.

.

ISU DAN KONTROVERSI PENDIDIKAN MALAYSIA 2016

Imbas kembali isu dan kontroversi dunia pendidikan Malaysia sepanjang 2016

80 HARI DI KOREA

Ikuti kembara saya sebagai guru pertukaran di Korea

PANDUAN LENGKAP PEMBELAJARAN ABAD 21

Menelusuri segenap sudut Pembelajaran Abad 21

PANDUAN MEMOHON GURU CEMERLANG

Panduan Memohon Guru Cemerlang : Dokumentasi dan Filing

KOLEKSI 100+ IDEA KREATIF SAINS

Dapatkan idea kreatif pengajaran dan pembelajaran Sains

Selasa, 21 Mac 2017

14 Tips Untuk Menghadapi Haters di Sekolah

Tempat kerja, boleh mencipta suasana yang berbeza. Jika dikelilingi rakan kerja yang baik dan positif, ianya merupakan satu ruang yang sangat menyeronokkan dan kondusif untuk bekerja. Tetapi jika dikelilingi dengan aura negatif, tempat kerja boleh menjadi satu medan pertempuran yang bakal menyaksikan banyak jiwa yang terseksa! 


14 Tips Untuk Menghadapi Haters di Sekolah
14 Tips Untuk Menghadapi Haters di Sekolah

Sekolah juga tak lepas sebenarnya daripada perkara ini. Budaya yang tak sehat, politik tempat kerja, dan aktiviti hasut menghasut serta membodek, sebenarnya membawa banyak kecelakaan kepada suasana bekerja di sekolah. Dan yang paling pelik adalah bila usaha positif selalu disalah tafsir oleh mereka yang berasa diri mereka 'terancam'.  Jom kita tengok beberapa tips bagi menghadapi haters di sekolah.


01. Betulkan niat
Kadang-kadang mungkin kita sendiri juga tersasar. Benda baik asalnya, tetapi disebabkan banyak masalah dan cabaran yang mendatang, maka niat kita pun boleh jadi terpesong. Maka, sama-sama kita semak balik niat kita. Mudah-mudahan mendapat keberkatan daripadaNya.


14 Tips Untuk Menghadapi Haters di Sekolah
Betulkan balik niat yang dah terpesong ke laut tu.. 


02. Amalkan Langkah Selamat
Banyak perkara yang boleh diselesaikan dengan mengambil langkah selamat. Silap percaturan dan kelam kabut sebenarnya boleh membunuh motivasi kita dalam bekerja. Maka berhati-hati itu lebih baik.


03. Teruskan Bekerja
Haters-haters nih timbul kerana nak mengganggu motivasi anda bekerja, dan nak tengok anda berhenti bekerja. Maka usahlah pedulikan mereka, teruskan dengan niat bekerja anda. InshaAllah dia akan lebih sakit hati dan tenggelam dengan cerita jahat mereka.


04. Pedulikkan Mereka
Tidak memperdulikan mereka adalah antara perkara yang paling menyenangkan hati nak buat. Walaupun kadang-kadang sukar sket dari segi nak melaksanakannya, tetapi cubalah untuk tidak mempedulikan mereka. Tak perlu respon dan beri tindakbalas mengejut, dan ekstrem yang akhirnya menyusahkan anda pula. Anggap macam tak ada, ok?


14 Tips Untuk Menghadapi Haters di Sekolah
Tu jer yang haters mampu buat.. setuju kan?


05. Balas Dengan Kebaikan
Aduih. Ini yang paling susah nak buat. Balas kejahatan orang dengan kebaikan. Sebut memang mudah, tapi nak buat tu, hanya orang yang kuat saja yang mampu. Buat yang ada kekuatan mental dan fizikal boleh lah cuba kaedah ini. Yang belum, kuatkan diri, dan cubalah berusaha. Kalau tak, sama saja kita dengan mereka.


06. Sentiasa Positif
Orang kata, kalau kita positif, maka yang akan datang kepada kita pun semuanya yang positif juga. Positif menarik aura positif jugak. Maka sentiasalah bersangka baik, berniat baik dan berbuat baik. InshaAllah yang datang pun baik-baik juga. 


