About Me

Bercuti ke Pontianak : Institut Dayakologi

Kunjungan saya ke Pontianak juga membawa saya ke satu lagi pusat kebudayaan yang bersifat lokal di sini, iaitu Institut Dayakologi. Terletak di jalan utama untuk ke Tugu Khatulistiwa, destinasi ini wajib dikunjungi bagi mereka yang berminat dengan perkara yang berkaitan dengan sejarah dan juga perbudayaan manusia. 


Corak dan motif Dayak di bagunan Institut Dayakologi
Corak dan motif Dayak di bagunan Institut Dayakologi

Pada mulanya, saya hanya menjangkakan ini hanyalah seperti sebuah muzium dan galeri untuk masyarakat Dayak. Binaan bangunannya dengan corak dan motif Dayak memang mengkagumkan saya. Namun sangkaan saya meleset apabila diperkenalkan dengan seorang staf utama di sini, iaitu Encik Songkon. Encik Songkon juga merupakan seorang Dayak, dari suku Kubin. 


Bangunan Institut Dayakologi yang tersergam indah
Bangunan Institut Dayakologi yang tersergam indah

Institut Dayakologi ini sebenarnya menjalankan tugas menyelidik dan mengumpulkan data mengenai masyarakat Dayak yang terdapat di Kalimantan Barat ini. Inisiatif menyelidik ini seterusnya membawa kepada penerbitan majalah, buku dan rencana yang berkaitan dengan rumpun Dayak di sini.


Ruang pameran buku penerbitan Institut Dayakologi

Majalah Kalimantan Review yang diterbitkan oleh Institut Dayakologi
Majalah Kalimantan Review yang diterbitkan oleh Institut Dayakologi

Malah melalui perbualan kami dengan Encik Songkon, usaha mengumpulkan data ini akan melibatkan skala yang lebih besar pada masa akan datang. Maklumat akan dikumpul daripada seluruh Kalimantan, dan seterusnya diperluaskan kepada masyarakat Dayak yang mendiami kawasan lain, termasuk di Malaysia dan Brunei. 


Terkejut juga saya apabila diberitahu bahawa terdapat hampir 151 sub-suku masyarakat Dayak dengan 186 jenis dialek bahasanya. Ini adalah hanya merujuk kepada masyarakat Dayak di Kalimantan Barat sahaja. Belum lagi diambil kira yang berada di bahagian Kalimantan yang lain dan juga di Malaysia juga Brunei. Suku Dayak paling majoriti di Kalimantan Barat ini adalah dari suku Kanayatn. 


Kerana menunjukkan minat yang mendalam dalam pengkajian dan kebudayaan Dayak, maka Encik Songkon telah membawa kami melawat ke sekitar kawasan Institut Dayakologi ini. Boleh tengok gambar-gambar di bawah.


Pintu masuk ke Institut Dayakologi
Pintu masuk ke Institut Dayakologi

Bergambar bersama staf Institut Dayakologi
Bergambar bersama staf Institut Dayakologi

Tangga naik ke Bilik Mesyuarat yang penuh sarat dengan ciri dan motif Dayak
Tangga naik ke Bilik Mesyuarat yang penuh sarat dengan ciri dan motif Dayak

Bilik mesyuarat yang disediakan di Institut Dayakologi
Bilik mesyuarat yang disediakan di Institut Dayakologi

Respek juga dengan usaha-usaha yang dilakukan oleh mereka ini dalam mempertahankan kebudayaan mereka seiring dengan peredaran zaman. Pengumpulan data dan maklumat seperti ini sebenarnya sedikit sebanyak mampu mengekalkan warisan yang telah diamalkan nenek moyang mereka, sekaligus membolehkan ianya terus dibanggakan oleh anak cucu.


Perjalanan kami di Institut Dayakologi ini juga tidak terhad di dalam bangunan besar ini sahaja. Encik Songkon telah membawa kami ke bilik percetakan mereka yang terletak di luar bangunan. Eksklusif kan?. 


Bilik percetakan Institut Dayakologi

Bilik percetakan Institut Dayakologi

Bilik percetakan Institut Dayakologi

Bilik percetakan Institut Dayakologi

Staf Bilik percetakan Institut Dayakologi


Di sini, ditunjukkan beberapa mesin yang digunakan bagi menghasilkan dan mencetak buku penerbitan daripada Institut Dayakologi. Kami juga diperkenalkan kepada staf di sana. Nampak bahawa Encik Songkon begitu teruja menerima kami, pelancong luar sebagai tetamu ke premis mereka. 

Di akhir kunjungan, sempat juga kami bertukar emel dan nombor telefon bagi memudahkan perhubungan di masa akan datang. Mana tahu, mungkin ada kerjasama yang boleh berlaku antara kami. Encik Songkon juga berbesar hati menghadiahkan kami majalah yang diterbitkan oleh Institut Dayakalogi, iaitu Kalimantan Review. Ha... best kan?


Cikgu Hailmi menerima hadiah majalah Kalimantan Review daripada Institut Dayakologi
Terima kasih Encik Songkon! Terima kasih Institut Dayakologi! ;)

Secara keseluruhannya, kunjungan ke Institut Dayakologi ini merupakan satu kunjungan yang begitu ilmiah buat saya. Memahami dengan lebih lanjut kebudayaan Dayak dari serantau sebenarnya boleh membantu saya untuk bertugas sebagai pendidik di Bumi Kenyalang dengan lebih baik. 

Dah tentu saya sangat tak sabar nak berkongsi pengalaman saya ke sini, dengan anak-anak murid saya. Pasti mereka juga teruja nak tahu, susur galur dan kesamaan yang diwarisi daripada rumpun mereka yang sama.


Kepada anda yang juga mempunyai minat yang sama seperti saya, saya sangat lah menggalakkan anda untuk datang berkunjung ke Institut Dayakologi ini. Saya yakin apa yang anda cari, pasti anda akan temui di sini. Selamat berkunjung!


INFO : Tempat-tempat Menarik di Kota Pontianak



Catat Ulasan

2 Ulasan

  1. CH x tunjuk skill ckp iban kat sane ke?

    BalasPadam
    Balasan
    1. tak dapat.. rasanya Dayak kat sini bukan Iban.. kalau tak salah bangsa Kanayatn yang majoriti.. jadi ada beza bahasa sket le..

      Padam