.

.

KARTiKEL

Selasa, 13 Oktober 2015

80 Hari di Korea : Hari 33 (Festival Kelab Untuk Pelajar Daegu)

Kami terima jemputan bersama-sama Kyo Jang Songsaenim (Pengetua) untuk menghadiri satu majlis perasmian Daegu Students' Club Festival yang berlangsung di Daegu Cultural Center for Students. Festival yang memberi peluang kepada pelajar sekolah seluruh Daegu untuk mempersembahkan hasil kerja mereka semasa aktiviti kelab di sekolah masing-masing. 





Terkejut juga mula-mula dimaklumkan mereka mempunyai kompleks khas untuk pelajar sekolah. Kompleks ini mempunyai kawasan yang sangat luas untuk pelajar melakukan aktiviti di sini. Antara kemudahan yang disediakan adalah galeri lukisan, kolam renang, kawasan persembahan terbuka, perpustakaan, bilik mesyuarat, dewan teater dan juga gelanggang bola keranjang. Semuanya khas untuk pelajar sekolah! 





Nampak tak betapa sejauh mana mereka mementingkan pendidikan di negara Korea nih?


Di bahagian yang menempatkan ruang persembahan terbuka, tempat duduk disediakan bagi para jemputan. Rasanya tiada kerusi sofa khas yang disediakan untuk tetamu VVIP, sekalipun yang datang adalah Daegu Mayor (Datuk Bandar). Semuanya duduk di kerusi yang sama. Benarlah kata orang, tiada layanan istimewa untuk VIP di Korea ini. Semua sama rata.

Persembahan pembukaan menyaksikan persembahan daripada pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah. Kagum juga melihat anak-anak Korea nih mampu untuk membuat persembahan yang baik. Mereka secara majoritinya sangat menyukai muzik. 









Tapi persembahan yang paling mengkagumkan saya adalah persembahan koir daripada 750 orang pelajar daripada 10 buah sekolah gabungan elementary school (sekolah rendah), middle school (menengah rendah) dan juga high school (menengah atas).




Bayangkan betapa rapinya persediaan yang perlu dibuat untuk menguruskan pelajar seramai itu daripada pelbagai sekolah dari seluruh negeri! Tetapi mereka mampu melakukannya hanya dengan persediaan selama beberapa hari sahaja. Persembahan koir tuuuu.. Hanya ada 2 / 3 orang guru sahaja yang saya lihat bergerak untuk membantu tuan koordinator. 

Hebat kan?

Yang part nih saya memang tabik spring lah dengan pelajar-pelajar Korea. Nyanyian lagu Arirang secara koir juga cukup terbaik. Meremang bulu roma saya waktu merakamkan mereka menyanyikan lagu tersebut. Cukup teratur. Cukup indah!







Selesai upacara pembukaan, maka kami bergerak ke ruang pameran. Ada hampir lebih 50 buah booth pameran yang dibuka bagi memberi peluang kepada pelajar untuk mempamerkan hasil kerja mereka.

Boleh saksikan banyak pameran yang menarik. Ada yang mempamerkan rekaan fesyen, jahitan, masakan, roti, kek, robotik, sains, haiwan peliharaan dan macam-macam lagi. Setiap booth yang dibuka juga mempunyai aktiviti yang tersendiri dengan hadiah yang diberi percuma bagi menarik pengunjung berada di sana.













Pelajar sekolah Daegu Girls Commercial High School juga membuka 3 booth untuk pameran ini. Mereka mempamerkan proses membuat lip balm percuma, pewangi recycle dan juga recycle barang terguna. Lebih kepada moto 'Bumi Hijau'.







Pameran yang menarik perhatian saya adalah Kelab UNESCO daripada sebuah sekolah perempuan. Selain daripada aktif mengadakan lawatan ke Tapak-tapak Warisan UNESCO di dalam dan luar Korea, mereka juga selalu menjemput warga asing yang berada di Daegu untuk berkongsikan mengenai negara mereka bersama pelajar-pelajar sekolah. 

Satu lagi kelab yang memberi kesan kepada saya adalah Kelab 3D Printer. Kelab di sebuah sekolah lelaki sahaja yang menggunakan teknologi terkini bagi menghasilkan drone ciptaan sendiri. Semua bahagian pada drone didesign dan dimodelkan dengan menggunakan komputer. Kemudian diprint dengan menggunakan 3D printer. 





Kagum juga saya lihat. Pencapaian pelajar-pelajar highschool ini sudah setaraf dengan pembelajaran pelajar di universiti. Tambah kagum sebab kelab tersebut memiliki 2 buah mesin 3D printer!! Wowowowww! Hebat tak terkata!


Selesai melawat ke semua tapak pameran yang disediakan, banyak perkara yang saya dapat daripada lawatan pada hari ini. Antaranya adalah:
1. Betapa Korea meletakkan pendidikan di tangga pertama dalam menentukan kemajuan negaranya (terbinanya kompleks pendidikan khas untuk pelajar)
2. Hasil kerja pelajar sangat dihargai dan galakan menyertai festival seperti ini adalah peluang terbaik pelajar menimba pengalaman yang hebat.
3. Setiap bakat pelajar dihargai dan diberi pujian sekalipun hanya sekadar bakat biasa.
4. Pelajar Korea mempunyai disiplin yang sangat tinggi dan mampu berdikari dalam mendapatkan ilmu tambahan dari luar.
5. Penglibatan dan pencapaian mereka sangat tinggi serta lebih banyak terdedah dengan aktiviti yang bertaraf antarabangsa, sekali pun datang dari sekolah bukan berprestasi tinggi.
6. Semangat berlumba-lumba dan bersaing secara sihat menyebabkan kualiti pendidikan mereka menjadi lebih mantap.


Sekian sahaja perkongsian daripada saya. InshaAllah saya akan kongsikan lagi perkara menarik yang kita boleh sama-sama aplikasikan dari masa ke semasa. Semoga jadi ilmu yang bermanfaat!


4 ulasan:

  1. Perkongsian yg amat menarik! Tahniah & syabas! Teruskan share pengalaman di sana ya..
    -luqman jauhari-
    Sk bandar baru selayang (2)

    BalasPadam
    Balasan
    1. Terima kasih.. inshaAllah saya akan terus berkongsikan pengalaman menarik di Korea nih.. sekurang2nya dapat juga cikgu2 lain ambik manfaat,.. ;)

      Padam
  2. Pendidikan bertaraf tinggi! Sangat kagum, wow wow wow!! Thanks for sharing :)

    BalasPadam
    Balasan
    1. Yer.. pendidikan Korea memang sangat bertaraf tinggi.. memang betul negara maju... mudah2an pendidikan Malaysia juga bergerak ke arah itu

      Padam