar atas alasan kreativiti dan kebebasan eksplorasi. Kalau betul pon nak anak explore, biarlah secara dibimbing, dipandu secara tertib oleh ibubapa. Tidaklah anak itu nanti menjadi penyebab kepada masalah lain pula.

Maka jika tugas mendidik hanya diletakkan di sekolah secara total, inilah masyarakat yang kita lahirkan. Yang hanya tahu ikut peraturan dan undang-undang di dalam kawasan sekolah sahaja.

Dalam sekolah, buang sampah dalam tong. Tapi keluar saja kawasan sekolah, terus buang merata-rata. Itulah petanda jelas bahawa pendidikan kita itu hanya berlaku dalam kawasan sekolah semata-mata.

Maka untuk itu, marilah kita semak kembali peranan yang boleh dimainkan oleh kita sendiri, tak kira siapakah kita. Kita sebagai ibubapa, kita sebagai guru, kita sebagai anggota masyarakat, percayalah bahawa kita ada tugas yang penting dalam membentuk semula generasi kita yang makin rosak dan tenat ini!

Cikgu Hailmi



Catat Ulasan

1 Ulasan