About Me

17 Tips Mengajar Murid Untuk Menjadi Kreatif

Murid kreatif datangnya daripada guru yang kreatif. Di dalam sebuah kelas, akan ada murid yang kreatif, dan juga murid yang tidak kreatif. Saya sendiri pada mulanya, melihat kreativiti ini seperti satu bakat semulajadi. Ada kes di mana, guru seorang kreatif, tetapi muridnya tetap tak kreatif sepertinya. Jadi persoalannya, bolehkah kita guru mengajar murid untuk menjadi kreatif?.


17 Tips Mengajar Murid Untuk Menjadi Kreatif
17 Tips Mengajar Murid Untuk Menjadi Kreatif

Saya percaya kreativiti ini sesuatu yang boleh dipelajari. Dan satu yang perlu diterima adalah, kemahiran ini bukan seperti hari ini belajar, esok terus menjadi kreatif. Sebaliknya perlu melalui satu proses dari masa ke semasa, untuk memupuk sikap kreatif tersebut dengan cara mengubah cara berfikir, serta sudut pandang murid.

Maka guru lah yang berperanan untuk memberikan kemahiran ini kepada murid. Tuntutan Pembelajaran di Abad 21 ini, menuntut supaya guru dan murid meletakkan kreativiti sebagai salah satu ciri yang perlu ada. Jom kita tengok beberapa tips bagaimana menghasilkan pelajar yang kreatif!



1. Sediakan Persekitaran Yang Kreatif
Persekitaran yang kreatif banyak membantu murid untuk berfikir dengan cara yang kreatif juga. Benda kreatif yang berada di sekeliling murid secara tak langsung membentuk gaya pemikiran di luar kotak.


2. Banyakkan Aktiviti Berkumpulan
Satu kepala memang hanya akan menghasilkan idea yang sama. Dengan adanya aktiviti berkumpulan, maka lebih banyak idea yang akan datang serta turut membantu murid yang kurang kreatif, melihat gaya berfikir rakan mereka.


Aktviiti berkumpulan boleh menjana kreativiti murid


3. Dedahkan Pelajar Dengan Benda Kreatif
Bagi menggalakkan murid berfikir dengan kreatif, guru perlu sentiasa mendedahkan apa-apa benda kreatif yang baharu kepada murid. Ini bagi membolehkan murid merasakan bahawa, tiada benda yang mustahil. Kadang-kadang, benda kreatif dihasilkan dengan hanya melibatkan sedikit perubahan kecil pada benda tersebut.


4. Penggunaan Pinterest
Pinterest merupakan apps yang sangat berkuasa untuk membantu pelajar melihat idea kreatif. Dengan kemudahan internet yang ada pada murid, maka boleh lah dioptimumkan penggunaan telefon pintar bagi tujuan pembelajaran seperti ini.

Mencari idea kreatif di Pinterest



5. Beri Kebebasan
Seringkali juga saya sentiasa memberikan kebebasan kepada murid untuk berkarya atau menghasilkan tugasan mereka. Murid boleh buat nota / projek dengan menggunakan apa-apa bahan, mengikut cara mereka.


6. Tunjukkan Hasil Kerja Rakan Mereka
Taktik ini sering saya gunakan bagi membolehkan mereka sentiasa berlumba-lumba menghasilkan projek / hasil kerja yang lebih unik, tersendiri dan kreatif. Murid lain boleh mengambil idea daripada hasil kerja rakan mereka, dan ditambahbaik bagi menghasilkan projek yang lebih kreatif.


7. Hormati Idea kreatif Murid
Dalam proses murid untuk menjadi kreatif, kadang-kadang mereka tampil dengan idea yang kita rasakan tak munasabah dan sesuai. Biasanya dalam kes ini, saya sentiasa terbuka dengan idea murid (walaupun lari tajuk / tak sesuai). Cuma saya akan minta pelajar jelaskan semula kenapa dan mengapa idea tersebut mahu digunakan.

Ini bagi tujuan memberi kefahaman yang jelas semula kepada murid, bagi membolehkan mereka berfikir dengan lebih jelas. Sekaligus akan membuatkan mereka berfikir berulang kali untuk menambahbaik idea mereka tadi.


8. Sediakan Bahan Yang Pelbagai
Penggunaan bahan yang pelbagai juga boleh memberikan nilai tambah kreatif kepada murid. Contoh mudah, sekiranya selalu menggunakan kertas untuk pembentangan, mungkin sekali sekala boleh diubah kepada penggunaan bahan lain, seperti plastik dan kayu.


