.

.

KARTiKEL

Khamis, 1 Oktober 2015

Jadual Waktu dan Sesi Persekolahan di Korea

Antara soalan yang selalu ditanya kepada saya mengenai sistem pendidikan Korea adalah jadual waktu dan sesi persekolahan mereka. Untuk makluman, sesi persekolahan di Korea bermula pada bulan Mac, iaitu pada musim panas. Kemudian ada beberapa kali cuti antara semester dan cuti panjang sekolah 2 bulan pada bulan Januari dan Februari, iaitu ketika musim sejuk. 





Disebabkan Korea merupakan negara yang mempunyai 4 musim, maka baju uniform mereka juga berbeza-beza mengikut keperluan musim. Saya dimaklumkan di sekolah saya, ada lebih kurang 3 jenis baju uniform. 1 untuk musim panas, 1 untuk musim bunga, dan 1 untuk musim luruh. Makin sejuk, maka makin teballah kain yang digunakan untuk uniform mereka. Warna dan coraknya pula bergantung kepada pengurusan sekolah masing-masing.




Uniform sekolah (kotak-kotak) untuk digunakan semasa musim luruh (autumn)

Bagi guru pula, guru bebas mengenakan pakaian apa pun yang bersesuaian selagi sopan. Saya tengok cikgu lelakinya datang ke sekolah dengan hanya memakai seluar slack, serta t-shirt berkolar. Ada juga yang 'menyemart', tapi tidak lah sehingga memakai tali leher. Rasa saya, hanya Pengetua sahaja yang pernah saya nampak memakai tali leher. Guru perempuan lagi lah bermacam-macam fesyen. Ala-ala retis kpop! ;)



Kehadiran Murid dan Guru
Kehadiran murid, biasanya adalah sekurang-kurangnya 10 minit sebelum sekolah bermula, iaitu lebih kurang pada jam 8.00 pagi. Di sekolah saya, kehadiran murid diambil menggunakan imbasan kad pelajar. Dan pihak sekolah akan mengambil sekali lagi kehadiran pelajar menggunakan buku manual untuk rujukan dan simpanan rekod.




Kehadiran pelajar menggunakan sistem imbasan kad

Manakala bagi guru pula, kehadiran tidak menggunakan sebarang sistem kehadiran seperti punch kad, buku rekod atau thumb print. Guru bebas untuk datang pada jam berapa pun, tetapi dari pemerhatian saya dalam seminggu dua ini, memang guru-gurunya datang lebih awal daripada masa yang ditetapkan. Sesuai dengan budaya orang Korea yang kita kenali, amanah dan menepati masa. Agak-agak anda, sesuai tak sistem ini dipraktikkan di Malaysia? Sila jawab dalam hati.. ;)


Waktu persekolahan pula adalah bermula pada jam 8.40 pagi dan akan berakhir pada jam 4.30 petang. Loceng sekolah pula adalah tidak seperti yang biasa kita dengar. Mereka menggunakan muzik klasik bagi loceng mereka. Sesuatu yang unik dan tersendiri. Loceng antara setiap waktu juga menggunakan muzik yang sama. Best kot!




8.20 pagi - 8.30 pagi (Taklimat Guru)
Sesi persekolahan di sekolah saya bermula dengan mesyuarat guru pada jam 8.20 pagi sehingga 8.30 pagi. Mesyuarat 10 minit di awal pagi ini adalah taklimat ringkas untuk makluman semua guru. Sebarang pengumuman daripada pihak Pengetua dan PK1 akan disampaikan pada waktu ini. Mesyuarat diadakan di Bilik Guru.






Manakala bagi pelajar pula, mereka akan menjalankan kerja pembersihan kelas. Pembersihan kelas dijalankan tanpa pengawasan daripada guru. Sebab guru tengah mesyuarat. Tapi, masa yang diambil tak lama sangat. Sebab kelas memang dah sedia bersih dan bebas sampah. Di sekitar sekolah, sangat jarang kelihatan sampah dan juga tong sampah.




8.30 pagi - 8.40 pagi (Membaca Buku)
Kemudian pada jam 8.30 pagi sehingga 8.40 pagi, mereka ada sesi membaca buku untuk 10 minit. Pelajar akan mengeluarkan sebarang bahan bacaan dan membaca. Kalau tak habis, akan disambung pada hari-hari seterusnya.




Buku teks bagi subjek Biologi

Oh ya. 10 minit ini, bacaan pelajar akan diiringi oleh bunyi muzik klasik yang cukup sedap didengar. Feeling-feeling masa baca buku sambil dengar muzik yang macam nih. Jiwa rasa aman dan tenteram.



8.40 pagi - 8.50 pagi (Homeroom Teacher)
Ini adalah masa bersama Homeroom Teacher, iaitu Guru Kelas. Pada ketika ini, segala isu dan hal yang berkaitan dengan pengurusan kelas diuruskan pada ketika ini. Perbincangan mengenai persediaan kelas bagi apa-apa program juga menggunakan masa 10 minit ini.


