.

.

ISU DAN KONTROVERSI PENDIDIKAN MALAYSIA 2016

Imbas kembali isu dan kontroversi dunia pendidikan Malaysia sepanjang 2016

80 HARI DI KOREA

Ikuti kembara saya sebagai guru pertukaran di Korea

PANDUAN LENGKAP PEMBELAJARAN ABAD 21

Menelusuri segenap sudut Pembelajaran Abad 21

PANDUAN MEMOHON GURU CEMERLANG

Panduan Memohon Guru Cemerlang : Dokumentasi dan Filing

KOLEKSI 100+ IDEA KREATIF SAINS

Dapatkan idea kreatif pengajaran dan pembelajaran Sains

Isnin, 23 November 2015

80 Hari di Korea : Hari 68 (Dipuri Kedua Dengan Team Muzikal)

Hari nih seperti biasa saya masuk kelas dan mengajar subjek Sains. Bagi sesetengah kelas, saya dikehendaki mengajar subjek Malaysian Culture (Kebudayaan Malaysia). Menarik juga melihat telatah anak-anak Korea apabila mempelajari mengenai budaya bangsa asing. Jangan terkejut yer, kalau mereka tak tahu di mana terletaknya Malaysia. Maka tugas saya untuk mempromosikan Malaysia kepada mereka.



80 Hari di Korea : Hari 68 (Dipuri Kedua Dengan Team Muzikal)


Seperti yang dijanjikan pada hari ini kami akan ada majlis dipuri yang kedua. Dipuri adalah majlis khas bagi meraikan kejayaan sesuatu perkara. Kiranya macam majlis kesyukuran lah. Sekalipun dah diadakan pada minggu lepas di rumah Puan Director untuk muzikal kami, tapi kali ini pengetua saya, Mr Bae berhajat untuk membuat majlis makan-makan.


Mula-mula saya ingatkan semua terlibat. Rupanya hanya beberapa orang utama sahaja yang terlibat dalam jamuan untuk kali ini. Ini juga adalah termasuk dengan pegawai jabatan pendidikan Daegu, Mr Park. Dah selalu sangat jumpa dengan mereka ini, maka senang nak berbual dan juga bergurau sepanjang majlis berlangsung.





Disebabkan malam ini juga mungkin buat kali terakhir saya bertemu dengan team muzikal ini, maka kami bertukar-tukar facebook dan juga email bagi memudahkan urusan jika mahu berhubung selepas ini.

Apatah lagi mereka juga sangat berminat untuk datang ke Malaysia jika berkesempatan pada tahun hadapan. Yeayyyyy!!



Ahad, 22 November 2015

Teknik Menulis Definisi Secara Operasi Bagi Sains, Fizik, Kimia dan Biologi

Bagi soalan definisi secara operasi untuk subjek Sains, Fizik, Kimia dan Biologi, rata-rata pelajar gagal menjawab dengan baik kerana tidak memahami apa yang perlu dinyatakan. Asas teknik menjawab soalan definisi secara operasi ini boleh lah saya katakan adalah merujuk kepada memberi makna untuk sesuatu istilah / terma berdasarkan kepada proses pengoperasian yang berlaku; apa yang dapat diperhatikan pada pembolehubah bergerak balas setelah apa yang anda lakukan pada pembolehubah dimanipulasikan.


Teknik Menulis Definisi Secara Operasi Bagi Sains, Fizik, Kimia dan Biologi


Terima kasih juga atas pertanyaan daripada adik Wan Muhd Alif di dalam group Cikgu Sains Kreatif yang membawa kepada perkongsian ramai guru-guru yang hebat dan berbakat di dalam group tersebut. Semoga lebih ramai mendapat manfaat daripada perkongsian ini. 