07. Jadikan Haters Sebagai Motivator
Secara tak langsung, bila ada haters, maknanya anda dah berada setapak di hadapan. Kan? Jadi bila dapat haters baru di sekolah, maka jangan bimbang. Senyum dan teruskan jadi mereka sebagai motivator anda untuk bergerak lebih jauh. Sekurang-kurangnya, ada juga pendorong untuk anda beri lebih dalam bekerja.


14 Tips Untuk Menghadapi Haters di Sekolah
Thanks to my motivator!


08. Bergaul Dengan Kawan Positif
Penting juga sebenarnya untuk mendapatkan kawan yang positif. Terutamanya di kala kita sendiri pun dah tak berupaya nak jadi positif lagi. Maka mereka ini lah yang akan terus berada di sisi dan memberi pinjam aura positif mereka. Jangan lupa ramaikan kawan-kawan yang positif. InshaAllah banyak membantu.


09. Kawal Emosi
Perkara paling teruk adalah tidak mampu mengawal emosi ketika berdepan dengan haters. Dalam keadaan sebegini, kemarahan hanya mampu memberi impak tak baik kepada anda. Apatah lagi bila time nak meletup, ramai pula rakan sekerja yang tidak tahu hal sebenar, dan menyalahkan kita. 


14 Tips Untuk Menghadapi Haters di Sekolah
Amarah hanya beri keputusan yang menyedihkan akhirnya

Jalan terbaik, kawal emosi sebaik mungkin. Jika terlalu marah, sila duduk, dan tarik nafas dalam-dalam. Kalau marah lagi, terus tidur. Elakkan daripada berkata-kata. Kelak badan yang binasa.


10. Sabar, Sabar dan Sabar
Sifat sabar sebenarnya mempunyai banyak keajaiban. Selain daripada mendidik jiwa untuk mencapai tahap dan darjat lebih baik, kesabaran juga mampu melatih kita bagi berdepan dengan dugaan yang jauh lebih mencabar. Suatu ketika, pasti akan datang bantuan dan penyelesaian untuk masalah kita.


11. Perbaiki Hubungan Dengan Allah
Bila dilanda ujian yang sebegitu rupa, cubalah untuk semak balik hubungan kita dengan Allah. Banyakkan muhasabah diri, lakukan perkara Sunat yang jarang kita buat sebelum ini seperti Solat Tahajjud, Dhuha, Sunat sebelum Subuh dan lain-lain. Paling tak pun, baca Al-Quran. InshaAllah rasa tenang jiwa.


12. Wasatiyyah
Kita juga perlu semak kerja buat kita. Kadang-kadang kerja buat yang melampau juga mendatangkan 'permasalahan' dan rasa iri hati dalam kalangan rakan sekerja. Maka langkah paling selamat adalah ambil jalan tengah. Tidak terlalu ekstrem dan berpadanan dengan keperluan dan kehendak institusi.


14 Tips Untuk Menghadapi Haters di Sekolah
Sket jer lagi... jangan give up, please


13. Never Give Up
Jangan sesekali berputus asa bila menerima ujian sebegini. Kadang-kadang mereka hanya ingin menduga kekentalan dan semangat kita. Maka ambil saja positif dan terus bekerja. Jangan berputus asa walaupun itu mungkin jalan terakhir yang kita ada. 


14. Banyakkan Berdoa
Akhirnya kembalilah menadah tangan kepada Yang Maha Esa, mohon minta dipermudahkan segala permasalahan dan dugaan. Anggap saja ini semua adalah ujian untuk menambahkan lagi pahala dan mendewasakan kita. Garam yang merupakan sebahagian daripada rencah hidup kita.


Semoga dengan perkongsian ini mampu meringankan beban anda menghadapi haters di sekolah. Jangan lupa juga, mereka yang berjaya, adalah mereka dengan jiwa kental yang tak pernah kenal erti mengalah. Teruskan berusaha. Fighting!




Perkongsian Pembelajaran Abad 21 di SMK Langgar

Pada 2 Mac yang lalu, saya berkesempatan menghadiri satu sesi Latihan Dalam Perkhidmatan anjuran SMK Langgar, sebagai penceramah. Tajuk yang diberikan, dah tentu lah mengenai Pembelajaran Abad 21, dengan tagline saya, "bukan sekadar susun kerusi dan meja".


