Saya rasa seluruh negara dah tahu dengan kisah Ketua Tingkatan yang kena buli dan belasah oleh sekumpulan pelajar di SMK Tun Hussein Onn, Pulau Pinang. Kejadian yang berlaku pada 4 Mac 2013 itu, mula mendapat perhatian awam apabila video kejadian tersebut disebar luas dalam Youtube dan juga Facebook.


Kes Buli Pelajar SMK Tun Hussein Onn : Dari Perspektif Guru

Dipercayai kejadian tercetus apabila Ketua Tingkatan tersebut dilaporkan telah memberitahu guru mengenai kumpulan pelajar tersebut yang membawa telefon bimbit ke sekolah. Atas rasa tak puas hati itulah, mereka sepakat membuli dan membelasah Ketua Tingkatan tersebut. Jom kita tengok sikit sedutan klip video tersebut.



Susulan kejadian itu juga pihak pengurusan sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah Seberang Perai Tengah telah menyiasat dan membuat keputusan untuk membuang tiga pelajar terbabit sejak 8 Mac 2013 kerana melanggar peraturan sekolah.

Terkini, pelajar-pelajar tersebut dah pun kena tangkap oleh polis. Mungkin sebab ada laporan polis yang dibuat terhadap mereka. Maka gambar di bawah ini adalah sebagai bukti penangkapan mereka. Tangan siap bergari lagi.


Kes Buli Pelajar SMK Tun Hussein Onn : Dari Perspektif Cikgu Hailmi

Saya yakin ini bukanlah kes pertama seumpamanya dan bukan juga kes terakhir yang kita akan dengar. Malah pernah juga kita digemparkan dengan kes buli yang berlaku di sebuah sekolah di Bintulu, yang akhirnya berakhir dengan kematian. Sudah terlambat. Banyak perkara sebenarnya yang kita boleh pelajari daripada kes buli terkini ini.


Pengajaran Kepada Pembuli
1. Hentikan kegiatan anda! Walau apa pun alasan yang anda gunakan, itu langsung tidak menghalalkan anda untuk melakukan aktiviti buli kepada rakan anda yang lain. Lebih-lebih lagi bila anda angkat gank untuk pukul rakan anda yang lain dengan secara berjemaah. Sangat tidak adil! Kalau nak berani sangat, satu lawan satu maa.. ;)

2. Harus juga anda ingat, aktiviti anda ini hanya akan menyebabkan anda 'glamer' dan 'terkenal' dalam sekelip mata di seluruh Malaysia. Contoh macam pelajar-pelajar yang menjadi suspek pembuli tuh, terus menjadi bahan cerita di laman-laman sosial dan bahan blog. Glamer untuk benda baik, OK.. Tapi ini glamer untuk benda tak baik. Kesannya akan 'berparut' selamanya.. Imej anda akan tercemar selamanya di seluruh pelosok Malaysia.
 

Pengajaran Kepada Mangsa Buli
1. Elakkan diri anda daripada menjadi mangsa buli. Saya yakin anda boleh melakukannya. Jika anda berada dalam situasi yang dijangka boleh membahayakan anda, sila cepat-cepat tinggalkan tempat tersebut dan bergerak ke arah guru / kumpulan pelajar yang lebih ramai bagi mengelakkan lagi masalah. Elakkan daripada berseorangan. 

2. Gunakan juga segala kekuatan / jeritan / amukan (tidak digalakkan) bagi mengelakkan anda daripada terperangkap dipukul bersendirian supaya anda dapat memboloskan diri dari kepungan untuk ke tempat yang lebih selamat.

3. Jika anda masih dibuli dan dibelasah juga, sila buat aduan kepada pihak sekolah supaya pihak sekolah dapat mengambil tindakan yang bersesuaian kepada pembuli. 


Pengajaran Kepada Pihak Sekolah
1. Tahniah saya ucapkan juga kepada pihak sekolah, yang telah mengambil tindakan segera dalam kes ini. Kes pergaduhan berlaku pada 4 Mac, dan pelajar-pelajar tersebut telah digantung persekolahan pada 8 Mac. Bermakna, pihak sekolah tahu dan terlibat dalam menyelesaikan kes ini dengan berkesan. Tak dapat saya nak bayangkan jika kes ini hanya diketahui oleh pihak sekolah setelah klip video tersebut popular di internet!! Teruk sekolah nak menjawab!

 
 Pengajaran Kepada Masyarakat
1. Tahniah juga kepada masyarakat Malaysia yang cukup prihatin dalam membantu guru dan pihak sekolah dalam mendidik pelajar. Usaha yang dilakukan oleh aktiviti perkongsian di blog dan juga laman sosial, ternyata mengembalikan hak sebenar kepada mangsa buli. Mangsa buli terbela.

2. Ternyata cadangan sesetengah pihak sebelum ini bagi membenarkan pelajar untuk membawa handset ke sekolah juga merupakan bukan satu cadangan yang baik. Lebih banyak keburukan berbanding kebaikan yang akan diperolehi. Maka dimohon kepada para-para pencadang idea tersebut (yang mana kebanyakkan nya bukanlah terdiri daripada golongan pendidik) memikirkan semula implikasi dan kesan dengan merujuk kepada kes ini.