Kalau dah bertahun mengajar di sekolah, dan budak-budak sekolah kita masih tak dapat nak melabelkan kita nih sebagai guru apa, rasanya ada sesuatu yang perlu kita semak di situ. Tapi untuk yang dah mendapat LABEL dan pengiktirafan daripada murid, TAHNIAH cikgu. Anda dah jadi GURU YANG BERWATAK.
Guru Berwatak |
Adakah penting untuk menjadi guru yang berwatak?
Pada pendapat peribadi saya, jika kita inginkan sesuatu yang lebih jauh dalam kerjaya kita sebagai guru, maka saya akan jawab YA! Tapi jika anda hanya berharap menjadi guru biasa-biasa sahaja sepanjang perkhidmatan anda, maka ini bukan bacaan untuk anda. Anda boleh terus melakukan aktiviti anda di sekolah seperti sedia kala.
Pada saya, Guru Berwatak akan mewujudkan satu persepsi bahawa kita telah benar-benar berjaya menguasai bidang yang kita ceburi dengan baik. Sinonim sekali kita dengan bidang tersebut, sehingga setiap kali disebutkan mengenai bidang tersebut, maka kita lah guru yang dicari.
Jadi, apa yang perlu kita buat untuk menjadi GURU YANG BERWATAK?
#1 : Fokus
Bagi menjadi guru yang berwatak, kita perlu lah mempunyai fokus atau hala tuju dalam apa yang kita ceburi. Maksudnya, di mana kita mahu kelihatan berjaya. Jika mempunyai sedikit kelebihan dalam kejurulatihan sukan, ada baiknya, jika kita pilih satu sukan yang paling kita mahir, berbanding daripada kita memilih untuk melatih pelbagai sukan (kecuali dipaksa pihak sekolah).
Fokus kepada di mana kita mahu berjaya, tetapi harus disertakan dengan minat dan sedikit kemahiran. Kalau ada bakat, itu akan beri kita kelebihan tambahan. Ada juga rakan guru yang menceburi banyak bidang, tetapi gagal menyerlah di mana-mana. Itu satu kerugian. Akhirnya, hasil yang diperolehi tak sepadan dengan masa yang diluangkan.
#2 : Tekun
Sifat tekun sememangnya dituntut jika kita mahu fokus dalam sesuatu perkara. Apatah lagi jika bidang yang ingin kita ceburi itu, sudah ditunjangi oleh mereka-mereka yang sudah jauh berpengalaman dan bertahun-tahun dalam bidang tersebut.
Tapi jangan risau. Sifat ketekunan yang tinggi pasti akan membawa kita kepada hasil yang memuaskan. Maka, terus lakukan apa yang kita rancangkan dengan teliti dan penuh kesabaran. Tekun mencari ilmu. Tekun memperbaiki diri. InshaAllah hasilnya nanti pasti akan buat kita tersenyum lebar.
#3 : Kental
Hati mau kental! Jika kita dah berjaya mengenalpasti di mana fokus kita sebagai seorang guru, maka untuk mencapai cita-cita tersebut, dah pasti akan wujud banyak halangan. Halangan boleh datang dalam pelbagai bentuk. Halangan dari pentadbir yang mungkin tidak bersetuju dengan idea kita, atau kekurangan dana. Halangan dari persekitaran sekolah, murid, tempat dan lain-lain lagi. Malah halangan juga boleh datang dari rakan sekerja. Banyak lagi kalau nak disenaraikan.
Dalam menangani halangan ini, hati mesti kental macam batu. Bukan kental membuta tuli a.k.a degil taknak dengar nasihat orang. Sebaliknya kental memperjuangkan idea dan apa yang kita mahu dan sedang lakukan. Hati juga mesti tabah menempuhi halangan luaran. Ini tak, belum apa-apa, dah ditegur, terus merajuk taknak buat kerja.. Itu nak ngelat namanya! ;)
#4 : Istiqamah
Istiqamah dan berterusan juga adalah sangat penting ke arah mewujudkan guru yang berwatak ini. Sifat istiqamah ini akan memberikan sudut positif bahawa kita benar-benar bersungguh dengan apa yang sedang kita lakukan. Bukan projek hangat-hangat tahi ayam punya.
Selalu juga saya berkongsi dengan rakan-rakan guru yang baru posting, jika ada apa yang ingin kita lakukan, maka lakukanlah sedikit demi sedikit. Tetapi terus lakukan perkara tersebut (dengan penambahbaikan) bagi memberi impresi bahawa kita memang tekun dan bersungguh dengan projek kita.
Bukan satu idea yang bagus jika kita lakukan banyak perkara masa tahun pertama perkhidmatan, tetapi kemudiannya tak sampai separuh bakal diteruskan untuk tahun seterusnya. Bukan main lagi ye.. ;)
#5 : Positif
Sudah pasti ke arah kita menjadi guru yang berjaya nih, pasti akan wujud lebih ramai kawan dan lawan. Sama ada mereka adalah kawan atau lawan, mereka boleh jadi apa saja seperti juga cara kita berfikir. Kalau kita berfikir secara negatif pula, maka dua kelompok ini boleh jadi pesaing dan perosak untuk kita bekerja dengan baik.
Kalau kita berfikir secara positif, maka dua kelompok ini boleh jadi inspirasi dan motivasi untuk kita bekerja dengan lebih tekun. Maka untuk itu, sentiasa positifkan niat kita dan juga diri kita. InshaAllah semuanya akan baik-baik saja.
Demikianlah 5 Tips yang saya dapat kongsikan hasil daripada pengalaman dan pemerhatian saya dalam beberapa tahun bergelar guru. Masih banyak perkara yang perlu saya pelajari untuk menjadi guru yang lebih baik. Ilmu tak pernah habis. Namun saya berbangga setiap kali budak sinonimkan saya dengan "Cikgu Sains", "Cikgu Sofbol" dan "Cikgu Drama"! ;)
Cikgu pula, bagaimana?
5 Ulasan
Sy ingat lagi cikgu2 math sy.mmg org paggil cikgu matematik
BalasPadambtul tu aisyah... melekat je nama subjek tu.. kadang2 nama sebenar cikgu un tak ingat.. ;)
PadamAda sebilangan cikgu bila sebut nama jer kita dah gerun dan rasa hormat...ada yang bila disebut matapelajaran saja semua saling memandang dan tergelak2 sudah tahu siapa orangnye...
BalasPadamAlfatihah untuk kalian semua moga terus tabah berdedikasi.
Apapun TERIMA KASIH CIKGU! JASAMUKAN KU KENANG SLALU.
Hak2.. gaya cikgu pun dah ingat yer...
PadamTerima kasih untuk semua guru... ;)
Dulu², Kalau Guru AlQuran, selalunya kita ingat apa?...
BalasPadamRotannya!...kannn?😅