8.50 pagi - 9.40 pagi (Waktu 1)
9.50 pagi - 10.40 pagi (Waktu 2)
10.50 pagi - 11.40 pagi (Waktu 3)
11.50 pagi - 12.50 tengahari (Waktu 4)

Kelas pertama bermula pada jam 8.50 pagi dan akan berlangsung selama 50 minit. 1 waktu adalah bagi satu subjek sahaja. Jadi semua aktiviti pengajaran dan pembelajaran akan berlangsung semasa 50 minit ini, termasuk membuat latihan.

Selepas setiap waktu, masa rehat 10 minit diberikan kepada pelajar. Pelajar bebas untuk tidur, buat kerja lain, atau menggunakan telefon bimbit atau apa saja. Masa 10 minit ini juga digunakan untuk pelajar bergerak ke bilik-bilik khas, seperti English Classroom dan Makmal, jika ada keperluan.

Kelas bersambung semula selepas loceng muzik kedengaran.



12.40 tengahari - 1.40 petang (Makan Tengahari)
Disebabkan persekolahan mereka hanya berakhir pada jam 4.30 petang, maka waktu tengahari disediakan makanan di Kantin mereka. Guru dan pelajar akan makan makanan yang sama pada hari tersebut.





Banyak perkara yang menarik dapat diperhatikan ketika waktu makan ini. Antaranya adalah:
1. Guru dan pelajar makan makanan yang sama
2. Menu makanan dan juga khasiat nutrisinya dipaparkan dengan jelas dalam kantin
3. Pelajar membayar secara bulanan untuk makanan tengahari, manakala guru melalui potongan gaji
4. Menu makanan adalah sangat sihat. Jarang makanan bergoreng dan berlemak. Biasanya bersup atau masakan yang direbus, atau pun sayur mentah.
5. Sayur dan juga kimchi adalah perkara wajib yang perlu guru dan pelajar makan.
6. Nisbah makanan lebih kurang, 1 mangkuk nasi, 1 mangkuk lauk, 2 mangkuk sayur+kimchi
7. Pelajar dan guru akan beratur ketika ambil makanan dan duduk di meja makan yang disediakan. Juga memenuhkan meja satu persatu tempat duduk.
8. Pelajar wajib memberuskan gigi selepas makan tengahari. 



Berus gigi disimpan di dalam kelas


1.40 petang - 2.30 petang (Waktu 5)
2.40 petang - 3.30 petang (Waktu 6)
3.40 petang - 4.30 petang (Waktu 7)



4.40 petang - 5.30 petang (Aktiviti Ko-kurikulum)
Sekolah berakhir pada jam 4.30 petang. Walaubagaimanapun, persekolahan disambung dengan aktiviti ko-kurikulum. Macam-macam aktiviti yang dilakukan, antaranya adalah belajar muzik, latihan sukan dan lain-lain persatuan. Guru-guru juga dibayar oleh sekolah dan ibubapa pelajar untuk mengajar lebih masa.



Poster yang dilukis pelajar bagi menyertai pertandingan poster

Ada guru yang berada di sekolah sehingga jam 9/10 malam bagi tugasan bersama pelajar. Pengetua juga merupakan orang terakhir keluar dari sekolah.

Jadual sesetengah sekolah adalah berbeza antara satu sama lain. Bagi sesetengah sekolah rendah, ada masa untuk bermain disediakan kepada pelajar selama 20 minit. Kadang-kadang ada juga masa untuk skipping untuk 10 minit, kerana dipercayai dapat meninggikan pelajar, selain daripada sehat dan cergas.



7 ulasan:

  1. Wahhhh...seronoknya...siap kena gosok gigi..

    BalasPadam
  2. tahniah cikgu!!cikgu dpt g korea dr application hari tu ye? mcm mana berkomunikasi,cikgu fasih berbahasa korea?

    BalasPadam
  3. Seronok baca catatan pengalaman ini.
    Berbeza dgn negara kita.

    BalasPadam
  4. Kalau tak keberatan, boleh minta cikgu kongsikan sedikit tentang buku RPH di dlm kalangan guru2 Korea? Adakah ia sama seperti yg dilakukan oleh guru2 kita di Malaysia?

    BalasPadam
  5. ya. saya akan cuba kongsikan lepas nih.. :D

    BalasPadam

  6. Adakah setiap sekolah di Korea begini...atau ini adalah sekolah yg terbaik...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Ada sedikit perbezaan bergantung kepada jenis sekolah (rendah/middle/high/vokasional/sains/khas lain). Sekolah saya nih sekolah lama. Maka fasilitinya agak kurang canggih berbanding sekolah yang dalam lingkungan 5 tahun kebelakangan ini. Boleh tengok catatan saya semasa melawat
      1. Hosan HIgh School
      2. Saeron Elementary School
      3. Daegu Il Science High School

      Padam