Perkongsian Pembelajaran Abad 21 di SMK Langgar
Perkongsian Pembelajaran Abad 21 di SMK Langgar

Selesai waktu persekolahan di sekolah, terus saya pecut ke SMK Langgar. Lebih kurang 40 minit juga, tambah lagi dengan waktu lepas sekolah yang biasanya penuh dengan kenderaan di atas jalan. Tapi saya rasa saya sampai agak tepat pada masanya, sebaik sahaja guru di sini melakukan persiapan lain selepas sekolah.

Sesi berlangsung dalam makmal komputer. Tak ramai warga guru di sekolah ini. Rasanya dalam 50 hingga 60 orang sahaja. Kebetulan ramai juga yang tak dapat mengikuti sesi LADAP ini kerana ada banyak komitmen lain pada masa yang sama. Jadi saya rasa dalam 40 orang guru sahaja yang berada dalam makmal pada ketika itu.


Perkongsian seperti biasa, adalah bagi tujuan membuka minda para guru dengan sistem pendidikan antara yang terbaik di dunia, Korea! Memang saya dapat saksikan betapa kagumnya rakan guru di SMK Langgar ini melihat akan betapa mengkagumkan sistem pendidikan di Korea. 

Lebih menakjubkan adalah pembentukan budaya dan etika mereka berjaya diselitkan dengan kemajuan teknologi yang sangat hebat. 


Perkongsian Pembelajaran Abad 21 di SMK Langgar
Perkongsian Pembelajaran Abad 21 di SMK Langgar

Sesi kemudian diteruskan dengan keperluan untuk kita melakukan transformasi dan juga seterusnya teras yang ada dalam Pembelajaran Abad 21. Beberapa strategi pembelajaran secara koperatif dan kolaboratif yang sangat bersesuaian dengan prinsip Pembelajaran Abad 21 juga diperkenalkan, serta ditunjukkan bukti melalui video dalam bilik darjah. 

Harapan saya tak lain dan tak bukan melainkan ilmu yang dikongsikan ini mampu diamalkan dan dimanfaatkan oleh warga guru di SMK Langgar, demi kemenjadian anak murid kita. Memberi impak baik kepada pendidikan, sebenarnya memberi masa depan yang lebih cemerlang untuk generasi pelapis bangsa dan negara. 

Selamat maju jaya!




Ahad, 19 Mac 2017

Seminar Memacu Pembelajaran Abad 21 di Kuantan, Pahang

Rasa bertuah benar apabila terpilih menerima jemputan daripada PPD Kuantan untuk menyertai Seminar Memacu Pembelajaran Abad 21. Menjadi antara orang paling jauh dijemput, seminar PA21 bagi sasaran pentadbir sekolah dan pegawai JPN PPD ini bertujuan membentangkan kajian impak keberkesanan pelaksanaan PA21 di sekolah.


Seminar Memacu Pembelajaran Abad 21 di Kuantan, Pahang
Seminar membincangkan Impak pelaksanaan Pembelajaran Abad 21 di Kuantan, Pahang

Ada juga beberapa pihak lain seperti, wakil dari kementerian, guru besar dari Johor bagi membentangkan impak terhadap pencapaian sekolah. Dari bahagian saya sudah tentulah, mewakili guru sekolah bagi membentangkan impak keberkesanan pelaksanaan Pembelajaran Abad 21 terhadap murid di dalam bilik darjah.


Urusan Baik Dipermudahkan Memandangkan seminar dijalankan pada hari persekolahan, maka saya mohon jasa baik pihak penganjur memudahkan urusan pergerakan saya dengan memohon kebenaran terlebih dahulu melalui JPN Kedah dan juga PPD Kubang Pasu. Alhamdulillah, segalanya dipermudahkan. Urusan baik, orang kata.


Seminar Memacu Pembelajaran Abad 21 di Kuantan, Pahang


Bagi saya, ini adalah peluang terbaik memandangkan ini juga kali pertama saya akan bentangkan kajian impak keberkesanan PA21 sepanjang melaksanakannya pada tahun 2016 dengan pelajar kelas 3 Arif, terutamanya. 


Sebelum ini, dalam banyak perkongsian saya, hanya banyak membentangkan mengenai apa itu Pembelajaran Abad 21. Ternyata usaha PPD Kuantan dengan kerjasama Yayasan Pahang ini merupakan satu usaha proaktif dalam membudayakan amalan PA21 di sekolah. Tahniah saya ucapkan!



