About Me

80 Hari di Korea : Hari 35 (Lawatan ke Hosan High School)

Setelah beberapa kali memohon dengan Kyo Jang Songsaenim dan Kim Songsaenim, akhirnya hari ini permintaan saya ditunaikan. Memang berhajat sangat nak tengok high school (sekolah menengah atas) lain memandangkan saya berada di sekolah high school jenis commercials (vokasional / teknik). Tengah hari pengetua maklumkan akan ke Hosan High School, Daegu bagi lawatan sambil belajar. Hanya saya, Hanne dan juga Pengetua sendiri.





Hosan High School, Daegu
Hosan High School ini terletak di Daegu Barat yang mana di sini adalah kawasan perindustrian. Jadi sepanjang jalan boleh nampak kilang-kilang. Hosan High School ini menjadi pilihan Pengetua saya kerana Pengetua Hosan High School ini adalah rakan seuniversiti beliau. So lebih senang nak berkerjasama.

Hosan High School ini didirikan pada tahun 2009. Maknanya baru 6 tahun beroperasi. Sekolahnya memang lawa lah. Kawasan sekolah pun jauh lebih luas berbanding sekolah Daegu Girls Commercial High School yang dah berusia lebih 50 tahun. Struktur binaan nya saja dah menunjukkan memang dibina dengan kos yang tinggi.




Kami ke bilik Pengetua terlebih dahulu bagi bertemu dengan Pengetua Hosan High School. Bilik Pengetua besar giler kot, lengkap dengan ruang untuk taklimat pagi bersama team pengurusan sekolah. Pengetua saya terpaksa menjadi jurubahasa memandangkan beliau tidak mahir berbahasa Inggeris. Bagi memudahkan urusan melawat sekolah, maka beliau telah memohon jasa baik seorang guru bahasa Inggeris, menjadi pemandu pelancong kami di sekolah ini.

Hosan High School nih adalah public school. Sama macam sekolah menengah kebangsaan harian biasa jika di Malaysia. Jadi kedatangan saya ke sini adalah amat sesuai bagi melihat tahap pencapaian pelajar Korea di sekolah harian biasa, kerana saya juga merupakan guru di sekolah harian biasa, SMK Jerlun, Kedah. Mungkin akan ada beberapa perkara yang dapat saya bandingkan dan bawa balik ke Malaysia nanti.



Pelajar dan Guru
Daripada cikgu BI tersebut, kami dimaklumkan sekolah ini mempunyai 400 orang pelajar bagi setiap grade. Ada 3 grade semuanya, maka jumlah keseluruhan pelajar adalah seramai 1200 orang. Di Korea, bilangan pelajar di dalam kelas memang sudah ditetapkan sekolah. Bagi sekolah ini, hanya 30 orang pelajar bagi setiap kelas.

Disebabkan ini juga lah banyak sekolah High School di Korea yang mengadakan promosi hebat di Middle School (menengah rendah) bagi menarik minat lebih ramai pelajar-pelajar berbakat yang boleh mengharumkan nama sekolah. 




Dengan jumlah murid seramai 1200 orang, bilangan gurunya adalah 80 orang. Lebih kurang nisbah 1 guru : 15 murid. Jumlah yang sesuai dan sangat berpatutan dalam mendidik anak murid.

Kami dibawa melawat bahagian foyer utama sekolah. Di sini beberapa pelajar sedang menyiapkan pameran bagi mempamerkan hasil kerja seni mereka. Hasil pelajar High School memang tak alang-alang. Sangat kemas. Teliti. Memang saya tabik spring lah tengok hasil budak-budak nih walaupun mereka daripada sekolah kerajaan biasa.




Kami dibawa ke Dewan Lecture yang boleh menempatkan sehingga 400 orang pada satu masa. Ketika kami melawat ke sana, ada sesi ceramah daripada seorang Profesor dari universiti yang berdekatan menyampaikan sesi ceramah yang berkaitan dengan penggunaan ubat. Menurut guru English tadi, pihak sekolah kerap kali didatangi oleh agensi luar yang datang berkongsikan pengetahuan mengenai sesuatu perkara. Keterlibatan agensi luar mempengaruhi pencapaian sekolah.




