About Me

Lawatan PAK21 ke SMK (P) Taman Petaling

Baru-baru ini saya berpeluang mengikuti satu lawatan penandaarasan PAK21 di sebuah sekolah di Kuala Lumpur, SMK (P) Taman Petaling. Mendapat pelawaan untuk menyertai rombongan SMK Bandar Puteri Jaya ini, melalui Puan Deeparani dan juga tuan pengetua, Haji Osman, maka sangatlah saya berbesar hati untuk menyertai rombongan tersebut. Maka saya ajak sekali rakan PLC saya, Ustaz Asrulnizam bagi membolehkan kami melihat impak pembudayaan PLC dan PAK21 dengan lebih baik di sekolah ini.


Lawatan Penandaarasan PAK21 ke SMK (P) Taman Petaling
Lawatan Penandaarasan PAK21 ke SMK (P) Taman Petaling

Perjalanan dari Sungai Petani menggunakan bas. Berhenti seketika di Hentian Tol Sungai Buloh bagi mandi, bersiap dan solat Subuh sebelum terus bertolak ke SMK (P) Taman Petaling. Huhuhu.. Memang gigih. Jam 7.30 pagi kami dah tiba di pintu pagar sekolah ketika pelajar lain sedang bersesak mahu datang sekolah.

Sekolah yang walau pun berusia lebih 50 tahun ini dihias indah dengan informasi berwarna warni di seluruh kawasan sekolahnya. Setiap sudut dimanfaatkan dengan info yang berkaitan dengan dasar kementerian, mahupun yang berkaitan dengan pelajaran murid. Tahniah pengurusan sekolah yang menjadikan seluruh kawasan sekolah sebagai tempat yang berinformasi.


Lawatan Penandaarasan PAK21 ke SMK (P) Taman Petaling
Taman menyerikan lagi kawasan sekolah
  
Lawatan Penandaarasan PAK21 ke SMK (P) Taman Petaling
Kehadiran kami disambut sendiri oleh Pengetua, Puan Rozlina
   
Ketibaan kami disambut mesra oleh Puan Gan, Penolong Kanan Pentadbiran dan juga Pengetua sendiri, Puan Rozlina. Walaupun hanya mengenali beliau daripada media sosial sahaja sebelum ini, namun keramahan jelas terpancar. Hebat orangnya. Jelas terserlah karismanya.

Kami terus bergerak ke bilik mesyuarat bagi sesi perbincangan PLC. Alhamdulillah, perkongsian yang sangat baik daripada pihak SMK (P) Taman Petaling, menjelaskan PLC 1.0 dan juga PLC 2.0. 

 
Lawatan Penandaarasan PAK21 ke SMK (P) Taman Petaling
Pengetua SMK (P) Taman Petaling, Puan Rozlina Abdul Ghani


Pembudayaan PLC di sekolah ini berjalan dengan baik dan sangat berkesan. Kekuatan utamanya tentulah pada puan Pengetua sendiri yang merupakan mantan pegawai meja PLC di JPN Selangor, dan kekuatan kumpulan middle school leader seperti Penolong Kanan dan Guru Kanan.

Dengan kefahaman yang jelas terhadap sesuatu dasar atau program KPM, maka segala perancangan dan pelaksanaan di peringkat sekolah, sudah tentu berjalan lancar tanpa sebarang kekalutan yang berulang. 


Lawatan Penandaarasan PAK21 ke SMK (P) Taman Petaling
Bersama rakan guru hebat di SMK (P) Taman Petaling

Saya perhatikan juga kumpulan middle school leader juga turut terlibat aktif dengan PLC. Mereka berPLC, menghasilkan Kajian Tindakan dan turut berkongsi menerusi pembentangan. Kumpulan inilah yang kemudiannya menerajui dan menjadi contoh terbaik kepada anak buah di bawah. Ini yang orang katakan betul-betul Kepimpinan melalui teladan! Tahniah!


Selesai pembentangan daripada Puan Rozlina, kami kemudiannya bergerak ke slot masing-masing mengikut bidang. Kagum juga saya bila dimaklumkan bahawa dua orang guru daripada setiap bidang akan berkongsi ilmu dan pengalaman dengan kumpulan kami. Bermaksud akan ada 8 orang guru dari setiap bidang yang terlibat dengan aktiviti perkongsian PLC pada hari ini. 


Lawatan Penandaarasan PAK21 ke SMK (P) Taman Petaling
Bersama Pegawai SISC+ yang hadir memberi kunjungbantu ke sekolah ini
   
Bagi saya, ini bukan sesuatu yang mudah. Untuk mendapatkan kumpulan guru-guru seramai 8 orang daripada bidang yang berbeza, membuktikan bahawa PLC dibudayakan dengan baik di sekolah ini. Bukan semua guru berminat untuk berkongsikan pengalaman dalam bilik darjah mereka dengan guru lain. Tetapi berbeza suasana nya di SMK (P) Taman Petaling. Tahniah lagi sekali!




