.

.

KARTiKEL

Selasa, 6 Oktober 2015

80 Hari di Korea : Hari 24 (Hahoe Village & Andong Mask Dance)

Hari Sabtu nih guru mentor nak bawak saya dan Hanne jalan-jalan ke Andong. Andong nih merupakan satu kawasan yang diiktiraf oleh UNESCO sebagai Tapak Warisan Dunia (World Heritage Site). Sebabnya adalah terdapat sebuah perkampungan tradisional Korea yang telah wujud sejak zaman Dinasti Joseon lagi, iaitu Hahoe Village (Hahoe Maoeul). 




Perjalanan ke Andong daripada Daegu mengambil masa lebih kurang 1 jam setengah. Kebetulan pula guru mentor saya, Kim Songsaenim merupakan anak jati Andong, maka banyaklah cerita mengenai Andong diceritakan kepada kami sepanjang perjalanan tersebut.

Andong terletak dalam provinsi Gyeongsangbuk-do dan telah lama wujud sebagai pusat ilmu di Korea ini. Punya lama sebab dah wujud sebelum daripada zaman Dinasti Joseon lagi. Namun menjadi semakin penting pada zaman Dinasti Joseon kerana menjadi pusat perkembangan aliran pemikiran COnfucianism yang tersohor. 








Maka dengan sebab itu juga Andong juga dikenali sebagai Bandar 'Noble Man' a.k.a Bangsawan dengan adanya ramai cendekiawan. Selain daripada ramainya para bangsawan di sini, Andong juga dikenali kerana kampung tradisional Koreanya, iaitu Hahoe Village dan juga Mask Dance yang cukup popular. Andong menjadi lebih terkenal kerana pada tahun 1999, Queen Elizabeth II telah meraikan hari lahirnya di sini. 

Kami tiba di Hahoe Folk Village lebih kurang pada jam 11.30 pagi. Di halaman masuk sebelum ke perkampungan tradisional tersebut, terdapat sebuah Muzium Topeng. Masuk dulu tengok-tengok topeng yang ada di sini. Setiap budaya ada topeng masing-masing. Ada yang berukir kemas siap dengan warna dan perhiasan tambahan. 








Tapi, secara jujur, serius saya rasa seram! Nampak sangat menakutkan. Bilik masuk ruang galeri pameran yang lebih gelap dan hanya ada lampu pada topeng, suasana nya macam seolah-olah semua topeng sedang 'memerhatikan' anda. hu hu.. Kus semangat.. 

Tak sangka juga ada topeng dari Malaysia! Dan semestinya topeng Malaysia yang dipamerkan adalah yang datangnya dari Sarawak. Kalau tak salah saya daripada suku Orang Ulu. Secara spesifiknya tak pula saya pasti. 


Dari sana, kami ke Hahoe Village. Perjalanan di sana hanya lah dengan menggunakan jalan kaki sahaja. Sekali sekala ada kelihatan kereta yang masuk ke kawasan ini. Baru lah saya tahu rupanya Hahoe Village ini masih didiami oleh penduduk sebenar. Masih dikekalkan fungsinya sama seperti suatu ketika dahulu. 














Oleh kerana Hahoe Village ini memang merupakan kawasan tarikan pelancong, maka penduduk kampung ini menjalankan beberapa aktiviti di rumah mereka masing-masing. Saya sempat mencuba untuk menghasilkan tali yang digunakan oleh orang Korea dulu dengan menggunakan 'straw' atau pun jerami padi. 




Tak susah sangat saya rasa. Macam pintal buat dendan rambut jer lebih kurang.

Beberapa perbezaan juga dapat diperhatikan pada bentuk rumah dan juga pagar. Menurut Kim Songsaenim, rumah dengan pagar yang tinggi merupakan rumah para bangsawan. Jika binaannya sama pada struktur bumbung pagar tersebut, maka orang tersebut adalah orang kaya di kampung tersebut. Manakala jika binaan pada bahagian tengah lebih tinggi sedikit berbanding struktur bumbung pagar, maka orang tersebut adalah pegawai kerajaan atau orang atasan. Kalau rumah pagar biasa, maka orang kebanyakan.

Dalam pada itu, sempat juga kami bergambar dengan beberapa orang Nobleman yang masih menggunakan pakaian tradisional mereka. Sopan dan tertib. Mengikut cakap guru mentor saya, keturunan Noble man ini memang sudah diasuh sejak dari kecil untuk bersikap tertib, berjalan dengan perlahan dan penuh gaya, bercakap perlahan dan bersikap cool bagi menjaga nama baik keturunan bangsawan mereka.




Kemudiannya kami terus ke pentas persembahan Mask Dance. Acara yang memang ditunggu-tunggu. Asal usul tarian topeng ini bermula apabila golongan bangsawan ini memberikan peluang kepada golongan bawahan untuk menyuarakan isi hati mereka. Peluang 10 tahun sekali ini diberikan kepada mereka sebagai menunjukkan golongan bangsawan sangat bertoleransi dengan golongan bawahan. 

Maka sebab itu lah golongan bawahan membuat persembahan Mask Dance ini dengan menggunakan topeng. Kerana isu yang diutarakan dalam persembahan mereka adalah mengutuk sikap sesetengah bangsawan yang bersikap tidak jujur, kaki perempuan dan suka menipu dengan cara yang sinikal.










Persembahan untuk 2 jam ini memang menarik. Walaupun cerita yang dipersembahkan sepenuhnya dalam Bahasa Korea, tetapi jalan cerita asasnya memang dapat difahami. Kim Songsaenim juga banyak membantu menterjemahkan jalan cerita tersebut kepada kami. Rasa bangga sebab dapat saksikan antara satu warisan dunia yang sudah hampir pupus suatu ketika dahulu.

Selesai daripada menonton persembahan tersebut, kami dibawa melawat ke Bandar Andong. Besar juga bandar nya. Paling saya suka adalah jambatan panjang yang merentasi sungai utama di Andong, Sungai Nakdong kalau tak salah. Sangat tenang. Boleh imagine akan jadi lebih cantik jika di musim betul-betul autumn nanti. Wow!






Yang nak menyaksikan persembahan mask dance daripada Hahoe Village, boleh jemput tengok video perjalanan saya untuk hari ke 24 di Korea. Semoga terhibur!!








0 Kata-kata Bijak Pandai:

Catat Ulasan