.

.

ISU DAN KONTROVERSI PENDIDIKAN MALAYSIA 2016

Imbas kembali isu dan kontroversi dunia pendidikan Malaysia sepanjang 2016

80 HARI DI KOREA

Ikuti kembara saya sebagai guru pertukaran di Korea

PANDUAN LENGKAP PEMBELAJARAN ABAD 21

Menelusuri segenap sudut Pembelajaran Abad 21

PANDUAN MEMOHON GURU CEMERLANG

Panduan Memohon Guru Cemerlang : Dokumentasi dan Filing

KOLEKSI 100+ IDEA KREATIF SAINS

Dapatkan idea kreatif pengajaran dan pembelajaran Sains

Khamis, 28 Disember 2017

Perkongsian PAK21 di MRSM Kubang Pasu

Sesi persekolahan 2018 yang bakal menjelang beberapa hari lagi dah diserikan dengan jemputan perkongsian Pembelajaran Abad ke-21. Kali ini jemputan datangnya dari MRSM Kubang Pasu, sebuah sekolah tersohor yang berada dalam daerah saya.


Apatah lagi jemputan ini yang sudah bertangguh hampir setahun, akhirnya berjaya juga ditunaikan sebab saya dah malu dengan tuan pengetuanya, Encik Mohd Yusof yang sentiasa bertanyakan bila saya nak datang. Rasa lega sebab berjaya juga saya datang buat perkongsian dengan cikgu-cikgu di sini.

Seramai lebih 60 orang guru menerima perkongsian pada hari ini. Sesi pertama adalah berkitarkan kepada perkongsian pengalaman dan amalan bagaimana saya jalankan PAK21 dalam bilik darjah.


Yang kedua pula adalah sesi bengkel hands on oleh para guru, yang merancang secara kasar idea untuk menjadikan pembelajaran mereka sesuai dengan pendekatan Pembelajaran Abad ke-21, mengikut subjek masing-masing.

Alhamdulillah, penerimaan para guru MRSM Kubang Pasu sangat baik. Walaupun pada mulanya mereka sedikit diam, (atau mungkin terlalu fokus) tetapi semasa sesi bengkel berlangsung, memang cukup meriah dan aktif.


Semoga segala perkongsian dengan guru-guru di sini memberi ruang kepada mereka untuk kreatif dan terbuka dengan idea baharu. Yang penting pesan saya, apa lah ilmu jika tidak dimanfaatkan. Selamat maju jaya!



Selasa, 26 Disember 2017

Refleksi Saya Untuk Tahun 2017

Tahun 2017 adalah tahun ke-11 saya bergelar seorang guru. Banyak kisah suka duka sepanjang bergelar pendidik ini. Bukan mudah kata orang. Tapi yang penting, dalam menjalankan tugas, saya sentiasa berpegang kepada prinsip, jaga niat dan tujuan, inshaAllah Allah akan permudahkan segalanya.


Refleksi Saya Untuk Tahun 2017
Refleksi Saya Untuk Tahun 2017

Artikel ini juga adalah refleksi ke-5 saya. Anda boleh baca refleksi terdahulu pada tahun 2013, 2014, 2015, dan 2016 untuk tengok imbasan awal. Secara peribadi ini adalah satu bentuk catatan dan peringatan peribadi terbaik untuk diri saya sendiri.

Sekadar mengingatkan diri, bahawa sentiasa akan ada ruang yang masih boleh diperbaiki saban tahun. Tak lupa juga, sebagai habuan untuk kenangan mengimbau memori lalu. Hahahhahaha.. 


Blogging Tahun ke-5
Macam tak percaya, ini tahun ke-5 saya berblogging. Bermula di sekolah luar bandar di Sarawak, sehinggalah ke sekolah kampung di Kedah ini, saya cuba kentalkan semangat untuk terus berkongsi dan memberi manfaat melalui blog www.cikguhailmi.com ini. Ko ingat senang?



Blog dah berusia 5 tahun

Saya juga sangat gembira apabila blog ini tersenarai sebagai antara blog pendidikan terbaik di Malaysia. Dengan 26 juta pengunjung, saya cuma berharap terus diberikan kekuatan untuk terus menulis dan berkongsi cerita menerusi blog ini.