SAINS

Cikgu Ricky Su
[definisi yang diminta] + ialah + [bahan/proses/keadaan/tindakbalas/sesuatu] + [apa yang hendak dilihat dalam eksperimen]

eg : Aloi ialah bahan menghasilkan kedalaman lekuk yang cetek



 Cikgu Salbiah Salleh
(perkataan yang diberi dalam soalan) ialah sesuatu yang ditunjukkan oleh (pembolehubah bergerakbalas yang boleh dilihat)

Yang dalam (  ) tu berubah ikut soalan. Yang takde kurungan tu boleh hafal. Itu dari segi teknik menjawab. Sebenarnya definisi secara operasi ialah memberi definisi berdasarkan pemerhatian dalam eksperimen.





FIZIK

Cikgu Farrah Zainol
Operational definition in physics is your RV can be measured with what apparatus in the lab.

eg : Operational definition of temperature of an object indicates by the measurement by the thermometer.





KIMIA

Cikgu Norhailmi bin Abdul Mutalib
" selalu saya ajar pelajar saya, kena nyatakan apa yang kamu perhatikan + setelah apa yang kamu buat "


Cikgu Zalini Mat Zain
Untuk paper kimia p3 soalan definisi secara operasi untuk mendapat 3 markah mesti ada 2 item berikut. 1. what do you do 2. what do you observed. Jika ada salah satu item boleh dapat 2 markah.




BIOLOGI

Cikgu Yan ML
 " ___ ? __ is (maksud secara teori) shown by ___(RV)___ affected by ____MV___

eg : Energy value is the amount of heat energy released when food burnt completely shown by the final temperature of distilled water affected by food sample



Cikgu Tee Al-Mohamad
Guna kaedah ATOM
A (Apa nak dicari) is T (teori.... terangkan maksud teori) shown by O (Observe RV) affect by M (MV)



Cikgu Suhaila Awang Hamat
Teori + RV + MV

eg : Transpirasi ialah proses kadar kehilangan air melalui daun tumbuhan yang ditunjukkan oleh masa yang diambil oleh gelembung udara untuk bergerak dalam jarak 10cm. Transpirasi dipengaruhi oleh jarak mentol dari pucuk tumbuhan (kelembapan relatif)



Yang belum join group Cikgu Sains Kreatif, silakan join. Banyak perkongsian bermanfaat di sana yang boleh membantu guru, pelajar dan juga ibubapa untuk belajar sains dengan lebih baik. Selamat berkongsi!





Sabtu, 21 November 2015

80 Hari di Korea : Hari 67 (Hiking dari Sorigil ke Haeinsa Temple)

Ahad minggu nih walaupun dah penuh aktiviti untuk sepanjang minggu, saya masih nak ikut guru mentor melalui satu lagi pengalaman menarik tinggal di Korea nih, iaitu pergi hiking. Kata guru mentor saya, aktiviti ini memang sangat popular dalam kalangan rakyat Korea terutamanya pada musim autumn camnih. Ya, betul. Memang ramai yang ada semasa kami hiking ke Haeinsa Temple nih.





Untuk ke Haeinsa Temple ini sebenarnya ada jalan utama yang boleh menggunakan kereta dan juga pengangkutan awam lain. Tapi bagi memberikan pengalaman dengan cara Korea, maka guru mentor sangat mengalu-alukan kami mencuba hiking untuk ke sana. Ada satu jalan hiking yang diberi nama Sorigil (Gil=jalan Sori=Bunyi).



Laluan hiking ini diberi nama Sorigil kerana anda berpeluang untuk mendengar bunyi-bunyian yang menarik di sepanjang laluan ini. Bunyian yang dimaksudkan adalah bunyi unggas, bunyi serangga, bunyi air sungai yang mengalir, bunyi loceng dari kuil dan juga bunyi alam yang lain. Memang menenangkan!












Memang ramai yang memilih untuk menggunakan Sorigil untuk ke Haeinsa Temple nih. Mungkin nak merasa pengalaman hiking beserta bunyi-bunyi alam yang pasti akan memberikan aroma rasa yang lebih nyaman. 

Tapi disebabkan perjalanan nya yang mengambil masa sehingga lebih 1 jam, jika anda datang dalam kelompok yang pelbagai usia, maka saya tidak mencadangkan sangat laluan ini. Kerana ada beberapa tempat memerlukan sedikit tenaga untuk mendaki. Apatah lagi jarak perjalanan yang jauh menuntut untuk pendaki bertenaga pada setiap masa.