Seminar Memacu Pembelajaran Abad 21 di Kuantan, Pahang


Saya tiba di Kuantan sehari sebelum Seminar dijalankan. Penerbangan yang memakan masa lebih kurang 40 minit itu, selamat tiba di Lapangan Terbang Sultan Haji Ahmad Shah pada jam lebih kurang 9.00 malam. Dijemput oleh Encik Nazeri, pegawai SISC+ Matematik, seterusnya dibawa makan malam dan terus dihantar ke Vistana Hotel. 


Hari yang sangat meletihkan!



Awal Pagi ke Seminar Awal pagi selesai bersarapan pagi di hotel, saya dijemput oleh Pegawai SISC+ Bahasa Melayu, Puan Roa'ani, atau lebih mesra dengan panggilan Kak Ani. Beliau lah yang banyak berurusan dengan saya bagi tujuan ke seminar ini sejak daripada penghujung bulan Disember 2016 lagi. Terima kasih banyak kak!

Kemudian kami bergerak ke Kompleks Yayasan Pahang yang terletak lebih kurang 20 minit perjalanan dari sana. Saat kami tiba, dah hampir penuh kawasan  parking yang beas disediakan yang hampir dengan tempat majlis berlangsung.



Seminar Memacu Pembelajaran Abad 21 di Kuantan, Pahang


Seminar Memacu Pembelajaran Abad 21 di Kuantan, Pahang


Seminar Memacu Pembelajaran Abad 21 di Kuantan, Pahang


Di bahagian depan disambut dengan AJK Pendaftaran. Memang sibuk melihat pasukan menguruskan pendaftaran para tetamu yang datang. Tetamu seramai hampir 500 orang tersebut terdiri daripada Ketua Sektor, Pegawai JPN Pahang, Nazir JNJK, Pegawai SISC+ seluruh daerah Pahang, guru besar dan pengetua daerah Kuantan, dan ramai lagi lah. 



Slot Dari Kementerian
Slot pengisian pertama bermula dengan wakil daripada Kementerian Pendidikan Malaysia, Dr Roslan Hussin yang menggantikan Datuk Amin Senin. Kami difahamkan Datuk Amin sangat berminat untuk hadir ke majlis ini, tetapi terpaksa memberi laluan kepada orang lain kerana perlu berada di Putrajaya bagi pengumuman keputusan STPM 2016. 


Seminar Memacu Pembelajaran Abad 21 di Kuantan, Pahang


Seminar Memacu Pembelajaran Abad 21 di Kuantan, Pahang


Dr Roslan Hussin memulakan perkongsian beliau dengan visi dan misi Kementerian Pendidikan Malaysia serta relevannya dengan Pembelajaran Abad 21. Banyak perkara yang perlu dilihat kembali bersama-sama untuk kita majukan pendidikan kita. Tetapi ada dua perkara yang saya rasa tertarik untuk berkongsi dengan pembaca, iaitu:


Seminar Memacu Pembelajaran Abad 21 di Kuantan, Pahang
Dr Roslan Hussin sebagai wakil daripada Kementerian Pendidikan Malaysia

1. Kesilapan kita adalah terlalu mentafsirkan Pembelajaran Abad 21 dengan terlalu 'kaku' (direct). Kita perlu lebih fleksibel dengan teroka lebih banyak lagi apa yang boleh kita manfaatkan dan meriahkan Pembelajaran Abad 21.

2. Jika Pembelajaran Abad 21 hanya berpaksikan kepada teknologi semata-mata, maka sudah pasti dunia tidak akan memilih Hanan Hroub, guru dari negara yang kalut dengan kancah peperangan sebagai Guru Terbaik Dunia!


Slot Bersama LeapEd
Ini kali pertama juga saya tahu bahawa pengurusan Sekolah Amanah diberi konsultasi mengenai Pembelajaran Abad 21. Antara mereka yang diberi kepercayaan tersebut adalah LeapEd, dengan senarai kepakaran dalam bidang Pembelajaran Abad 21, serta dibantu oleh sumber kewangan daripada badan besar seperti Yayasan Amir dan juga Yayasan Pahang sendiri. 


Slot  Bersama Pentadbir Sekolah
Seterusnya adalah sesi perkongsian daripada Encik Muhd Fuad yang juga Guru Besar SK Taman Kota Jaya, Johor. Beliau pernah menjadi  Guru Besar di lima buah sekolah sebelum ini termasuk juga sekolah amanah. 