Terbit Buku Sendiri

Saya juga sangat gembira dengan penghasilan dua buah buku keramat saya pada tahun ini, iaitu buku "Pembelajaran Abad ke-21 : Bukan Sekadar Susun Kerusi dan Meja" dan juga buku Siri Project Based Learning. 



Walaupun niat asalnya hanya sebagai bahan rujukan skala kecil, dan juga bagi kegunaan anak murid, tetapi akhirnya penghasilan buku ini membuka lebih banyak ruang untuk saya kreatif dalam bidang penulisan. InshaAllah akan ada lebih banyak lagi hasil penulisan bagi pasaran guru dan pelajar. Tunggu ok!





Perkongsian Guru & PAK21
Untuk tahun ini juga, saya banyak keluar dan berkongsi pengetahuan dan pengalaman amalan Pembelajaran Abad ke-21 dengan guru-guru Malaysia. Saya sendiri tak menduga, sehingga pada Disember 2017, telah berjaya melibatkan diri dengan lebih daripada 60 seminar, bengkel, workshop dan pembentangan di seluruh Malaysia. 

 
Keynote Speaker untuk Seminar Effective Teaching di UPSI
Keynote Speaker untuk Seminar Effective Teaching di UPSI


Perkongsian amalan PAK21 bersama 520 orang pendidik di Labuan

Perkongsian PAK21 bersama pentadbir sekolah di Kuantan, Pahang

Perkongsian bersama guru Sains di Hulu Langat


Harapan saya, semoga perkongsian ilmu tersebut dapat dimanfaatkan oleh para guru dengan sebaiknya.  Atau pun sekurang-kurangnya membuka perspektif minda yang baharu kepada anda.



Penangan STEM
Tahun ini juga, saya terlibat dengan banyak program yang berkaitan dengan STEM. Alhamdulillah, kalau tahun lepas sampai terpaksa ambil kursus STEM secara online, tapi tahun ini, ramai yang dah mula bukak mata. 

 
Fasilitator bagi Bengkel STELR STEM Peringkat Antarabangsa di RECSAM
Fasilitator bagi Bengkel STELR STEM Peringkat Antarabangsa di RECSAM


Jerayawara, Bengkel Video STEM, Kolokium STEM Zon Utara dan Selatan dan Seminar STEM pertama di Malaysia, rasanya telah banyak memperkenalkan bidang STEM kepada warga pendidikan Malaysia untuk tahun ini. 

Malah tahun ini saya juga berpeluang untuk terlibat sebagai fasilitator bagi Bengkel STELR STEM Peringkat Antarabangsa di RECSAM, lanjutan daripada bengkel yang sama saya ikuti di Bandung, Indonesia pada tahun lepas. Pengalaman yang sangat menarik!



Kemuncaknya adalah apabila saya terpilih sebagai salah seorang penerima Anugerah Ikon Guru STEM bagi tahun 2017, anugerah pertama kali yang diadakan bagi menghargai usaha dan sumbangan guru yang aktif mempromosikan STEM di Malaysia. Terima kasih KPM!



5 Anugerah
Tahun ini juga mencatatkan banyak kenangan manis buat saya. Selain daripada menerima Anugerah Ikon Guru STEM bagi tahun 2017, ada beberapa lagi anugerah yang saya terima untuk tahun ini.

 
Anugerah sempena Sambutan Hari Guru Kubang Pasu 2017


Antaranya adalah Anugerah Guru Inovatif (Berkumpulan) dan Anugerah Khas Kepimpinan Pendidikan bagi Hari Guru 2017 Peringkat Daerah Kubang Pasu.  

Rezeki juga apabila saya sekali lagi menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang buat kali kedua sepanjang berkhidmat sebagai guru. Kali pertama kata orang sehingga dah hilang rasa, kali ini bagi saya memang sebagai penyuntik semangat.

Manakala satu lagi adalah Anugerah Ikon Guru Teknologi Pendidikan 2017 Peringkat Negeri Kedah bagi Anugerah Pembestarian anjuran Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Kedah.