Dari sini, kami melawat bilik-bilik khas yang lain. Antara yang kami sempat masuk adalah bilik kelas pelajar, bilik pendidikan khas, bilik muzik, bilik latihan muzik, bilik pengurusan rumah (Ekonomi Rumah Tangga), Wee Class (Bilik Kaunseling), bilik Pendidikan Seni dan juga bilik Self-Study.



Persembahan istimewa daripada Hosan High School Band




Bilik Darjah
Bilik Darjah disusun mengikut ciri-ciri kelas abad 21 yang memberi ruang kepada pelajar untuk berkolaborasi dan lebih aktif dalam pembelajaran. Setiap kelas di Korea ini memang mempunyai LCD TV yang bersaiz besar (ataupun LCD Projektor - bergantung kepada pengurusan sekolah) bagi membantu guru mengajar dengan lebih baik. 




Jika di Daegu Girls Commercial High School, setiap kelas mempunyai komputer yang disambungkan dengan LCD Projektor dan internet, tetapi di Hosan High School ini, guru-guru mereka akan membawa laptop masing-masing ke dalam kelas. Lebih selesa kata mereka. 

Saya perhatikan pada rak yang disediakan untuk barang dan buku di belakang kelas juga masih terjaga dengan baik. Tiada unsur-unsur vandalisme atau kerosakan yang saya dapat lihat walaupun sekolah mereka sudah berusia hampir 6 tahun. Tahniah anak-anak Korea!



Bilik Guru
Bilik guru pula diasingkan mengikut grade. Guru homeroom (guru kelas) bagi setiap Grade akan berada bersama-sama di bilik yang sama bagi membolehkan sebarang perbincangan dan perancangan dapat dilakukan dengan lebih mudah dan berkesan.

Bagi guru yang mempunyai tugas menjaga bilik, mereka akan ditempatkan terus di bilik khas tersebut. Manakala bagi guru yang tiada tugas khas, mereka akan berada di Bilik Guru Utama.


Technical Room
Di bilik Technical Room, yang seperti bengkel Kemahiran Hidup kita, saya dapati sukatan pelajaran mereka lebih terkini dan juga lebih tinggi. Dapat saya lihat di papan hitam, antara kemahiran yang dipelajari adalah yang berkaitan dengan port USB. Kelihatan juga banyak port USB yang belum dipasang berada di bahagian meja guru. 





Homemaking Room
Bilik Pengurusan Rumah pula adalah lebih kurang kita punya bengkel ERT. Di sini pelajar di ajar untuk memasak, menjahit, mengemas rumah, menseterika baju, penjagaan bayi dan lain-lain perkara yang berkaitan dengan menguruskan rumah dan rumahtangga.


Bilik Kaunseling
Wee Class pula merupakan nama bagi bilik kaunseling mereka. Di sini kaunseling bagi masalah pelajar dan juga kaunseling bagi menentukan kerjaya pelajar diasingkan di 2 bilik yang berbeza. Wee Class lebih menumpukan kepada pelajar yang bermasalah. Masalah dengan diri sendiri, keluarga, pembelajaran dan sesama rakan. Bagi kaunseling kerjaya pula lebih kepada menyediakan maklumat dan khidmat mengenai peluang sambung belajar selepas high school.





School Broadcasting System
Ini bilik yang paling saya suka! Setiap sekolah mempunyai siaran TV masing-masing yang dipancarkan ke setiap kelas di sekolah. Sebarang pengumuman, atau maklumat yang ingin disampaikan kepada pelajar atau warga sekolah, akan disampaikan melalui sistem penyiaran ini. 




Dengan adanya sistem penyiaran yang sebegini, maka perhimpunan sekolah tidak perlu diadakan sama ada secara harian atau mingguan atau bulanan. Hanya sampaikan melalui sistem penyiaran ini sahaja. Sistem juga dikawal sepenuhnya oleh pelajar! Hebat kan?