Seminar Memacu Pembelajaran Abad 21 di Kuantan, Pahang
Aksi bersahaja tuan GB masa membentangkan kajian impak

Beliau banyak berkongsikan maklumat dari sudut bagaimana dan apa yang seorang pentadbir boleh lakukan bagi memulakan pembudayaan Pembelajaran Abad 21 di sekolah masing-masing.

Pencapaian dan kejayaan yang dikongsikan adalah sangat membantu para pentadbir yang datang pada hari ini, bagi benar-benar melaksanakan Pembelajaran Abad 21 di sekolah.


Slot Bersama Guru Pengamal (SK)
Turut berkongsi impak keberkesanan adalah Puan Mariani Ghani dari SK Kempadang. Beliau banyak berkongsikan pengalaman beliau dalam menggunakan tools PA21 semasa sesi pembelajaran di dalam kelas. Tingkahlaku murid dan juga impak ke atas juga dikongsikan dengan para hadirin. 


Seminar Memacu Pembelajaran Abad 21 di Kuantan, Pahang
Penggunaan Traffic Light sebagai Tools dalam PdPc Abad 21


Slot Bersama Guru Pengamal (SM)
Sesi saya adalah pada sebelah petang. Dengan hanya masa peruntukan 30 minit, maka saya terpaksa sumbatkan semuanya dalam slaid dengan masa yang terhad. Sesuai dengan keperluan seminar, maka saya hanya fokuskan kepada apa yang saya buat dengan anak murid saya, dan impak keberkesanan pelaksanaan PA21 kepada mereka.


Cikgu Hailmi di Seminar Memacu Pembelajaran Abad 21 di Kuantan, Pahang
Pembentangan Kajian Impak Pelaksanaan Pembelajaran Abad 21

Saya mulakan dengan latar belakang murid saya terlebih yang rata-rata mereka adalah anak kepada petani dan nelayan. Hampir 90%. Hal ini menyebabkan mereka kurang yakin diri, kerana jarang terdedah dengan dunia luar dan kurang pengalaman. 

Seterusnya saya tunjukkan video aktviti yang telah kami jalankan sepanjang 2016. Fokus saya tentulah pada pelajar kelas 3 Arif yang merupakan pelajar yang mendapat pendedahan paling banyak dengan Pembelajaran Abad 21. 


Impak Pelaksanaan Pembelajaran Abad 21 oleh Cikgu Hailmi
Impak kemenjadian murid hasil daripada pelaksanaan Pembelajaran Abad 21

Impaknya dapat dilihat daripada sikap mereka, pencapaian akademik mereka melalui peningkatan markah dan juga kreativiti mereka. Saya tunjukkan juga perbezaan markah sebelum dan selepas pengamalan Pembelajaran Abad 21 bersama pelajar 3 Arif. Daripada peratus lulus tak sampai 20%, peratusan tersebut meningkat sehingga 100% pada akhir tahun!

Ramai hadirin yang memberikan respon positif memandangkan apa yang ditunjukkan kepada mereka merupakan bukti sebenar pelaksanaan PA21 oleh saya sendiri. Ini juga membawa maksud bahawa, pelaksanaan PA21 yang betul boleh memberikan impak yang mampu meningkatkan pencapaian murid!


Slot bersama Tuan PPD
Slot terakhir adalah sesi perkongsian visi dan misi tuan PPD Kuantan, Tuan Haji Mohd Razali Mustafar. Hala tuju dan juga sasaran PPD kepada sekolah-sekolah dalam daerah Kuantan ini dinyatakan dengan jelas dan mantap dan menyeluruh.

Sebagai orang luar yang berada di majlis yang sama, saya sendiri dapat menghayati visi dan misi tersebut dengan baik kerana disampaikan dengan jelas. Jika dilaksanakan dengan baik, inshaAllah boleh memberi  impak besar kepada daerah Kuantan khususnya.


Seminar Memacu Pembelajaran Abad 21 di Kuantan, Pahang
Bergambar kenangan dengan Tuan PPD Kuantan, Tuan Haji Razali

Segalanya selesai pada jam 4.30 petang. Majlis penutupan berlangsung dengan sangat meriah, siap ada pasukan menari dari sebuah sekolah rendah yang berdekatan. Majlis penutupan dihadiri oleh wakil daripada Yayasan Pahang yang dari awal ucapan menyatakan komitmen jitu mereka dalam menyokong usaha pendidikan di Pahang, khususnya di Kuantan.  