 
Penilaian BTP untuk Ikon Guru Teknologi Pendidikan Peringkat Kebangsaan
Penilaian BTP untuk Ikon Guru Teknologi Pendidikan Peringkat Kebangsaan


Lebih manis lagi, sebab saya juga terpilih sebagai salah seorang finalis bagi calon Ikon Guru Teknologi Pendidikan Peringkat Kebangsaan. Walaupun tidak berjaya di peringkat kebangsaan, melayakkan diri sebagai finalis sudah cukup membanggakan saya. Terima kasih buat tuan Pengetua saya, Tuan Haji Abdul Razak yang sentiasa menyokong usaha saya.





DG48 Dalam 11 Tahun
Dan saya rasa ini adalah kemuncak kepada kejayaan paling manis saya buat tahun 2017. Permohonan Guru Cemerlang saya pada tahun lepas, berjaya membuahkan hasilnya apabila saya mendapat surat pelantikan sebagai Guru Cemerlang Sains DG48 pada bulan April tahun ini.


Alhamdulillah, walaupun baru 11 tahun berkhidmat sebagai guru, namun peluang dan ruang yang diperolehi telah berjaya dimanfaatkan sebaiknya. Seperti yang saya sebutkan kepada pertanyaan Nazir yang datang menilai saya, "kerana saya mahu menjadi inspirasi kepada guru muda, bahawa sentiasa ada jalan bagi mereka yang berusaha.."



Halatuju Pendidikan
Sekian lama bergaul dengan para pendidik, ilmuwan dan pensyarah pada tahun ini, maka tergerak juga lah hati untuk memasang niat sambung belajar pada tahun mendatang. Bukan tak pernah berhajat, tetapi dek kekangan masa dan juga kurangnya info dengan kursus yang sesuai, maka impian hanya tinggal impian. 

Tapi InshaAllah pada tahun hadapan akan diusahakan juga impian tersebut. Ilmu tak pernah cukup untuk ditimba. Dahaga dengan ilmu!

 
Misi sambung belajar tahun depan


Dari segi kerjaya, untuk tahun hadapan, saya cuba bersikap tunggu dulu dan lihat. Apatah lagi pada tahun ini juga dijangka akan berlaku transformasi pada struktur dan organisasi perjawatan di setiap peringkat, maka pilihan yang saya ada hanya lah tunggu dulu. 

INshaAllah selepas selesai semuanya, maka kita buat pilihan yang lebih baik selepas ini. Mana tahu kan? 


Sebagai penutup, saya ucapkan jutaan terima kasih buat mereka di luar sana yang sentiasa tak lupa untuk memberi sokongan kepada usaha saya selama ini. Bukan mudah, nak mudah orang kata. Saya setuju. Tapi yang penting, kita dah cuba buat yang terbaik untuk diri kita, dan mereka yang di sekeliling.

Semoga perkongsian refleksi saya ini memberi sedikit inspirasi untuk pembaca. Terima kasih!




Ahad, 24 Disember 2017

Pengalaman Naik Komuter Arau ke Bukit Mertajam

Hari ini saya berkesempatan naik tren komuter dari Stesyen KTM Arau ke Bukit Mertajam. Hahaha. First time naik, sebab biasanya bergerak guna kereta saja. Disebabkan populariti ETS dan Komuter KTM sekarang, maka saya ambil kesempatan cuti sekolah untuk cuba sendiri menggunakan Komuter.


Stesyen KTM Arau, Perlis

Bukti pertama ramai tak ramai yang gunakan khidmat KTM ni bila kawasan parking bersebelahan stesyen pun penuh. Maka terpaksa saya parking kereta di kawasan lapang yang sedikit jauh dari stesyen. Betul-betul belakang masjid.


Dari sana, saya berjalan kaki ke Stesyen KTM Arau. Jarak lebih kurang 200m tu tak terasa sangat, kerana laluannya berbumbung. Tak panas. Paling penting kalau waktu hujan pun masih boleh bergerak menuju stesyen dengan tidak basah.


Parking penuh oii

Antara yang saya perasan adalah Stesyen KTM Arau nih sangat mesra OKU. Banyak fasiliti yang berguna untuk orang beza upaya. Antaranya parking, laluan pejalan dengan tanda OKU, lift yang luas dan selesa, tandas berasingan dan tempat duduk khas. Untuk ini saya bagi 5 bintang!





Kaunter tiket hanya dibuka satu. Kebetulan saya datang awal, maka tak perlu nak berebut. Tapi bila masa tren dah dekat nak sampai, ramai pulak yang datang sampai terpaksa beratur panjang.


