About Me

Kenapa Guru Perlu Buat Analisis Item?

Saya memang akui, memang ramai dalam kalangan kita yang cukup tak gemar bila datang kerja-kerja pendokumentasian / pengkeranian. Suruh mengajar, memang 200% kita boleh bagi. Tapi bila disuruh perkara-perkara yang macam nih, malaih sungguh nak cakap. Nak pulak kalau dapat pentadbir yang memang cukup strict tak tentu arah. Terus diwajibkan kepada semua guru, tanpa dia sendiri pun tahu apa tujuan sebenar analisis item dibuat. Maka bertambahlah tekanan untuk guru-guru di sekolah.

Kenapa Guru Perlu Buat Analisis Item? Tujuan Analisis Item


Jadi apa sebenarnya tujuan guru kena buat analisis item nih?. Adakah dengan buat analisis item ini boleh beri manfaat kepada guru dan juga paling penting kepada murid?. Atau  buat analisis item sekadar untuk nak puaskan hati pentadbir yang asyik mendesak setiap hari selepas peperiksaan?


Apa itu Analisis Item?
Sebenarnya, analisis item adalah satu analisis yang dijalankan oleh guru bagi menentukan kesahan item-item yang digunakan dalam ujian pencapaian. Sumber.

Analisis item ini dilaksanakan untuk beberapa tujuan yang tertentu. Dan juga melalui analisis item ini, guru akan memperolehi beberapa maklumat penting mengenai banyak perkara yang berkaitan dengan item peperiksaan, dan juga pencapaian murid.


Bila Kena Buat Analisis Item?
Analisis item nih selalunya kita buat selepas peperiksaan. Dan juga sebelum kertas jawapan diberikan semula kepada murid. Berdasarkan pengalaman, ada guru yang buat sendiri analisis sebelum diserah kepada murid. Dan ada juga guru yang buat analisis bersama-sama murid semasa dalam kelas. Bergantung kepada tahap kerajinan dan juga atas rasa tanggungjawab guru itu sendiri.


Apa Tujuan Kena Buat Analisis Item?
Seperti jawapan di atas, tujuan utama analisis item adalah bagi menentusahkan item-item yang digunakan dalam ujian pencapaian. Namun, analisis item juga dilaksanakan bagi tujuan berikut:
1. untuk membezakan item yang baik dan item yang lemah.
2. untuk menghasilkan ujian yang bermutu dan berkualiti

Selain daripada itu, analisis item juga dapat membekalkan beberapa maklumat berikut kepada guru iaitu:
1. Respon murid terhadap setiap item
2. Maklumat tentang bagaimana setiap item berfungsi (senang atau sukar)
3. Diskriminasikan murid kepada kumpulan tinggi (KT) dan kumpulan rendah (KR)


Analisis Item Ada Format Tak?
Tak ada. Guru boleh kreatif dalam menyediakan sendiri format analisis item mengikut keperluan subjek. Jika ada lebih kerajinan, buat lah mengikut setiap pecahan soalan. Jika kurang kerajinan, buatlah mengikut soalan. Ini kerana dalam satu soalan yang sama, kebiasaannya akan ditanya daripada topik yang sama juga.  

Namun jika mahukan maklumat yang lebih banyak, anda bolehlah teruskan dengan pengiraan Indeks Kesukaran dan Indeks Pembezaan. Boleh baca di SINI untuk maklumat lanjut.


Apa Tindakan Guru Selepas Analisis Item?
Jika analisis item dijalankan dengan penuh tanggungjawab, maka dari sana, guru akan lebih mula jelas dengan apa yang sebenarnya berlaku pada pembinaan soalan dan juga kesannya kepada keputusan pelajar. 

Maka untuk itu, guru perlulah:
1. Melihat semula pembinaan soalan dengan lebih baik supaya tidak ada item yang terlalu sukar atau terlalu mudah untuk diberi kepada pelajar semasa peperiksaan.
2. Melaporkan kekuatan dan kelemahan pelajar, terutamanya bagi perkara yang sudah atau belum dikuasai oleh pelajar. 
3. Mengenalpasti konsep yang perlu diajar semula
4. Mengenalpasti soalan yang bias terhadap sesuatu kandungan (bab yang mungkin tidak diajar)
5. Membahagikan pelajar kepada beberapa kumpulan (2 atau 3) bagi memudahkan tindakan susulan yang lebih berfokus


Apa Kebaikan Jika Saya Buat Analisis Item?
Secara peribadinya saya merasakan analisis item adalah suatu ukuran yang bagus untuk guru-guru membuat refleksi kendiri terhadap 3 perkara iaitu:

1. Pembinaan item yang lebih berkualiti
Analisis item mampu memberi maklumat mengenai Aras Kesukaran sesuatu item itu. Bermakna selepas ini juga kita akan lebih mampu menghasilkan item yang lebih realistik dan tidak syok sendiri. Penghasilan item yang berkualiti membolehkan guru menilai prestasi sebenar murid.

2. Refleksi terhadap pdp
Memang jelas, daripada analisis item ini maklumat berkaitan dengan topik dan konsep tertentu yang belum dikuasai oleh pelajar. Ada banyak kemungkinan. Mungkin kerana langsung tidak diajar, atau juga pelajar belum kuasai tajuk berkenaan. Guru boleh ajar semula bab yang berkenaan.

3. Tindaksusul selepas peperiksaan
Analisis item juga membolehkan guru untuk mengenalpasti pelajar dengan masalah tertentu semasa menjawab soalan. Maka guru boleh lebih spesifik dalam menjalankan program pemulihan dan juga tindaksusul yang lebih berfokus bagi memberikan hasil yang lebih berkesan. Pemulihan mungkin boleh diadakan dengan mengajar semula topik berkenaan atau pun teknik menjawab bagi soalan tertentu.


Apa Kebaikan Jika Saya Buat Analisis Item?


Bagi guru yang mungkin sebelum ini tidak pernah menekankan soal analisis item, maka diharapkan melalui bacaan ini memberi anda sedikit inspirasi dan motivasi untuk melakukan demikian. Tak ada paksaan kepada mana-mana pihak. Cukup sekadar usaha bagi membolehkan guru benar-benar faham dengan keperluan kepada peningkatan prestasi murid.

Bagi guru yang sudah melakukan analisis item ini sejak sekian lama, tahniah! Teruskan misi anda bagi memberikan yang terbaik kepada dunia pendidikan, khususnya untuk kejayaan anak didik anda sendiri. Tahniah! Hanya Tuhan saja yang dapat membalas jasa baik tuan puan.



Catat Ulasan

1 Ulasan