Usaha yang sangat baik dan wajib dicontohi oleh badan-badan luar dengan sumber kewangan yang mantap. Pendidikan adalah suatu pelaburan terbaik bagi sesebuah negara!


Tak nama habis majlis lah kalau tak ambil kesempatan bergambar bersama warga pendidik yang hadir pada hari yang sama.


Seminar Memacu Pembelajaran Abad 21 di Kuantan, Pahang
Bersama Ketua Sektor Akademik JPN Pahang dan juga pasukan beliau

Seminar Memacu Pembelajaran Abad 21 di Kuantan, Pahang
Bersama Ustazah Norhaliza, JU PA21 bagi Bahagian Pendidikan Islam

Seminar Memacu Pembelajaran Abad 21 di Kuantan, Pahang
Bersama Datin Seri Diraja Dato' Seri Hajjah Junaini binti Kassim, isteri Menteri Besar Pahang

Seminar Memacu Pembelajaran Abad 21 di Kuantan, Pahang
Bersama SISC+ dari Temerloh

Seminar Memacu Pembelajaran Abad 21 di Kuantan, Pahang
Orang kuat PA21 di PPD Kuantan

Dari Kompleks Yayasan Pahang, saya bersama pasukan SISC+ Kuantan bergerak ke sebuah kedai makan di kawasan berdekatan. Sesi makan ikan celup tepung, ataupun orang Kuantan panggil ICT. 


Ikon Guru Malaysia
Tak lupa juga sesi pertemuan pertama dengan Cikgu Noorjahan Sultan yang merupakan Ikon Guru Malaysia 2016, yang juga finalis Top 50 Global Teacher Prize 2015. 

Seminar Memacu Pembelajaran Abad 21 di Kuantan, Pahang
Kami baru lepas makan ICT (Ikan Celup Tepung)

Sebenarnya dah lama saya berhubung dengan Cikgu Noorjahan atau lebih mesra dikenali sebagai Kak N nih. Alhamdulillah kali ini dapat bertemu muka dan bergambar. 

Sempat juga saya hulurkan poskad limited edition saya dan juga menerima bookmark special daripada Kak N. Thank you Kak N!


Seminar Memacu Pembelajaran Abad 21 di Kuantan, Pahang
Bersama Ikon Guru Malaysia, Cikgu Noorjahan Sultan

Selesai makan ikan celup tepung, saya terus dihantar ke lapangan terbang bagi menunggu penerbangan saya ke KL pada jam 8 malam. Agak rushing, tapi itulah yang saya terpaksa lalui pada kebanyakan masa. Terkejar masa, kerana perlu kembali ke Kedah untuk persekolahan hari seterusnya.


Tahniah dan Terima Kasih! 
Apa pun saya nak ucapkan jutaan terima kasih kepada semua pegawai daripada PPD Kuantan, terutamanya Kak Ani, Cg Nazri, Cg Akhirudin, Ticer Azura, En Saiful yang bertungkus lumus menyediakan yang terbaik untuk sepanjang keberadaan saya di Kuantan.


Seminar Memacu Pembelajaran Abad 21 di Kuantan, Pahang
Team SISC+ dari PPD Kuantan

Selaku 'adik kecik' yang baru nak mencari tapak dalam dunia pendidikan, sokongan sebegini sangat lah memberikan motivasi dan inspirasi kepada saya untuk terus menyumbang kepada pendidikan Malaysia, khususnya. Terus doakan kejayaan saya yer!

Tak lupa juga kepada Tuan PPD Kuantan, Haji Razali yang sangat mesra dan caring, serta pasukan semua pegawai PPD Kuantan atas penganjuran Seminar Impak Pembelajaran Abad 21 yang pada hematnya saya, adalah Seminar PA21 yang sangat berjaya! Tahniah kerana sentiasa proaktif dalam menjadi peneraju kepada PA21. 


Seminar Memacu Pembelajaran Abad 21 di Kuantan, Pahang
Sukses apabila dapat belajar lebih banyak mengenai Pembelajaran Abad 21 di Kuantan

Saya doakan juga segala perkongsian daripada Seminar Pemacuan Pembelajaran Abad 21 di Kuantan ini menjadi ilmu yang sangat berguna kepada semua hadirin. Saya sendiri juga banyak belajar dan beroleh ilmu daripada seminar ini. Terima kasih saya ucapkan kepada semua! 