Kaunter pembelian tiket

Waktu perjalanan Komuter KTM dari stesyen Arau ke Butterworth adalah seperti berikut:

5.44 pagi
6.44 pagi
7.44 pagi
8.44 pagi
10.44 pagi
12.44 petang
1.44 petang
2.44 petang
3.44 petang
4.44 petang
5.44 petang
6.44 petang
7.44 malam
9.44 malam


Ramai rupanya yang menggunakan khidmat ETS dan Komuter KTM ni. Kawasan rehat dan tempat duduk yang disediakan penuh. Malah sebahagian terpaksa duduk di lantai sambil menunggu tren datang.


Tempat duduk yang disediakan

Jam 10.30 petugas KTM mula memanggil penumpang untuk bergerak turun ke platform di bawah. Masa ni punya lah ramai orang. Kemudahan lif juga ada bagi orang tua atau yang membawa beg berat.

Hanya 10 minit sahaja sebelum Komuter yang saya tunggu tiba. Paling penting, tepat jam 10.44 pagi, maka bergeraklah tren komuter tersebut. Yang ini pun saya bagi 5 bintang atas ketepatan masanya!


Berebut masuk ke tren Komuter

Cuma disebabkan komuter kini menjadi pilihan ramai atas sebab mudahnya perjalanan, maka orang ramai gila weyh. Saya terpaksa bergayut saja. Huhuhu..

Alangkah indahnya kalau penumpang komuter di Malaysia juga dapat beratur tertib macam di Jepun dan Korea. Nih main serbu saja, siap tolak-tolak. Huhu.

Masuk saja dalam komuter, terpaksa pula berdiri sebab orang ramai sangat. Huhu.. mujor lah ber air cond, maka kalau berdiri tu tak ler stress sangat. Tempat duduk keutamaan yang mesra warga emas, OKU, wanita hamil juga penuh. Ramaiiii..


Dari Arau terpaksa berdiri hingga ke Sungai Petani

Tak dapat sangat saya nak menikmati keindahan di luar sana sebab orang ramai sangat, sambil menahan bau-bau Nepal dan Bangla kat kiri dan kanan. Huhu. Nasib lah.

Perjalanan dari Arau ke Bukit Mertajam memakan masa 1 jam 35 minit camtu. Kalau abam terpaksa berdiri sampai ke sana, memang gilo lah. Ini baru dI stesyen Arau, belum lagi singgah di Kodiang, Alor Setar, Sungai Petani. Huhu. Mohon bertabah!

Kemudahan teksi bagi yang memerlukan

Secara jujurnya saya memang puji akan keberkesanan tren Komuter KTM nih sebagai satu lagi pilihan pengangkutan awam di Malaysia. Stesyen KTM yang serba canggih dan lengkap, membantu usaha meningkatkan penggunaan kenderaan awam di negara kita. Banyak parking, mesra OKU, dengan fasiliti yang lengkap.

Ketepatan waktu, cepat dan keselesaan dalam tren juga antara faktor penyumbang mengapa ramai yang semakin memilih untuk menggunakan ETS dan Komuter sejak kebelakangan ini.


Pemandangan dari atas Stesyen KTM Arau

Cadangan saya bagi menambahbaik kualiti perkhidmatan ETS dan Komuter oleh KTM adalah:

1. Tingkatkan lagi kekerapan waktu perjalanan, terutamanya pada waktu puncak (pegi dan balik kerja) bagi menggalakkan lebih ramai yang boleh menggunakan tren Komuter dengan selesa.

2. Dengan jumlah pengunjung yang meningkat, kebersihan stesyen KTM boleh dipertingkatkan lagi, terutamanya lantai yang semakin kotor.

3. Menyediakan petugas KTM di platform bagi membantu menguruskan penumpang untuk keluar masuk ke tren komuter dengan lebih baik.

Stesyen KTM Bukit Mertajam

Ketibaan saya di Stesyen KTM Bukit Mertajam tepat pada jam 12.11 tengahari seperti yang dimaklumkan. Sahabat saya, Azrul juga sudah sedia menunggu di luar stesyen. Perjalanan 2 jam saya ini bagi mencuba sendiri pengangkutan awam Malaysia merupakan pengalaman yang sangat menarik.

