.

.

KARTiKEL

Sabtu, 26 Julai 2014

Pengalaman PLC Peer Coaching di SMK Bawang Assan

Baru-baru ini saya berpeluang berkongsi pengalaman di SMK Bawang Assan. Dijemput oleh pihak sekolah tersebut melalui seorang kenalan guru di sana bagi menyertai program PLC, Professional Learning Communities. Strategi yang dipilih adalah Peer Coaching, di mana seorang guru mengajar dan guru-guru lain memerhati dan berkongsi pengetahuan.

Untuk pengetahuan, bagi strategi Peer Coaching ini ada 2 kaedah yang boleh digunakan. Iaitu Kaedah 1 adalah guru mengajar (coachee), dan diperhatikan oleh guru Coach. Guru coach boleh terdiri daripada Guru Pakar, Guru Cemerlang dan guru berpengalaman. Manakala bagi Kaedah 2 pula, Coach mengajar, sambil diperhatikan oleh guru-guru lain.

Cikgu Hailmi semasa PLC Peer Coaching di SMK Bawang Assan

Terkejut juga bila dimaklumkan oleh pihak sekolah berkenaan, bahawa mereka akan menggunakan Kaedah 2, di mana saya yang akan mengajar dan guru-guru Sains sekolah tersebut akan memerhatikan saya. Macam kena observe la pulak. Lepas tu nak tambah lagi best, kumpulan pelajar yang akan diajar adalah kumpulan pelajar kelas sederhana dan lemah! Ok. Memang cabaran betoi.

Namun setelah berfikir panjang, serta melihat keadaan masa persediaan, maka saya beranikan diri juga untuk menyahut 'cabaran' tersebut. Tidaklah saya katakan, saya ini hebat dalam bab mengajar. Tapi saya terima sebab saya nak baiki diri saya sebagai guru yang lebih baik, nak dapatkan pengalaman dan dalam masa yang sama, dapat memberi tunjuk ajar mana yang yang terdaya kepada rakan guru di sekolah tersebut. Perkongsian sesama rakan guru.

Lagi pun saya tak nak jadi jenis guru yang hanya pandai memberi komen bila cikgu lain mengajar. Tapi bila disuruh mengajar di depan, dia sendiri pun tak nak. Ala-ala nak test market lah nih. Hu3


Macam biasa, confirm lah terdapat sedikit halangan dalam cuba menjayakan program ini pada awalnya dari pihak sekolah saya. Dasar MMI juga nampak ada memberi sedikit kekangan. Namun dapat juga diselesaikan pada saat akhir dengan jayanya. 

Ini kali kedua sebenarnya saya ke SMK Bawang Assan, selepas pada kali pertamanya pada tahun 2007. Hu3. Memang dah tak ingat jalan. Maka terpaksalah Cikgu Nurul Hanim yang mengiring saya dari kawasan yang saya familiar hingga ke sekolah. Ini bukan demand atau berlagak diva ok. Tapi sebab tak tau jalan.

Dah sebab lama tak pernah ke sana, baru lah saya sedar betapa jauhnya jarak dari sekolah saya ke sekolah tersebut. Lebih kurang 1 jam lebih jugak perjalanan. Keadaan SMK Bawang Assan yang agak tersorok masuk jalan kecil juga menyebabkan kalau saya pergi sorang, confirm salah jalan. Owh ya. Sekolah ini juga termasuk dalam kategori sekolah luar bandar.


Saya tiba di sekolah berkenaan pada jam 11.30 pagi dan kelas yang patut saya ajar adalah pada jam 12.10 tengahari. Maka sempat lah sikit masa saya meronda Bilik Guru, bertemu dengan Pengetua SMK Bawang Assan, Encik Kandau, berbincang dengan rakan guru Sains di sana untuk sesi ini dan membuat persiapan di makmal sebelum mula mengajar.

Secara jujur, walaupun dah 8 tahun mengajar, tapi masih ada perasaan berdebar-debar tu. Takut tak dapat nak menyampaikan dengan baik seperti yang diharapkan oleh pihak penganjur. Walaubagaimanapun, dengan persediaan yang saya dah buat, maka ada lah sket keyakinan. Tapi selagi tak selesai, maka selagi tu lah rasa nervous tu menjelma.

