About Me

Kursus STELR - STEM Education di Bandung - Hari 03

Kursus STELR - STEM Education pada hari ketiga ini dimulakan dengan sesi refleksi daripada Dr Greg Smith, seorang profesor daripada Charles Darwin University, Australia. Refleksi mengenai aktiviti yang telah dijalankan pada hari kedua di bawah seliaan beliau, iaitu memperkenalkan STEM kepada peserta. 


Kursus STELR - STEM Education di Bandung - Hari 03
Pasukan guru Indonesia yang tekun mencuba pelbagai bahan yang sesuai untuk suhu rumah yang rendah

Sesi lebih kurang 15 minit tersebut kemudiaanya diambil alih oleh Mr Peter Pentland. Kali ini bagi membuat refleksi juga kepada aktiviti yang telah dijalankan pada hari kedua, yang beliau namakan sebagai Technology Day. Hahaha.. Mungkin sebab banyak sangat aktiviti yang berkaitan dengan teknologi! 


Beberapa perkongsian berkaitan 'Technology Day' memberi kesan signifikan kepada pembelajaran saya di sini. Antaranya kelemahan yang dikenalpasti sepanjang menjalankan aktiviti adalah : 

1. Kerja berkumpulan akan menghasilkan bunyi yang kelihatan bising

2. Kadangkala kerja kumpulan menjurus sehingga jadi huru hara / tidak terkawal

3. Aktviti cenderung untuk mengambil masa yang sangat panjang.


Tetapi dalam masa yang sama, juga ada beberapa kelebihan diperolehi daripada hasil kerja kumpulan, iaitu kolaboratif antara murid dan juga lebih banyak idea!


Daripada saya sendiri pula, selepas kejadian gagal menghidupkan kereta solar dengan menggunakan sel solar walaupun setelah dicuba dan diuji berkali-kali, ada satu pengajaran yang saya dapat. 


Kursus STELR - STEM Education di Bandung - Hari 03
Percubaan pasukan kami menghasilkan kereta solar 'gagal'

Iaitu, kadangkala kegagalan juga boleh menjadi peluang terbaik untuk anak didik kita mempelajari sesuatu konsep, dengan menggunakan kemahiran penyelesaian masalah (problem-solving)!

Maka jangan sesekali bimbang jika eksperimen / aktiviti tidak berjalan seperti yang dirancangkan. Guru hanya perlu ubah sedikit pendekatan supaya 'masalah' tersebut dijadikan sebagai bahan eksplorasi penyelesaian masalah untuk murid. Best kan?



Sustainable Housing
Aktiviti seterusnya ini sangat menarik perhatian saya. Aktiviti mengkaji keberkesanan tenaga pada binaan rumah kita. Memang menarik sungguh sebab jika dijalankan dengan pelajar, tentu mereka lebih mudah dapat kaitkan dengan kehidupan mereka. 


Kursus STELR - STEM Education di Bandung - Hari 03
Buku kerja yang dibekalkan kepada pelajar untuk aktiviti ini

Banyak jugak konsep Sains yang boleh dikaitkan dengan aktviti mudah ini. Antaranya adalah:

1. Pemindahan haba (konduksi, perolakan dan sinaran)
2. Teori kinetik jirim
3. Logam dan bukan logam
4. Pengudaraan


Memang seronok apabila kita menguji bahan-bahan yang sesuai digunakan untuk dinding dan juga bumbung di rumah kita. Banyak bahan yang diberikan, antaranya adalah bumbung zink, dinding yang bersalut cat, gentian asbestos dan lain-lain. 


Kursus STELR - STEM Education di Bandung - Hari 03
Kit lengkap untuk Sustainable Housing

Kursus STELR - STEM Education di Bandung - Hari 03
Setiap kumpulan mengkaji bahan yang sesuai untuk dicuba

Kursus STELR - STEM Education di Bandung - Hari 03
Bimbingan daripada fasilitator adalah sangat membantu

Bagi menentukan rumah tersebut cekap tenaga ataupun tidak, maka sensor boleh digunakan. Bacaan pula diambil dengan menggunakan data logger yang dibekalkan dalam kit STELR tersebut.



Saung Angklung Udjo
Aktiviti diselesaikan sehingga jam 12 tengahari sahaja. Ini kerana pada sebelah petangnya kami dibawa untuk lawatan kebudayaan yang terkenal di Bandung, iaitu Saung Angklung Udjo. 


Saung Angklung Udjo Wisata Bandung
Wayang Golek (wayang kulit jika di Malaysia)

Saung Angklung Udjo merupakan sebuah pusat kebudayaan angklung yang memang cukup terkenal di sini. Pusat ini didirikan oleh Pak Udjo, seorang penggiat angklung yang telah berjaya membawa angklung ke mata dunia. Tengok kepada rekod yang disediakan dalam galeri, rupanya team angklung pak Udjo nih dah pernah beraksi sehingga ke Paris dan Jerman. Hebat pak Udjo!

Selepas ketiadaan Pak Udjo, pusat ini diuruskan oleh waris yang juga merupakan anak sulung beliau. Pasukan angklung ini ditambahbaik dan diberi nafas baharu dengan menambah bilangan not-not muzik supaya lebih sesuai dengan keperluan lagu zaman sekarang. 


Saung Angklung Udjo Wisata Bandung
Persembahan band modern angklung oleh anak-anak Bandung

Saung Angklung Udjo Wisata Bandung
Anak-anak muda di Bandung sudah dididik untuk mencintai seni budaya mereka

Persembahan dimulakan dengan pelbagai kebudayaan Indonesia yang popular, seperti Wayang Golek (wayang kulit), Kuda Lumping (kuda kepang) dan persembahan angklung daripada anak-anak Saung Angklung Udjo sendiri.


Menariknya, persembahan ini dipersembahkan oleh anak-anak muda dari sekitar Bandung. Seronok melihat aksi lincah mereka semasa berada di atas pentas. Memang langsung tak segan-segan. Betul-betul sebagai seorang penghibur!


Saung Angklung Udjo Wisata Bandung
Pelancong daripada pelbagai negara memeriahkan sesi persembahan di Saung Angklung Udjo

Paling menarik adalah apabila, kami diberikan satu not angklung dan diajarkan untuk memainkan muzik secara bersama-sama dalam dewan tersebut. Serius semua orang pun teruja!

Mulanya ingatkan susah. Tetapi selepas tunjuk ajar daripada tenaga pengajar di sini, ternyata sangat lah best. Hanya perlu kenal isyarat (nota muzik) yang diberikan oleh pengajar dan seterusnya kita goncangkan angklung yang berada di tangan kita bagi menghasilkan bunyi.


Saung Angklung Udjo Wisata Bandung
Pengajar nota muzik angklung di Saung Angklung Udjo

Saung Angklung Udjo Wisata Bandung
Mudahnya bermain angklung!

Saung Angklung Udjo Wisata Bandung
Bersama rakan-rakan guru seluruh ASEAN yang menyertai kursus STEM di Bandung

Saung Angklung Udjo Wisata Bandung
Sesi akhir persembahan yang menyaksikan penyertaan daripada para tetamu

Maka, saya sangat lah mengesyorkan kepada sesiapa yang ingin berkunjung ke Bandung, Indonesia, jangan lepaskan peluang untuk berkunjung ke Saung Angklung Udjo. Pasti anda akan mendapat pengalaman kebudayaan yang sangat berharga!




Catat Ulasan

0 Ulasan