.

.

KARTiKEL

Sabtu, 13 April 2013

PBS | Esei Sains Tingkatan 2 : Kebuluran: Definisi, Punca dan Langkah Mengatasi Kebuluran

PBS Sains Tingkatan 2 
Tugasan : Esei
Kebuluran : Definisi, Punca-punca dan Langkah Mengatasi Kebuluran
Instrumen B6D2E1



PBS Esei Sains Tingkatan 2 : Kebuluran: Definisi, Punca dan Langkah Mengatasi Kebuluran
Pada tahun 1845, pernah berlaku kejadian Kebuluran Terbesar Dunia yang berlaku di negara Ireland. Jalankan kajian berkaitan kebuluran dan hasilkan sebuah laporan berkaitan masalah kebuluran. Nyatakan langkah-langkah untuk mengatasi kebuluran daripada berlaku kembali dan pengajaran daripada kejadian kebuluran yang telah berlaku.


Pengenalan
Kebuluran ialah keadaan di mana berlakunya ketidakcukupan makanan yang teruk, atau kelaparan yang amat hingga boleh menyebabkan kematian. Ia merupakan keadaan yang paling teruk bagi pemakanan tak seimbang. Hampir kesemua benua di dunia pernah mengalami saat getir melawan kebuluran dalam sejarah manusia. Kebuluran di Bengal pada tahun 1770 misalnya, telah meragut hampir 1 juta nyawa. Di sesetengah negara, terutamanya di kawasan Sahara Afrika, kebuluran terus menjadi kes yang serius sehingga kini. 


Punca-punca Berlakunya Kebuluran
Beberapa faktor boleh mempengaruhi berlakunya kebuluran, sebagai contohnya kegagalan hasil tanaman, ketidakseimbangan populasi dan dasar kerajaan. Keadaan ini akan disusuli dengan malnutrisi, kelaparan tidak terhingga, wabak penyakit dan juga peningkatan kadar kematian. 

1. Kebergantungan kepada satu jenis tanaman
Faktor yang pertama mempengaruhi kes kebuluran adalah kebergantungan yang tinggi terhadap satu jenis tanaman. Sebagai contohnya, Kebuluran Ireland 1845 berlaku disebabkan oleh kebergantungan yang tinggi terhadap ubi kentang sebagai sumber makanan utama. Apabila ubi kentang tidak dapat dihasilkan dengan banyak disebabkan oleh serangan penyakit ubi kentang, maka ramai penduduk yang tidak mendapat makanan. Ini berlarutan sehingga kes kebuluran yang serius dan akhirnya mengakibatkan kematian.

2. Iklim yang tidak menentu
Perubahan iklim juga boleh mengakibatkan berlakunya kebuluran. Sebagai contohnya, pada pertengahan 2011, ketiadaan musim hujan telah mengakibatkan kemarau terburuk di Afrika Timur dalam tempoh 60 tahun. Kemarau yang teruk tersebut telah menyebabkan kegagalan penghasilan tanaman yang mencukupi bagi menampung bilangan penduduk sehingga telah mengakibatkan hampir 60, 000 orang telah mati disebabkan kebuluran.

3. Pertambahan penduduk yang tidak seimbang
Pertambahan penduduk yang tidak seimbang juga boleh menyebabkan berlakunya kebuluran. Sebagai contohnya di India, pertambahan penduduk adalah daripada 100 juta (1700) kepada 300 juta (1920) telah menyebabkan jumlah penghasilan makanan menjadi tidak seimbang dengan jumlah penduduk. Tambahan pula penghasilan makanan di India juga bergantung sepenuhnya kepada bekalan air daripada musim monsun, menyebabkan sebarang perubahan cuaca dan iklim akan memberikan kesan yang sangat dahsyat.

4. Sistem pertanian yang kurang berteknologi tinggi
Kebanyakan negara yang mengalami kes-kes kebuluran yang kronik merupakan negara yang huru-hara dan miskin. Campur tangan politik dan juga ketidakpedulian kerajaan untuk menyediakan kemudahan asas, termasuk dalam bidang pertanian menyebabkan penduduk tidak mendapat bekalan makanan yang mencukupi. Sebagai contohnya kependudukan Jepun di Vietnam semasa Perang Dunia Kedua telah mengakibatkan Kebuluran Vietnam 1945 dengan kes kematian sebanyak 2 juta telah dilaporkan, iaitu kiran-kira 10% daripada jumlah penduduk pada ketika itu.



PBS Esei Sains Tingkatan 2 : Kebuluran: Definisi, Punca dan Langkah Mengatasi Kebuluran

Langkah Mengatasi Kebuluran
1. Sistem Pengairan Yang Lebih Baik
Kebanyakkan negara yang dilanda kebuluran, menunjukkan kebergantungan yang tinggi kepada sumber air. Justeru itu, sistem pengairan yang bagus adalah penting dalam menentukan kejayaan hasil tanaman pertanian. Langkah ini juga adalah bagi mengatasi kebuluran dalam jangka masa panjang. 

2.  Menggunakan Biji Benih Terbaik
Negara yang mempunyai masalah serangan penyakit tanaman perlu mendapatkan biji benih tanaman yang terbaik dengan mempunyai kadar rintangan penyakit yang tinggi. Kejuruteraan genetik telah berjaya menghasilkan biji benih yang terbukti mampu melawan rintangan terhadap penyakit tanaman. Justeru itu, adalah menjadi keperluan bagi penduduk mendapatkan biji benih yang terkini dan berkualiti tinggi bagi menjamin penghasilan hasil tanaman dengan kadar yang mencukupi.

3. Penggunaan Baja  
Baja juga boleh mempengaruhi jumlah hasil tanaman pertanian bagi menjamin kecukupan bekalan makanan kepada penduduk. Justeru itu, penggunaan baja yang betul dan juga berkualiti tinggi dapat membantu penduduk menghasilkan tanaman dalam jumlah yang lebih banyak dan mencukupi untuk menampung keperluan penduduk. 

4. Mempelbagaikan sumber makanan
Selain daripada itu, sumber makanan juga perlu dipelbagaikan. Ini bermakna, sesuatu negara perlu mempunyai banyak sumber makanan, sekaligus mengurangkan kebergantungan yang tinggi kepada jenis tanaman yang tertentu. Kepelbagaian sumber makanan juga membolehkan lebih ramai penduduk untuk mendapatkan bekalan makanan terutamanya semasa musim kritikal, seperti kemarau panjang dan banjir.



6 ulasan:

  1. Wau ni mmg hebatt..saya sokong...

    BalasPadam
  2. saya x faham

    BalasPadam
  3. cikgu macam mana nk buat perbincangan kalu buat esei sains

    BalasPadam