Bahan yang pelbagai boleh membantu murid menghasilkan bahan yang kreatif


9. Integrasi Seni
Saya secara peribadi, suka jika seni dapat diintegrasikan dalam pembelajaran sains. Ini kerana penggabungan seni dengan sains dapat menghasilkan idea dan hasil kerja yang lebih 'seimbang' dan kreatif. Kita sendiri pun sedia maklum penggunaan otak kiri dan kanan secara optimum, boleh menghasilkan keputusan yang lebih baik dan berbeza.


Hasil kerja murid yang mengintegrasikan seni

Untuk itu, penggunaan warna melalui kertas warna dan juga pensil warna atau pun krayon mampu memberi impak positif kepada kreativiti murid.


10. Tugasan Mencabar
Tak dinafikan tugasan yang mencabar mampu memberi satu cabaran kepada cara berfikir murid. Antara kaedahnya adalah dengan mengehadkan penggunaan bahan, atau pun meletakkan beberapa syarat yang perlu dipatuhi murid. Kekangan dan halangan seperti ini mampu mencabar cara berfikir sedia ada murid.


11. Penyelesaian Masalah
Kaedah penyelesaian masalah juga dapat memberikan murid cabaran untuk berfikir dengan kreatif. Murid akan berusaha sebaik mungkin, memikirkan strategi atau kaedah terbaik dalam menyelesaikan permasalahan. Pendedahan kerap murid dengan kaedah sebegini akan membentuk gaya berfikir di luar kebiasaan.


12. Penggunaan ICT
Rugi sekiranya kita tidak mengambil peluang daripada kelebihan yang dapat ditawarkan ICT. Penggunaan ICT mampu memberikan lebih banyak kemungkinan cara penyelesaian masalah dan penghasilan hasil kerja murid.


Memanfaatkan kelebihan ICT untuk pendidikan


13. Luar Buku Teks
Jangan terlalu terikat dengan penggunaan buku teks secara linear. Guru boleh kreatif dengan memberikan tugasan yang hampir serupa walaupun tiada dalam buku teks. Ini membolehkan murid untuk membuat rujukan luar, dan menjumpai lebih banyak maklumat di luar.


14. Gabungkan Aktiviti
Sesekali cuba gabungkan aktiviti atau subtopik bagi memberikan impak berbeza kepada murid. Bukan sahaja boleh menjimatkan masa mengajar, tetapi juga membolehkan murid untuk melihat isu dengan lebih luas dan merentasi kurikulum.


15. Belajar Dari Kesilapan
Dalam sesetengah keadaan, hasil kerja murid atau hasil aktiviti murid mungkin silap dan tidak menepati kehendak. Jangan marah, sebaliknya beri mereka galakan untuk menilai semula di mana kesilapan tersebut berlaku, memberi pilihan penyelesaian yang mungkin dan membiarkan murid membuat pilihan paling tepat untuk mereka baiki semula kesilapan.


Murid diberi galakan untuk membuat pilihan bagi menilai hasil kerja mereka


16. 5 Minit Dah Cukup
Guru tak perlu menganggap proses kreativiti ini berlangsung sepenuhnya pada 40 minit sesi pembelajaran. Buat permulaan, cukuplah jika dimulakan dengan 5 minit sahaja dalam setiap kali kelas, sebelum dilanjutkan kepada masa yang lebih panjang mengikut kemampuan guru dan murid.


17. Jangan Paksa
Kreativiti merupakan satu proses yang bukan mudah. Biarkan murid mengambil masa mereka untuk kreatif. Jangan paksa mereka untuk melakukan perkara yang mereka tak suka, sebaliknya beri galakan untuk mereka mempelajari sebanyak mungkin kemahiran daripada sebanyak mungkin peluang.



Kesimpulan nya, berilah masa untuk murid menjadi kreatif. Kemahiran yang perlu dipupuk ini, walaupun sedikit mengambil masa, inshaAllah akan memberikan impak yang tinggi. Jangan terkejut nanti dengan hasil kerja murid yang kreatif, malah boleh melebihi jangkauan apa yang kita fikirkan. Selamat beramal!




Catat Ulasan

3 Ulasan

  1. Terbaik semua tips yang diberikan... memang sesuai digunakpakai oleh guru sekarang....

    BalasPadam
  2. Memang menarik ni tuan

    Mama boleh cuba dengan anak anak sendiri

    BalasPadam
  3. Cikgu yang kreatif melahirkan anak anak murid yang juga pandai berfikir

    BalasPadam