About Me

Perkongsian Amalan Pdpc Abad 21 di Labuan

Saya kira bertuah saat dihubungi oleh Pn Arni, dari SMK Labuan pada Oktober tahun lepas untuk perkongsian amalan pdpc abad 21 dengan guru-guru Sains di sekolah ini. Dengan sedikit perbincangan, kami bersetuju dengan tarikh yang diberikan, memandangkan hari perjalanan pulangnha adalah hari cuti awam di Kedah sempena Hari Keputeraan Kedah.



Perkongsian Amalan Pdpc Abad 21 di Labuan bersama Cikgu Hailmi
Bersama sebahagian guru yang menghadiri sesi Perkongsian Amalan PdPc Abad 21 di Labuan

Program yang asalnya hanya di peringkat panitia, kemudian berkembang kepada peringkat sekolah dan seterusnya menjadi program peringkat Jabatan Pendidikan WP Labuan!  Terkejut juga apa bila pada kali terakhir dimaklumkan bahawa seramai 500 orang guru dijangka hadir. Huhuuu.. Nervous oi..

Tapi saya sahut juga peluang ini sebagai satu ruang untuk saya berkongsi pengalaman dan sedikit ilmu yang saya ada bersama rakan pendidik di Labuan. Kalau tak, tak tahu lah bila lagi nak berpeluang ke sana.

Hari kejadian pulak, hampir-hampir terlepas flight dari Alor Setar ke Kuala Lumpur. Kaunter dah tutup dek kerana saya tiba 30 minit sebelum penerbangan. Sepatutnya 45 minit sebelum dah perlu check in semua. Berpeluh memikir!



Perkongsian Amalan Pdpc Abad 21 di Labuan bersama Cikgu Hailmi
Pemandangan Alor Setar dari atas kapal terbang. Cantik kan?

 Mujur murah rezeki, sebab kebetulan ada seorang VIP dari Kedah yang juga bersama saya lewat. Selit lah juga saya di situ. Malah beliau turut membantu saya untuk diuruskan oleh pihak penerbangan. Selamat. Terima kasih Datuk!


Tiba di Labuan pada jam hampir 10 malam, dan saya disambut oleh seorang guru di SMK Labuan, Cikgu Hafiz. Kami makan sebentar di sebuah kedai makan di kawasan dataran.

Sedang menjamu selera, tiba-tiba saya ditegur tokei kedai. Tak sangka, rupa-rupanya beliau adalah bekas murid saya di SMK Seri Muda Penaga, masa zaman praktikum dulu. Keciknya dunia! Dari sana, kami terus ke Labuan Point, tempat saya menginap sepanjang di Labuan. Sampai saja terus tidur. Tambahan esok kena bangun awal.


Esok paginya saya bangun awal. Menikmati hidangan pagi dan juga menunggu jam 11 pagi untuk sesi testing bahan pembentangan di Labuan International School.



Perkongsian Amalan Pdpc Abad 21 di Labuan bersama Cikgu Hailmi
Dewan auditorium Labuan International School 

Sambil ditemani Cikgu Rizam dan Cikgu Chris, kami kemudiannya ke dewan auditorium tempat berlangsung majlis. Memang dahsyat. Cantik dan sangat selesa! Semoga saya dapat buat perkongsian yang baik untuk para guru pada petang ini.

Semuanya berjalan tanpa masalah. Hanya menunggu untuk digunakan dengan sebaiknya sahaja. Kami keluar makan dan seterusnya kembali ke auditorium pada jam 1 petang. Saya mula lihat ramai para guru yang sudah membanjiri dewan tersebut. Tetiba pulak rasa cuak. Ramai oi!

Saya difahamakn seramai 520 orang peserta yang terdiri daripada semua Ketua Sektor di JPWP Labuan, pengetua dan guru besar, serta guru-guru di seluruh Labuan, dengan setiap sekolah menghantar seramai 12 orang. Jumlah 520 ini juga sudah melebihi satu pertiga daripada jumlah keseluruhan guru di Labuan, iaitu kira-kira 1400 orang.



Perkongsian Amalan Pdpc Abad 21 di Labuan bersama Cikgu Hailmi
520 orang pendidik di Labuan yang hadir pada hari tersebut

Sesi perkongsian bermula dengan ucapan daripada Pengetua SMK Labuan, Encik Ismail Abdullah. Saya cukup suka dengan ucapan beliau yang sangat berinformasi. Padat, ringkas dan penuh isi. Terbaik tuan!

Kemudian bermulalah sesi saya. Seperti biasa, saya akan mulakan perkongsian dengan menunjukkan video dan gambar, kenapa kita perlu berubah? Kerana pada pandangan saya, kebanyakan guru tidak mahu berubah adalah kerana mereka tidak faham akan keperluan untuk berubah tu sendiri.



Perkongsian Amalan Pdpc Abad 21 di Labuan bersama Cikgu Hailmi
Saya di pentas!