Dah sampai

Ini juga bukti bahawa pengangkutan awam di negara kita sudah jauh lebih baik. Kali terakhir saya naik tren adalah pada tahun 2015. Ternyata pengalaman kali ini mengubah persepsi saya.

InshaAllah ada kesempatan nanti saya cuba ETS pula ok!



Jumaat, 22 Disember 2017

20 Filem Best Tentang Guru dan Pendidikan

Sebagai guru, maka jika ada filem atau movie yang berkaitan dengan kisah guru dan pendidikan, pasti ini masuk dalam list untuk wajib tonton. Ada beberapa daripada filem ini sangat lah menarik untuk ditonton, dan meninggalkan kesan yang cukup mendalam. Rasa macam nak saja jadi seperti watak dalam filem tersebut.


20 Filem Best Tentang Guru dan Pendidikan
20 Filem Best Tentang Guru dan Pendidikan


Maka saya senaraikan 20 filem terbaik mengenai guru / pendidikan yang saya cadangkan lebih ramai guru untuk menonton, supaya kita boleh sama-sama ambil inspirasi. Banyak juga antara yang disenaraikan merupakan kisah benar. Jom kita tengok.



1. Teacher's Diary (Thailand)
Filem mengenai kisah seorang guru lelaki yang baru ditugaskan untuk berkhidmat di sebuah sekolah jauh di pedalaman. Penuh keboringan, satu-satunya peneman guru ini adalah sebuah diari tinggalan seorang cikgu perempuan yang juga pernah bertugas di sekolah ini. 

 
Teacher's Diary (Thailand)




2. To Sir With Love (Omputih)
Mengisahkan seorang guru yang berdepan dengan remaja sukar dikawal di sekolah baharunya. Menjadi guru di sekolah terbuang seperti itu, guru tersebut berhadapan dengan banyak kesukaran. Berjayakah beliau mendidik anak-anak nakal tersebut?


To Sir With Love



3. Laskar Pelangi (Indonesia)
Filem ini diadaptasi daripada sebuah novel yang cukup meruntun jiwa pendidik. Mengisahkan perjuangan 10 murid di sekolah kawasan pedalaman yang jauh dari kota, dengan dua orang guru yang sangat menginspirasikan. Saya recommend cerita ini untuk ditonton! Lagu soundtrack dia pun semua sangat best!


Laskar Pelangi
 

4. Freedom Writers (Omputih)
Filem ini diangkat daripada sebuah kisah benar, mengenai seorang guru muda bernama Erin Gruwell. Berhadapan dengan kumpulan pelajar yang bermasalah, motivasi beliau berjaya memberi inspirasi kepada muridnya untuk bertoleransi sesama mereka, dan melanjutkan pelajaran. 


Freedom Writers
 


5. Dead Poet Society (Omputih)
Filem ini dilakonkan oleh pelakon hebat, Robin Williams dengan penuh gaya sekali. Menjadi guru Sastera, bukan lah halangan untuk beliau menggunakan pendekatan yang cukup dekat dengan pelajar beliau yang semuanya lelaki. 


Dead Poet Society
 


6. Taare Zameen Par (Hindi)
Filem lakonan Aamir Khan ini rasanya cukup dekat dengan guru Malaysia. Mengisahkan kisah seorang guru, yang berdepan dengan pelajar yang 'bermasalah', sehingga lah guru tersebut mengenalpasti punca sebenar masalah pelajar tersebut. Guru Pendidikan Khas sesuai sangat tengok.


Taare Zameen Par



7. Adiwiraku (Malaysia)
Mengisahkan mengenai cikgu muda, Cheryl Ann Fernando dengan cabarannya di sebuah sekolah kampung di Kedah. Cabaran dan kejayaan anak-anak di SMK Pinang Tunggal ini menjuarai pertandingan Choral Speaking digarap dengan baik dan penuh penghayatan.
Filem adaptasi kisah benar dari Malaysia ini juga memenangi Anugerah Filem Terbaik 2017. 


Adiwira ku



8. 3 Idiots (Hindi)
Ini satu lagi cerita hebat lakonan Aamir Khan. Mengisahkan persahabatan 3 orang sekawan yang digelar 'Si Bodoh' kerana cara berfikir mereka yang berbeza. 