 Selepas menempuh perjalanan dan pengembaraan hampir 1 jam setengah, maka tibalah di Haeinsa Temple. Haeinsa Temple ini terkenal kerana kuil Buddha ini adalah termasuk dalam senarai UNESCO World Heritage. Ini adalah kerana di kuil ini ada disimpan "Tripitaka Koreana" iaitu blok-blok ukiran kayu yang mengandungi tulisan daripada skrip Buddha. 


Terdapat lebih 81 000 blok yang disimpan di sana sejak dari tahun 1398 lagi. Lama kan?.





Pelancong juga tidak dibenarkan untuk masuk ke bilik yang menempatkan blok-blok tersebut kerana usaha memulihara dan memelihara khazanah negara Korea tersebut. Beberapa orang pengawal dilihat mengawal di setiap penjuru bangunan.



Selesai meronda-ronda di kawasan Haeinsa Temple ini, maka kami mula bergerak untuk pulang. Masih berjalan kaki, tetapi kali ini menggunakan laluan dari arah lain yang lebih mudah. Sorigil hanya berada di sebelah kanan kami sahaja. Laluan kenderaan ini lebih cepat dan lebih mudah. 




Pendek kata, perjalanan hiking selama 3 jam pergi balik ini memang merupakan satu pengalaman yang menarik. Apatah lagi dapat mencari pengalaman melalui style orang Korea, itu sangat lah berbeza. Terima kasih Kim Sonsaengnim dan Jee Sonsaengnim yang membantu saya untuk hari ini.





Tak lupa juga untuk hidangan ikan buntal goreng yang sangat sedap! Pertama kali saya rasa ikan nih seumur hidup saya. Menakutkan juga bila teringat cerita-cerita pasal makan ikan buntal. Tapi di Korea ini, tukang masak bagi kedai makan ikan buntal harus mendapatkan sijil rasmi kelayakan khas daripada kerajaan di Korea. Maka, perasaan takut diganti dengan perasaan sedap. Apatah lagi makan ketika hujan... Hmmmm... :)





Selasa, 17 November 2015

80 Hari di Korea : Hari 66 (Perkongsian Koperasi Sekolah Malaysia di Korea)

Hari ini saya menerima pelawaan daripada sekumpulan guru-guru dan kakitangan kerajaan di Pejabat Metropolitan Daegu untuk perkongsian mengenai koperasi sekolah di Malaysia. Pada pertemuan yang lalu, saya telah dimaklumkan bahawa koperasi sekolah di Malaysia merupakan yang terbaik di dunia. Maka jemputan kali ini adalah bagi sembang santai mengenai perkara tersebut.





Saya dijemput bersama dengan Jii, seorang guru bahasa Inggeris sebagai penterjemah. Bagi memudahkan lebih ramai yang faham, maka saya sediakan pembentangan dalam bentuk prezi. Setidaknya, yang tak faham bahasa inggeris, boleh lah melihat kepada gambar yang saya sediakan. Lagi satu, lebih memudahkan untuk saya menerangkan perkara yang berkaitan dengan lebih menarik.






Tempat pertemuan agak jauh sebenarnya. Macam kawasan kampung dan sedikit terpencil. Berdekatan dengan gunung dan bukit bukau. Memang nyaman sungguh udara kat sini. Ada pula sebuah sekolah swasta yang didirikan di sini. Sekolah khas bagi pelajar-pelajar yang bermasalah di sekolah. 



Menarik sekolah nih. Pelajar yang tak dapat mengikuti pembelajaran di sekolah (akibat dibuli, tak ada kawan, masalah keluarga, agresif dll) akan diberikan pendidikan secara tidak formal. 








Pelajar-pelajar ini akan belajar bermain muzik, bercerita, bermain golf, membela kambing dan juga belajar bercucuk tanam bagi mengurangkan tekanan terhadap masalah yang mereka alami. Memang satu pendekatan yang baik untuk pelajar-pelajar sebegini.



