About Me

Syair Yang Menjadi Inspirasi Perjuangan Ahmad Ammar

Saya rasa tak perlulah lagi sekiranya saya nak memperkenalkan Allahyarham Ahmad Ammar yang sangat dikenali belakangan ini. Kisah hidup dan perjuangannya harus dan patut menjadi contoh kepada generasi muda dalam mencari haluan hidup menuju ke jalan yang benar. Namun, dalam banyak-banyak kisah kekaguman mengenai Allahyarham Ahmad Ammar, saya sebenarnya paling tertarik dengan sumber inspirasi kepada perjuangan hebat beliau, sehingga mendorong beliau untuk melakukannya ke suatu tahap yang sedemikian hebat, iaitu Syair Imam Syafie yang menyeru supaya kita merantau.

Syair Yang Menjadi Inspirasi Perjuangan Ahmad Ammar

 SYAIR MERANTAU IMAM SYAFIE
Merantaulah…
Orang berilmu dan beradab tidak akan diam di kampung halaman
Tinggalkan negerimu dan merantaulah ke negeri orang

Merantaulah…
Kau akan dapatkan pengganti dari kerabat dan kawan
Berlelah-lelahlah,
manisnya hidup terasa setelah lelah berjuang

Aku melihat air menjadi rusak karena diam tertahan
Jika mengalir menjadi jernih, jika tidak, akan keruh menggenang

Singa jika tak tinggalkan sarang, tak akan dapat mangsa
Anak panah jika tak tinggalkan busur, tak akan kena sasaran

Jika matahari di orbitnya tak bergerak dan terus diam
Tentu manusia bosan padanya dan enggan memandang

Bijih emas bagaikan tanah biasa sebelum digali dari tambang
Kayu gaharu tak ubahnya seperti kayu biasa jika di dalam hutan

Saya akui sangat tertarik dan terbuka minda bila membaca syair ini. Apatah lagi dalam syairnya ini, Imam Syafie sangat mengesyorkan supaya kita pergi merantau, dan berada di negeri asing. Banyak pengalaman dan pengetahuan yang akan kita dapat jika kita pergi merantau. Sama juga seperti kita pergi melancong atau bercuti ke tempat asing. Tentu banyak bezanya jika berada di tempat sendiri, dan jika berada di tempat asing kan?

Dalam menunjukkan betapa pentingnya untuk merantau, banyak misalan lain yang Imam Syafie berikan. Hatta alam sekeliling juga tidak bersifat statik dan setempat. Harus sentiasa 'bergerak' dan jangan pernah selesa pada tempat sendiri. Itulah pentingnya memerhatikan alam sekeliling ciptaan Tuhan. Banyak hikmah. Banyak bijaksanaNya. 

Semoga Syair Merantau Imam Syafie ini juga dapat menjadi sumber inspirasi kita dalam berjuang dengan cara kita sendiri. Bagi yang belum menyaksikan video sedih mengenai kisah perjuangan Allahyarham Ahmad Ammar, boleh saksikan video di bawah.




Semoga juga kisah perjuangan Syahid Yang Tertangguh ini menjadi sumber inspirasi kepada kita dan generasi muda sekarang. Saya sentiasa percaya, bagi satu kisah perjuangan yang hebat, pasti bermula dengan satu cetusan inspirasi yang mampu menjadikan seorang insan itu, insan yang hebat dan cekal. Selamat berjuang!

Catat Ulasan

1 Ulasan