Self-Study Room
Kemudian kami dibawa ke Bilik Self-Study. Bilik ini digunakan oleh pelajar yang masih mahu belajar selepas tamat waktu persekolahan pada jam 5.00 petang. Ada 3 buah bilik Self-Study yang disediakan, mengikut grade masing-masing. Bilik ini dibuka sehingga jam 10.00 malam dan yang paling bagusnya, adalah jadual menjaga pelajar di sini adalah mengikut giliran antara guru dan juga ibubapa! Keterlibatan ibubapa menentukan kejayaan pencapaian anak-anak.





Arts Room
Di bilik Seni pula sekumpulan pelajar sedang melukis. Tapi mata saya lebih tertarik untuk melihat hasil kerja pelajar yang dipamerkan di dalam bilik Seni. Figura-figura bersaiz kecil dengan pelbagai rupa dan aksi sangat menarik perhatian saya. Hasil seni yang bersifat sangat komersial dan boleh dipasarkan.

Nampak tak bagaimana sistem pendidikan Korea yang terus mengarahkan terus pelajar-pelajarnya kepada bagaimana untuk menghasilkan duit daripada hasil seni mereka?




Secara keseluruhannya, selepas lawatan ke sekolah Hosan High School ini (sekolah harian biasa), saya memang kagum dengan sistem pendidikan Korea. Sebulan berada di sini sedikit sebanyak memberi gambaran dan jawapan kepada saya, mengapa sistem pendidikan Korea merupakan antara sistem pendidikan yang terbaik di dunia! Pasti saya akan gali lebih banyak lagi input-input berguna yang dapat dikongsikan dengan rakan guru di Malaysia.


Untuk lawatan ke Hosan High School, ini adalah beberapa refleksi yang saya dapat buat daripada pemerhatian saya sepanjang berada di sekolah tersebut. Jemput layan juga video 80 Hari di Korea : Day 35 (Visit to Hosan High School) bagi mendapatkan gambaran yang lebih jelas. Jom kita sama-sama ambil manfaat!





Refleksi
1. Fasiliti dan infrastruktur pendidikan di Korea memang terbaik! Sangat sedikit perbezaan antara sekolah kerajaan dan juga sekolah swasta. Kerajaan Korea juga bertanggungjawab menyediakan kesemua kemudahan-kemudahan tersebut di sekolah swasta. Tentu kerajaan Korea membelanjakan wang yang banyak untuk sektor pendidikan mereka.

2. Agensi luar turut membantu sekolah bagi memberikan input dan maklumat terkini bagi menyediakan pelajar dengan keperluan industri di luar.

3. Keterlibatan ibubapa yang sangat proaktif dan sama bertanggungjawab dengan pihak sekolah dalam mendidik anak-anak merupakan kunci utama kejayaan pendidikan Korea.

4. Seni (lukis, muzik) digunakan sebagai 'senjata utama' untuk menawan hati pelajar dalam menarik minat untuk mereka belajar dan datang ke sekolah.





Catat Ulasan

5 Ulasan

  1. ada buat observe juga pembelajaran untuk high school?

    BalasPadam
    Balasan
    1. observe pembelajaran di sekolah saya (Daegu Girls Commercial High School) memang ada.. tapi untuk sekolah lain, macam di Hosan High School nih tak ada, sebab sekadar pegi melawat sahaja..

      Padam
  2. tahniah cikgu..berbeza jugak jika nak dibanding dgn sekolah harian biasa terutama di luar bandar..kalau ada rak cantik2 mcm tu, tak sampai setahun dh punah ranah..letih cikgu yg membuat..student skrg byk yg harap pd cikgu aje..

    BalasPadam
    Balasan
    1. yer betul.. sikap budak-budak Korea terhadap nak menjaga barang awam dan juga berdisiplin, sangat tinggi

      Padam
  3. Assalamualaikum cgu Hailmi...sgt mgujakan bc pengalaman cgu berada di KOrea..pkongsian pengalaman yg sgt bagus...sy sgt tertarik dgn refleksi cgu tentang fasiliti dan kemudahan di sekolah Korea...kerajaan Korea sgt mementingkan pendidikan bkualiti dgn myediakan fasiliti dan kmudahan dgn bajet besar...bdasarkan pndgn cgu bedara di sn mlihat sendiri sektor pendidikan KOrea apakah perbezaan yg paling ketara antara sektor pendidikan korea dgn apa yg ada di negara kita??...

    BalasPadam