.

.

KARTiKEL

Khamis, 5 November 2015

80 Hari di Korea : Hari 49 (Bergerak ke Seoul Untuk Mid Term Review)

Seronok rasanya sebab hari nih dah nak ke Seoul untuk sesi review bagi separuh penggal pertama, Mid Term Review. Bermakna juga saya akan berkumpul bersama rakan guru Malaysia yang lain untuk beberapa hari. Juga akan menyertai kami adalah rakan guru daripada Vietnam, Mongolia dan juga Filipina yang ada bersama dalam program pertukaran guru di negara Korea di bawah seliaan APCEIU-UNESCO ini. Hanya team guru Indonesia sahaja yang tidak akan menyertai kerana kontinjen Indonesia bermula lebih lewat daripada team-team lain. 





Pengetua dan juga guru mentor juga perlu bersama kami ke Seoul untuk sesi review ini. Bagi memudahkan perjalanan, kami ke sana dengan menaiki keretapi laju KTX. Hanya ambil masa 2 jam sahaja berbanding menaiki kereta yang akan ambil masa sehingga 4 jam. Tempahan tiket dibuat lebih awal oleh guru mentor memandangkan tiket KTX nih memang agak laris. Pengangkutan pilihan utama rakyat Korea untuk perjalanan jauh. Sebab, sangat efisien!








Tapi yang saya lebih kagum adalah akan kepercayaan terhadap nilai kejujuran yang dapat saya perhatikan di sini. 


Hanya satu garisan berwarna kuning, dan tertulis "Yang ada tiket sahaja boleh melepasi kawasan ini" untuk membezakan orang yang bayar tiket dan mereka yang tak bayar tiket. Maksudnya, langsung tiada orang untuk jaga memeriksa tiket penumpang! Hanya sesekali ada jurutiket yang bergerak dari kabin ke kabin dan memeriksa secara rawak. Itupun jika kelihatan begitu meragukan. 





Tapi sepanjang saya menggunakan KTX di Korea ini, memang saya tak pernah lihat langsung ada orang yang diminta untuk menunjukkan tiketnya. Malah, jika tiket anda hilang, ianya masih laku sekiranya anda hanya tunjukkan gambar yang ditangkap dengan menggunakan kamera telefon sahaja. Hebat!


Tak dapat saya bayangkan jika sistem yang sama digunapakai di Malaysia!


Pemandangan indah kawasan hutan dan juga sawah padi versi Korea dapat disaksikan sepanjang perjalanan dari Daegu ke Seoul. Sesekali saya ambil masa untuk lelapkan mata, untuk rehat seketika.





Lebih kurang jam 6 petang, kami tiba di Seoul Train Station. Kemudian bergerak lagi menggunakan tren untuk ke Guro Hotel, tempat utama untuk sesi review mid term kami. Menurut guru mentor, hotel ini memang menjadi pilihan ramai pelancong asing jika ke Seoul. Malah APCEIU-UNESCO juga turut menggunakan hotel yang sama untuk sesi local adjustment bagi guru Korea yang ke luar negara pada tahun 2014. 







Saya diberikan sebuah bilik single yang sangat selesa. Rakan-rakan guru Malaysia yang lain belum tiba kerana masing-masing berada di Seoul dan dekat untuk datang ke Guro Hotel nih. Maka hotel tidak disediakan untuk mereka. Untung juga jadi orang jauh nih. :D






2 ulasan:

  1. tahniah cikgu...pengalaman yang sgt berguna dan tidak boleh dibeli...semoga semua pengalaman yang didapati menjadikan cikgu guru yang berkreatif dan inovatif

    BalasPadam
    Balasan
    1. Terima kasih tuan. InshaAllah mudah2an dapat dipraktikkan dan juga dijadikan amalan terbaik.

      Padam