Pelajar SMK Bawang Assan semasa sesi PLC Peer Coaching

Selesai loceng berbunyi, maka datang lah pelajar-pelajar ke makmal seperti yang dijanjikan. Mereka terdiri daripada pelajar kelas 3B dan 3C, kumpulan sasaran kelas sederhana dan lemah. Beberapa orang pelajar dari kelas 3A juga dimasukkan sekali bagi mencukupkan bilangan peserta kepada 40 orang. Calon PT3 2014 bagi sekolah ini hanyalah lebih kurang dalam 50 orang saja. Sekolah tak ramai murid.

Kemudian datang pula beberapa orang guru Sains, termasuk Ketua Panitia Sains, Cikgu Yii dan juga Ketua Bidang Sains, Cikgu Semri. 6 orang semuanya. Hu3.

Guru-guru Sains SMK Bawang Assan semasa sesi PLC Peer Coaching

Bagi mengurangkan sedikit rasa nervous saya dengan kehadiran guru-guru Sains tersebut, maka saya cuba anggapkan hanya saya yang berada di makmal bersama pelajar-pelajar tersebut. Macam berlakon ler. Pura-pura tak tau, pura-pura tak wujud.


Seterusnya maka bermula sesi pengajaran saya. Topik yang diberi oleh pihak penganjur adalah ulangkaji Bab 6 Tingkatan 3, iaitu Tanah dan Sumber Mineralnya. Maka strategi yang saya gunakan adalah berpusatkan pelajar, iaitu pembentangan secara berkumpulan.

Saya cuba ambil risiko dengan mencuba kaedah ini. Ini kerana harus diingatkan bahawa kumpulan pelajar adalah terdiri daripada pelajar sederhana dan lemah. Kedua, saya difahamkan juga pelajar-pelajar juga jarang didedahkan dengan konsep pembelajaran sebegini. Maka percubaan ini harus dirancang dengan baik dan teliti. Kalau tak, lingkup sesi pdp saya nih.


Saya mulakan pdp saya dengan menunjukkan Batu Karang sebagai set induksi. Agak menarik perhatian pelajar, sebab ada antara mereka yang buat pertama kalinya baru berkesempatan untuk melihat sendiri Batu Karang tersebut secara live. Saya panggil mereka semua ke depan dan saya biarkan mereka memegang dan menyentuh sendiri Batu Karang tersebut. Beberapa soalan biasa, juga saya tanyakan sepanjang 5 minit bagi menimbulkan minat mereka kepada pdp yang bakal berlangsung. 

Cikgu Hailmi menunjukkan batu karang sebagai set induksi

Oleh kerana ini adalah kali pertama mereka diajar oleh saya, maka dalam masa yang sama juga sesi ini dapat membolehkan mereka merasa lebih selesa dengan saya di dalam kelas. Ala-ala sesi suai kenal bersama Cikgu Hailmi.. ;)


Bagi membolehkan bilangan pelajar yang seimbang dalam kelas, maka saya bahagikan dulu kepada kumpulan pelajar lelaki dan perempuan. Kemudian pelajar lelaki dan perempuan dibahagi samarata kepada 8 kumpulan, dengan setiap kumpulan terdiri daripada 5 orang.

Setiap kumpulan diberikan 1 kertas mahjong, 3 pen marker, dan 1 set pensil warna. Juga disediakan beberapa keping kertas A4 warna dan gam.

Pelajar membuat persediaan bagi pembentangan

Setiap kumpulan diberikan tajuk yang berbeza, berdasarkan kepada subtopik dari Bab 6. Pecahan adalah seperti berikut:

Kumpulan 1 : 6.1 
Kumpulan 2 : 6.2
Kumpulan 3 : 6.3
Kumpulan 4 : 6. 4
Kumpulan 5 : 6.5
Kumpulan 6 : 6.2
Kumpulan 7 : 6.4
Kumpulan 8 : 6.5

Ada beberapa subtopik dengan huraian yang lebih panjang diberikan kepada 2 kumpulan. Ini bertujuan bagi mewujudkan persaingan antara kumpulan tersebut dalam menyediakan bahan yang terbaik semasa pembentangan nanti. Bagi subtopik pendek, maka saya berikan kepada 1 kumpulan sahaja.