Jumaat, 17 Mac 2017

Hasil SPM Pertama : Buangan, Dah Jadi Pilihan

Semalam keputusan SPM 2016 diumumkan. Tahniah buat anak-anak SPM 2016 SMK Jerlun atas pencapaian cemerlang mereka untuk tahun ini. GPS sekolah ketara meningkat naik! 




Menyaksikan dari mana mereka bermula dan apa yang mereka dah bina, memang nampak sangat jauh bezanya. Jujur saya cakap, SMK Jerlun dah berjaya memberi cukup kasih sayang pada anak-anak ini, yang suatu ketika dahulunya dipandang sipi-sipi saja di sekolah lama.

Berkat usaha anak pelajar dan juga ketekunan warga guru, gandingan ini menghasilkan kejayaan yang manis, untuk kita sama-sama ingat dan hayati suatu hari nanti.




Selaku guru Sains tinggal untuk SPM 2016 bagi 60 orang calon di sekolah ini, yang juga buat kali pertamanya mengharung di peringkat SPM, dari semalam lagi saya dah berdebar tak tidur malam.

Banyak perkara yang difikirkan. Banyak perkara yang perlu dibuktikan.









Keputusan bagi subjek Sains meningkat pada tahun ini!

Daripada hanya 3 orang pelajar yang mendapat A pada tahun sebelumnya, melonjak naik kepada 8 orang pada tahun ini. Dan tak lupa juga, satu-satunya calon yang memberikan A+ tunggal kepada sekolah, juga adalah melalui subjek Sains! 


Peratus lulus pada tahun 2015, 89% juga naik kepada 95% dengan hanya 3 orang pelajar saja yang gagal. Seorangnya memang tidak boleh membaca, dua lagi pula sangat jarang ke sekolah.

Gred Purata Subjek juga meningkat. Alhamdulillah. Syukur pada Allah.




Bagi saya yang penting bukan lah apa yang mereka dapat, tapi sejauh mana mereka dah berubah daripada mula-mula yang mereka ada. Biar lah mereka bertanding dalam gelanggang mereka sendiri. Baru sepadan untuk mereka.

Selain itu juga ini juga jadi bukti valid bahawa strategi Pembelajaran Abad 21 yang saya jalankan dan laksanakan sepanjang tahun 2016 bersama mereka, bukan lah hanya sekadar aktiviti pembelajaran yang buang masa tanpa ada impak positif untuk mereka.

Mereka dah berjaya buktikan pada akademik mereka, sikap, emosi dan jatidiri. Saya jadi saksi kemenjadian mereka.








Tahniah lagi sekali buat anak-anak SPM 2016 SMK Jerlun. Semoga terus terbang tinggi, walau tanpa 'pendamping' di sisi.  #SPM2016




Jumaat, 10 Mac 2017

Seminar Guru Baharu Daerah Kubang Pasu 2017

Majlis Guru Cemerlang Kubang Pasu dengan kerjasama PPD Kubang Pasu telah menganjurkan satu Seminar Bagi Guru Baharu Daerah Kubang Pasu. Seminar bertujuan untuk memberi peluang kepada guru yang mengajar kurang daripada 5 tahun dalam daerah ini mendapat perkongsian eksklusif daripada Guru Cemerlang Kubang Pasu yang berpengalaman.



Seminar Guru Baharu Daerah Kubang Pasu 2017
Ahli Jawatankuasa Gerak Kerja Utama Seminar Guru Baharu

Seminar yang berlangsung di Dewan Muazam, SM Sultan Abdul Halim ini juga bertujuan memberi pendedahan haluan kerjaya Guru Cemerlang kepada guru baharu, bagi menyediakan mereka dengan perancangan dan persediaan menjadi guru yang lebih baik dan berkualiti. 

Dengan kepakaran yang ada, dah tentu banyak perkara dan pengetahuan yang boleh dikongsikan oleh para Guru Cemerlang dengan guru-guru baharu ini. Antaranya adalah perkongsian daripada Guru Cemerlang Kelas Khas C bagi subjek Kimia, iaitu Puan Aishah binti Mokhtar dari SMK Jitra.



