About Me

SK Ulu Lubai, Sarawak : Permata dalam Belantara!

Sekolah Kebangsaan Ulu Lubai?  SK Ulu Lubai? Tentu ramai yang dah pernah dengar kehebatan dan keistimewaan sekolah rendah yang masyhur seantero dunia ini.. Sekolah yang juga dikenali dengan jolokan “Permata dalam Belantara” ini membuktikan nak  jadi sekolah yang hebat, tak perlu pun bangunan besar-besar, cantik-cantik, kemudahan dunia kelas pertama. Yang penting… SEMANGAT dan USAHA!!


SK Ulu Lubai Sarawak : Permata dalam Belantara
 



SEJARAH SEKOLAH
Sekolah ini terletak kira-kira 55 km dari Bandar Limbang, di Utara Negeri Sarawak. Lokasinya terletak betul-betul di tengah hutan belantara. Untuk ke sekolah ini anda boleh menggunakan kenderaan pacuan 4 roda melalui jalan balak ataupun menggunakan bot panjang menyusuri Sungai Lubai dengan sejam perjalanan dari pekan kecil Medamit. Sekolah ini merupakan sekolah terakhir di hulu Sungai Lubai.


Peta SK Ulu Lubai Sarawak : Permata dalam Belantara


Sekolah Kebangsaan Ulu Lubai dibuka pada 1964 dan pernah ditutup pada 1976 sebelum dibuka semula setahun selepas itu dengan hanya mempunyai 30 orang murid yang dibimbing oleh 11 orang guru dengan bantuan seorang staf sokongan. Sekolah ini serba sederhana dari segi infrastruktur dengan bangunan kayu lama manakala satu-satunya binaan konkrit hanyalah tandas kegunaan murid dan guru.


Pintu masuk SK Ulu Lubai Sarawak : Permata dalam Belantara
 

Pada mulanya, sekolah ini ditadbir majlis daerah sebelum diambil alih Kementerian Pelajaran dengan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar. Guru Besar ialah Jaul anak Bunyau yang menerajui sekolah tersebut sejak 1998.

Sekolah ini hanya terdiri daripada 12 guru termasuk guru besar serta 39 murid yang merupakan penghuni rumah panjang Tunggang, Pasir Panjai, di bahagian Limbang.



PENCAPAIAN dan KEISTIMEWAAN SEKOLAH
SK Ulu Lubai merupakan sekolah luar bandar pertama di Malaysia yang dinobatkan sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) Kohort Dua oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin pada tahun 2011.

Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dengan keputusan 100 peratus lulus sejak 2006 sehingga 2010, menjadikannya sebagai sekolah rendah terbaik di negeri Sarawak dan juga di Malaysia. 


Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika berada di SK Ulu Lubai Sarawak : Permata dalam Belantara


Pencapaian lain antaranya pernah mendapat pengiktirafan sebagai sekolah terbaik dalam daerah Limbang sebanyak 46 kali, peringkat negeri Sarawak sebanyak 13 kali dan peringkat kebangsaaan sebanyak 5 kali.

Kenangan paling manis apabila sekolah ini juga dinobatkan sebagai Johan Anugerah Commonwealth Education Good Practice Award 2009 dan finalis anugerah yang sama daripada Sekretariat Komanwel dan Kerajaan Malaysia. Ia turut dicalonkan untuk UNESCO Educational International Best Practices 2010.

Selain itu, sekolah ini juga aktif dalam menjalin hubungan kerjasama antarabangsa dengan University Bristol, United Kingdom (UK), Jin Shan Primary School, Singapura dan Kingsford Community School serta Deptford Green School, di United Kingdom.


BUDAYA SEKOLAH dan KUNCI KEJAYAAN
Setiap pelajar di sekolah tersebut mampu bertutur Bahasa Inggeris dengan sangat baik. Bagi membudayakan perkara ini, sekolah telah melancarkan Program English Language in School (ELIS). Pada mulanya, murid agak kekok. 

Namun berkat kesungguhan semua pihak, dengan strategi yang berkesan, kini murid-murid tersebut dapat bertutur Bahasa Inggeris dengan lebih baik daripada budak di bandar-bandar besar! Malah mereka juga mengamalkan budaya yang sama ketika bersama keluarga ketika berada di rumah panjang.



Pemandangan sekitar sekolah di SK Ulu Lubai Sarawak : Permata dalam Belantara


Pelajar juga mampu menunjukkan sifat kepimpinan yang sangat tinggi. Murid-murid berusia bawah 12 tahun ini sudah mampu menguruskan pelbagai perkara, bangun pagi dan ke sekolah pada jam 5.30 pagi! Ini bagi tujuan membersihkan kawasan sekolah, termasuk bilik darjah dan juga tandas. Pelajar juga mampu untuk menguruskan perhimpunan dan semua majlis yang berlangsung di sekolah!


Pemandangan sekitar sekolah di SK Ulu Lubai Sarawak : Permata dalam Belantara


 Sekolah yang dalam serba kekurangan ini juga mampu untuk melahirkan atlet bertaraf negeri, bahkan sampai ke peringkat kebangsaan. Dengan kedudukan tempat lompat jauh yang terletak di antara bangunan kelas dan dengan menggunakan peralatan sukan yang ketinggalan, ini langsung tidak menjadi halangan kepada murid-murid untuk cemerlang dalam sukan!

Murid-murid akan mengulangkaji pelajaran di rumah panjang sekurang-kurangnya satu jam untuk setiap malam dengan ditemani ibu bapa masing-masing dan akan dipantau oleh seorang guru. Di rumah panjang mereka juga, terdapat satu jawatankuasa belajar malam yang akan memantau perkembangan pendidikan anak-anak ini.


Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika berada di SK Ulu Lubai Sarawak : Permata dalam Belantara
 

Guru Besar SK Ulu Lubai sejak 1998, Jaul Bunyau berkata, kunci kepada kejayaan sekolah itu ialah kerjasama erat daripada ibu-bapa kerana merekalah yang paling dekat dengan sekolah. 

Katanya, mengharapkan orang luar untuk membantu sekolah di pedalaman seperti SK Ulu Lubai amat sukar kerana keadaannya terpencil manakala prasarananya amat terhad. "Jadi kita kena libatkan komuniti setempat dan guru-guru pula tidak boleh terpisah dengan masyarakat," katanya.


p/s: Semoga kisah kejayaan SK Ulu Lubai ini mampu menjadi inspirasi kepada sekolah-sekolah di luar sana, untuk tampil cemerlang, gemilang dan terbilang di persada dunia!





Catat Ulasan

3 Ulasan

  1. Tahniah kpd semua guru yg berkhidmat di SK.Ulu Lubai

    BalasPadam
  2. Tahniah. Sekolah and dijadikan contoh kecemerlangan dlm kursus.

    BalasPadam