Sementara nak menunggu yang lain datang, maka kami ambil masa untuk berjalan-jalan di sekitar kawasan sekolah tersebut. Rupanya ada bukit dan juga laluan orang berjalan kaki. Di akhir pemandangan akan kelihatan deretan kubur-kubur lama orang Korea yang berbentuk seperti busut, lengkap dengan batu nesan. 









Dalam jam 6 petang, semakin ramai yang mula datang ke tempat berkenaan. Maka majlis makan-makan pun bermula, sambil bercerita.


Saya disediakan makanan vege dan juga seafood seperti biasa. Lagipun bukan senang nak dapatkan daging halal kat Korea nih. Mujur juga ada mereka-mereka yang faham dan juga biasa berurusan dengan orang Islam, maka tak banyak sangat saya perlu jelaskan kepada mereka.





Sambil-sambil tu mereka bertanya beberapa soalan yang berkaitan dengan koperasi sekolah di Malaysia. Jika di Korea ini, hanya baru bermula pada tahun lepas. Dan bilangan sekolah yang ada koperasi juga adalah sangat sedikit. Katanya tak sampai 10 di seluruh Korea. Mereka sangat kagum bagaimana Malaysia dapat menerapkan amalan berkoperasi dalam kalangan pelajar sekolah.


AKtviti perkongsian yang santai ini membuatkan saya rasa sangat selesa untuk berbual dengan mereka. Kebetulan pula ada beberapa orang dalam kalangan mereka yang pernah ke Kuala Lumpur, maka perbualan jadi semakin rancak. 




Seperti juga ketika bersama kawan-kawan team muzikal, kali ini juga saya dapat rasakan keakraban berkomuniti bersama masyarakat Korea. Mereka memang agak pendiam pada mulanya. Tapi jika kena gayanya, dah boleh bersembang macam sembang dengan orang kampung!




Ahad, 15 November 2015

Malaysia Terpilih Untuk Kerusi Lembaga Eksekutif UNESCO 2015 - 2019

Bangganya rasa sebab Malaysia berjaya menduduki kerusi Lembaga Eksekutif Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO) bagi penggal 2015 - 2019 selepas memperoleh undi tertinggi dalam kalangan negara Asia Pasifik. 


Malaysia Terpilih Untuk Kerusi Lembaga Eksekutif UNESCO 2015 - 2019


Setiausaha Agung Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia, Mohd Khairul Adib Abd Rahman berkata pemilihan Malaysia diumumkan pada Mesyuarat Pleno ke-12 Persidangan Agung UNESCO ke-38 yang berlangsung pada Rabu (11 Nov) di Paris. 

Beliau berkata Malaysia memperolehi sebanyak 165 undi, diikuti Vietnam (156), Sri Lanka (149), Korea (137), Pakistan (135) dan juga Iran (128).

"Lembaga Eksekutif UNESCO terdiri daripada sejumlah 58 anggota yang dipilih, sebanyak 186 negara layak mengundi daripada sejumlah 195 anggota, " katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.


Malaysia sebenarnya bukan asing dalam program dan aktiviti yang berkaitan UNESCO, setelah menyertai pertubuhan itu pada 1958 dan menjadi anggota Lembaga Eksekutifnya selama beberapa penggal, yang terakhir antara 2007 dan 2011.

Beliau juga berkata Malaysia dipilih menganggotai Majlis Antara Kerajaa (IGC) bagi Program Maklumat Untuk Semua (IFAP) di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Informasi (CI) pertubuhan itu. 

IGC antara lain berperanan menyemak dan menilai pencapaian dan menentukan bidang asas yang memerlukan peningkatan kerjasama antarabangsa selain menyokong usaha mengumpul dana untuk pelaksanaan IFAP.


Mohd Khairul Adib berkata Malaysia juga mendapat penghormatan apabila Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Seri Dr Noorul Ainur Mohd Nur dipilih menjadi pengerusi mesyuarat Suruhanjaya Sains UNESCO pada sesi persidangan itu. 

Sebelum ini, persidangan itu sebulat suara melantik Noorul Ainur sebagai Pengerusi Suruhanjaya Sains untuk penggal 2015 - 2017. 