3 Idiots
 
9. Aishah : Biarkan Kami Bersaudara (Indonesia)
Filem dengan tema keagamaan ini mengisahkan seorang guru yang mengajar di sebuah sekolah jauh dari desanya, di komuniti yang jauh berbeza darinya. Menjadi guru atas wasiat bapanya, dapatkah Aishah menunaikan janji kepada bapanya?


Aisyah Biarkan Kami Bersaudara
 

10. Great Teacher Onizuka (Jepun)
Great Teacher Onizuka atau lebih dikenali sebagai GTO ini memang sudah popular menerusi siri manga nya. Kisah cikgu dengan niat pelik, tapi akhirnya menjadi guru yang lucu dan juga berjaya memberi inspirasi kepada anak muridnya.


Great Teacher Onizuka
 

11. The Glove (Korea)
Filem Korea ini sangat menyentuh perasaan. Berapa kali saya dah tonton, tapi tetap boleh mengalirkan air mata.  Kisah bagaimana sekumpulan pelajar pekak dan bisu yang struggle untuk berlatih dan menyertai pertandingan besbol untuk daerah mereka. Sekalipun penuh dengan kekurangan, semangat mereka akhirnya menyentuh hati coach mereka yang pada mulanya langsung melihat sebelah mata.


The Glove



12. Chalk and Duster (Hindi)
Filem ini adalah lakonan hebat Juhi Chawla dan Shabana Azmi mengisahkan kisah dua orang guru yang menyentuh perasaan. Kesungguhan dan minat mereka terhadap kerjaya mereka mendorong mereka untuk buat yang terbaik. Dugaan datang apabila, pentadbiran mengganggu urusan mereka.


Chalk and Duster


13. Dangerous Mind (Omputih)
 Filem lakonan Michelle Pfeiffer ini mengisahkan seorang Marine yang menjadi guru di sebuah sekolah gangster. Tengok bagaimana coolnya cikgu perempuan nih mengawal anak-anak muridnya yang ganas. Cikgu kat sekolah di bandar, sila tonton untuk ambil inspirasi.


Dangerous Minds



14. Beyond the Blackboard (Omputih)
Filem TV ini adalah kisah perjuangan guru muda yang berdepan dengan ketakutan dan prejudis terhadap kanak-kanak homeless / gelandangan, sebelum beliau sendiri yang menjadi inspirasi kepada anak-anak tersebut untuk make a difference!


Beyond the Blackboard


15. The Ron Clark Story (Omputih)
Filem ini merupakan adaptasi kisah benar Ron Clark, guru di kampung yang ditukar ke sebuah sekolah dengan cabaran terbesar, disiplin paling teruk. Apa yang beliau buat dan mampukah beliau mengatasi masalah tersebut? 


The Ron Clark Story



16. Suck Me Shakespeer (German)
Kisah lucu mengenai seorang pencuri yang terpaksa menjadi guru kerana terperangkap di sebuah sekolah.


Suck Me Shakespeer



17. Lean on Me (Omputih)
Filem mengena perjuangan seorang pengetua sekolah yang berusaha bersungguh-sungguh bagi memastikan sekolah nya berada dalam keadaan yang terbaik. Lakonan hebat oleh Morgan Freeman.


Lean on Me
 

18. Black (Hindi)
Filem lakonan hebat Amitabh Bachan dan Rani Mukherjee ini mengisahkan kisah seorang gadis buta dan pekak, dan hubungannya dengan guru yang kemudiannya menghidap sakit Alzheimer. 


Black
 
19. Blindside (Omputih)
Kisah sedih mengenai perjuangan seorang anak homeless dan trauma yang kemudiannya dibela oleh seorang wanita yang sangat penyayang. Perjuangan mereka sehingga anak homeless tersebut menempa kejayaan sehingga menjadi pemain American Football. Lakonan hebat Sandra Bullock dan Quinton Aaron.


The Blind Side



20. Cikgu Limau Kasturi (Malaysia)
Saya masukkan juga drama legend ini sebagai Filem Guru Wajib Tonton atas kehebatan cerita ini dalam meninggalkan kesan kepada ramai orang, termasuk saya. Dilakonkan oleh Harun Salim Bachik, watak cikgu di pedalaman yang penuh dengan kejujuran dan sikap sebenar seorang pendidik. Generasi yang belum sempat tonton, sila cari kat Youtube ok.


