About Me

80 Hari di Korea : Hari 28 (Buku Teks Sains di Korea)

Besar kemungkinan bermula pada minggu hadapan, saya akan mula mengajar Sains. Tapi agak keliru jugak kerana belum ada mana-mana guru Sains mereka yang datang berbincang mengenai sukatan pelajaran dan juga pembahagian tugasan. Apatah lagi pada pertemuan sebelum ini, kedua-dua orang guru Sains yang saya temui, hampir langsung tidak tahu menggunakan Bahasa Inggeris.

Awal pagi ini, guru mentor menyerahkan 2 buah buku teks Sains kepada saya. Bagi pelajar sekolah ini, hanya pelajar Grade 1 (Tingkatan 4) dan Grade 2 (Tingkatan 5) sahaja yang mempelajari Sains. Bagi pelajar Grade 3, mereka hanya akan fokuskan kepada pembelajaran subjek-subjek Commercials (Teknik dan Vokasional) yang akan membantu mereka untuk memperolehi kerja yang baik.




Ketiadaan translator menyukarkan juga urusan saya memahami apa yang dipelajari oleh pelajar-pelajar Korea. Mujur juga ada gambar yang boleh memberikan saya sedikit gambaran mengenai apa yang bakal saya ajar nanti. 

Yang saya perasan, secara kasarnya, agak tinggi juga sukatan pelajaran mereka jika dibandingkan dengan di Malaysia. Perkara yang dipelajari hampir sama, tetapi disusun dengan cara yang agak berbeza. Sebagai contohnya, tajuk awal dimulakan dengan pembelajaran mengenai Alam Semesta. Antara subtopiknya adalah, galaksi, gelombang, atom dan subatomik partikel, matahari dan bima sakti.




Bagaimana sesuatu bab itu dikembangkan kepada topik lain juga kelihatannya sedikit berbeza. Sebagai contohnya, bagi bab Alam Semesta di atas, selepas menerangkan mengenai galaksi, subtopik seterusnya dikembangkan pula kepada kaitan gelombang dan pembentukan galaksi serta perubahan dan keterlibatan atom serta subatomik partikel kepada kejadian tadi. Menarik kan?

Perkara ketiga adalah kebanyakkan topik akan cuba mengaitkan dengan aplikasi kepada ilmu yang dipelajari tadi. Sebagai contohnya, bagi bab yang berkaitan dengan Alam Semesta tadi, pelajar juga diajar teknik mengira jarak bulan dan bintang lain serta bagaimana kedudukan terbaik bagi membuat pemerhatian terhadap bintang dan entiti lain di angkasa berdasarkan posisi di bumi. Ini yang dikatakan KBAT nih.




Bagi soalan dan latihan pula, saya rasa tak banyak latihan yang diberikan. Tetapi soalan yang dikemukakan memang bercirikan KBAT. Pelajar perlu menggunakan sumber lain untuk mendapatkan jawapan, dan semestinya bukan daripada buku teks. Patut ler pelajar-pelajar mereka mampu menguasai soalan TIMSS dan PISA dengan baik.

Jadi, susunan buku teks Sains nya lebih kurang begini lah:

Contoh yang saya ambil adalah daripada Buku Teks Sains Grade 1, bagi Tema II (Angkasa) dengan 4 topik. Topik yang saya pilih adalah Topik 2, (26 mukasurat) yang mempunyai 5 subtopik.

Topik 2 dimulakan dengan Tajuk, senarai subtopik dan juga kata kunci utama dalam topik ini. Di bahagian akhir topik pula, nota ringkas disediakan bersama soalan latihan. Untuk Topik 2 nih, ada 1 soalan Padankan, 1 soalan objektif dan 1 soalan struktur/esei.

Manakala bagi setiap subtopik tadi, objektif pembelajaran juga disediakan pada awal subtopik. Biasanya saya lihat hanya ada 1 atau 2 sahaja. Kadang-kadang sahaja boleh nampak sampai 3 objektif pembelajaran. Dan ada sedikit latihan struktur berbentuk KBAT bagi setiap subtopik tadi. Untuk Bab 2 ini juga, saya kira hanya ada 3 aktiviti.


Demikian lah sedikit perkongsian saya mengenai buku teks Sains di Korea ini. InshaAllah lepas nih saya akan cuba kongsikan pula mengenai kandungan buku teks Sains mereka pula. Jom tonton video di bawah bagi melihat sendiri buku teks Sains yang digunakan di Korea. 






Catat Ulasan

2 Ulasan