Noorul Ainur telah berkhidmat sebagai Naib Presiden Majlis Antara Kerajaan bagi Pengurusan Program Transformasi Sosial UNESCO bagi penggal 2013 - 2015.




Jumaat, 13 November 2015

80 Hari di Korea : Hari 65 (Cuaca Makin Sejuk & Jatuh Sakit)

Pagi-pagi hari nih bangun dah sejuk sangat. Rupanya hujan dari sejak semalam lagi. Hujan di Korea nih lain macam sikit. Selalunya renyai dan berlarutan untuk tempoh yang panjang. Maka satu hari lah akan rasa sejuk. Sejuknya bukan sejuk nyaman yang macam kita alami di Malaysia. Tapi sejuknya sejuk yang menyerap ke tulang, sebab sekarang dah musim autumn dan hampir masuk musim winter.





Rakan seMalaysia saya pula, Hanne terus tak dapat nak datang ke sekolah sebab tak sihat. Musim-musim macam nih memang senang nak jatuh sakit. Maka duduk lah kat English Room nih sorang-sorang. 




Bila berhubung dengan rakan-rakan lain di Seoul, rupanya beberapa orang lagi antara kami juga tak sihat. Perubahan cuaca daripada musim autumn nak ke musim winter nih memang drastik sikit cuaca nya. Kalau tak jaga kesihatan, senang jatuh sakit.









Guru mentor pulak selalu berpesan. Nak tidur malam, pastikan memakai baju dan seluar yang tebal. Baru lah selesa dan susah nak jatuh sakit. Sesekali pekena Uuja Tea, teh limau dengan madu, memang sangat selesa untuk memanaskan badan. 




Khamis, 12 November 2015

80 Hari di Korea : Hari 64 (Peperiksaan Awam Korea Yang Dahsyat)

Pada hari ini kami bercuti. Ini adalah kerana, satu peperiksaan awam Korea yang sangat penting akan diadakan. Iaitu peperiksaan kemasukan ke universiti. Kenapa saya cakap ianya sangat penting? Sekejap lagi saya ceritakan kenapa dan sampai macam mana sekali ianya dikatakan penting di Korea nih.





Pada setiap Khamis kedua bagi bulan November, peperiksaan College Scholastic Ability Test (CSAT) akan diadakan di seluruh negara. Peperiksaan akan bermula pada jam 8.40 pagi sehingga 6.05 petang. 


Sejauh Mana Peperiksaan Ini Penting Kepada Rakyat Korea?

1. Negara Korea memandang serius akan peperiksaan ini sehinggakan para pekerja kerajaan dan awam dibenarkan untuk datang lebih lambat 1 jam dari biasa bagi mengurangkan kesesakan dan memberi laluan kepada pelajar untuk tiba lebih awal di tempat peperiksaan.

2. Bas akan beroperasi lebih kerap pada masa 6 pagi dan 10 pagi supaya tiada kes pelajar tertinggal atau terlewat datang ke dewan peperiksaan.

3. Teksi akan memberi tumpangan secara percuma untuk mengangkut pelajar ke sekolah untuk peperiksaan. 





4. Motosikal tidak dibenarkan menggunakan hon kerana bimbang boleh memberi gangguan kepada pelajar untuk menjawab peperiksaan dengan lebih tenang.

5. Pasukan sukarela dan juga unit khas polis akan membantu mengawal bagi memudahkan lalulintas.

6. Sebarang kenderaan tidak dibenarkan untuk parking di dalam kawasan 200m berhampiran sekolah. 

7. Penerbangan domestik dan internasional perlu menunda masa penerbangan mereka pada 30 minit pertama peperiksaan bermula dan 30 minit sebelum peperiksaan berakhir.

8. Jika ada perarakan atau yang mahu berdemonstrasi bagi tujuan lain, perarakan harus dihentikan pada hari tersebut dan ditukar kepada hari lain.

9. Pihak tentera pula tidak dibenarkan untuk menjalankan sebarang latihan menembak dan juga misi penerbangan pada hari ini.

