.

.

KARTiKEL

Ahad, 11 Ogos 2013

Kajian Tindakan : Merit Untuk Guru Cemerlang

PEMBENTANGAN kertas kajian tindakan yang bermakna dan berkesan kepada pengajaran dan pembelajaran akan dijadikan kriteria asas pemberian merit dalam pemilihan Guru Cemerlang. Ahli Jawatankuasa Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM) Cawangan Negeri Sembilan, Ramli Othman berkata, pembikinan sesuatu kertas kajian tindakan bukan sahaja memerlukan kemahiran akademik dan ketajaman minda saintifik, tetapi juga keterampilan ketika membentangkan kertas kajian mereka.

Kajian Tindakan : Merit Untuk Guru Cemerlang


Beliau memberikan beberapa contoh guru biasa yang kini dimartabatkan sebagai Guru Cemerlang setelah mereka menghasilkan beberapa penyelidikan dan membentangkan kertas kajian di seminar di dalam dan luar negara.

Ramli yang juga Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Muhammad Yusof di Linggi, Negeri Sembilan menambah, inisiatif untuk mengadakan kajian tindakan dalam kalangan guru bertujuan melahirkan budaya penyelidikan bilik darjah.

Katanya, ia bermula pada 1995, apabila dia mendapat latihan di Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Pendidikan (EPRD) dengan tenaga pengajar daripada Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Wollongong, Australia. Kemudian budaya itu mula diterapkan di Negeri Sembilan sekitar tahun 2000, dan kini beberapa guru mulai menunjukkan inisiatif menjalankan kajian tindakan di sekolah masing-masing dan membentangkannya di seminar-seminar tempatan dan antarabangsa.

Beliau memberikan contoh guru Matematik Cemerlang dari Sekolah Menengah Sains Seremban (SASER), Noraini Kasim, yang banyak menjalankan kajian tindakan di sekolahnya dan dikongsi dengan semua pendidik. Noraini yang ditemui berkata, penemuannya terhadap penggunaan simbol swastika dalam subjek pengajarannya itu memudahkan proses pembelajaran pelajarnya.

''Apa yang pasti ia mencapai objektif dan kita dapat memudahkan pelajar untuk belajar dan ia amat efektif kerana prestasi mereka meningkat sejak ia diterapkan dalam proses pengajaran dan pembelajaran saya.

''Saya bersyukur dan gembira kerana ia amat memberi manfaat bukan sahaja kepada pelajar saya, malah dapat diperluaskan kepada guru dan pelajar lain melalui perkongsian hasil kajian saya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas membentangkan hasil kajiannya dalam Seminar Kajian Tindakan JPNS 2013 di Politeknik Port Dickson, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Sebanyak 21 kertas kajian daripada 18 buah sekolah dibentangkan pada seminar Kajian Tindakan baru-baru ini, dan sebahagiannya layak diberi perhatian berdasarkan kesan ketara terhadap pedagogi di sekolah masing-masing. Sebagai contoh, kertas kajian tindakan bertajuk Paten Nombor Genap (PNG) oleh dua guru prasekolah Sekolah Kebangsaan Tanjung Agas di Port Dickson, Negeri Sembilan, Norhaizan Ismail dan Zainah Kadiman berjaya meningkatkan keupayaan pelajar berumur lima dan enam tahun menghafal sifir dua, empat, enam dan lapan dengan lancar.

Dengan menggunakan sumber tersedia di sekitar murid, seperti jubin lantai bilik darjah bagi menyediakan petak yang selaras dengan kaedah PNG, maka memadai untuk kedua-dua guru kreatif itu memupuk minat kanak-kanak menghafal sifir, yang dikatakan sebagai ibu pengiraan.

Seminar dianjurkan oleh Persatuan Pendidikan Sains dan Matematik serta Majlis Pengetua Negeri Sembilan. Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan, Kalsom Khalid pula berkata, memang Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 sehingga 2015 (PPPM 2013-2015) menuntut guru berfikir pada aras tinggi supaya mereka mampu merancang dan melaksanakan kajian tindakan yang berkualiti dan bertaraf dunia. Beliau berharap seminar itu dapat menggarap pelbagai persoalan dan isu pendidikan di dalam dan luar bilik darjah.

Sumber 
 

4 ulasan:

  1. Hebat artikel ni!!! Teruja untuk terus berusaha ke arah kecemerlangan. Saya pernah membentangkan Kajian Tindakan ke peringkat negeri dan berjaya mendapat Guru Inovatif, tetapi tidak tahu dimana silapnya permohonan saya untuk Guru Cemerlang seolah-olah tidak dipandang. Saya cuma berfikir yang baik-baik sahaja untuk meneruskan legasi kejayaan saya dan murid dalam dunia pendidikan.

    BalasPadam
  2. wah tahniah cikgu.. jangan risau, inshaAllah dengan kerja yang ikhlas, rezeki akan datang ikut lain plak.. :)

    BalasPadam
  3. Artikel ini membakar semangat saya untuk terus menyemarakkan tradisi kecemerlangan dalam bidang pendidikan amnya..dan kajian tindakan khususnya. Saya pernah mwmbwntangkan kajian tindakan di peringkat negeri pada tahun 2009.Dan pada tahun ini sekali lagi saya terpilih sebagai pembentang kajian tindakan di peringkat daerah.Saya berharap saya terus diberi kesabaran..ketabahan. .untuk berjuang dalam dunia pendidikan..saya teramat cintakan kerjaya saya sebagai seorang guru..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Tahniah Cikgu.. saya nih bab nak buat kajian tindakan tu hu3.. menguji iman betoi

      Padam