About Me

80 Hari di Korea : Hari 26 (Pengurusan Peperiksaan Sekolah di Korea)

Minggu ini adalah minggu peperiksaan bagi sekolah Daegu Girls Commercial High School. Maka kami guru-guru yang datang untuk program pertukaran nih tak perlu masuk kelas. Kerana jadual betugas guru untuk peperiksaan dah disediakan. Maka saya mohon kebenaran sekolah untuk mengikuti satu kelas peperiksaan bagi membolehkan saya tahu bagaimana peperiksaan peringkat sekolah dijalankan di Korea.





Kebetulan Eun Songsaenim, guru Bahasa Inggeris banyak membantu kami. So, kami cuba ikut dia ke satu kelas dan diterangkan dengan baik segala prosesnya dalam Bahasa Inggeris. Jadi, memang banyak lah benda yang nak ditanya sangat.

Guru-guru menyediakan soalan dan akan menyimpan dalam sampul berwarna coklat. Bagi kelas yang kami masuk, kertas soalannya bersaiz hampir saiz surat khabar. Manakala saiz Borang OMR nya pula hanya 1/4 daripada saiz yang kita biasa gunakan di Malaysia.

Tidak seperti kita yang menggunakan ABCD bagi pilihan jawapan, di sini mereka menggunakan 12345 bagi setiap pilihan jawapan. 




Guru-guru akan melihat pada jadual bertugas yang disediakan dan pergi ke kelas. Manakala Homeroom Teacher (Guru Kelas) akan bertugas di koridor dan memantau kelas. Ini kerana semasa peperiksaan, pelajar akan dicampurkan. Maksudnya ada 2 tingkatan dalam 1 kelas. Juga bermaksud, 2 subjek yang berbeza dalam kelas yang sama.


 Pelajar disusun secara berselang seli bagi mengurangkan risiko berlaku penipuan semasa peperiksaan. Selain itu, guru kelas juga bertanggungjawab membawa pelajar ke tandas, jika ada yang nak ke sana. Pelajar yang ingin ke tandas juga perlu menyerahkan kertas jawapan kepada guru bertugas bagi mengelakkan sebarang cubaan dengan berniat.





Bagi borang OMR tadi, pelajar perlu menggunakan pen khas yang berwarna hitam. Ini kerana, hanya dengan menggunakan pen tersebut, borang OMR tadi akan boleh disemak oleh mesin OMR. Kalau guna pensil 2B, jawabnya dapat 0 ler pelajar tu. 

Jadi bagaimana kalau berlaku kesilapan semasa pelajar menanda? Prosedurnya adalah guru akan beri Borang OMR yang baru dan borang OMR yang rosak tadi akan dikoyak. Juga bagi mengelakkan daripada disalah guna oleh pelajar.





Dalam tempoh pelajar menjawab, akan ada beberapa orang guru subjek datang ke kelas dan bertanyakan jika ada masalah pada kertas soalan. Sekadar proses semak semula bagi memudahkan urusan guru dan pelajar.

Dalam 10 minit sebelum peperiksaan berakhir, guru bertugas akan mengecop pada borang OMR setiap pelajar. Ini bagi mengesahkan bahawa pelajar telah mengisi semua maklumat dan juga jawapan dalam borang yang disediakan. 








Selesai pelajar menjawab, semua borang OMR dikumpulkan dan diasingkan mengikut subjek. Sampul putih disediakan bagi menyimpan borang OMR sebelum diserahkan kepada guru masing-masing.

Kertas soalan dan borang OMR yang lebih dan rosak akan dikumpulkan di suatu tempat khas. Kemudian guru bertugas akan menyerahkan sampul putih tadi kepada guru yang bertugas di Bilik Peperiksaan.





Guru tadi akan menyemak kesemua kertas soalan bagi pihak semua guru dengan menggunakan mesin OMR yang ada. Guru-guru hanya perlu masukkan jawapan bagi subjek masing-masing dengan menggunakan sistem online. Kemudian secara online jugak, guru-guru akan memperolehi markah lengkap dengan analisis item. Best kan?


Oh ya.. semasa musim peperiksaan juga, masa persekolahan dipendekkan kepada pukul 2 petang sahaja. Sebelah petang pula guru-guru akan berkumpul dan ada sesi taklimat pendidikan. Ini ala-ala macam LADAP (latihan dalam perkhidmatan) jika di Malaysia.





Semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada rakan guru di luar sana, bagi memperkemaskan dan memudahkan urusan pentadbiran peperiksaan di sekolah masing-masing. 



Catat Ulasan

0 Ulasan