10. Pelajar junior akan bersorak dan menyokong para senior bagi mengalu-alukan kedatangan senior ke sekolah untuk peperiksaan.





11. Sambutan daripada junior kepada senior kadang-kadang sehingga tahap meletakkan karpet merah sebagai tanda sokongan yang padu.

12. Ibubapa pula akan berduyun-duyun ke tokong atau gereja bagi berdoa memastikan kejayaan anak-anak mereka.





13. Guru yang bertugas menjaga dewan peperiksaan tidak dibenarkan untuk merokok atau memakai minyak wangi kerana dibimbangi mungkin menganggu konsentrasi pelajar menjawab soalan.

14. Pengawas peperiksaan perlu bertukar kepada kasut tanpa tapak atau kasut tapak getah bagi mengurangkan gangguan bunyi kepada pelajar.






Kenapa Peperiksaan Ini Sangat Penting Kepada Rakyat Korea?

1. Target mereka adalah mahu ke 3 universiti terulung di Korea, iaitu SKY (Seoul National University (SNU), Korea University dan Yonsei University. Graduan daripada 3 universiti utama ini akan menjamin pelajar dengan kelayakan akademik terbaik di Korea, lengkap dengan alumni dan jaringan kerja yang sangat kukuh.





2. Bagi membolehkan mereka ditawarkan ke universiti SKY ini, keputusan yang perlu diperolehi oleh mereka adalah near perfect score dalam CSAT dan top grade di sekolah!

3. Maka untuk itu, ibubapa Korea sanggup berbelanja lebih bagi menghantar anak ke pusat pengajian terbaik, tuisyen (hagwons) dan kadang-kadang sehingga ke luar negara bagi membolehkan anak mereka mendapat kelebihan dalam pendidikan.

4. Perkara ini bukanlah sesuatu yang baru di Korea. Kerana sejak daripada dahulu lagi, anak lelaki daripada keluarga bangsawan yang berminat untuk menjawat jawatan kerajaan perlu melalui peperiksaan awam (gwageo).





80 Hari di Korea : Hari 63 (Mengajar Sains & Sambutan Pepero Day)

Awal pagi Son Sonsaengnim dah datang cari nak ajak masuk kelas Sains. Saya berterima kasih sangat dengan Son Sonsaengnim sebab dia yang banyak bantu saya untuk mengajar Sains di Korea nih. Kalau tak, tentu jadi sukar. Sebab 2 orang lagi guru Sains tidak boleh langsung berbahasa Inggeris.





Kali ini saya yang mulakan kelas. DIsebabkan dah beberapa kali masuk kelas, maka dah tahu bagaimana nak memulakan pengajaran di dalam kelas bila mengajar di Korea nih. Bila mula masuk, pelajar tidak akan memberi salam atau ucap selamat. 




Sebaliknya, guru akan pastikan semua pelajar bersedia dan kemudian menyebut,

 "Panjang!" (Ketua kelas)



Ketua kelas akan bangun dan berkata, 

"chario .. (bow) "

"Annyeong hassemika.." = Selamat / Hello



Kemudian guru akan menjawab,

"Annyeong... " 


dan kadang-kadang juga ditambah dengan ..

" Bang geub sumida.." = Nice to meet you



Pengajaran diteruskan dengan mengajarkan eksperimen bagi menentukan larutan yang boleh mengkonduksikan elektrik dan yang tidak boleh mengkonduksikan elektrik. Pelajar yang buat dan guru hanya membimbing.







Pengajaran secara co-teaching dengan Son Sonsaengnim sangat menyeronokkan. Beliau seorang guru muda yang sebenarnya baru sahaja posting pada bulan Oktober yang lalu. Paling unik, adalah cara beliau menarik minat pelajarnya dengan cara melakukan beberapa gerakan mudah ala KPOP. Tentu pelajar suka kan?









Oh. ya. Tarikh pada hari ini juga sangat menarik. 11.11. Di Korea, pada tarikh ini diadakan sambutan Hari Pepero Day. Ya, kerana angka 1 itu adalah mirip kepada coklat pepero. Budaya nya adalah, memberikan pepero pada hari ini dan mendoakan semoga penerimanya akan jadi slim dan tinggi, sama macam pepero!





