About Me

Tan Sri Dr Awang Had Salleh : Perginya Seorang Lagi Tokoh Pendidikan Tersohor

Berita pemergian tokoh pendidikan tersohor Tan Sri Dr Awang Had Salleh turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang kini berada di luar negara. Dalam mesej tweet beliau hari ini, Najib mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham, termasuk Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Tan Sri Dr Awang Had Salleh : Perginya Seorang Lagi Tokoh Pendidikan Tersohor

"Negara telah kehilangan tokoh akademik dan sasterawan terbilang, Tan Sri Awang Had Salleh. Takziah kepada @mpkotabelud dan seisi keluarga," katanya.

Abdul Rahman merupakan suami kepada anak Allahyarham yang juga bekas penyampai berita NTV7, Datin Norazlina. Awang Had, 79, meninggal dunia pada kira-kira 3 pagi ini di Hospital Putrajaya akibat komplikasi paru-paru. Allahyarham meninggalkan isteri, Puan Sri Salmah Abu Bakar,69, dan tujuh orang anak, lima lelaki dan dua perempuan. 

Beliau memulakan kerjayanya sebagai guru sekolah pada tahun 1950-an, dan kemudian sebagai tenaga pengajar pensyarah di Maktab Perguruan Bahasa Lembah Pantai sebelum menjadi pensyarah di Fakulti Pendidikan Universiti Malaya dan kemudian sebagai Dekan fakulti tersebut pada 1974.

Pada 1975, beliau dilantik sebagai Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UM selama tiga tahun dan kemudian sebagai Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia pada 1980 dan pada 1984 menjadi Naib Canselor pertama Universiti Utara Malaysia.

Pada Julai 2000, Awang Had dilantik sebagai Pro Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris. Selain terkenal dan aktif dalam bidang akademik, Awang Had juga banyak menghasilkan karya kreatif, termasuk buku, risalah dan kertas kerja mengenai bidang pendidikan, bahasa, dan budaya. Antara karyanya ialah kumpulan cerpen Merah Kuning Biru dan novel Biru Warna serta skrip drama, Buat Menyapu Si Air Mata.

Catat Ulasan

3 Ulasan