Cikgu Hailmi membimbing pelajar semasa sesi pembentangan

Kemudian pelajar diberi masa 20 minit untuk menyiapkan bahan pembentangan tersebut. Saya bergerak dari meja ke meja bagi membimbing setiap kumpulan secara individu. Ini juga bagi membolehkan mereka untuk memberi hasil yang bertepatan seperti yang diharapkan bagi setiap subtopik.

Keadaan makmal yang kurang kondusif juga agak memberi kesan kepada pelajar dan saya sendiri. Panas. Berpeluh-peluh. Hanya 2 kipas yang dapat berfungsi dengan sempurna. Malah saya difahamkan juga, inilah makmal terbaik daripada hanya 2 makmal yang ada di sekolah ini! Kesian cikgu-cikgu dan pelajar-pelajar sekolah nih.. Somebody please do something!

Saya terpaksa memberi masa tambahan kepada pelajar, disebabkan hampir kesemua kumpulan belum dapat menyiapkan hasil mereka dengan baik. Permulaan mereka sangat mengambil banyak masa. Mungkin masih berfikir di mana harus dimulakan. Namun pada saat akhir, kerja yang dah bermula tu dapat diselesaikan dengan lebih baik.

Pelajar bertungkus lumus menyiapkan hasil pembentangan

30 minit akhir digunakan bagi sesi pembentangan. Setiap kumpulan ke depan dan membentangkan hasil kerja mereka dalam masa lebih kurang 5 minit. Dalam masa yang sama juga saya membantu mereka dalam menegaskan perkara-perkara penting yang patut mereka tahu daripada sesuatu subtopik tersebut.

Pelajar membentang hasil pembentangan mereka

Oleh sebab delay masa pada sesi penyediaan bahan pembentangan, maka ada 2 kumpulan yang tak sempat nak bentangkan hasil mereka. Malah sesi untuk penutupan dan refleksi juga tak sempat saya nak adakan sebab masa dah tamat. Agak kecewa, tapi itu lah kemungkinan yang boleh berlaku. Sekurang-kurangnya adalah pengajaran yang saya dapat daripada sesi kali ini.


Selesai sesi bersama pelajar, disambung pula dengan sesi bersama guru. Perbincangan dan sesi soal jawab berkaitan dengan strategi yang saya laksanakan tadi. Sesi perbincangan berlangsung dengan sangat baik. Perkongsian pengalaman dan perbincangan ilmiah membolehkan ilmu baru diperolehi. Itu tujuan PLC.

Cikgu Hailmi semasa sesi perkongsian PLC Peer Coaching, Guru Cemerlang dan Inovasi

Dalam masa yang sama juga saya kongsikan beberapa tips memohon Guru Cemerlang dengan rakan guru di sini. Ada juga yang bertanyakan mengenai kelebihan menjadi Guru Cemerlang. Yang itu, saya akan jawab dalam artikel khas nanti. Sempat juga saya kongsikan beberapa inovasi yang telah saya hasilkan semasa sebelum bergelar Guru Cemerlang dan selepas bergelar Guru Cemerlang.


Guru-guru SMK Bawang Assan mendengar perkongsian daripada CIkgu Hailmi

Secara keseluruhannya saya rasakan sesi ini berlangsung dengan baik. Saya pun dah bersedia dengan sebaik mungkin dan mengharapkan agar rakan-rakan guru di SMK Bawang Assan ini memperolehi sedikit perkongsian ilmu daripada saya. Secara jujurnya saya sendiri juga sempat belajar beberapa perkara daripada mereka. Jika ada kekurangan, maka saya mohon maaf yer.


Cikgu Hailmi bergambar kenangan dengan guru-guru Sains SMK Bawang Assan

Maka untuk itu saya ambil kesempatan di sini untuk mengucapkan terima kasih banyak kepada pihak sekolah SMK Bawang Assan atas jemputan mereka bagi membolehkan saya berkongsi ilmu. Terima kasih juga buat orang kuat program Peer Coaching ini, Cikgu Nurul Hanim dan rakan-rakan guru Sains, serta Pengetua SMK Bawang Assan, Encik Kandau yang banyak menyokong usaha-usaha sebegini. InshaAllah ada masa, nanti kita jumpa lagi.



1 ulasan:

  1. tahniah cikgu....saya sedang membuat kajian keberkesanan plc di sekolah- sekolah menengah untuk project master saya....harap dapat membantu

    BalasPadam