Hehe.. Saya juga menerima beberapa kotak Pepero. Dan tentunya, kotak Pepero saya yang pertama adalah daripada kawan baik saya di sini, Lee Sonsaengnim. Geng video di sekolah Daegu Girls Commercial High School! 





80 Hari di Korea : Hari 62 (Duipuri : Sambutan Kejayaan)

Bersempena dengan kejayaan persembahan pada majlis pembukaan Festival Seni Dalam Pendidikan Daegu 2015, maka pengarah teater muzikal kami telah mengadakan satu majlis keraian. Kalau dalam budaya Korea, ianya dikenali sebagai Duipuri (kalau salah ejaan, sila maklumkan yer).






Duipuri ini diadakan bagi menghargai titik peluh dan jasa bakti semua yang terlibat dalam sesuatu event besar, setelah semuanya berlangsung dengan jayanya. Bagi saya, saya melihat ini adalah suatu budaya yang baik dan patut dipraktikkan oleh mana-mana organisasi. Secara tak langsung ukhwah persahabatan yang terjalin antara sesama ahli akan menjadi semakin akrab.


Ini juga merupakan kali pertama saya menghadiri majlis di rumah orang Korea. Seperti juga orang Jepun, orang Korea juga sebenarnya agak jarang mengajak tetamu datang bertandang di rumah. Mereka lebih selesa bertemu di kedai-kedai kopi atau pun di mana-mana restoran makan. Katanya, ada yang malu kerana rumah mereka yang kecil.















Semua anggota muzikal dijemput. Akan tetapi ada yang tak dapat hadir kerana ada komitmen lain dengan keluarga dan rakan. 




Puan pengarah kami, Jung Sunghee merupakan seorang pengarah yang sangat berbakat dan melucukan. Beliau mendapat pendidikan dalam bidang seni persembahan ini di New York. Maka tak hairan lah, beliau tahu saya sebagai muslim harus mengerjakan solat 5 kali sehari. Malah juadah juga disediakan sepenuhnya tanpa daging dan ayam. Makanan vege. Terima kasih kerana memahami!







Pada malam ini juga, sambil-sambil makan maka kami memperkenalkan diri dengan lebih baik kepada ahli yang ada. Maklumlah ada juga ahli belakang tabir yang buat pertama kalinya kami jumpa pada malam ini. Juga bersama-sama menceritakan perasaan masing-masing setelah terlibat dalam aktiviti seperti ini. 


Perasaannya sangat mengkagumkan! 




80 Hari di Korea : Hari 61 (Lawatan ke Daegu Hanggyo Confucian Academy)

Hari ini pula selepas habis sekolah kami bergerak ke Daegu Hanggyo Confucian Academy. Ini merupakan sebuah sekolah lama yang berfungsi sebagai Akademi Konfucius yang menyediakan pendidikan kepada anak-anak kenamaan suatu ketika dahulu. Namun kini Daegu Hanggyo ini berfungsi sebagai venue majlis perkahwinan bagi masyarakat Korea yang mahukan perkahwinan tradisional Korea.





Kawasan nya tak lah besar mana. Tapi disebabkan taman dan juga masa yang betul untuk melawat (autumn), maka Daegu Hanggyo ini nampak sangat cantik. Dengan senibina lama Korea dan warna-warna autumn yang menyelubungi kawasan ini, memang sesuai sangat akademi ini dijadikan sebagai venue majlis perkahwinan. Romantik gitu.









Saya dan guru mentor hanya berjalan di sekitar dan melihat kawasan di dalam kompleks tersebut. Tak banyak sangat aktiviti yang boleh dilakukan. Kecuali bagi yang berminat nak melihat perkahwinan tradisional Korea, boleh lah melawat ke sini pada hari Sabtu setiap minggu. 











Jika ada masa, saya akan ke sini lagi untuk melihat sendiri majlis perkahwinan tradisional Korea tersebut!