Lawatan Penandaarasan PAK21 ke SMK (P) Taman Petaling


Di bilik makmal komputer, ada perkongsian daripada Guru Cemerlang Kimia, Cikgu Razreena dan juga sahabat saya sendiri, iaitu Cikgu Faizal, guru Matematik di sini. 

Keduanya tampil dengan pendekatan pengajaran yang berbeza, dengan menggunakan aktiviti inkuiri dan juga penggunaan Kahoot sebagai tools. Tapi yang saya dapat perhatikan adalah kemahiran belajar murid diperkasakan dengan aktiviti yang berjaya mencungkil pemikiran kritis dan kreatif mereka. Murid juga terlibat dengan sangat aktif semasa proses pembelajaran. Hebat!


Lawatan Penandaarasan PAK21 ke SMK (P) Taman Petaling
Cikgu Faizal Reza, guru Matematik di sekolah ini
 
Saya suka dengan pendekatan Cikgu Razreena yang menggunakan Model Pembelajaran 5E bagi menstrukturkan pengajaran beliau dengan baik sekali. Part budak mengaplikasi pengetahuan pembelajaran mereka dengan membuat inovasi seakan fungsi kertas litmus menggunakan larutan kubis ungu, memang saya suka sangat! 

Ini yang kita nak. Pembelajaran yang bukan sahaja memberi ilmu kepada murid, tetapi juga mampu memberikan kemahiran berfikir kreatif dan kritis kepada murid, untuk diaplikasikan dalam dunia sebenar. Tahniah Cikgu Razreena!


Lawatan Penandaarasan PAK21 ke SMK (P) Taman Petaling
Team sains dan matematik di bilik komputer

Sesi selama sejam tersebut berlangsung dengan sangat baik. Perbincangan antara sesama guru daripada kedua buah sekolah, dan perkongsian amalan terbaik melalui pengalaman masing-masing membuka lebih banyak ruang untuk kami berkreatif selepas ini, inshaAllah. Masing-masing bertukar idea, dan sambil memberi cadangan. Memang terbaik!


Selesai semua bidang berkongsi ilmu di tempat masing-masing, kami kembali semula bagi sesi ketiga di bilik mesyuarat. Alhamdulillah, diberi peluang untuk melihat kembali perkongsian dari sudut pandang yang berbeza. Sesi perkongsian ilmu yang sangat membugarkan! Pasti ramai guru samada daripada SMK Bandar Puteri Jaya, mahupun tuan rumah, SMK (P) Taman Petaling yang mendapat ilmu baharu pada hari ini. 


Lawatan Penandaarasan PAK21 ke SMK (P) Taman Petaling
MoU persefahaman kerjasama kolaboratif kedua buah sekolah
 
Lawatan Penandaarasan PAK21 ke SMK (P) Taman Petaling
Pengetua SMK Bandar Puteri Jaya, Tuan Haji Osman dan Pengetua SMK (P) Taman Petaling, Puan Rozlina

Saya pula secara jujurnya, mengucapkan jutaan Tahniah kepada kedua-dua buah sekolah yang mengambil inisiatif yang sangat baik dalam meningkatkan perkembangan ilmu dan profesionalisme guru di sekolah. 

Tahniah kepada SMK (P) Taman Petaling yang menggunakan sepenuhnya kekuatan PLC dalam menerajui pembudayaan Pembelajaran Abad ke-21 di sekolah ini, di samping memperkasakan peranan guru dengan sangat baik.

Tahniah kepada SMK Bandar Puteri Jaya atas inisiatif lawatan penandaarasan dan perancangan yang sangat baik dalam memberikan ruang pandang baharu kepada warga pendidik sekolah ini.


Tahniah juga kepada pegawai SISC+ daripada kedua-dua PPD sekolah yang terlibat dalam lawatan penandaarasan ini. Sesungguhnya percayalah kehadiran anda memberikan impak dan sokongan moral dan kepakaran kepada kedua-dua sekolah dalam melakukan perubahan baik kepada sekolah mereka.


Lawatan Penandaarasan PAK21 ke SMK (P) Taman Petaling
Sahabat saya semasa KPLI 2006 di M4P, Cikgu Faizal Reza

Saya pulang daripada lawatan penandaarasan ini dengan perasaan yang sangat gembira. Gembira dengan kejayaan dan usaha kedua-dua buah sekolah dalam membudayakan Pembelajaran Abad ke-21. Gembira dengan ilmu dan pengetahuan yang saya perolehi sepanjang lawatan ini berlangsung. InshaAllah ilmu yang ada pasti akan dimanfaatkan oleh semua warga pendidik yang terlibat. 

Selamat maju jaya saya ucapkan!




Catat Ulasan

0 Ulasan