Perkongsian ini juga sudah pasti menunjukkan apa yang saya alami di Korea bagi membuka lebih banyak mata ke arah keperluan untuk kita berubah. Daripada respon yang saya terima, boleh saya katakan bahawa melalui video tersebut, mereka sudah mula sedar mengenai keperluan untuk kita berubah.

Seterusnya baru lah saya masuk kepada isu sebenar, iaitu Pembelajaran Abad 21. Topik ini sangat besar dan mempunyai persepsi yang berbeza. Pada pandangan saya, pedagogi guru memainkan peranan yang sangat besar dalam membentuk budaya yang baik untuk Pembelajaran Abad 21. 



Perkongsian Amalan Pdpc Abad 21 di Labuan
Poster untuk perkongsian di Labuan ini dihasilkan oleh Cg Azhar, SMK Labuan. Nice kan?

Dalam masa yang sama juga tidak menafikan kepada keperluan beberapa perkara lain, seperti persediaan bilik darjah yang kondusif dan juga peranan teknologi dalam menarik minat pelajar dan memudahkan kerja guru.

Mujur juga banyak video pdp yang saya rakamkan. Maka lebih mudah untuk saya menerangkan kepada guru-guru dengan lebih baik. Sekurang-kurangnya tidaklah bosan guru-guru mendengar saja perkongsian saya selama 2 jam tersebut.

Selesai tamat pada jam 330 petang. Disusuli dengan ucapan penutupan dan majlis penyerahan cenderamata oleh Pengetua Labuan International School (LIS), Puan Zainab Batin diiringi oleh Pengetua SMK Labuan, Encik Ismail Abdullah.



Perkongsian Amalan Pdpc Abad 21 di Labuan bersama Cikgu Hailmi
Cenderamata disampaikan oleh Pengetua LIS, Puan Zainab Batin dan Pengetua SMK Labuan, Encik Ismail

Kemudian ada sesi bergambar bersama guru-guru yang hadir. Daripada maklumbalas yang diterima, saya ucapkan terima kasih yang tak terhingga kepada guru-guru yang menjadikan blog www.cikguhailmi.com sebagai tempat rujukan untuk Sains dan juga bahan berkaitan Pembelajaran Abad 21.



Perkongsian Amalan Pdpc Abad 21 di Labuan bersama Cikgu Hailmi
Tangkap gambar sket

Perkongsian Amalan Pdpc Abad 21 di Labuan bersama Cikgu Hailmi
Bergambar bersama Ketua Sektor dan Pengetua

Perkongsian Amalan Pdpc Abad 21 di Labuan bersama Cikgu Hailmi
Bersama Pengetua LIS dan Pengetua SMK Labuan

Perkongsian Amalan Pdpc Abad 21 di Labuan bersama Cikgu Hailmi
Bersama Cikgu Arni yang juga merupakan penyelaras program ini

Majlis tamat pada jam 4 petang. Kemudian saya dibawa oleh Cikgu Hafiz mengelilingi Labuan. Beberapa tempat tarikan di Labuan, beliau bawa. Tapi disebabkan masa yang tidak mencukupi, masa kami hanya berhenti tangkap gambar dan melihat-lihat saja kawasan sekitar.



Perkongsian Amalan Pdpc Abad 21 di Labuan bersama Cikgu Hailmi
Masjid Jamek, landmark di Labuan

Perkongsian Amalan Pdpc Abad 21 di Labuan bersama Cikgu Hailmi
The Chimney, rumah api

Perkongsian Amalan Pdpc Abad 21 di Labuan bersama Cikgu Hailmi
Ya Allah, Berkatilah Labuan

Sebelah malam pula, saya bersama Cikgu Chris, Cikgu Shamsiah dan juga Cikgu Nazrin menjamu selera di Anjung Ikan Bakar. Sebelum sampai ke Labuan lagi, sudah ramai rakan yang mencadangkan supaya saya makan ketam di sini. Memang sedap sungguh! Entah berapa ekor ketam saya makan pada malam tu. 



Perkongsian Amalan Pdpc Abad 21 di Labuan bersama Cikgu Hailmi
Sesi ketam bersama Cg Nazri, Cg Chris dan Cg Shamsiah

Perkongsian Amalan Pdpc Abad 21 di Labuan bersama Cikgu Hailmi
Cenderamata special daripada Cg Arni. Terima kasih!

Hari terakhir saya berada di Labuan, dan penerbangan saya adalah penerbangan MAS pertama dari Labuan, Iaitu kira-kira pada jam 740 pagi. Cikgu Hafiz sekali lagi menghantar saya ke lapangan terbang. 


Secara keseluruhannya saya merasakan perkongsian di Labuan ini merupakan suatu pengalaman yang sangat menarik. Saya bertemu dengan ramai rakan baharu dan juga warga pendidik yang sangat berdedikasi. Dengan kekuatan yang ada, saya yakin Labuan juga mampu menjadi hub pendidikan utama di Borneo. 

Untuk itu, saya ucapkan Terima kasih untuk peluang, dan selamat maju jaya untuk masa depan!


Catat Ulasan

3 Ulasan