Seminar kerjasama Majlis GUru Cemerlang dan PPD Kubang Pasu

Seminar Guru Baharu Daerah Kubang Pasu 2017
Puan Aishah Mokthar, Guru Cemerlang Kelas Khas C bagi subjek Kimia

Saya juga diberikan satu slot perkongsian bagi tajuk, "Penggunaan Media Sosial Sebagai Platform Perkongsian Ilmu Dalam Kalangan Guru". Teringat pulak kenangan membentangkan tajuk yang sama semasa Seminar PLC Peringkat Negeri Sarawak pada tahun 2014. 

Terima kasih Mr Lau Shin Chai, pegawai Sains JPN Sarawak yang sangat banyak membantu saya pada ketika itu, hinggalah sekarang.



Seminar Guru Baharu Daerah Kubang Pasu 2017
Perkongsian Media Sosial sebagai platform perkongsian ilmu dalam kalangan guru

Dalam slot ini, saya kongsikan bagaimana saya boleh terlibat dengan aktiviti menulis dan berkongsi pengetahuan sejak tahun 2012 dengan menggunakan media sosial seperti blog dan juga facebook. 

Selain itu juga saya kongsikan bagaimana saya menggunakan blog dan facebook untuk menggalakkan guru lain juga untuk turut berkongsi ilmu pengetahuan mereka. Tak lupa juga sebagai nak memotivasikan lagi mereka, saya tunjukkan juga beberapa kejayaan yang sudah saya capai melalui aktiviti perkongsian ini.



Seminar Guru Baharu Daerah Kubang Pasu 2017
Sejarah penglibatan saya dalam menulis blog sejak tahun 2012

Saya akhiri perkongsian saya dengan 6 nasihat yang saya rasa berguna untuk 'adik-adik' ini dalam menentukan arah dan hala tuju mereka dalam kerjaya pendidikan. Boleh FOLLOW Instagram saya seperti di bawah.





Saya seterusnya terpaksa bergerak ke Alor Setar pula untuk menghadiri mesyuarat guru cemerlang Kedah bersama Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti Kedah. Sayang pula sebab tak dapat nak lihat beberapa rakan lain yang turut berkongsi pengetahuan mereka pada hari ini.

Antara mereka adalah rakan Guru Cemerlang Kubang Pasu yang aktif dengan aktiviti inovasi, iaitu Cikgu Asmaliza, Cikgu Nurul dan Cikgu Zulianis. Memang handal mereka bertiga nih!



Seminar Guru Baharu Daerah Kubang Pasu 2017
Guru-guru inovatif daerah Kubang Pasu

Selain itu ada juga forum otai-otai Guru Cemerlang Kubang Pasu yang berkongsikan haluan kerjaya Guru Cemerlang mereka dengan guru-guru baharu ini. Pendek kata, masing-masing ada kelebihan dan cerita tersendiri dalam mencapai cita-cita menjadi Guru Cemerlang. 



Seminar Guru Baharu Daerah Kubang Pasu 2017
Bersama Otai-otai Guru Cemerlang dalam daerah Kubang Pasu

Seminar Guru Baharu Daerah Kubang Pasu 2017


Seminar Guru Baharu Daerah Kubang Pasu 2017
Tangkap gambar kenangan dengan Guru Cemerlang daerah Kubang Pasu

Secara keseluruhannya saya rasakan seminar ini sangat berjaya. Berjaya mendedahkan adik-adik baharu ini dengan dunia pendidikan dan haluan kerjaya yang kita ada selain daripada masuk ke Jabatan atau pun menjadi pentadbir. 

Pendedahan seperti ini sebenarnya boleh memberikan pilihan kepada guru baharu, dan tak lupa juga apa persediaan yang patut mereka lakukan sekiranya mereka berminat untuk bergerak ke laluan Guru Cemerlang. 

Tak lupa juga khas buat warga kerja Seminar Guru Baharu ini di bawah pimpinan Puan Aishah dan juga seliaan Puan Fadzillah dari PPD Kubang Pasu, tahniah atas penganjuran seminar yang diharapkan memberi impak besar kepada guru baharu daerah ini.



Seminar Guru Baharu Daerah Kubang Pasu 2017
Bersama sebahagian guru baharu yang hadir untuk seminar perkongsian bersama Guru Cemerlang

Saya secara peribadi mengucapkan Selamat Maju Jaya buat guru-guru baharu ini. Semoga menjadi pelapis kepada rakan Guru Cemerlang dan tak lupa untuk menjadi guru yang terbaik bagi anak didik kita! AMin