About Me

Hasil SPM Pertama : Buangan, Dah Jadi Pilihan

Semalam keputusan SPM 2016 diumumkan. Tahniah buat anak-anak SPM 2016 SMK Jerlun atas pencapaian cemerlang mereka untuk tahun ini. GPS sekolah ketara meningkat naik! 




Menyaksikan dari mana mereka bermula dan apa yang mereka dah bina, memang nampak sangat jauh bezanya. Jujur saya cakap, SMK Jerlun dah berjaya memberi cukup kasih sayang pada anak-anak ini, yang suatu ketika dahulunya dipandang sipi-sipi saja di sekolah lama.

Berkat usaha anak pelajar dan juga ketekunan warga guru, gandingan ini menghasilkan kejayaan yang manis, untuk kita sama-sama ingat dan hayati suatu hari nanti.




Selaku guru Sains tinggal untuk SPM 2016 bagi 60 orang calon di sekolah ini, yang juga buat kali pertamanya mengharung di peringkat SPM, dari semalam lagi saya dah berdebar tak tidur malam.

Banyak perkara yang difikirkan. Banyak perkara yang perlu dibuktikan.









Keputusan bagi subjek Sains meningkat pada tahun ini!

Daripada hanya 3 orang pelajar yang mendapat A pada tahun sebelumnya, melonjak naik kepada 8 orang pada tahun ini. Dan tak lupa juga, satu-satunya calon yang memberikan A+ tunggal kepada sekolah, juga adalah melalui subjek Sains! 


Peratus lulus pada tahun 2015, 89% juga naik kepada 95% dengan hanya 3 orang pelajar saja yang gagal. Seorangnya memang tidak boleh membaca, dua lagi pula sangat jarang ke sekolah.

Gred Purata Subjek juga meningkat. Alhamdulillah. Syukur pada Allah.




Bagi saya yang penting bukan lah apa yang mereka dapat, tapi sejauh mana mereka dah berubah daripada mula-mula yang mereka ada. Biar lah mereka bertanding dalam gelanggang mereka sendiri. Baru sepadan untuk mereka.

Selain itu juga ini juga jadi bukti valid bahawa strategi Pembelajaran Abad 21 yang saya jalankan dan laksanakan sepanjang tahun 2016 bersama mereka, bukan lah hanya sekadar aktiviti pembelajaran yang buang masa tanpa ada impak positif untuk mereka.

Mereka dah berjaya buktikan pada akademik mereka, sikap, emosi dan jatidiri. Saya jadi saksi kemenjadian mereka.








Tahniah lagi sekali buat anak-anak SPM 2016 SMK Jerlun. Semoga terus terbang tinggi, walau tanpa 'pendamping' di sisi.  #SPM2016




Catat Ulasan

1 Ulasan

  1. Assalam..tahniah cikgu...anak didik yg hebat lahir dari guru yg hebat...tahniah dan syabas juga pada semua pelajar!

    BalasPadam