About Me

Peluang Artis Sambung Belajar di UiTM

Yayasan Destini Anak Bangsa (YDAB) memperkenalkan program Mengubah Destini Anak Seni yang menawarkan peluang melanjutkan pengajian kepada artis, bermula daripada peringkat diploma di Universiti Teknologi MARA (UiTM).


Peluang Artis Sambung Belajar di UiTM


Ketua Pegawai Eksekutif YDAB, Datuk Mohd Aizuddin Mohd Ghazali, berkata program itu akan dimulakan sebaik kelulusan akreditasi Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) diperoleh.
Mohd Aizuddin berkata, jika semua proses lancar, program itu mula mengambil penuntut daripada kalangan artis dan anak seni pada sesi Julai depan.


"Program ini ditawarkan kepada artis yang berminat. Mereka boleh memilih pengajian mengikut kelayakan yang dimiliki, sama ada peringkat diploma, ijazah sarjana muda, ijazah sarjana atau ijazah doktor falsafah," katanya pada sidang media selepas Konsert Destini anjuran YDAB dan UiTM, Jumaat lalu.

Mohd Aizuddin berkata, melalui program itu, artis yang menyambung pengajian diberi mod pengajian anjal mengikut kesesuaian masa dan jadual mereka.
Beliau berkata, program ini perlu digunakan sebaik mungkin oleh artis bagi memperkasakan diri mereka sebagai selebriti dan contoh kepada masyarakat.

Naib Canselor UiTM, Tan Sri Prof Dr Sahol Hamid Abu Bakar, berkata program itu akan diletakkan di Fakulti Filem Teater dan Animasi UiTM di bawah dekan, Prof Madya Abdul Razak Mohaideen. 



"Program ini diperkenalkan sebagai galakan untuk artis mengambil peluang melanjutkan pengajian di peringkat sesuai. Tidak pernah ada istilah terlambat untuk menyambung pengajian," katanya.

Legenda rock negara, Amy Search ketika ditemui mengakui peluang diberi YDAB amat berharga.

Menurutnya, tawaran kepada artis untuk melanjutkan pengajian sangat berharga dan perlu direbut, malah dianggap penghargaan kepada anak seni.

“Saya tidak nafikan terpanggil untuk sambung belajar, Insya-Allah kalau masih berkemampuan, saya akan gunakan peluang yang diberi ini," katanya yang meminati bidang hiasan dalaman.

Selain Amy, penyanyi No 1 negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin adalah antara artis yang pernah meluahkan hasrat menyambung pengajian di UiTM ketika mengadakan konsert di pusat pengajian tinggi itu, tahun lalu.

Siti berkata, jika ada kesempatan, dia akan berusaha merealisasikan impiannya.

"Jika ada masa dan peluang, saya memilih bidang yang sedang saya lakukan sekarang. Insya-Allah, suatu hari nanti," katanya.

Terdahulu, Siti menjayakan Konsert Destini anjuran YDAB dan UiTM bersama artis lain iaitu Amy Search, Awie, Datuk Rossa, Pasha, Adira, Hafiz dan Dayang Nurfaizah. Turut beraksi Jacyln Victor, Cakra Khan dan Pasha Unggu pada konsert yang diadakan pada Jumaat dan Sabtu lalu. 



p/s: Baguslah.. Biar lah jadik artis yang berilmu! Tak rugi... 

Catat Ulasan

0 Ulasan