Cikgu Limau Kasturi

 
Demikianlah 20 filem terbaik mengenai guru dan pendidikan yang sempat saya senaraikan. Ada yang dah saya tonton, dan selebihnya sudah pasti dalam senarai menunggu untuk ditonton. Ada lagi filem best yang tak masuk senarai? Jom komen kat bawah !




Khamis, 21 Disember 2017

Gagalkah Ibubapa Masa Kini Mendidik?

Bila viral isu Cikgu Azizan dan kerosakan di Pusat Sains Negara yang baru dibuka semula, saya tertanya satu soalan, gagalkah ibubapa zaman sekarang dalam mendidik?

Pendidikan pada saya, adalah merupakan satu sistem yang kompleks, dengan beberapa pihak turut menyumbang secara bersama kepada kejayaan sistem tersebut.


Vandalisme di Pusat Sains Negara; Gagalkah Ibubapa Masa Kini Mendidik?
Vandalisme di Pusat Sains Negara


Jika di Korea, salah satu kunci kejayaan pendidikan mereka adalah disebabkan oleh peranan besar ibubapa dalam mendidik anak. Harus difahami, mendidik. Bukan sekadar jaga dan bela anak.

Nilai dan etika disemai sejak kecil. Apa do's and don't nya. Tahu adab. Tahu bila mahu bercakap, tahu bila mahu duduk tertib. Tahu untuk malu jika berbuat salah. Tahu untuk malu jika menyusahkan orang lain.


Vandalisme di Pusat Sains Negara; Gagalkah Ibubapa Masa Kini Mendidik?
Baru buka tak sampai sebulan, Pusat Sains Negara dah jadi camni

Sumbangan dan sarana ibubapa Korea juga menjangkau kepada bergilir ke sekolah untuk jaga anak semasa kelas tambahan. Setiap hari.

Di tempat kita pula, lebih kepada sekadar sumbangan kehadiran bagi memenuhkan majlis jaya waris, penyampaian hadiah. Berapa kerat sangat yang sanggup datang bersama sekolah untuk benar-benar menyumbang (bukan duit saja) kepada sekolah. Sebabnya, ramai yang ego dengan mentaliti, "I can pay you..!"

Kita di sini juga, tugas mendidik tu lebih banyak terletak di bahu sekolah dan guru. Seolah-olah bila dihantar ke sekolah, segala peranan dan tugas mendidik sudah tak perlu dilaksanakan di rumah.

Sebab tu saya pelik, anak sang askar yang terkenal dengan disiplin pun tak mampu dijinakkan dan dikawal oleh sang bapa? Didikan bagaimanakah itu di rumah?

Tak percaya lagi, boleh tengok juga bagaimana ibubapa masakini punya didikan semasa membawa anak mereka ke kedai makan, dan juga mengunjungi tempat seperti Pusat Sains.



Vandalisme di Pusat Sains Negara; Gagalkah Ibubapa Masa Kini Mendidik?
Sampah dibuang di merata rata tempat

Banyak yang dibiarkan 'ganas' meliar atas alasan kreativiti dan kebebasan eksplorasi. Kalau betul pon nak anak explore, biarlah secara dibimbing, dipandu secara tertib oleh ibubapa. Tidaklah anak itu nanti menjadi penyebab kepada masalah lain pula.

Maka jika tugas mendidik hanya diletakkan di sekolah secara total, inilah masyarakat yang kita lahirkan. Yang hanya tahu ikut peraturan dan undang-undang di dalam kawasan sekolah sahaja.

Dalam sekolah, buang sampah dalam tong. Tapi keluar saja kawasan sekolah, terus buang merata-rata. Itulah petanda jelas bahawa pendidikan kita itu hanya berlaku dalam kawasan sekolah semata-mata.

Maka untuk itu, marilah kita semak kembali peranan yang boleh dimainkan oleh kita sendiri, tak kira siapakah kita. Kita sebagai ibubapa, kita sebagai guru, kita sebagai anggota masyarakat, percayalah bahawa kita ada tugas yang penting dalam membentuk semula generasi kita yang makin rosak dan tenat ini!

Cikgu Hailmi